Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Wednesday, August 14, 2013

Raya 1434H / 2013M

Cepatnya masa berlalu. Ramadhan telah pergi dan Syawal sudah masuk hari yang ke 7.

"SELAMAT HARI RAYA ~ Maaf Zahir & Batin"

Tahun ini sekali lagi menyambutnya di Sibu , Sarawak. Tiada lg kesedihan . Kata orang; "alah bisa tegal biasa".

Sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengimam dan berkhutbah solat sunat Aidil Fitri di Surau Darul Firdaus, Sibu.

Khatib Raya ~ Terima Kasih Surau Darul Firdaus, Sibu

Lepas solat sunat berjamaah, hanya beraya di rumah-rumah penduduk setempat . Ada juga rakan-rakan dari Semenanjung yang tidak berpeluang balik kampung.


juadah yang disediakan oleh sahabat ketika beraya dirumahnya.

 Semoga gambar-gambar ini akan menggamit kenangan beraya di rantau orang suatu hari nanti.


anak-anak dengan pakaian raya di hari pertama

Beraya rumah rakan anak.

kek lapis menu mesti ada atas setiap meja

kenangan Arfah beraya bersama abah & ummi ~ 3 bln umur Arfah


Bersama Pak Yusuf Kpg Bahagia Jaya, Teku. Sebenarnya banyak berziarah di hari raya ke dua.

rakan-rakan dalam PAS datang berziarah.

Hari ini banyak lagi rumah mahu diziarahi. Di Sarawak ini raya sakan..... puasa sebulan , raya pun sebulan... he...he...

Friday, June 21, 2013

Tragedi Kebakaran 19 Jun ~ Kampung Datuk Sibu Tinggal Kenangan

Sekitar jam 2:00 petang 19 Jun; saya bertolak dari rumah ke sebuah bengkel kereta milik seorang warga Muslim Sibu kerana kereta saya mengalami sedikit masalah. Bengkel ni terletak tidak berapa jauh daripada Kampung Dato' Sibu. 

Setelah kedengaran azan asar dari Masjid Lama Sibu , saya bergegas berjalan kaki untuk solat asar berjamaah. Di kala para jamaah bersedia menunaikan solat berjamaah ketika itu kedengaran riuh rendah hon kereta dan suara orang ramai. Selesai solat baru para jamaah sedar, rupa-rupanya satu kebakaran telah berlaku.

Masa itu api sudah marak dan menjulang tinggi. Saya mendekati orang ramai yang melihat api yang menggila itu, sekitar lima buah rumah telah hangus terbakar. Ia bermula dari sebuah rumah berhampiran sungai. Setelah itu para jamaah mula bergerak ke arah perumahan penduduk kampung. Saya hanya memerhati dari jarak jauh sahaja kerana api yang besar. 

Kampung Dato' Sibu hangus dijilat api. Besar sungguh api menjilat dan membaham deretan rumah yang rata-ratanya diperbuat daripada kayu. Dalam tempuh dua jam sahaja , menjadikan sebuah kampung yang membarisi sungai bagaikan padang jarak padang tekukur dan mangsa kebakaran kebanyakannya hanya tinggal sehelai sepinggang.

Kedudukan rumah kayu yang berdekatan, cuaca panas kering serta angin kencang menyebabkan orang ramai tidak boleh berbuat apa-apa selain menyelamatkan diri dan keluarga. Syukurlah tiada korban nyawa walaupun harta benda habis musnah. 

Dalam keadaan hiruk pikuk itu laungan azan bergema bersama maraknya api. Mangsa-mangsa yang terlibat hanya pasrah kepada Allah SWT. Namun amat malang dan menyedihkan kerana bantuan pasukan penyelamat atau bomba lambat sampai.

Inilah kesan daripada kebakaran yang ditangkap gambarnya oleh seorang hamba Allah. Saya sendiri hari itu tidak membawa kamera atau smartphone yang biasanya saya bawa ke mana saja.



Pandangan dan suasana kampung melayu Sibu yang saya selusuri setiap hari kini hanya tinggal kenangan. Sekitar 50 buah rumah terlibat dalam kebakaran ini dengan 700 orang lebih menjadi mangsa. Mangsa-mangsa kejadian telah ditempatkan di Bangunan Lakis, Masjid An-Nuur, Sibu. Sebahagian besar mereka menumpang di rumah sanak saudara yang lain.

Sungguh hebat ujian Allah SWT ini kepada mereka apatah lagi menjelangnya bulan Ramadhan yang mulia dan Syawal yang akan tiba tidak berapa lama lagi. Semoga semua pihak bermurah hati memberi bantuan dalam apa bentuk sumbangan sekali pun untuk meringankan beban mereka.

"Inilah tapak rumah ibu kami" ~ kata seorang anak mengenang rumah ibunya habis hangus terbakar

Perasaan saya saat itu sangat sedih dan pilu melihat musibah kebakaran yang menimpa saudara-saudara seIslam dan keluarga rakan-rakan saya di Kampung Datuk, Sibu. Semoga semua yang terlibat dengan musibah ini bersabar kerana Allah SWT sedang menguji hamba-hambanya. Semoga Allah SWT memberi kesabaran dan ketabahan menghadapinya kepada semua yang terlibat. 

Firman Allah SWT; "Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."-Surah At-Taghaabun; Ayat 11.


Kesan Selepas kebakaran di Kpg Datuk Sibu. (foto ehsan  daripada rakan FB)

Monday, June 17, 2013

Aku Seorang Guru Agama ; Antara Berintegriti Dan Cara Berkomunikasi


Minggu ini agak kesibukan. Ada beberapa program yang melibatkan diri ini. 

Selain tugas harian sebagai guru agama di sekolah, saya diundang untuk menyampaikan ucapan, syarahan dan tazkirah di beberapa tempat sekitar Sibu, Sarikei dan Selangau. 

Di Selangau saya diundang untuk menyampaikan ceramah Sempena Sambutan Hari Guru. 

Temanya tidak lari daripada tema hari guru tahun ini. Guru Malaysia; 1 Aspirasi 1 Agenda. 

Tapi bila sudah jadi ceramah agama, ia tidak menjurus guru malayisa sahaja. Ia untuk semua insan bergelar guru walau siapa dia dan di mana guru itu berada. Sudah tentu contoh guru terbaik ialah Rasulullah SAW. Dialah yang membawa obor cahaya yang merubah landskap dunia sehingga manusia kembali kepada sifat fitrahnya dan membangunkan dunia ini dengan agama sehingga membawa keselamatan hidup setiap insan baik di dunia dan di akhirat. 

Dalam ucapan satu jam itu saya menekankan integriti seorang guru dan kaedah komunikasi yang betul untuk tampil guru berwibawa dan dihormati. Kewibawaan seorang guru tercorak daripada amanahnya menjalankan tugas dan kata bicaranya yang berhikmah.  Sekurang-kurangnya seorang guru itu ada dua sifat; pertama Qawiy, ke dua, Amiin


"Qawiy" bermaksud berupaya dari segi fizikal dan mental dalam menjalankan tugas sementara "Amiin", bersifat amanah dan boleh dipercayai.



Komunikasi



Saya menekankan ada 6 prinsip dalam komunikasi berkesan seorang guru; 

1. Tersusun (munadzzoman) ~ bicara guru mesti kemas, bukan bahasa rojak baik semasa dia menggunakan apa bahasa dalam komunikasinya.Contohnya guna bahasa melayu yang betul, kalau bahasa arab, bahasa arab fushah. 

2. Bermatlamat (mukhassisan) ~ bahasa ringkas, bermatlamat dan dan mudah difahami oleh murid. Penyataan dan soalan perlu jelas. JIka wujud perkara yang tidak diselesaikan oleh guru itu perkara biasa, kita manusia biasa tidak mengetahui segalanya.

3. Act Your Age ~ berwataklah sebagai orang dewasa walaupun guru itu untuk kanak-kanak. Kita boleh turunkan cara komunikasi sesuai dengan mereka tetapi masih mengekalkan kedewasaan kita dan berfikir. "Khatibun Naas 'ala qadri 'uqulihim"; bercakaplah dengan manusia menepati kadar akal mereka. Dalam perkara berselisihan pendapat tidak perlu bertekak dan bergaduh dikhalayak. Ini akan menjatuhkan maruah dan air muka guru itu sendiri.

4. Bahasa Waras; jauh daripada emosi yang tidak terkawal, menghukum, mengherdik dan menjatuhkan maruah pelajar. Guru mesti bersikap profesianal dalam menjalankan tugas, dalam komunikasi dan berdepan dengan pelajar yang berbagai kerenah kekadang mencabar kesabaran. Namun guru perlu mengawal diri dan emosi. Guru perlu untuk sentiasa sihat untuk menjalankan tugas seharian.


5. Bahasa Badan ~ guru perlu jadi dirinya sendiri, tidak perlu berlakon. Kalau senyum, senyumlah dengan ikhlas dan kalau marah, marahlah dengan ikhlas. Bahasa badan dan memek muka yang betul menjadikan pelajar kita tidak salah sangka dan dia senang dengan amarah seorang guru. Dia dapat membezakan marah yang ikhlas dengan ledakan emosi yang tidak terkawal. Kata-kata nasihat walaupun lembut dan rasa tidak memuaskan emosi; itu yang mengesan dalam diri muridnya. Murid dapat menerimanya dengan baik dan tidak berdendam dengan guru.

6. Bahasa Hati. Hati guru mesti bersih. Hubungan hati lebih beerti dan lebih kuat. Bukan sahaja murid dapat merasai getaran suara gurunya tapi jauh daripada itu murid dapat merasakan keikhlasan gurunya dalam menyampaikan ilmu dan tunjuk ajar. 

Integriti


Apa pun kesibukan seorang guru, guru itu mesti berpegang kepada tugas utama seorang guru. Mutakhir ini guru berhadapan dengan tugas-tugas di luar peranan guru sebenar yang lebih menekankan kerja perkeranian sehingga guru dilihat mengejar perkara lain daripada tugas seorang guru untuk hadir terhormat di tengah murid atau pelajarnya. Guru telah dibeban dengan pelbagai tugas yang menghilangkan fokus kepada membangunkan ilmu dan insan itu sendiri. Guru lebih menjurus kepada cantiknya fail, laporan, rekod dan ber"internet", masa banyak dihabiskan untuk mengisi data sehingga isu-isu besar kepada tugas seorang guru sedikit demi sedikit terhakis.  Jadi fokos seorang guru itu apa?


Guru Sekolah Pondok


Saya tertarik kepada guru-guru di sekolah pondok, mereka dapat fokus kepada pembangunan murid. Mereka jarang mewar-warkan pencapaian mereka tetapi kita kagum dengan munculnya para daie ditengah masyarakat dengan bekalan ilmu yang baik dan mantap. Apakah persoalan keberkatan itu tidak menjadi agenda utama dalam sistem pembelajaran dan pendidikan di sekolah-sekolah kita di Malaysia ini?

Jadi apakah dua faktor ini; dari segi integriti seorang guru boleh dipersoalkan dan kemahiran berbicara dan berkomunikasi juga boleh dipertikaikan? Bila murid bercakap dengan bahasa buruk dan guru juga lemah dalam penguasaan bahasa, apakah nawaitu kita untuk mencapai guru bertaraf dunia akan tercapai?


Guru perlu rajin mencari ilmu untuk menambah nilai profesionalisme keguruan. Setiap hari perlu mendapatkan  ilmu agar para guru dapat menjalankan tugasnya dengan lebih baik dan berkesan.

Selamat Hari Guru Kepada Semua Guru. Rasanya Belum Terlambat....

Friday, June 14, 2013

Puteriku; Nur Arfah Sofiah

Pantang 44 hari telah berakhir. Kata isteriku ingin berpantang sampai 100 hari.

In Shaa Allah...

Dalam entri yang lalu; saya belum memberi nama kepada puteriku ini. Banyak nama yang dicadangkan oleh ahli keluarga, kakak dan abang-abangnya. Antaranya,  Aisyah Sofiah, Adawiyyah, Najwa dan beberapa nama lagi. Saya pun mengambil masa untuk memberi nama kepada puteri saya ni.

Masa mengandung kami tidak berfikir pun untuk mengetahui apa jantina kandungan kali ini. Lelaki perempuan kami terima dengan redha. Jiran-jiran ada berkata macam kandungan lelaki. Jadi kami tidak terfikir untuk menyediakan sebarang nama.

Apabila puteriku lahir, saya lebih berfikir untuk balik melaksanakan PRU13 dan bergegas balik ke Terengganu.  Hanya balik semula ke Sibu, Sarawak baru saya memikirkannya.

Sewaktu sahabat saya ; Ustaz Ali Supandi bertandang ziarah ke rumah dia bercerita bahawa adik-beradiknya ada seorang diberi nama Arfah. Banyak nama dicadang, tapi tetiba bapanya pulang dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah memberitahu muncul sahaja dibenaknya nama itu lalu di beri nama itu; Arfah.

Situasi yang sama juga berlaku hampir sama dengan saya. Puas saya berfikir, siapa nama anak ke 6 saya ni? Akhirnya muncul dibenak saya Arfah. Boleh jadi saya mengenangkan "'Arafa", yang memberi erti tahu atau kenal. namun saya masih meraikan juga pandangan anak-anak, isteri dan keluarga, maka saya namakan anak perempuan saya ke 6 ini sebagai; Nur Arfah Sofiah Binti Mohd Isa. Saya ingin meletakkan tanda "'Arfah" tetapi tidak dibenarkan oleh pihak pendaftaran.

Nur Arfah Sofiah semoga berkat namamu akan mendatangkan cahaya (nur) kebahagian kepada abah dan ummi, saudara-saudaramu dan ahli keluarga yang lain. Senang dikenali sebagai insan yang mudah dan berlapang dada serta suci dan bersih hatimu dalam kehidupan. Semoga Allah memberkati ahli keluarga kami semua , in shaa Allah.

Semoga anakku membesar bersama saudara-saudaranya yang lain dengan sihat wal'afiat. Bila besar nanti jadi anak yang soleh dan berguna kepada masyarakat. Amiin, Yarabbal Aalamiin.


Wednesday, June 12, 2013

Setelah Setahun Berlalu

Malam semalam (Selasa malam Rabu), saya memulakan kuliah mingguan saya di Surau Darul Firdaus, Sibu setelah setahun "berehat" dari sebarang kuliah di sini.

Kuliah terbaru ini saya mulakan dengan menghangatkan kembali para jamaah dengan tajuk Puasa Ramadhan, menggunakan kitab "Fiqh Manhaji" sebagai kitab rujukan para jamaah yang hadir. Ini bersesuaian kerana sekarang sudah masuk bulan Syaaban dan tidak lama lagi akan hadir bulan Ramadhan pula.

Semoga kita dipanjangkan umur sehingga dapat bersua kembali dengan bulan Ramadahan yang penuh dengan keberkatan itu, in syaa Allah.

Saya mendoakan agar kuliah kali ini mendapat sambutan masyarakat setempat, In syaa Allah. Sementara itu kuliah mingguan saya di Masjid Darul Halim, Sibu pada hari Isnin malam Selasa masih berterusan. Alhamdulillah.

Wednesday, May 01, 2013

Akhirnya Terbuka Jalan Untukku Balik Mengundi PRU13

Suara hatiku, doaku ke hadrat Allah SWT, akhirnya Dia makbulkan. Allah SWT mempermudahkan segala-galanya bagiku, Alhamdulillah. Allah SWT telah buka jalan keluar kepadaku. Maha Suci Allah SWT yang membuat sebaik-baik rencana.

Sebelum ini aku telah menulis;
Hati ini bagaikan melonjak-lonjak untuk kembali ke alamat tempat ku mengundi bagi PRU13 ini, namun melihatkan tarikh PRU13 ini nampaknya hasrat itu terpaksa kupadamkan. Mungkin kesempatan pilihanraya kali ini terpaksa aku lepaskan sekali lagi. 
Hari mengundinya ditetapkan oleh SPR pada 5 Mei nanti. Tarikh ini terlalu hampir kepada due date isteriku untuk kelahiran anakku yang ke 6. Dalam scan yang pertama, doktor menjangkakan pada 10 Mei dan dalam scan yang ke dua, dijangkan pada 2 Mei nanti. Rasanya saat dan waktu ini sangat tidak mengizinkan untuk aku meninggalkan isteriku dalam keadaan begini. 
Kami yang berada di jauh perantauan ini, tiada siapa tempat menumpang. Segala susah-payah selama ini kami hadapi suami-isteri dan anak-anak. Begitulah suratan takdir dan ketentuannya. Kehadiranku di sisi isteri sangat mendesak sekali. Keselamatan dan kesejahteraan keluarga satu kewajiban yang lebih utama buat masa dan saat ini. Tiada pilihankah lagi buat hambaMu ini, Ya Allah...??? 
"Doa Senjata Orang Beriman"
Harga mengundi pada kali ini sangat mahal buatku. Kewajiban yang tidak mampu aku tunaikan. Namun aku masih ada peranan, jika pun aku tidak dapat pulang menunaikan "hak undi" yang datang dengan susah-payah kepada rakyat Malaysia, aku akan berdoa; tidak putus-putus berdoa. Berdoa dengan sungguh-sungguh demi kemenangan Islam dan perjuangan Islam agar mampu mentadbir Malaysia dengan suara, semangat dan ruh baru. 
Undi dalam PRU13 adalah undi kepada sebuah perubahan. Undi untuk menolak sebuah keburukan. Hakku dalam sebuah negara yang memberi hak mengundi sebagai menentukan sebuah kerajaan yang berdaulat dan bermaruah, satu undiku adalah ibadah buatku yang tidak patut aku persiakan. 
Aku berdoa agar Allah SWT membuka jalan buatku. Aku berdoa agar Allah SWT masih memberi peluang buatku. Mungkin ada ketentuan terbaik buat kami. Hanya niatku tiada lain agar satu undiku mampu memberi kemenangan kepada perjuangan Islam. Menjatuhkan kezaliman itu wajib. Wallahu Musta'aan!!!
Ya, Allah SWT sebaik-baik perencana lalu Dia memberi kemudahan kepadaku.
Resah menanti kelahiran bayiku dengan keadaan isteriku yang masa mengandungnya kali ini agak memerlukan perhatian kerana kadar gula dalam darahnya agak tinggi sehingga terpaksa berulang alik ke hospital Sibu berkali-kali atas arahan doktor secara rutin. Kekadang dari pagi sampai malam, sehari-harian.

Namun dalam keluangan masa saya cuba juga menyertai sahabat-sahabat dalam jamaah untuk sama terlibat dalam gerak-kerja jamaah agar saya juga ada saham memberi kemenangan kepada PAS khususnya dan Pakatan Rakyat umumnya di Sarawak. Ini Kalilah!!!

Akhirnya lahir juga puteriku tanggal 29 April dan kegusaranku untuk pulang mengundi akhirnya terlerai. Syukur tidak ada masalah besar yang berlaku, isteriku melahirkan bayi kami seminggu lebih awal daripada jangkaan doktor. Kelahirannya dipermudahkan secara normal. Syukur...syukur...padaMu ya Allah!!!

Setelah berbincang dengan isteri, in sya Allah SWT saya akan pulang untuk melaksanakan tanggungjawabku kepada agama, bangsa dan negara buat kali ini. 

Walaupun kos penerbangan agak mahal untuk balik mengundi untuk ulang-alik (Sibu/KL/TrG) bagi tiga hari saja, semuanya kerana tanggungjawab yang lebih besar. Semoga ini satu jihad dan pengorbanan daripada kami untuk kesejahteraan rakyat semuanya. Tanggungjawab menentukan sebuah kerajaan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia. 

Kegagalan balik mengundi satu penyesalan yang tidak sudah kerana itu adalah hak yang mesti ditunaikan oleh setiap warga Malaysia yang layak mengundi.

Bagiku, bersangka-baiklah dengan Allah SWT kerana segala sesuatu tertakluk dengan Ilmu, Qudrah dan Iradah Allah SWT. Aku berdoa agar Allah SWT menyerahkan Malaysia ini kepada mereka yang lebih berhak mentadbir. Wallahu Musta'aan!!! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar, Walillahil Hamdu!!!

Tuesday, April 30, 2013

Kelahiran Ke 6; Puteri Pelengkap Seri Keluargaku

Puteriku ini belum diberi nama..
29/04/2013 ( Isnin) - Sibu Specialist Medical Centre:  Tepat jam 9:29 pagi lahirlah puteriku seberat 3.0kg, anak yang ke6.

Semoga kelahiran ini menambah seri dan keberkatan dalam keluarga kami. Ini adalah anak kami yang ke 6 ; Anak sulung (Anis-15th), ke2(Irah-14th), ke3 (Fawwaz-12th), ke4 (Asilah-10th) dan ke5 (Adim-7th). Puteriku ini belum diberi nama... tengah mencari nama yang sesuai, insya Allah.

Terima kasih isteriku; Rohani Husin. Pengorbananmu melahirkan buah cinta kita yang ke6 amat besar dan tidak ternilai harganya. Semoga menjadi anak yang solehah dan pelengkap kebahagiaan keluarga kita.

Syukurlah segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Semuanya selamat. Alhamdulillah.

Monday, April 22, 2013

Pengorbanan Perantau Di Sabah Dan Sarawak Untuk Pulang Mengundi


Seorang guru dan isterinya serta dua anaknya terpaksa berbelanja sehingga 2k-4k untuk membeli tiket kapal terbang semata-mata untuk menunaikan amanah kepada negara, untuk menunaikan haknya sebagai pengundi dalam PRU13 ini. Itu satu contoh daripada seberapa ramai perantau yang bertugas di Sabah dan Sarawak yang tempat mengundinya di kampungnya, di Semenanjung. Jangan kata; "Kenapa tidak tukar tempat mengundi?" 

Tingginya kos pengangkutan kerana syarikat penerbangan mengambil kesempatan daripada permintaan tinggi perantau untuk pulang ke tempat masing-masing walaupun untuk dua ke tiga hari sahaja. 

Syarikat penerbangan sepatutnya lebih mesra pengundi untuk perantau pulang mengundi. Kerajaan Pakatan jika memerintah saya mengharapkan perkara ini diambil kira pada masa akan datang.???

Jika pilihanraya terancang, tarikhnya sudah di ketahui awal tidaklah perkara ini berlaku. Para perantau akan merancang penerbangan, cuti dan segala permasalahan yang timbul. Jika sudah terdesak begini, rakyat juga yang menanggung bebanan. 

Bagi saya kerajaan yang memerintah (dalam mandat sementara atau habis tempoh) hanya ingin menjaga kesinambungan pemerintahannya sahaja sehingga rakyat tertanya-tanya bila akan berlaku pilihanraya? 

Rakyat tidak mampu merancang perjalanan dan apabila diumumkan tarikhnya barulah semua pihak berlumba-lumba membeli tiket penerbangan dan pihak syarikat penerbangan mengambil kesempatan atas ketepergantungan rakyat kepada perhubungan udara yang menghubungkan Sabah, Sarawak ke Semenanjung Malaysia. 

Bahkan harga tiket antara negeri di Semenanjung sendiri lebih mahal daripada Sarawak ke Kuala Lumpur khususnya destinasi ke Kota Bharu atau ke Kuala Terengganu. Kegunaan tiket pada tarikh "terdesak" ini ditambah mereka yang bertugas terpaksa balik ke tempat bertugas seberapa segera. 

Apakah Pakatan Rakyat akan memberi perhatian kepada rungutan ini? Pihak kerajaan lalu telah mengabaikan kebajikan sebahagian rakyat dan hak mereka untuk mengundi. Adakah boleh kawalan tiket penerbangan dilakukan jika tempoh terdesak seperti ini supaya lebih ramai yang dapat menunaikan hak sebagai pengundi? Atau segala masalah ini dipulangkan kepada individu itu sendiri terserahlah kalau mahu balik mengundi atau tidak???


Tuesday, April 16, 2013

Malang Tak Berbau, Kepunan Mahu Sarapan Pagi

Pagi tadi sekitar jam 7:45 pagi saya menjalankan tugas sebagai guru pengiring kepada anak-anak pelajar saya yang mengambil bahagian dalam MTQSS , Bahagian Sibu bertempat di SMK Sibu Jaya. Ini adalah hari kedua dan majlis penutupan kepada majlis tadarrus al-quran tersebut. 

Sepanjang perjalanan itu saya bersungut lapar kepada salah seorang murid yang berada di sebelah penumpang di kiri saya. Dia diam saja. Ada 6 orang murid bersama saya dalam kereta Avanza itu.

Sesampai saja di pekan Sibu Jaya, mata saya melilau mencari kedai makan Muslim. Entah macam mana, tetiba saja kereta saya merempuh sebuah motorsikal. Astaghfirullah!!! Saya telah merempuh motorsikal seorang lelaki, dia dan motorsikalnya tersondol dan terbalik ke arah kereta saya. Mujurlah dia selamat dan motorsikalnya saja yang mengalami kerosakan.

Insiden ini berlaku benar-benar di depan Silverstone Tyres (Honjiang Auto Servis), Sibu Jaya. Agak terkejut kerana tayar kereta saya sebelah kanan pecah. Rezeki terpijaklah buat dia orang. Akibat rempuhan itu; bonet depan kemek, dan bumper serta skirt bahagian depan kereta sebelah kanan juga remuk. 

Mujurlah perkara ini dapat di selesaikan secara baik. Saya telah membayar semua kos pembaikan motorsikal lelaki berbangsa Iban yang rosak.

Akhirnya niat mahu bersarapan terpaksa dilupakan begitu saja. "Ponet" atau kepunan kata salah seorang anak murid saya. Semua adalah ketentuan Allah SWT yang berlaku. Syukurlah hanya kenderaan saja yang rosak, semua yang terlibat selamat.

Saya sempat telefon beberapa orang kawan yang turut sama hadir ke majlis tadarrus Al-Quran ini, yang lokasinya tidak berapa jauh daripada tempat kejadian. Mereka cepat-cepat datang membantu. Anak-anak murid saya akhirnya di bawa ke lokasi oleh bapa salah seorang murid yang tinggal di Sibu Jaya ini juga. Terima kasih atas segala bantuan dan nasihat. In Shaa Allah bermanfaat kepada saya untuk membaiki kereta saya yang rosak akibat kemalangan ini.

Satu laporan polis telah dibuat bagi melaporkan kejadian ini. Masih dalam mood terkejut....


Friday, April 12, 2013

Mahalnya Harga PRU13 Bagiku

Hati ini bagaikan melonjak-lonjak untuk kembali ke alamat tempat ku mengundi bagi PRU13 ini, namun melihatkan tarikh PRU13 ini nampaknya hasrat itu terpaksa kupadamkan. Mungkin kesempatan pilihanraya kali ini terpaksa aku lepaskan sekali lagi. 

Hari mengundinya ditetapkan oleh SPR pada 5 Mei nanti. Tarikh ini terlalu hampir kepada due date isteriku untuk kelahiran anakku yang ke 6. Dalam scan yang pertama, doktor menjangkakan pada 10 Mei dan dalam scan yang ke dua, dijangkan pada 2 Mei nanti. Rasanya saat dan waktu ini sangat tidak mengizinkan untuk aku meninggalkan isteriku dalam keadaan begini. 

Kami yang berada di jauh perantauan ini, tiada siapa tempat menumpang. Segala susah-payah selama ini kami hadapi suami-isteri dan anak-anak. Begitulah suratan takdir dan ketentuannya. Kehadiranku di sisi isteri sangat mendesak sekali. Keselamatan dan kesejahteraan keluarga satu kewajiban yang lebih utama buat masa dan saat ini. Tiada pilihankah lagi buat hambaMu ini, Ya Allah...???

"Doa Senjata Orang Beriman" ~ Gambar Sekadar Hiasan
Harga mengundi pada kali ini sangat mahal buatku. Kewajiban yang tidak mampu aku tunaikan. Namun aku masih ada peranan, jika pun aku tidak dapat pulang menunaikan "hak undi" yang datang dengan susah-payah kepada rakyat Malaysia, aku akan berdoa; tidak putus-putus berdoa. Berdoa dengan sungguh-sungguh demi kemenangan Islam dan perjuangan Islam agar mampu mentadbir Malaysia dengan suara, semangat dan ruh baru.

Undi dalam PRU13 adalah undi kepada sebuah perubahan. Undi untuk menolak sebuah keburukan. Hakku dalam sebuah negara yang memberi hak mengundi sebagai menentukan sebuah kerajaan yang berdaulat dan bermaruah, satu undiku adalah ibadah buatku yang tidak patut aku persiakan.

Aku berdoa agar Allah SWT membuka jalan buatku. Aku berdoa agar Allah SWT masih memberi peluang buatku. Mungkin ada ketentuan terbaik buat kami. Hanya niatku tiada lain agar satu undiku mampu memberi kemenangan kepada perjuangan Islam. Menjatuhkan kezaliman itu wajib. Wallahu Musta'aan!!!

Kupetik Kalam Khutbah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man:

 1. Sekarang bukan lagi zaman menjadi penyokong, sekarang zaman semua kena menjadi petugas untuk menangkan Islam.

 2. Jika ditakdirkan kita tewas, janganlah berasa dukacita diatas kekalahan, tapi berdukacitalah kerana kita tidak menyumbang kepada kemenangan. Yang telah bekerja keras tidak perlu bersedih, kerana itu adalah kehendak Allah.

 3. Berilah sumbangan kepada perjuangan memenangkan Islam.

 4. Di dalam sebuah peperangan yang sangat penting di zaman Nabi, Nabi menyuruh semua sahabat-sahabat menginfaqkan harta. Saidina Umar menyumbang separuh hartanya, Saidina Abu Bakar menyumbang semua hartanya termasuk jubah yg sedang dipakai, tetapi ada seorang jamaah yang kudung ke dua-dua tangan dan kakinya, menyumbang segantang kurma, hasil dia mengumpul setelah lama bekerja menjadi hamba mengangkat air dari perigi.
 5.Yang kudung kaki dan tangan pun menyumbang untuk Islam, takkan kita setakat jadi penyokong, bila kalah nanti sedih, sedangkan orang lain berjaga sampai lewat pagi untuk gerakerja Islam, dia di rumah menonton tv!!!

 6.Perjuangan ibarat sebuah bangunan.. semuanya saling memerlukan.. siapa yang jadi atap, jangan komplen kepada lantai..yang jadi tangga jangan komplen kepada dinding..yang jadi tiang jangan komplen kepada tingkap..

Sekarang, kita di mana sebenarnya.


Monday, April 08, 2013

Jangan Berkongsi Cerita Apa Saja Dengan Kawan

Bila baca pelbagai kisah yang berlaku sekitar dunia politik hari ini, saya dapat rumuskan betapa sukarnya mencari kawan atau sahabat yang akan menyelimut dan melindungi kita daripada fitnah. Bila sudah jadi musuh semua rahsia kita selama ini terdedah di sana sini. Rahsia peribadi ditelanjangkan di sana-sini. 

Apatah lagi menjelang pilihanraya ni, musuh-musuh politik semacam tidak dapat lari daripada serangan peribadi. Biasanya yang sangat buruk dan memualkan. Benarlah kata orang; dalam dunia ini tiada kawan yang bersifat abadi, hari ini kawan esok boleh jadi lawan, boleh saja. 

Kita boleh cerita kisah kita yang tidak terlalu peribadi, pasal selera makan minum boleh lah kot. Jika pasal isi hati rasanya simpanlah jauh-jauh dalam hati sanubari sendiri. Biarlah Ianya Rahsia. 

Dulu saya amat percaya bahawa kawan ini lebih akrab daripada saudara kandung sendiri. Pepatah arab ada berkata; "Moga saudara kamu itu bukan lahir daripada kandungan ibumu". 

Pengalaman saya sekitar awal keberadaan saya di Sibu ini, masa itu tidak ramai para ustaz yang memberi khidmat bakti mengajar agama di masjid surau, jadilah sekumpulan orang yang mula cenderung hati dengan kuliah saya, mengikuti pergerakan saya dan nama saya pernah meniti di bibir mereka. Sekecil manapun masalah mereka akan berhubung bertanya itu dan bertanya ini dan saya dengan murah hati membantu sekadar yang termampu. 

Dalam pergaulan itu maka timbullah kemesraan dan saya mula banyak bercerita latarbelakang perjalanan hidup saya. Dulunya saya begini dan begini. Bukan yang elok saja, yang kurang elok pun saya berkongsi cerita. Penglibatan saya dalam kerja dakwah, sejarah penglibatan dan pihak mana saya berwala' mula saya berkongsi. Pada saya sebagai kawan tidak salah mereka mengetahui sedikit rahsia perjalanan hidup saya. 

Namun bila hati kawan saya beralih arah atas kepentingan peribadi dan politiknya, dia mula menjadi musuh dalam selimut. Rahsia saya tidak menjadi rahsia lagi. Apa yang saya kongsikan akhirnya menjadi bebanan kepada aktiviti saya. Pihak yang berkepentingan dengan mudah memperolehi maklumat apa yang mereka kehendaki dengan maklumat yang mereka perolehi daripada mereka yang melingkari saya sebelum ini. 

Apabila saya sedar, mereka yang akrab itu telah meninggalkan saya dan menjauhi saya. Saya baru tersedar bila saya dipanggil oleh pihak berkuasa, penguasa agama dan diberhentikan daripada memberikan khidmat di masjid dan surau. Kata pengerusi masjid kami tidak boleh menjemput ustaz lagi atas arahan. Lebih malang lagi mereka bacakan kepada saya laporan-laporan yang sungguh menyakiti kerana "ianya adalah rahsia saya". Akhirnya, saya dikenakan tindakan "gam" daripada menyampaikan khutbah, ceramah dan kuliah di masjid dan surau. Kecuali beberapa buah masjid dan surau masih bertegas meneruskan khidmat saya. 

Fokus saya ialah kawan yang makan kawan. Dulu mereka ini selalu bersama kita dan hari ini mereka amat jauh dan menyakiti kita. Apa yang mereka "tahu" dijadikan senjata untuk menyakiti kita. Saya insaf, saya sedar. Semua ini telah menjadi pengalaman berharga dalam hidup saya. Sebagai ingatan, jangan berkongsi semua perkara dengan kawan, boleh jadi hari ini dia kawan setia kita, esok entahlah, wallahu a'lam boleh jadi seteru kita. 

Namun belumlah saya tidak mahu berkawan. Sampai hari ini pun saya tidak serik berkawan. Masih ada ruang husnu dzan saya kepada diri saya dan orang lain. Saya tetap masih mahu berkongsi rasa dan bicara. Belum rasanya untuk bertapa seorang diri. Apa-apa pun berhati-hatilah dalam mencari kawan. Kawan untuk bergelak ketawa senang dapat, kawan menangis sukar dicari.

Thursday, April 04, 2013

Kali Pertama Menjadi Pemilih Dalam PRU10 ; PRU13 "Pilihlah Mengundi!!!"

Peti Undi  Masih Kosong
Semalam PM (dengan mood sedih) telah umumkan pembubaran Parlimen Malaysia bagi memberi laluan PRU13 diadakan. Ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang layak mengundi menentukan hala-tuju negara selepas ini samada kekal di bawah BN atau bertukar kepada PR. 

Mengenang sejarah saya mengundi kalau tidak silap saya, pada 29 November 1999, itulah kali pertama saya berpengalaman memangkah undi bagi DUN Bukit Payong dan Parlimen Marang, Terengganu. Dan pada tahun itulah PAS berjaya membentuk kerajaan di Terengganu. Sebulan selepas itu saya telah ditugaskan ke Sarawak. Itulah kali pertama saya mengguna hak saya sebagai pengundi. Dalam pilihanraya seterusnya saya tidak berkemampuan untuk balik mengundi. 

Pada PRU12 (2008), ada seorang calon BN yang menelefon saya untuk balik mengundi tapi dia letak syarat kena undi BN lalu saya tolak. Saya kata; "Kalau nak bantu untuk saya menjadi pemilih saya sedia, tapi kalau bersyarat saya tidak mampu menunaikannya. Tiada sesiapa boleh meletakkan bebanan dan paksaan kepada saya untuk memilih siapa yang saya suka". Akhirnya dia berkata , "tak jadilah bagi tiket untuk balik". 

Sekurang-kurangnya untuk DUN Bukit Payong dan Parlimen Marang ada dua orang yang tidak melaksanakan haknya sebagai pengundi, saya dan isteri saya. Khususnya pada PRU11 (2004) dan PRU12 (2008).  Tahun ini saya tidak pasti akan balik atau tidak. Dengan kekangan kewangan dan kesihatan isteri yang tidak mengizinkan; rasanya sekali lagi kami terlepas melaksanakan hak mengundi ini. 

Apapun kepada semua rakyat Malaysia yang tiada halangan dan kekangan, gunalah hak anda sebagai Rakyat Malaysia untuk menentukan siapa pilihan hati di PRU13, undilah secara berhemah dan bijaksana; "Pilihlah Mengundi!!!".

Sunday, March 24, 2013

Kalau Boleh Tak Mahu Susahkan Sesiapa


Lama Saya berehat daripada menulis di laman blog saya ini. Kekangan masa disamping "mood menulis" agak berkurangan. Kalau ada idea, tulis je di FB. Ringkas dan padat. Tapi pagi ni rasa nak berceloteh sedikit tantang isi hati. 

Rasa hidup ini banyak buat salah, semoga saya masih berpeluang untuk membetulkan keadaan. Alhamdulillah, Allah SWT masih membuka jalan dan menunjuk jalan itu kepada saya.

Saya diingatkan oleh seorang "hamba Allah" betapa saya ada sifat buruk, ego dan tidak berterima kasih kepada orang yang menolong; begini mesejnya kepada saya; "kadang2 apa yg kita buat ikhlas tapi salah pada pandangan org..teringat saya pada seorang hamba allah yg cuba membantu seorang hamba yg terkena sengat kala jengking hamba allah yg membantu ni hanya berpakaian selekeh dan yg di bantu pula berjubah dan berserban setelah selesai hamba yg membantu tdi duduk di tmptnya dan yg dibantu cuma tngk tanpa mengucap apa2 dan hamba yg membantu tdi diam sanbil berfikir adakh perbuatanya satu dosa..."

Membaca mesej ini, saya beristighfar panjang. saya menangis dan sedih. Menangis atas peristiwa sekitar 7 atau 8 tahun yang lalu, saya sudah lupa tahunnya dengan tepat. Saya sedih kerana orang ingat kesilapan saya dan semacam berdendam dengan saya. Lama dia menyimpan perasaan itu kepada saya. Tidak tahulah dia sendiri yang membantu saya suatu ketika dulu atau dia sekadar memberitakan perasaan orang lain kepada saya. Saya tahu dan faham apa yang ditulis "hamba Allah" ini mengenai seorang yg dibantu satu ketika dahulu...;

"kadang2 apa yg kita buat ikhlas tapi salah pada pandangan org..teringat saya pada seorang hamba allah yg cuba membantu seorang hamba yg terkena sengat kala jengking hamba allah yg membantu ni hanya berpakaian selekeh dan yg di bantu pula berjubah dan berserban setelah selesai hamba yg membantu tdi duduk di tmptnya dan yg dibantu cuma tngk tanpa mengucap apa2 dan hamba yg membantu tdi diam sanbil berfikir adakh perbuatanya satu dosa..."
Bermacam-macam gangguan fikiran dibenak saya; Inilah bisikan hati saya ketika mula-mula membaca mesej itu,
"Kalau betul hamba Allah itu ikhlas mengapa dia rasa melakukan dosa? Dosa-pahala itukan milik Allah, Allah SWT akan membalasnya dengan lebih baik lagi atau sebaliknya. Bahkan orang yang jd mangsa itu pasti ingat dan sentiasa berdoa agar orang yg baik itu mendapat ganjaran yg lebih baik lagi. ~sangat besar kebencian orang yg menolong kepada orang yg ditolong, sehingga mengungkit pertolongannya tidak dibalas dengan terima kasih. sehingga merasa pertolongannya satu dosa.Apa kaitannya pakai baju selekeh dengan pakai jubah/kopiah? Apakah sekadar mahu beri gambaran buruk kepada orang itu. Syukurlah Allah tunjuk kebenaran akan hal ini setelah bertahun2 peristiwa ini berlaku. Kalau perbuatan org kena gigit kala itu salah, maaflah. Kalau rasa tidak berterima kasih, terima kasih. Tp Allah SWT tu Maha Mengetahui atas segalanya. Usahlah rasa terkilan. Allah SWT tidak mengsia2kan amalan baik hambaNYa. ~ kalau orang yg dalam kemalangan atau ditimpa keburukan, haruskan orang yang memberi pertolongan itu berfikir pertolongannya sia-sia, kerana tidak diucap terima kasih serta merta saat itu."
Saya membalasnya; tapi tiada pula respon dia kepada saya;
"saya masih ingat saat saya digigit kala jengking dan dibantu oleh hamba Allah yang saya tidak kenali pada beberapa tahun yg lalu. Sampai hari ini pun saya terfikir siapa org yg bantu saya malam tersebut. Boleh jadi saya terkejut dengan peristiwa tersebut, saya terlupa mengucapkan terima kasih kepadanya. Kalaulah tuan yg membantu saya, saya ucapkan terima kasih atas bantuan yg saya tidak minta. Hanya Allah SWT yg layak membalas kebaikan tuan. Allah mentaqdirkan pertolongan Allah itu daripada tuan. Syukur kepadaNya.Saya ada bertanya dan bercerita kepada org Teku, tp mereka tidak tahu peristiwanya. Kalau tuan kenal atau tuan sendiri yg membantu saya , saya sekali lg ingin ucapkan terima kasih. Kalau tuan rasa terkilan dengan sikap saya, saya bukan manusia maksum. Boleh buat silap kepada sesiapa saja. Sekali lg saya mohon maaf. sifat ego dan sombong itu bukan saya, dan bukan sikap orang2 beriman. Terima kasih juga atas peringatan."
Mengapa perlu rasa berdosa kerana membantu orang lain? Kalau boleh tidak mahu menyusahkan orang lain, tapi keperluan hidup ini terpaksa menyusahkan orang lain juga. Sampai mati pun terpaksa orang hidup bersusah-payah kepadanya. Kepada mereka yang saya sudah susahkan, berniatlah itu sebagai amal soleh dan sedekah jariah untuk diri sendiri semasa kita masih hidup. Usah merasa bersalah dan berdosa. Rasanya setiap inci langkah kehidupan kita akan saling susah dan menyusahkan kerana keperluan kita untuk saling memerlukan. Ya, Allah, ampunkanlah segala kesilapan dan kekhilafanku, ampunkan juga "hamba Allah" yang aku tidak kenalinya, balaslah kebaikannya dengan sebaik-baik ganjaran kebaikan. Ya Allah, tidak ada sedikitpun dalam hatiku perasaan ego dan sombong sesama manusia. Jika ada yang engkau ketahui dan aku tidak ketahui, janganlah engkau hisab ke atasku ya Allah. Ampunkan dosaku, sesungguhnya Engkau tuhan yang Maha Pengasih Lagi Maha Pengampun...Amiin, ya rabbal 'aalamiin.

 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |