Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Showing posts with label Kuliah Agama. Show all posts
Showing posts with label Kuliah Agama. Show all posts

Wednesday, June 12, 2013

Setelah Setahun Berlalu

Malam semalam (Selasa malam Rabu), saya memulakan kuliah mingguan saya di Surau Darul Firdaus, Sibu setelah setahun "berehat" dari sebarang kuliah di sini.

Kuliah terbaru ini saya mulakan dengan menghangatkan kembali para jamaah dengan tajuk Puasa Ramadhan, menggunakan kitab "Fiqh Manhaji" sebagai kitab rujukan para jamaah yang hadir. Ini bersesuaian kerana sekarang sudah masuk bulan Syaaban dan tidak lama lagi akan hadir bulan Ramadhan pula.

Semoga kita dipanjangkan umur sehingga dapat bersua kembali dengan bulan Ramadahan yang penuh dengan keberkatan itu, in syaa Allah.

Saya mendoakan agar kuliah kali ini mendapat sambutan masyarakat setempat, In syaa Allah. Sementara itu kuliah mingguan saya di Masjid Darul Halim, Sibu pada hari Isnin malam Selasa masih berterusan. Alhamdulillah.

Thursday, October 18, 2012

AMANAH ITU KETAATAN KEPADA ALLAH SWT

KULIAH SUBUH;
Oleh Ustaz MOHD ISA BIN MAT DAUD


Firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Maksudnya:
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab ( amanah ) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan”.
( Surah Al-Ahzaab; Ayat 72)

Tuan-tuan sekalian;

Saya memetik di dalam tafsir Ibnu Kathir; Al-‘Ufi berkata bahawa Ibnu Abbas meriwayatkan dengan katanya: Amanah itu ialah ketaatan. Dan Ali bin Abi Talhah pula berkata bahawa Ibnu Abbas berkata: “ Amanah itu ialah Kefarduan atau Kewajipan’’ Sesiapa yang melaksanakannya akan memperolehi (Al-Fadhl) yakni kemuliaan , (As-Thawaab) yakni ganjaran pahala dan (Al-Jannah) yakni Syurga dan sesiapa yang ingkar derhaka akan beroleh seksa ( I’qaab) dan di masukkan ke dalam neraka (An-Nar).

Apabila Allah SWT mencipta segala maklukNya lalu menghimpunkan mereka lantas membentangkan amanah ini kepada mereka; kesemuanya enggan menerima amanah tersebut sehinggalah Allah SWT memanggil Nabi Adam lalu Allah bertanya kepada Adam. “Sanggupkah kamu menerima amanah daripadaku iaitu apabila kamu berbuat baik aku ampunkan kamu dan jika engkau berbuat kejahatan aku jatuhkan siksaan ke atas kamu“. Lalu Adam menerimanya.

Berkata langit “Aku enggan menerimanya kerana aku dan penghuniku tidak berhajat kepada dosa dan pahala dan tidak pula menerima kefarduan. Sedangkan kami dijadikan dalam keadaan tunduk kepadaMu sepenuhnya” Begitulah juga jawapan yang diberikan oleh bumi, bukit-bukau dan juga gunung ganang.

Tuan-tuan yang dirahmati Allah SWT;

Jelas di sini keistimewaan manusia dan jin yang dianugerahkan kepada mereka dengan akal fikiran menyebabkan mereka diistimewakan ke atas makhluk lain. Orang yang hebat pasti tanggungjawab ke atasnya pun hebat bersesuaian dengan kebolehannya. Allah memfardukan sesuatu perintah mengikut kemampuan hambaNya itu sendiri sebagaimana yang Allah jelaskan di dalam ayat terakhir dari surah Al-Baqarah: ” Tidak Kami bebankan seseorang itu melainkan menurut kemampuannya”. Keupayaan akal inilah yang menyebabkan manusia memiliki kelayakan untuk menerima amanah. Kemampuan untuk memilih di antara yang baik dan yang buruk. Kebolehan mengenal yang hak (benar) dan yang bathil (salah). Kemampuan untuk bersyukur ataupun kufur. Semuanya terletak dalam kehendak hamba itu sendiri.

Tuan-tuan sekalian;

Kita saban hari salah guna nikmat Allah SWT. Mata suka tengok yang haram. Telinga suka dengar yang haram. Nafsu cenderung melakukan yang haram. Hati suka merasakan yang haram. Akal suka memikirkan yang haram. Macam-macam lagi keseronokan yang tuhan larang kita suka. Allah Maha Mengetahui kecenderungan manusia. Kerana Allah SWT sendiri menegaskan bahawa nafsu itu suka kepada yang haram. Sebab itu Allah SWT menyifat manusia itu zalim lagi jahil.

Biarpun sifat manusia yang suka melakukan kerja-kerja yang menjatuhkan mereka dalam lembah kejahilan dan kezaliman kepada diri sendiri; manusia itu tidak suka kepada kesusahan dan kesengsaraan. Mereka mahukan kenikmatan dan kebahagiaan. Jiwa yang kotor tidak mungkin berasa bahagia. Sehinggalah kesengsaraan demi kesengsaraan bersarang dan berlapis-lapis dalam jiwa mereka.

Pada masa itu tiada jalan lagi bagi manusia melainkan kembali kepada mengingati tentang amanah yang telah mereka itu berjanji di atasnya. Iaitu untuk kembali taat dan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Hanya air mata keinsafan yang dapat menyuci jiwa mereka.

Benarlah tuan-tuan sekalian akan firman Allah SWT;

Maksudnya:
"Demi Jiwa dan penciptaannya. (Allah) mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)". ( Surah As-Syams; ayat 7-10)
Allah SWT Maha Mengetahui bahawa manusia itu sanyat suka berlaku zalim dan bertindak atas kejahilan. Jadi Allah SWT tidak membebankan manusia dengan kebolehan akal semata-mata tetapi diberi hidayah dan bimbingan wahyu. Allah utuskan kepada mereka Nabi dan Rasul serta para ulamak sebagai pewaris kepada nabi dan rasul. Manusia dibimbing dan diasuh dengan ilmu pengetahuan. Menjadikan setiap langkah perjalanan hidupnya sebagai pengalaman hidup dan pengajaran yang berguna supaya manusia itu dapat memilih jalan-jalan kebaikan yang menyampaikannya kepada Syurga dan keampunan dan Rahmat Allah SWT. Jika ada yang tersilap langkah diberiNya peluang untuk kembali dan bertaubat lalu diampunkan dosa-dosanya.

Allah SWT menciptakan kita bukan untuk diazab atau untuk disia-siakan. Matlamat penciptaan Jin dan manusia itu ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Az-Zariyat; Ayat 56. Maka jika kita melakukan maksiat kepada Allah, kita sudah berlaku zalim kepada diri kita sendiri. Selayaknya Allah memurkai kita dan mengazabkan kita jika Dia mengkehendaki.

Oleh itu; janganlah kita tersalah memilih haluan hidup. Sebab kita semua akan ditanya setiap amanah yang Allah bagikan kepada kita. Kita semua tidak akan terlepas daripada soal jawab ini. Beringat-ingatlah sebelum terlambat.

Buat akhirnya suka saya menbacakan firman Allah SWT: Maksudnya;
"Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat. Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (Dalam pada itu), Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang". ( Surah Al-Insaan; Ayat 2-4 )

Sekian. Wabillahit Taufiq. Wassalam.


Monday, December 13, 2010

Bertatih Dalam Bidang Dakwah Dan Kuliah Agama Di Sibu

Pejam celek sudah hampir genap 11 tahun perjalanan dakwah saya di bumi Sibu ini. Namun bagi setengah orang yang baru hadir ke kuliah saya, baru saja kenal dan ada yang baru pertama kali dengar kuliah saya. Begitulah hakikat bertatihnya dakwah islamiah di sini. Kecenderungan umat Islam Sibu untuk mencari dan mendalami ilmu agama jauh ketinggalan dan terkebelakang sama sekali. Mereka tidak suka ke masjid atau surau untuk tujuan menuntut ilmu. Sangat malas berusaha menjejak ilmu dan majlisnya. Bila ditanya perihal masjid surau di kawasan masing-masing ramai yang tidak tahu perkembangannya. Yang terlebih malang lagi, surau dan masjid sendiri menjadi penghalang kepada majlis ilmu sehingga ahli masyarakat tersangat dingin untuk ke surau dan masjid.

Ustaz Mohd Isa menyampaikan tazkirah kepada pelajar-pelajarnya di Masjid An-Nadwah

Dalam satu-satu majlis ilmu tidak lebih dari 10 orang kekadangnya yang hadir. 3 atau 4 orang pun ada. Itupun mereka yang hadir (orang tempatan) adalah mereka yang sudah masuk dalam usia emas., sedikit sangat yang muda-muda. Dan jika disemak, mereka  yang suka hadir ke majlis ilmu berbentuk kuliah kebanyakannya bukan orang Sibu sebaliknya ramai daripada mereka yang asalnya dari Semenanjung Malaysia yang berkhidmat atau yang berkahwin dengan orang sini.  Sementara orang yang menjadi penyampai ilmu pula beberapa orang daripada ustaz Indonesia yang dijemput untuk menyampaikan kuliah dan para ustaz Semenanjung yang berkhidmat di sini. Sementara orang Sibu Sarawak sendiri sukar untuk kelihatan memberi khidmat bakti kepada masyarakatnya dalam usaha menyampaikan ilmu Allah SWT. Kalau ada pun sekadar penceramah sekali sekala apabila ada sempena-sempena sambutan tertentu seperti Sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan upacara tradisi. Namun usaha menggerakkan kuliah agama di surau dan masjid cukup menyedihkan. Jelasnya surau dan masjid sekadar tempat solat sahaja itupun berapa orang saja yang hadir berjamaah pada satu-satu masa. Mendukacitakan.... Mungkin kurangnya tenaga pengajar tempatan menjadi faktor kenapa orang tempatan tidak suka hadir majlis ilmu ini. Persoalannya, ke manakah perginya para ilmuan tempatan dalam usaha mereka dalam mengembangkan ilmu Allah yang luas di masjid dan surau secara tetap dan istiqamah?

Maka peranan para ilmuan Islam dan pemimpin masyarakat setempat sangat ditagih untuk membina budaya cinta ilmu di kalangan ahli masyarakat. Banyak surau dan masjid yang saya singgah untuk solat atau hadir memberi kuliah, ramai yang bersungut tentang perkara yang sama. "Ustaz, seramai inilah kami yang ada. Dekat sini tidak kurang daripada 60 buah rumah keluarga orang Islam, tapi dalam satu-satu solat berjamaah, dua tiga orang yang datang. Kalau Subuh, Zohor dan asar boleh dikatakan kadang-kadang tu seorang atau dua orang sahaja". Begitulah rungutan yang selalu saya dengar apabila singgah di satu-satu tempat bila bertanya tentang solat berjamaah. Dan bila ditanya tentang majlis ilmu, mereka menunjukkan isyarat sebagai tanda dukacita.

Menyampaikan tazkirah di rumah-rumah; turut hadir Ustaz Wan Abdillah

Pada saya ini adalah kegagalan terbesar pemerintah yang ada kini dalam membina budaya hidup rakyat yang hari ini tidak minat kepada majlis ilmu agama di masjid atau surau. Berbanding majlis kemasyarakatan dan adat jauh lebih mendapat sambutan dan sangat-sangat diraikan. Budaya berhibur ini adalah bukti sebenar bahawa mereka tidak di dorong kepada cinta ilmu sebaliknya lebih kepada adat budaya. Akhirnya majlis-majlis agama terhenti pada binaan adat resam dan pengamalan orang-orang tua sahaja seperti berdikir, berzanji, bertadarrus, bertahlil dan bacaan yaa siin sahaja. Selebihnya mereka kaku dan jahil dalam banyak perkara. Apabila diadakan kuliah agama, tazkirah  dan kelas-kelas formal yang menjurus kepada ketekunan menuntut ilmu dan pengamalan secara berjamaah dalam ibadat-ibadat khusus, mereka mula berganjak ke belakang dan tidak ada kesungguhan lagi.


Lebih malang lagi jika ada pihak yang menegur mereka, mereka cepat terasa apatah lagi para ustaz kita adalah pendatang di sini, mereka anggap orang luar pula yang cuba memecah-belahkan keharmonian hidup mereka sekian lama hidup atas kesefahaman adat resam yang di saluti agama tradisi itu. Maka perubahan yang hendak kita bawa terbantuk dan terhalang begitu saja. Awal-awal lagi mereka sudah menolaknya bahkan orang yang hendak membetul keadaan tadi menjadi musuhnya.  Mahu diharapkan kepada orang tempatan, siapa pula orangnya? Belum ada watak berkesan yang kelihatan bersungguh-bersungguh dan secara konsisten mendidik umat kepada pemahaman ilmu agama yang sebenar, berganjak dari amalan tradisi kepada penghayatan hidup bersendikan agama atau lebih tepatnya hidup bersyariah.

Oleh itu saya berharap kepada umat Islam Sibu agar menjadikan Hijrah kali ini sebagai titik perubahan mencari hakikat dengan mengenal makrifat bukannya terus hanyut dalam buaian budaya dan adat resam yang dipesakai oleh orang-orang tua . Islam itu bukan hanya untuk majlis-majlis tradisi sebegitu sebaliknya ia adalah cara hidup yang mesti dihayati dalam seluruh lapangan kehidupan. Bukalah mata dan hati untuk mendekati majlis-majlis agama dan perbanyakkan lagi ruang untuk ilmu itu agar ia mampu meresap masuk dalam segenap sudut kehidupan.

Halaqah-halaqah kecil di rumah merupakan usaha yang sangat murni
Langkah sesetengah pihak yang menjadikan rumah-rumah mereka menggantikan masjid dan surau untuk dijadikan markaz kuliah adalah satu usaha yang sangat murni. Ini kerana sesetengah tempat, masjid dan surau dijadikan tempat untuk solat dan membaca al-Quran sahaja sebaliknya kuliah dan majlis agama tidak dianjurkan atau mati disitu. Jika ada pihak yang menjadikan ruang masjid dan surau sebagai ruang pencarian ilmu, mereka ini dianggap mengganggu ketenteraman orang lain yang datang untuk beribadah. Pada mereka masjid adalah tempat ibadah khusus dan kalau ada ceramah yang datang secara resmi dari jabatan tertentu, majlis agama barulah dibenarkan. Kuliah-kuliah lain dilarang sama sekali kerana ketiadaan tauliah dan sebagainya. Prasangka buruk cukup hebat kepada sebarang kuliah agama yang diadakan oleh pihak yang lain daripada pihak berwajib.

Akhirnya masyarakat Sibu perlu kembali kepada seruan Allah SWT agar mereka sedar akan tugas dan fungsi mereka yang sebenar. Perhatikanlah kepada maksud hadis-hadis berikut bagi memperlihatkan betapa ketinggian ilmu dan kelebihan orang yang menuntut ilmu dan juga berdampingan dengan alim ulama atau majlisnya.

1. Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntut ilmu adalah pendekatan diri kepada Allah Azza wajalla, dan mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sodaqoh. Sesungguhnya ilmu pengetahuan menempatkan orangnya, dalam kedudukan terhormat dan mulia (tinggi). Ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan di akhirat. (HR. Ar-Rabii')

2. Wahai Aba Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah lebih baik bagimu daripada shalat (sunnah) seratus rakaat, dan pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan baik dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik daripada shalat seribu raka'at. (HR. Ibnu Majah)

3. Menuntut ilmu wajib atas tiap muslim (baik muslimin maupun muslimah). (HR. Ibnu Majah)

4. Tuntutlah ilmu dan belajarlah (untuk ilmu) ketenangan dan kehormatan diri, dan bersikaplah rendah hati kepada orang yang mengajar kamu. (HR. Ath-Thabrani)

5. Janganlah kalian menuntut ilmu untuk membanggakannya terhadap para ulama dan untuk diperdebatkan di kalangan orang-orang bodoh dan buruk perangainya. Jangan pula menuntut ilmu untuk penampilan dalam majelis (pertemuan atau rapat) dan untuk menarik perhatian orang-orang kepadamu. Barangsiapa seperti itu maka baginya neraka ... neraka. (HR. Tirmidzi dan Ibnu Majah)

6. Kelebihan seorang alim (ilmuwan) terhadap seorang 'abid (ahli ibadah) ibarat bulan purnama terhadap seluruh bintang. (HR. Abu Dawud )

7. Barangsiapa merintis jalan mencari ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke surga. (HR. Muslim)

8. Duduk bersama para ulama adalah ibadah. (HR. Ad-Dailami)

9. Apabila kamu melewati taman-taman surga, minumlah hingga puas. Para sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apa yang dimaksud taman-taman surga itu?" Nabi Saw menjawab, "Majelis-majelis taklim." (HR.Ath-Thabrani)

10. Apabila muncul bid'ah-bid'ah di tengah-tengah umatku wajib atas seorang 'alim menyebarkan ilmunya (yang benar). Kalau dia tidak melakukannya maka baginya laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia. Tidak akan diterima sodaqohnya dan kebaikan amalannya. (HR.Ar-Rabii')

11. Barangsiapa ditanya tentang suatu ilmu lalu dirahasiakannya maka dia akan datang pada hari kiamat dengan kendali (di mulutnya) dari api neraka. (HR. Abu Dawud)

12. Seorang alim apabila menghendaki dengan ilmunya keridhoan Allah maka dia akan ditakuti oleh segalanya, dan jika dia bermaksud untuk menumpuk harta maka dia akan takut dari segala sesuatu. (HR. Ad-Dailami)

13. Yang aku takuti terhadap umatku ialah pemimpin-pemimpin yang menyesatkan. (HR. Abu Dawud)

14. Yang aku takuti terhadap umatku ada tiga perbuatan, yaitu kesalahan seorang ulama, hukum yang zalim, dan hawa nafsu yang diperturutkan. (HR. Asysyihaab)

15. Celaka atas umatku dari ulama yang buruk. (HR. Al Hakim)

16. Barangsiapa dimintai fatwa sedang dia tidak mengerti maka dosanya adalah atas orang yang memberi fatwa. (HR. Ahmad)

17. Orang yang paling pedih siksaannya pada hari kiamat ialah seorang alim yang Allah menjadikan ilmunya tidak bermanfaat. (HR. Al-Baihaqi)

18. Apabila kamu melihat seorang ulama bergaul erat dengan penguasa maka ketahuilah bahwa dia adalah pencuri. (HR. Ad-Dailami)

19. Seorang ulama yang tanpa amalan seperti lampu membakar dirinya sendiri (Berarti amal perbuatan harus sesuai dengan ajaran-ajarannya). (HR. Ad-Dailami)

20. Termasuk mengagungkan Allah ialah menghormati (memuliakan) ilmu, para ulama, orang tua yang muslim dan para pengembang Al Qur'an dan ahlinya, serta penguasa yang adil. (HR. Abu Dawud dan Aththusi)

21. Sesungguhnya Allah tidak menahan ilmu dari manusia dengan cara merenggut tetapi dengan mewafatkan para ulama sehingga tidak lagi tersisa seorang alim. Dengan demikian orang-orang mengangkat pemimpin-pemimpin yang dungu lalu ditanya dan dia memberi fatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan. (Mutafaq'alaih)

22. Sedikit ilmu lebih baik dari banyak ibadah. Cukup bagi seorang pengetahuan fiqihnya jika dia mampu beribadah kepada Allah (dengan baik) dan cukup bodoh bila seorang merasa bangga ('ujub) dengan pendapatnya sendiri. (HR. Ath-Thabrani)

23. Maafkanlah dosa orang yang murah hati, kekeliruan seorang ulama dan tindakan seorang penguasa yang adil. Sesungguhnya Allah Ta'ala membimbing mereka apabila ada yang tergelincir. (HR. Bukhari)

24. Saling berlakulah jujur dalam ilmu dan jangan saling merahasiakannya. Sesungguhnya berkhianat dalam ilmu pengetahuan lebih berat hukumannya daripada berkhianat dalam harta. (HR. Abu Na'im)

Wallahu A'lamu Bis Sowaab.
 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |