Pejam celek sudah hampir genap 11 tahun perjalanan dakwah saya di bumi Sibu ini. Namun bagi setengah orang yang baru hadir ke kuliah saya, baru saja kenal dan ada yang baru pertama kali dengar kuliah saya. Begitulah hakikat bertatihnya dakwah islamiah di sini. Kecenderungan umat Islam Sibu untuk mencari dan mendalami ilmu agama jauh ketinggalan dan terkebelakang sama sekali. Mereka tidak suka ke masjid atau surau untuk tujuan menuntut ilmu. Sangat malas berusaha menjejak ilmu dan majlisnya. Bila ditanya perihal masjid surau di kawasan masing-masing ramai yang tidak tahu perkembangannya. Yang terlebih malang lagi, surau dan masjid sendiri menjadi penghalang kepada majlis ilmu sehingga ahli masyarakat tersangat dingin untuk ke surau dan masjid.
Ustaz Mohd Isa menyampaikan tazkirah kepada pelajar-pelajarnya di Masjid An-Nadwah |
Dalam satu-satu majlis ilmu tidak lebih dari 10 orang kekadangnya yang hadir. 3 atau 4 orang pun ada. Itupun mereka yang hadir (orang tempatan) adalah mereka yang sudah masuk dalam usia emas., sedikit sangat yang muda-muda. Dan jika disemak, mereka yang suka hadir ke majlis ilmu berbentuk kuliah kebanyakannya bukan orang Sibu sebaliknya ramai daripada mereka yang asalnya dari Semenanjung Malaysia yang berkhidmat atau yang berkahwin dengan orang sini. Sementara orang yang menjadi penyampai ilmu pula beberapa orang daripada ustaz Indonesia yang dijemput untuk menyampaikan kuliah dan para ustaz Semenanjung yang berkhidmat di sini. Sementara orang Sibu Sarawak sendiri sukar untuk kelihatan memberi khidmat bakti kepada masyarakatnya dalam usaha menyampaikan ilmu Allah SWT. Kalau ada pun sekadar penceramah sekali sekala apabila ada sempena-sempena sambutan tertentu seperti Sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan upacara tradisi. Namun usaha menggerakkan kuliah agama di surau dan masjid cukup menyedihkan. Jelasnya surau dan masjid sekadar tempat solat sahaja itupun berapa orang saja yang hadir berjamaah pada satu-satu masa. Mendukacitakan.... Mungkin kurangnya tenaga pengajar tempatan menjadi faktor kenapa orang tempatan tidak suka hadir majlis ilmu ini. Persoalannya, ke manakah perginya para ilmuan tempatan dalam usaha mereka dalam mengembangkan ilmu Allah yang luas di masjid dan surau secara tetap dan istiqamah?
Maka peranan para ilmuan Islam dan pemimpin masyarakat setempat sangat ditagih untuk membina budaya cinta ilmu di kalangan ahli masyarakat. Banyak surau dan masjid yang saya singgah untuk solat atau hadir memberi kuliah, ramai yang bersungut tentang perkara yang sama. "Ustaz, seramai inilah kami yang ada. Dekat sini tidak kurang daripada 60 buah rumah keluarga orang Islam, tapi dalam satu-satu solat berjamaah, dua tiga orang yang datang. Kalau Subuh, Zohor dan asar boleh dikatakan kadang-kadang tu seorang atau dua orang sahaja". Begitulah rungutan yang selalu saya dengar apabila singgah di satu-satu tempat bila bertanya tentang solat berjamaah. Dan bila ditanya tentang majlis ilmu, mereka menunjukkan isyarat sebagai tanda dukacita.
Menyampaikan tazkirah di rumah-rumah; turut hadir Ustaz Wan Abdillah |
Pada saya ini adalah kegagalan terbesar pemerintah yang ada kini dalam membina budaya hidup rakyat yang hari ini tidak minat kepada majlis ilmu agama di masjid atau surau. Berbanding majlis kemasyarakatan dan adat jauh lebih mendapat sambutan dan sangat-sangat diraikan. Budaya berhibur ini adalah bukti sebenar bahawa mereka tidak di dorong kepada cinta ilmu sebaliknya lebih kepada adat budaya. Akhirnya majlis-majlis agama terhenti pada binaan adat resam dan pengamalan orang-orang tua sahaja seperti berdikir, berzanji, bertadarrus, bertahlil dan bacaan yaa siin sahaja. Selebihnya mereka kaku dan jahil dalam banyak perkara. Apabila diadakan kuliah agama, tazkirah dan kelas-kelas formal yang menjurus kepada ketekunan menuntut ilmu dan pengamalan secara berjamaah dalam ibadat-ibadat khusus, mereka mula berganjak ke belakang dan tidak ada kesungguhan lagi.
Lebih malang lagi jika ada pihak yang menegur mereka, mereka cepat terasa apatah lagi para ustaz kita adalah pendatang di sini, mereka anggap orang luar pula yang cuba memecah-belahkan keharmonian hidup mereka sekian lama hidup atas kesefahaman adat resam yang di saluti agama tradisi itu. Maka perubahan yang hendak kita bawa terbantuk dan terhalang begitu saja. Awal-awal lagi mereka sudah menolaknya bahkan orang yang hendak membetul keadaan tadi menjadi musuhnya. Mahu diharapkan kepada orang tempatan, siapa pula orangnya? Belum ada watak berkesan yang kelihatan bersungguh-bersungguh dan secara konsisten mendidik umat kepada pemahaman ilmu agama yang sebenar, berganjak dari amalan tradisi kepada penghayatan hidup bersendikan agama atau lebih tepatnya hidup bersyariah.
Oleh itu saya berharap kepada umat Islam Sibu agar menjadikan Hijrah kali ini sebagai titik perubahan mencari hakikat dengan mengenal makrifat bukannya terus hanyut dalam buaian budaya dan adat resam yang dipesakai oleh orang-orang tua . Islam itu bukan hanya untuk majlis-majlis tradisi sebegitu sebaliknya ia adalah cara hidup yang mesti dihayati dalam seluruh lapangan kehidupan. Bukalah mata dan hati untuk mendekati majlis-majlis agama dan perbanyakkan lagi ruang untuk ilmu itu agar ia mampu meresap masuk dalam segenap sudut kehidupan.
Halaqah-halaqah kecil di rumah merupakan usaha yang sangat murni |
Akhirnya masyarakat Sibu perlu kembali kepada seruan Allah SWT agar mereka sedar akan tugas dan fungsi mereka yang sebenar. Perhatikanlah kepada maksud hadis-hadis berikut bagi memperlihatkan betapa ketinggian ilmu dan kelebihan orang yang menuntut ilmu dan juga berdampingan dengan alim ulama atau majlisnya.
1. Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntut ilmu adalah pendekatan diri kepada Allah Azza wajalla, dan mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sodaqoh. Sesungguhnya ilmu pengetahuan menempatkan orangnya, dalam kedudukan terhormat dan mulia (tinggi). Ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan di akhirat. (HR. Ar-Rabii')
2. Wahai Aba Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah lebih baik bagimu daripada shalat (sunnah) seratus rakaat, dan pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan baik dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik daripada shalat seribu raka'at. (HR. Ibnu Majah)
3. Menuntut ilmu wajib atas tiap muslim (baik muslimin maupun muslimah). (HR. Ibnu Majah)
4. Tuntutlah ilmu dan belajarlah (untuk ilmu) ketenangan dan kehormatan diri, dan bersikaplah rendah hati kepada orang yang mengajar kamu. (HR. Ath-Thabrani)
5. Janganlah kalian menuntut ilmu untuk membanggakannya terhadap para ulama dan untuk diperdebatkan di kalangan orang-orang bodoh dan buruk perangainya. Jangan pula menuntut ilmu untuk penampilan dalam majelis (pertemuan atau rapat) dan untuk menarik perhatian orang-orang kepadamu. Barangsiapa seperti itu maka baginya neraka ... neraka. (HR. Tirmidzi dan Ibnu Majah)
6. Kelebihan seorang alim (ilmuwan) terhadap seorang 'abid (ahli ibadah) ibarat bulan purnama terhadap seluruh bintang. (HR. Abu Dawud )
7. Barangsiapa merintis jalan mencari ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke surga. (HR. Muslim)
8. Duduk bersama para ulama adalah ibadah. (HR. Ad-Dailami)
9. Apabila kamu melewati taman-taman surga, minumlah hingga puas. Para sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apa yang dimaksud taman-taman surga itu?" Nabi Saw menjawab, "Majelis-majelis taklim." (HR.Ath-Thabrani)
10. Apabila muncul bid'ah-bid'ah di tengah-tengah umatku wajib atas seorang 'alim menyebarkan ilmunya (yang benar). Kalau dia tidak melakukannya maka baginya laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia. Tidak akan diterima sodaqohnya dan kebaikan amalannya. (HR.Ar-Rabii')
11. Barangsiapa ditanya tentang suatu ilmu lalu dirahasiakannya maka dia akan datang pada hari kiamat dengan kendali (di mulutnya) dari api neraka. (HR. Abu Dawud)
12. Seorang alim apabila menghendaki dengan ilmunya keridhoan Allah maka dia akan ditakuti oleh segalanya, dan jika dia bermaksud untuk menumpuk harta maka dia akan takut dari segala sesuatu. (HR. Ad-Dailami)
13. Yang aku takuti terhadap umatku ialah pemimpin-pemimpin yang menyesatkan. (HR. Abu Dawud)
14. Yang aku takuti terhadap umatku ada tiga perbuatan, yaitu kesalahan seorang ulama, hukum yang zalim, dan hawa nafsu yang diperturutkan. (HR. Asysyihaab)
15. Celaka atas umatku dari ulama yang buruk. (HR. Al Hakim)
16. Barangsiapa dimintai fatwa sedang dia tidak mengerti maka dosanya adalah atas orang yang memberi fatwa. (HR. Ahmad)
17. Orang yang paling pedih siksaannya pada hari kiamat ialah seorang alim yang Allah menjadikan ilmunya tidak bermanfaat. (HR. Al-Baihaqi)
18. Apabila kamu melihat seorang ulama bergaul erat dengan penguasa maka ketahuilah bahwa dia adalah pencuri. (HR. Ad-Dailami)
19. Seorang ulama yang tanpa amalan seperti lampu membakar dirinya sendiri (Berarti amal perbuatan harus sesuai dengan ajaran-ajarannya). (HR. Ad-Dailami)
20. Termasuk mengagungkan Allah ialah menghormati (memuliakan) ilmu, para ulama, orang tua yang muslim dan para pengembang Al Qur'an dan ahlinya, serta penguasa yang adil. (HR. Abu Dawud dan Aththusi)
21. Sesungguhnya Allah tidak menahan ilmu dari manusia dengan cara merenggut tetapi dengan mewafatkan para ulama sehingga tidak lagi tersisa seorang alim. Dengan demikian orang-orang mengangkat pemimpin-pemimpin yang dungu lalu ditanya dan dia memberi fatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan. (Mutafaq'alaih)
22. Sedikit ilmu lebih baik dari banyak ibadah. Cukup bagi seorang pengetahuan fiqihnya jika dia mampu beribadah kepada Allah (dengan baik) dan cukup bodoh bila seorang merasa bangga ('ujub) dengan pendapatnya sendiri. (HR. Ath-Thabrani)
23. Maafkanlah dosa orang yang murah hati, kekeliruan seorang ulama dan tindakan seorang penguasa yang adil. Sesungguhnya Allah Ta'ala membimbing mereka apabila ada yang tergelincir. (HR. Bukhari)
24. Saling berlakulah jujur dalam ilmu dan jangan saling merahasiakannya. Sesungguhnya berkhianat dalam ilmu pengetahuan lebih berat hukumannya daripada berkhianat dalam harta. (HR. Abu Na'im)
Wallahu A'lamu Bis Sowaab.
No comments:
Post a Comment