Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Tuesday, November 06, 2012

Sifat Nifaq Dalam Hati Dan Perbuatan Seseorang

Nota Kuliah Subuh
4 November 2012

Dalam pencarian saya terhadap kata pokok "NAFAQA" terdapat 111 kali sebutan dalam al-Quran pada 86 ayat Al-Quran.. Ia merangkumi maksud bagi nafaqah, infaq, nifaq dan munafiq. Dalam pencarian saya di internet saya singgal di laman blog MENCARI KEBENARAN dan menukilkan perkataan Imam al-Qurthubi dalam menerangkan maksud “Yunfiqun”. Beliau mengatakan bahawa perkataan “nafaqa” ini digunakan dalam berbagai bentuk dan penggunaan antaranya:
 i) – الإنفاق yang bermaksud mengeluarkan harta
 ii) – النافقاء nama kepada lubang arnab atau biawak pasir(dhab) yang digunakan untuk menyelamatkan dirinya ketika lubang utamanya tidak selamat untuk keluar melaluinya.
iii) – المنافق dinamakan seseorang dengan nama munafik kerana dia keluar dari keimanan atau iman keluar dari hatinya.
iv) – السراويل نيفق lubang kaki seluar
 v) – نفق الزاد habis atau binasa bekalannya

Melalui pembacaan, pendengaran dan pemerhatian, tidak kurang daripada 30 sifat yang menjadikan seseorang itu ada sifat nifaq. Pemerhatian ini baik melalui pengalaman hidup apatah lagi penjelasan-penjelasan Allah SWT di dalam Al-Quran mahupun hadis Nabi SAW.

Ayat-ayat ini menjelaskan sifat golongan Minafiqiin atau Munafiqaat. Ada dua jenis sifat munafiq ini;
1) Munafiq Hati (Aqidah/i'tiqadi)
2) Munafiq Perbuatan / Amalan (samada Syariat atau Akhlak)

Munafiq Aqidah

Ada munafiq aqidah yang menyembunyikan kekufuran dalam hati mereka dengan menzahirkan keislaman mereka. Mereka inilah yang menjadi musuh paling berbahaya di zaman Rasulullah SAW yang memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

Merekalah yang disifatkan oleh Allah SWT melalui firmanNya yang bermaksud; "Mereka berkeadaan "muzabzab" (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman). dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka Engkau (Wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya." (An-Nisa ; 143)

Allah SWT menyifatkan mereka sebagai penghuni neraka paling bawah; إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا "Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah (lapisan-lapisan dalam) neraka. dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. (An-Nisa ; 145)

Nifaq penyakit umum masyarakat 

Nifaq ini adalah nifaq ciri-ciri yang ada dalam tingkah laku dan perbuatan seseorang. Boleh jadi ada pada saya dan sesiapa saja. Munafiq ini dinamakan Munafiq Perbuatan.

Semoga mengenali sifat ini kita berusaha menghapuskannya dan ia tidak menjadi parasit dalam batang tubuh kita yang merosakkan diri dan pergaulan kita sesama muslim dan orang ramai yang berada di sekeliling kita.

Saya melewati firman Allah SWT dalam ayat 204 - 206, surah Al-Baqarah maksudnya; Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan Engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa Yang ada Dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu)(204). Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.(205) Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah Engkau kepada Allah" timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan Demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.(206).

Setelah membaca ayat-ayat ini,dapat saya menyenaraikan beberapa ciri Nifaq;

30 Sifat

Pada hemat dan perincian saya terdapat 30 Sifat yang apabila ada pada diri seseorang menjadikannya ada sifat Nifaq;

1. Orang yang hebat pada tuturkatanya sehingga orang terpedaya dengan tipudaya dan janji dunianya.

2. Suka bersumpah dengan nama Allah walau dalam perkara kecil dan bertujuan menyembunyikan pendustaan.  menjadikan sumpah sebagai perisainya.

3. Keras permusuhannya terhadap Nabi dan Islam. Pada zaman sekarang sikap keras ini ditujukan kepada mereka yang berlitima' kepada para daie, jamaah dan harakah Islam.

4. Melemahkan semangat juang orang Islam dan melumpuhkan perancangan mereka dengan mecuri maklumat mereka dan menyerahkan rahsia orang Islam kepada musuhnya

5. Melakukan kerosakkan atas muka bumi atas nama pembangunan padahal mereka sangat berkehendakkan kepada habuan dunia. Slogan mereka pembangunan untuk semua walaupun merosakkan alam sekitar dan membahayakan kehidupan manusia itu sendiri.

 6. Bencikan kerja Taqwa dan Iman. Bahkan mengenggap menghalang mereka daripada memperolehi kehidupan dunia yang mereka dambakan.

7. Bersikap Sombong dan keras hati, bertindak menentang kebenaran

 8. Terus menerus melakukan dosa walaupun diajak untuk bertaubat. Mereka berpaling dan tidak mengendahkan ajakan keampuanan dan taubat.

 9. Bersikap "muzabzabin" dan bermuka-muka dan hipokrik. Bersama orang Islam mereka mengatakan keislaman mereka dan bila bersama golongan kufur; mereka berkata bahawa perkataan mereka besama orang Islam itu hanya permainan lidah sahaja. Dalam surah An-Nisa bermula 143- 145 Allah mendedahkan lagi sifat-sifat mereka ini;

10. Suka berdusta bila berkata-kata. Dalam surah Al-Munafiquun adalah menjelaskan lagi ciri-ciri mereka ini; Firman Allah SWT. إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَكَاذِبُون "Sesungguhnya orang-orang Munafiq itu adalah pendusta (Al-Munafiun ;1)

11. Khianat terhadap amanah. 

12. Melampau batas bila bertengkar dan bergaduh 

13. Memungkiri janji apabila berjanji 

Sifat-sifat ini sangat masyur disebut dalam hadis tanda sifat nifaq.

14. Bermalas-malasan ketika mendirikan solat. Firman Allah SWT;
   وَلَا يَأْتُونَ الصَّلَاةَ إِلَّا وَهُمْ كُسَالَىٰ
 Maksudnya; "Dan tidaklah mereka itu mendirikan solat melainkan dalam keadaan malas". (At-Taubah; 54)

15. Bersedekah dengan hati yang berat dan kikir . Firman allah SWT; وَلَا يُنفِقُونَ إِلَّا وَهُمْ كَارِهُونَ maksudnya; "tidak pula mereka menginfaqkan harta melainkan dalam keadaan penuh kikir dan kebencian" (At-Taubah; 54)

16. Melakukan Kemungkaran dan Mencegah Kebaikan الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُم مِّن بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ Maksudnya; "Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan Yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang Yang fasik.". ( At-Taubah ; 67)

17. Riak dan menunjukkan kebaikannya. Orang munafiq itu kalau berbuat kebaikan dia riak dan mahu orang nampak dan memuji mereka.

18. Tidak memperdulikan kaum muslimin. Perangai ini ditunjukkan oleh orang Madinah yang hadir majlis Rasulullah, mereka datang awal dan berada dihadapan Rasulullah. Apabila ruang penuh sesak datang para sahabat yang berhijrah bersama Rasulullah untuk sama mengikuti pengajaran Rasulullah, mereka tidak mahu memberi ruang. Maka Allah SWT menurunkan ayat dalam surah Al-Mujadilah; ayat 11 menegur perbuatan mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud; "Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.

19. Berbangga dengan keturunan dan puak sendiri. Firman Allah SWT yang maksudnya; "Harta benda mereka dan anak pinak mereka tidak sekali-kali akan dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari azab Allah. merekalah ahli neraka, mereka tetap kekal di dalamnya. (setelah nyata kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadanya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu; dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikian) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa Sesungguhnya merekalah golongan pendusta. (Al-Mujadilah; 17-18)

Dalam surah Al-Munafiquun ayat 7 dan 8 Allah SWT menceritakan perkataan orang Munafiq; "Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah Yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang Yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)". padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun Yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan Dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang Yang munafik itu tidak memahami (hakikat Yang sebenarnya).. Mereka berkata lagi: " Demi sesungguhnya! jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang Yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang Yang hina lagi lemah (pihak Islam)". padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang Yang beriman; akan tetapi golongan Yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).

20. Sedikit berzikir dan gelisah berada dalam majlis zikrullah

21. Mencela orang yang alim dan soleh. Memuji orang yang berharta, berkedudukan. Biasanya dalam usaha mendapat manfaat duniawi.

22. Suka berbisik-bisik dan sebar berita dusta. Firman allah SWT yang bermaksud; "Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang Yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan Dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang Yang beriman berserah diri." ( Al-Mujadilah; 10)

23. Tidak Redha Dengan Takdir Allah SWT dan bersangka buruk terhadap Allah SWT. Firman Allah SWT; "Dan supaya ia menyeksa orang-orang munafik - lelaki dan perempuan, dan orang-orang musyrik - lelaki dan perempuan, Yang menyangka terhadap Allah Dengan sangkaan Yang buruk (bahawa ia akan mengecewakan RasulNya). atas merekalah tertimpanya bala bencana Yang dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka Jahannam; sedang neraka jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (Al-Fath ; 6)

24. Mengasing diri daripada jamaah orang Islam dan meninggalkan solat berjamaah. 25. Gembira dengan musibah dan malapetaka yang menimpa orang lain. "Padan Muka", katanya.

26. Melaga-lagakan orang lain supaya mereka selalu hidup bermusuhan. Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya “Madaarij as-Salikin” mengatakan: “Sesungguhnya Islam telah banyak menderita oleh sebab kejahatan mereka(orang-orang munafik). Mereka menamakan diri mereka Islam, mereka pula berlagak seakan-akan mengangkat martabat Islam dan membela Islam dan memberikan sokongan dan kesetiaan yang padu kepada Islam. Padahal, hakikatnya mereka memusuhi dan berusaha menghancurkan Islam dari dalam. Orang-orang jahil dari ummat Islam menyangka orang-orang munafik ini adalah orang yang cedik lagi pandai dan amat baik perangainya, tetapi hakikat sebenarnya disisi Allah ialah orang-orang munafik ini adalah jahil(bahkan amat-amat jahil) dan ingin merosakkan Islam.

 27. Menyangka semua perkataan ditujukan kepadanya. Orang Munafiq merupakan orang yang sakit hatinya. Mereka selalu mengangkap perkataan orang lain selalunya ingin ditujukan kepadanya. Ini kerana jiwa mereka sarat dengan perkara-perkara yang ingin disembunyikan.Firman Allah dalam surah al-Munafiquun, ayat 4; "dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya, maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka.

28. Meragukan orang lain kepada kebenaran. Mereka sering bertanya, "Awak percayakah kepada kata-katanya? Boleh jadi orang-orang yang beriman itu ingin menipu kamu".

29. Selalunya suka beralasan. Suka berdalih padahal semuanya bertujuan menyelamatkan diri dan menipu orang lain. Seingkali dikaitkan dengan sumpah seperti dijelaskan sebelum ini.

30. Lari daripada medan jihad dan saat-saat kaum muslimin memerlikan tenaga mereka. Bahkan mereka lebih suka menjadi alat kepada musuh Islam.

Rumusan dan Penutup
Semoga sedikit catatan ini dapat membantu kita memperbaiki diri dan diselamatkan oleh Allah SWT daripada golongan Munafiqiin yang sangat berbahaya kepada kehidupan seorang Muslim bahkan menyebabkan kemurkaan Allah SWT seta azabNya yang sangat pedih di hari akhirat nanti.

Saturday, November 03, 2012

Oktober : Sebulan Yang Penuh Pengalaman...

Sebulan mutakhir ini rasa sibuk sangat, tidak menang tangan rasanya menyiapkan kerja-kerja dan tugasan di sekolah dan luar sekolah.  

Bantu PPD dan Mengawas PMR 2012 

Bermula dengan Kem Pemantapan Sahsiah dan Kem Kemanisan Iman bagi pelajar-pelajarr Tingkatan 4 dan 5 seluruh Sekolah Bahagian Sibu, bersambung dengan pengawasan PMR, seterusnya Kursus Penataran PBS untuk pelajar Tingkatan 2 tahun depan.  

Kembali ke Sekolah 

Apabila balik ke sekolah perlu menyiapkan banyak kerja-kerja tertangguh, menyiapkan markah pelajar, Sijil-sijil Ko-kurukulum dan membuat persiapan penyampaian sijil dan anugerah kecemerlangan sekolah pada tahun ini.  

Bantu Masyuarakat Setempat 

Kehadiran Eid Korban, Saya berkesempatan membantu ahli masyarakat melaksanakan tuntutan agama menyembelih binatang korban. Membantu mereka agar mendapat ibadah korban yang sempurna. Banyak juga binatang korban dan aqiqah yang saya tolong sembelihkan. Pada masa yang sama sempat saya mendidik dan melatih beberapa orang rakan ustaz yang kali pertama melakukan sembelihan binatang korban seperti lembu ini.  

Pengalaman Yang Tidak Dapat Kulupakan

Pada hari Raya Korban yang ke dua, saya juga membantu sekumpulan orang yang masuk korban. Masalahnya yang hadir ramai perempuan dan yang lelaki sekitar 5 atau 6 orang pula masing-masing tidak ada pengalaman merebahkan binatang lembu. Salah seorangnya awal-awal lagi bercerita gerun melihat orang sembelihkan binatang. "Kasihan sangat"; katanya. Orang yang berpengalaman langsung tidak diajak. Mereka buat korban untuk aktiviti berkumpulan mereka sahaja. Nak jadi ceritanya, orang kampung ada bertanya apakah mereka perlukan bantuan, namun mereka merasakan boleh laksanakan sendiri. Sudah ada orang yang boleh diharap untuk merebahkan lembu nanti. Jadi orang kampung pun tidaklah membantu mereka pada hari itu. Pada hari sebelum ramai orang datang membantu.

Sementara itu lembu yang mahu dibuat korban itu agak garang, hidung pun tidak dicucuk hanya seutas tali kasar di leher sahaja. Ada dua orang lelaki yang ditugaskan untuk merebah lembu itu. Setelah berusaha tidak dapat ditumbangkan juga binatang tersebut.

Saya yang pagi itu telah melaksanakan beberapa sembelihan di tempat lain, datang untuk membantu sembelihan tersebut namun setelah lama menunggu binatang korban itu masih liar dan tidak dapat dijinakkan lagi. Kehadiran saya pula kerana ingin membantu seorang ustaz yang tidak pernah sekali menyembelih lembu. Ini pengalaman pertamanya. Pada asalnya saya membiarkan saja mereka berusaha. Setelah agak lama menunggu kawan saya meminta untuk saya membantu. Saya pun menghampiri dua orang yang cuba memerangkap lembu tadi ala cowboy. Mereka pasang jerat, membuat gelungan tali untuk menjerut binatang tersebut tapi semuanya gagal.

Terpelanting Hampir Dibelasah Lembu Korban

Setelah saya hampiri mereka, saya dapati hanya satu masalah saja iaitu tali leher lembu itu dibiarkan panjang. Saya memaklumkan supaya tali di leher binatang itu kena tarik supaya hidung binatang itu tersendung ke batang besi yang diikat lembu itu tapi tiada siapa yang berani mendekatinya. Lembu itu garang sekali. Dia sudah mengawal sekelilingnya. Saya cuba memberanikan diri akhirnya lembu itu merengus dan berlari ke arah saya. Kaki saya tetiba berundur ke belakang dan tertanam ke dalam selut lembik. Saya tidak mampu bergerak lagi dan rebah ke belakang. Tetiba lembu itu berhenti. Saya terselamat daripada disondol oleh lembu itu. Habis basah dan comot baju dan seluar saya. Nasib baik juga tiada pisau sembelihan saya di tubuh. Lantas saya mendapat ilham untuk menghalau lembu itu dengan tali dan lembu itu menjauhkan diri kebelakang sehingga saya dapat menarik tali yang mengikat leher lembu tersebut. Lantas saya tarik dan meminta ahli korban itu menarik lembu tersebut sehingga hidungnya rapat dengan tiang besi. Bila lembu itu tersendung begitu saya minta dua orang tolong jerut kaki belakang lembu tersebut barulah ia tumbang. Seberapa segera saya ikat kaki lembu itu depan dan belakangnya.

Inilah pengalaman pertama saya merebahkan lembu. Biasanya saya melaksanakan sembelihan sahaja. Bagi saya ia amat bermakna walaupun saya sedikit cemas pada waktu itu. Akhirnya lembu itu dapat dikorbankan dengan sempurna dengan izin Allah SWT.. Sahabat saya pun dapat melaksanakan tugasan pertamanya menyembelih korban tersebut. Alhamdulillah.

Thursday, October 18, 2012

AMANAH ITU KETAATAN KEPADA ALLAH SWT

KULIAH SUBUH;
Oleh Ustaz MOHD ISA BIN MAT DAUD


Firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Maksudnya:
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab ( amanah ) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan”.
( Surah Al-Ahzaab; Ayat 72)

Tuan-tuan sekalian;

Saya memetik di dalam tafsir Ibnu Kathir; Al-‘Ufi berkata bahawa Ibnu Abbas meriwayatkan dengan katanya: Amanah itu ialah ketaatan. Dan Ali bin Abi Talhah pula berkata bahawa Ibnu Abbas berkata: “ Amanah itu ialah Kefarduan atau Kewajipan’’ Sesiapa yang melaksanakannya akan memperolehi (Al-Fadhl) yakni kemuliaan , (As-Thawaab) yakni ganjaran pahala dan (Al-Jannah) yakni Syurga dan sesiapa yang ingkar derhaka akan beroleh seksa ( I’qaab) dan di masukkan ke dalam neraka (An-Nar).

Apabila Allah SWT mencipta segala maklukNya lalu menghimpunkan mereka lantas membentangkan amanah ini kepada mereka; kesemuanya enggan menerima amanah tersebut sehinggalah Allah SWT memanggil Nabi Adam lalu Allah bertanya kepada Adam. “Sanggupkah kamu menerima amanah daripadaku iaitu apabila kamu berbuat baik aku ampunkan kamu dan jika engkau berbuat kejahatan aku jatuhkan siksaan ke atas kamu“. Lalu Adam menerimanya.

Berkata langit “Aku enggan menerimanya kerana aku dan penghuniku tidak berhajat kepada dosa dan pahala dan tidak pula menerima kefarduan. Sedangkan kami dijadikan dalam keadaan tunduk kepadaMu sepenuhnya” Begitulah juga jawapan yang diberikan oleh bumi, bukit-bukau dan juga gunung ganang.

Tuan-tuan yang dirahmati Allah SWT;

Jelas di sini keistimewaan manusia dan jin yang dianugerahkan kepada mereka dengan akal fikiran menyebabkan mereka diistimewakan ke atas makhluk lain. Orang yang hebat pasti tanggungjawab ke atasnya pun hebat bersesuaian dengan kebolehannya. Allah memfardukan sesuatu perintah mengikut kemampuan hambaNya itu sendiri sebagaimana yang Allah jelaskan di dalam ayat terakhir dari surah Al-Baqarah: ” Tidak Kami bebankan seseorang itu melainkan menurut kemampuannya”. Keupayaan akal inilah yang menyebabkan manusia memiliki kelayakan untuk menerima amanah. Kemampuan untuk memilih di antara yang baik dan yang buruk. Kebolehan mengenal yang hak (benar) dan yang bathil (salah). Kemampuan untuk bersyukur ataupun kufur. Semuanya terletak dalam kehendak hamba itu sendiri.

Tuan-tuan sekalian;

Kita saban hari salah guna nikmat Allah SWT. Mata suka tengok yang haram. Telinga suka dengar yang haram. Nafsu cenderung melakukan yang haram. Hati suka merasakan yang haram. Akal suka memikirkan yang haram. Macam-macam lagi keseronokan yang tuhan larang kita suka. Allah Maha Mengetahui kecenderungan manusia. Kerana Allah SWT sendiri menegaskan bahawa nafsu itu suka kepada yang haram. Sebab itu Allah SWT menyifat manusia itu zalim lagi jahil.

Biarpun sifat manusia yang suka melakukan kerja-kerja yang menjatuhkan mereka dalam lembah kejahilan dan kezaliman kepada diri sendiri; manusia itu tidak suka kepada kesusahan dan kesengsaraan. Mereka mahukan kenikmatan dan kebahagiaan. Jiwa yang kotor tidak mungkin berasa bahagia. Sehinggalah kesengsaraan demi kesengsaraan bersarang dan berlapis-lapis dalam jiwa mereka.

Pada masa itu tiada jalan lagi bagi manusia melainkan kembali kepada mengingati tentang amanah yang telah mereka itu berjanji di atasnya. Iaitu untuk kembali taat dan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Hanya air mata keinsafan yang dapat menyuci jiwa mereka.

Benarlah tuan-tuan sekalian akan firman Allah SWT;

Maksudnya:
"Demi Jiwa dan penciptaannya. (Allah) mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)". ( Surah As-Syams; ayat 7-10)
Allah SWT Maha Mengetahui bahawa manusia itu sanyat suka berlaku zalim dan bertindak atas kejahilan. Jadi Allah SWT tidak membebankan manusia dengan kebolehan akal semata-mata tetapi diberi hidayah dan bimbingan wahyu. Allah utuskan kepada mereka Nabi dan Rasul serta para ulamak sebagai pewaris kepada nabi dan rasul. Manusia dibimbing dan diasuh dengan ilmu pengetahuan. Menjadikan setiap langkah perjalanan hidupnya sebagai pengalaman hidup dan pengajaran yang berguna supaya manusia itu dapat memilih jalan-jalan kebaikan yang menyampaikannya kepada Syurga dan keampunan dan Rahmat Allah SWT. Jika ada yang tersilap langkah diberiNya peluang untuk kembali dan bertaubat lalu diampunkan dosa-dosanya.

Allah SWT menciptakan kita bukan untuk diazab atau untuk disia-siakan. Matlamat penciptaan Jin dan manusia itu ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Az-Zariyat; Ayat 56. Maka jika kita melakukan maksiat kepada Allah, kita sudah berlaku zalim kepada diri kita sendiri. Selayaknya Allah memurkai kita dan mengazabkan kita jika Dia mengkehendaki.

Oleh itu; janganlah kita tersalah memilih haluan hidup. Sebab kita semua akan ditanya setiap amanah yang Allah bagikan kepada kita. Kita semua tidak akan terlepas daripada soal jawab ini. Beringat-ingatlah sebelum terlambat.

Buat akhirnya suka saya menbacakan firman Allah SWT: Maksudnya;
"Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat. Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (Dalam pada itu), Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang". ( Surah Al-Insaan; Ayat 2-4 )

Sekian. Wabillahit Taufiq. Wassalam.


Tuesday, October 16, 2012

Insan - Nota Kuliah Maghrib


Insan Oleh ;  Mohd Isa bin Mat Daud
disampaikan di Primier Hotel Sibu pada 19 Oktober 2012

Muqaddimah
“Kepada diri kamu, Apakah tidak kamu perhatikan?
                                                - Surah Ad-Dzariyat ;21.
 
Sekadar Hiasan - Ihsan Budak Li
Sebaik-baik kejadian
“Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)” Surah At-Tiin; 4.

Dilebihkan anak Adam
“Dan sesungguhnya Kami muliakan anak-anak Adam (manusia) dan Kami berikan mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka atas banyak makhluk yang telah Kami jadikan.” (Al-Israk, ayat 70)

Proses Kejadian Insan
1. Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi ), dan tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut?

2. Sesungguhnya Kami telah aturkan cara penciptaan manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat.

3. Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). Surah Al-Insaan; 1-3.

Kembali ke darjat yang rendah…
“ Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah,”      - Surah At-Tiin; 5.

Sifat-Sifat Rendah…
Degil dan kufur Terhadap Allah SWT
Jiwanya resah-gelisah dan keluh kesah
Bersikap Jahil Lagi Menzalimi Diri
Bersifat Kikir Dan Kedekut
Berhasad dengki dan Melampaui batas

HURAIAN;
Degil, kufur dan tidak bersyukur
“ Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.Dan Sesungguhnya ia (dengan laku dan lagaknya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian . Dan Sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).”
                                                                                                - Surah Al-Aadiyaat; 6-8.
Resah-Gelisah Dan Bakhil
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)”  - Surah al-Balad 4.
 “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut)”.
- Surah al-Ma’aarij: 19.

Bersikap Jahil Lagi Menzalimi Diri
“Sesungguh dia suka menzalimi dan manjahilkan diri”
 Surah Al-Ahzab, ayat 72
i. Manusia itu zalim dengan dirinya dan tidak mengetahui apa yang dipikulnya di antara Allah dan dirinya. 
ii. Zalim terhadap amanah dan jahil tentang hak-haknya.
iii. Manusia itu lalai dari suruhan Allah

Mereka yang sejahtera…
mereka yang mengerjakan solat
mereka yang bersedekah
mereka yang meyakini hari pembalasan
mereka yang menjaga faraj dan kehormatan diri
mereka yang menjaga amanah dan janji
mereka yang menjadi saksi yang adil dan jujur
mereka yang memelihara solat

Firman Allah SWT;
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.”
Surah At-Tiin ; 5

Siapa I. N. S. A. N ?
I =  Integrity (Amanah &
          Pertanggungjawaban)
N = Nation (Semangat Kebangsaan )
S = Social ( Hidup Bermasyarakat )
A = Attitude ( Sikap & Keterampilan )
N = Nature ( Semulajadi)

Huraian;
I =  Integrity (Amanah & Pertanggungjawaban)
“ Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” - Surah al-Dzariyaat ; 56

1. Amanah Sebagai Khalifah
“ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” - Surah an-Nisaa’ ; 58


2. At-Tasliim ila Hukmillah!!!
Firman Allah SWT; “Maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah Engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” - Surah an-Nisaa’ ; 65

3. Qiwamah (Lelaki Menjadi Pemimpin)
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama. Dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.

4. Dosa
“ Dan sesiapa Yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke Dalam api neraka, kekallah Dia di dalamnya, dan baginya azab seksa Yang amat menghina.” - Surah an-Nisaa’ ; 14

5. Pahala
“ Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala Yang amat besar.”- Surah an-Nisaa’ ; 40

N = Nation (Semangat Kebangsaan )
“Dan setiap manusia itu dengan apa yang mereka miliki sangat bergembira”
“Dan dihiaskan bagi manusia itu dengan kesukaan kepada syahwat daripada perempuan-perempuan, anak-pinak, hiasan permata terdiri daripada emas dan perak, kuda-kuda (kenderaan), haiwan ternakan dan kebun-ladang; yang demikian itu adalah perhiasan hidup di dunia. Dan kepada Allahlah sebaik-baik tempat kembali.

S = Social ( Hidup Bermasyarakat )

“ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). Surah al-Hujuraat ; 13

1. BerILTIZAM Dengan Jamaah
Sabda Rasulullah saw
" Sesiapa yang keluar dari jamaah Islam walaupun sejengkal, seolah-olah ianya memutuskan ikatan Islam dari tengkuk nya"
Lalu para sahabat bertanya :
" Wahai Rasulullah bagaimana jika seseorang itu masih bersembahyang dan berpuasa"
Jawab Rasulullah ; "Sekalipun dia bersembahyang dan berpuasa dan orang orang menyeru mereka dengan nama-nama Islam sebagai hamba Allah (sebagai orang Islam)"                                                               -  Riwayat Imam Ahmad bin Hambal

2. Berlemah lembut sesama mukmin
"Wahai orang-orang beriman, barang siapa di kalangan kamu yang murtad dari agamanya maka Allah kelak akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pula mencintai Allah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin dan yang bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurniaan Allah diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui"  Surah Al Maidah: 54

A = Attitude ( Sikap & Keterampilan )

ASK
A = S + K
Attitude = Skill + Knowledge

Firman Allah SWT;
“Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,  Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan,  Ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.”


N = Nature ( Tabie & Semulajadi )
Fitrah dalam erti kejadian asal insan sebagaimana asalnya sebagaimana yang terkandung dalam maksud hadith "Setiap orang  bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah yang suci bersih; kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia yahudi ... (dan seterusnya)"

Dan dalam erti sebagaimana yang terkandung dalam ayat yang bermaksud: "Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada ugama Allah (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah (itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui"- Surah ar-Rum: Ayat 30.

Rumusan
Insan adalah sebaik-baik makluk ciptaan Allah SWT sebagai khalifah di atas muka bumi ini dan pada masa yang sama adalah hamba Allah SWT yang dipertanggungjawabkan dengan taklifah tertentu dan mereka akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di akhirat nanti tentang apa yang telah mereka lakukan di dunia ini.

Wassalam!!!


Friday, August 24, 2012

Amalan Berziarah Ajak Anak-Anak Bersama

Syawal sudah masuk hari ke 6. Amalan berziarah sempena hari raya masih diteruskan. Boleh dikatakan sepanjang 6 hari ini jadual ziarah kami ke rumah sahabat-handai penuh daripada pagi hingga ke malam. Tujuannya satu adalah memupuk rasa persaudaraan dan merapatkan ukhuwwah yang jarang dapat dilakukan pada hari biasa.

Pada hari-hari biasa; saya, isteri dan anak-anak sibuk dengan aktiviti dan kegiatan sendiri. Rakan-rakan pun sama, mereka ada kesibukan sendiri.

Keluangan masa cuti hari raya ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan amalan berziarah. Jangan biarkan anak-anak terperap di dalam rumah dengan rancangan televisyen dan melayari internet sedangkan hanya ibubapa sahaja yang berziarah. Tidak cukup dengan hanya mengucapkan "Selamat Hari Raya" di muka buku sahaja. Amalan ini mesti dipupuk dengan penuh sedar agar anak-anak faham tentang kepentingan saling berziarah dan saling kunjung-mengunjung. Selain dapat kenal-mengenal saudara kita dengan lebih mendalam , berjamu juadah dan bertukar-tukar fikiran, kekadang perbualan santai dan bersahaja dapat melupakan segala tekanan malah memupuk perasaan kasih-sayang di antara satu dengan yang lain.

Amalan berziarah di Aidilfitri ini adalah amalan mulia yang dituntut oleh syarak. Ia adalah satu cara melakukan ibadah kepada Allah SWT. Satu sunnah yang dipelihara oleh Rasulullah SAW.

Kesedaran ini penting agar anak-anak tidak dibiasakan dengan sikap keakuan sehingga tidak mengenali persekitaran , saudara-mara dan rakan taulan ibubapa mereka atau rakan-rakan mereka sendiri yang lain. Mereka perlu diasuh dengan adab bergaul secara baik dan positif. Mereka dididik agar tahu cara bertamu dan melayan tetamu.

Malah beberapa tuntutan lain dapat diterapkan dalam diri anak dengan disiplin dan peraturan semasa melakukan amalan ziarah ini.

Jika masa berziarah itu lama dan berlanjutan sampai malam, maka anak-anak diajar untuk bersedia dengan kelengkapan solat yang lengkap kerana mereka akan bersolat di rumah-rumah rakan yang mengizinkan atau singgah di mana-mana masjid atau surau. Jika melibatkan permusafiran, mereka akan dapat melaksanakan solat musafir secara praktikal. Dan ini akan mengukuhkan lagi jati diri mereka sebagai muslim bahawa solat mesti dilaksanakan dalam apa situasi sekali pun.

Saya sangat bertegas dengan anak-anak di hari raya. Mereka perlu bersama mengekori saya walaupun sudah ada yang masuk awal remaja. Setakat ini anak-anak boleh bertoleransi dengan disiplin yang saya tentukan bahawa hari raya bukan hari menonton tv, video atau melayari internet bahkan ia hari untuk membina semangat bersama dan ukhuwwah. Hari melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT. Hari berkongsi kebahagiaan dan kenikmatan dengan melebarkan senyuman dan sedekah sesama muslim.

Peranan ibubapa sangat penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai yang baik dan positif. Kita tidak mahu anak-anak kita suatu hari nanti bagaikan lupa akan asal usulnya dan tidak kenal siapa saudaranya. Hilang jati diri dan tidak tahu menghormati orang lain. Ingat ; orang yang tidak merahmati, tidak akan dirahmati...

Semoga semangat berziarah ini akan terus subur bukan saja dalam bulan Syawal ini bahkan diteruskan dari masa ke semasa diluar bulan perayaan ini.



Monday, August 20, 2012

1Syawal Mengembalikan Insan Kepada Fitrah [Jiwa Bertaqwa]

Ramadhan telah berlalu. Bulan Rahmat dan Berkat itu telah pergi meninggalkan seluruh umat Islam baik mereka suka atau sebaliknya. Yang tinggal adalah himpunan doa agar dapat bersua kembali dengannya pada tahun mendatang.

Syawal telah datang bertandang. Kehadirannya disambut oleh umat Islam dengan kegembiraan tanda kemenangan dan kejayaan melaksanakan perintah Allah SWT. Seharusnya umat Islam tidak lupa kepada matlamat puasa itu untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Sifat taqwa inilah yang akan membentuk jiwa yang tunduk dan taat kepada perintah Allah SWT dan menzahirkan rasa penentangan dan permusuhan terhadap Syaitan dan sekutu-sekutunya. Ini kerana Syaitan itu sangat nyata permusuhannya terhadap Allah SWT dan rasulNYa dengan cara menyesatkan manusia daripada jalanNya, menjadikan manusia memusuhi syariat dan pendokongnya serta menimbulkan rasa permusuhan sesama-manusia sehingga mereka hidup bercerai-berai, berlaku pergaduhan dan rosak perhubungan sesama mereka.

Sifat taqwa ini akan membentuk insan yang merdeka dari segi aqidah dan ruhnya dengan mengisytiharkan bahawa "Hurriyatul Insaan Fi 'Ubudiyyatillahi" yakni kemerdekaan manusia itu hanya dalam perkara ubudiyyah kepada Allah SWT semata-mata. Inilah matlamat daripada ibadat puasa sebulan dalam bulan Ramadhan. Kita menentang musuh Allah; Syaitan dan mendidik nafsu kita untuk mentaati Allah SWT. Melepaskan diri daripada cengkaman kezaliman penjajahan Syaitan dan Nafsu jahat yang ada dalam diri kita. Laungan kemerdekaan tidak akan memberi apa-apa makna jika kita gagal keluar daripada penjajahan musuh Allah ini, selagi jiwa kita, hati nurani serta akal kita masih dirantai pada akar syirik dan kufur kepada Allah SWT.

Hebatnya orang bertaqwa ialah setiap sesuatu yang dilakukannya ada nilai di sisi Allah SWT. Buah taqwa itu akan membentuk dirinya dan menjadi asbab ia mendapat syafaat dan pertolongan Allah SWT di dunia dan akhirat. Diriwayatkan satu kisah bagaimana kebajikan seorang lelaki ahli maksiat yang memberi minum seteguk air kepada seorang lelaki yang soleh menjadikan dirinya mendapat syafaat daripada Allah SWT di akhirat. Lelaki yang dihisab sebagai ahli maksiat ini dibawa Malaikat sebagai ahli neraka. Dalam perjalanan, tetiba dia ternampak seorang lelaki yang soleh, dia berkata;"Adakah kamu tidak mengenali aku?". Dia berkata lagi; "Akulah orang yang memberi minum kepada engkau yang sangat dahaga dengan seteguk air di dunia dahulu, maka berilah syafaat kepada aku melalui tuhanmu". Lalu Lelaki yang soleh itu berdoa; "Wahai tuhanku, hamba engkau ini telah memberi minum seteguk air di kala aku kehausan yang teramat di dunia dahulu, maka berilah syafaat kepadanya melalu amalannya itu". Lalu Allah SWT berfirman kepada malaikatNya, "Bawalah lelaki ahli maksiat itu ke dalam syurga, Aku telah memberi syafaat kepadanya melalui amalan yang soleh itu". Seteguk air... ia adalah amalan taqwa maka ia diterima oleh Allah SWT. maka dapat kita lihat betapa peri pentingnya sifat taqwa sehingga ia menjadi matlamat segala ibadat yang diperintah oleh Allah SWT. Rugilah kita jika gagal meletakkan diri kita sebagai insan bertqwa kepada Allah SWT.

Syawal menjadikan kita kembali kepada FITRAH. Ia terangkum dalam maksud Eid Fitri. Ia bermaksud kembali kepada fitrah. Fitrah yang Allah SWT jadikan ke dalam diri manusia sejak awal lagi. Fitrah yang menjadi mereka bersih daripada syirik dan kufur. Fitrah yang mengembalikan mereka kepada Islam dan Iman. Kembali kepada bersih daripada dosa dan noda. Jiwa mereka mesra dengan kebaikan dan sedia bermaaf-maafan. Lunak kepada kebajikan dan ringan dalam memberi pertolongan serta bantuan. Mudah simpati terhadap kesusahan dan penderitaan orang lain. Seharusnya sifat-sifat mulia ini dikekalkan untuk menjadi insan bertaqwa sepanjang masa. Bukan sahaja dosa kepada Allah SWT, dosa sesama manusia turut dapat dijernih dan diputihkan. Inilah yang dimaksudkan Allah SWT;"Fitratallaahu allati fathoran naasu 'alaiha".

Sungguh satu syawal itu mesti disambut dengan sifat taqwa kepada Allah SWT. Dalam meraikan hari mulia ini janganlah dihiasi dengan perkara-perkara maksiat sehingga mengotori semula fitrah yang telah mula kita kecapi. Seharusnya kita ingat akan nasib malang yang menimpa saudara-saudara seagama di negara-negara lain yang sedang dilanda pergolakan yang tidak tahu bila keamanan yang datang. Nasib mereka di Rohinya , di Syria dan beberapa negara lagi sungguh meruntun hati kita umat Islam. Dalam suasana syawal ini kita tidak seharusnya lupa kepada mereka semua. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada mereka. Dan kita tidak lupa menghulurkan bantuan atau doa agar Allah SWT cepat menamatkan penderitaan yang sedang mereka hadapi saat ini.

Kepada semua umat Islam; selamat Menyambut Syawal. Semoga Allah SWT telah menerima semua amalan soleh yang kita lakukan pada sepanjang bulan Ramadhan dan 1Syawal semalam. amiin, ya Rabbal 'Aalamiin.


Saturday, August 18, 2012

Terakhir Ramadhan 1433H - "Taqabbalallahu Minna Wa Minkum!!!"

Terbangun jam 4 pagi memberi kesempatan menghidupkan pagi terakhir Ramadhan ini. Menjelang subuh baru mengejutkan anak-anak untuk bersahur yang telah disiapkan oleh isteriku. Semalam anakku yang berusia 6 tahun berpuasa hanya bersahur dengan segelas air milo sahaja. Pagi ini pun sama hanya segelas air milo juga. Sebelah siang bukan main aktif lagi.

Shahdu hati bersahur pagi ini. Akhir-akhir ini makan sedikit sahaja. Masing-masing mengambil sejemput nasi saja. Cukuplah sekadar mencari keberkatan bersahur.

Tahun ini sekali lagi kami sekeluarga beraya di rantauan. Sekali lagi beraya di Sibu , Sarawak. Saya dijadualkan berkhutbah Hari Raya di Masjid Darul Halim, Teku dan insya Allah akan bersama masyarakat setempat meraikan hari yang mulia ini.

Semoga Allah SWT menerima semua ibadah yang telah kami sempurnakan sepanjang Ramadhan tahun ini. Biarpun sedikit semoga ia menjadi asbab mendapat rahmat dan kasih-sayang Allah SWT.

"Taqabbalallahu Minna Wa Minkum!!!"


Dalam kesempatan ini saya dan keluarga di Sibu mengambil kesempatan mengucapkan Salam Aidil Fitri kepada semua umat Islam yang akan menyambutnya pada 1 Syawal nanti. "Minal 'Aaidiin Wal Faaiziin. Kullu 'Aamin Wa Antum Bi Khair".

Wassalamu 'Alaikum WMT.


Friday, August 17, 2012

Berat Hati Berpisah DenganMu Oh Ramadhan

Apa saja... baik yang kita sayang atau sebaliknya akan meninggalkan kita. Mana yang kita rasa hampir itu yang akan mengesan pada hati. Kekadang air mata mengalir kerana gembira dan acapkali kita menangis kerana sedih dan kecewa. Tapi hari ini aku memilih untuk menangis dalam perkara yang terlepas, tidak sempat aku lakukan dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Sekuatmana hatiku ingin Ramadhan ini bertahan, ia  tetap akan meninggalkan aku biarpun berat hati ini untuk melepaskan kau pergi. Aku tahu aku tidak akan bertemu dengannya lagi.. Ramadhan mendatang apakah akan masih lagi menjadi milikku? Wallahu A'lam!!! Semoga akan kembali bersua dengan Ramadhan yang baru.

Bulan Ramadhan ini istimewa kerana ia bulan Rahmat, Maghfirah dan Pembebasan daripada Api Neraka. Bukan itu saja, syaitan dibelenggu, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Bulan dilipat-gandakan semua pahala atas amal ibadat yang dilakukan. Inilah hadiah Allah SWT yang tiada dalam bulan yang lain. Disamping itu di dalamnya ada anugerah yang hebat kepada para tetamunya. Inilah bulan Puasa, bulan Solat, bulan Sedekah, bulan Qiamullail, bulan Quran, bulan Doa dan bulan yang memiliki satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan yakni Lailatul Qodar.

Bulan Puasa : Puasa boleh dilakukan pada bila-bila masa tapi istimewanya Ramadhan, Allah SWT  fardhukan kita berpuasa sebulan dan pahalanya tidak sama kita berpuasa kita berpuasa dalam bulan-bulan yang lain.

Bulan Solat : Solat fardu adalah perintah yang wajib yang sudah tertentu waktunya. Dalam bulan Ramadhan diistimewakan dengan solat sunat Terawih yang tiada bulan yang lain.

Bulan Sedekah : Bulan ini orang Islam menjadi lebih pemurah mencontohi kemurahan Nabi Muhammad SAW. Baginda menjadi lebih pemurah di dalam bulan Ramadhan berbanding dalam bulan-bulan yang lain. Bulan ini banyak pihak lebih prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik dan kurang upaya. Orang miskin diambil peduli, anak-anak yatim dicakna.

Bulan Qiamullail : Bulan yang dihidupkan malamnya dengan ibadat-ibadat sunat seperti sunat tahajjud, taubat, hajat, tasbih dan sebagainya. Orang yang berpuasa juga bangun bersahur walaupun dengan seteguk air untuk mendapat berkat sahur dan membezakan puasanya dengan puasa orang yahudi.

Bulan Quran : Usaha bertadarrus Al-Quran dipergiatkan lagi dalam bulan ini sebagaimana Rasulullah SAW sendiri bertadarus Al-Quran bersama malaikat Jibril dalam bulan yang mulia ini. Bulan yang diturunkan padanya Al-Quran. Bulan yang dinamakan "Shahrul Furqan". Allah SWT menjelaskan bahawa bulan Ramadhan diturunkan padanya Al-Quran yang memberi petunjuk kepada manusia, yang menjelaskan lagi kepada petunjuk itu dan menjadi pembeza di antara yang hak dan bathil.

Bulan Doa : Inilah bulan yang setiap detik padanya akan diperkenankan doa. Diantara orang tiada hijab dengan Allah SWT yang akan diperkenankan doanya ialah orang yang berpuasa.

Lailatur Qodar : Inilah anugerah terbesar Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Rugilah sesiapa yang mengalpakan dalam tuntutan mencari dan mendapatkannya. Para ulama sepakat mengatakan bahawa ianya akan berlaku dalam setiap Ramadhan sekali pada malamnya. Maka janganlah dalam kesibukan kita membuat persiapan hari raya, kita alpa kepada tuntutan mendapatkannya. Satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan. Rasulullah SAW sendiri menegaskan bahawa carilah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan khususnya pada malam yang ganjil. Namun janganlah hanya memilih malam itu hanya pada malam tertentu saja tanpa beribadat pada malam yang lain kerana ianya menjadi rahsia Allah SWT yang boleh berlaku pada mana-mana malam daripada bulan Ramadhan.

Sungguh aku bersedih kerana kekasihku ini akan meninggalkan aku. Banyak sungguh kebaikannya kepadaku yang Allah kirimkan melaluinya untuk aku kutip sebanyaknya dalam bulan yang mulia ini.. Namun aku rasa belum cukup dan belum puas bermesra dengannya.

Ya Allah, semoga Engkau Maha Tahu bahawa aku lebih mencintaiMu. Ramadhan yang hadir ini hanya menjadi asbab untuk aku dekat denganMu. Terima kasih dan syukur kerana Engkaulah sebenar kekakihku. Engkaulah kekasihku yang tidak luput dan kekal selamanya yang tidak akan pernah meninggalkan aku. Ya Allah, aku berkasih dengan bulan yang Engkau kasih untuk mendapat Kasih dan CintaMu. Terimalah daripadaku... amiin ya rabbal 'aalamiin.

Monday, July 30, 2012

Ramadhan Kareem 1433H

Sudah masuk hari ke 10 berada dalam bulan Ramadhan tahun ini. Setelah melalui beberapa ujian kehidupan, kehadiran Ramadhan tahun ini disambut dengan rasa syukur. Ini kerana menjelangnya hari penuh ibadat bagi umat Islam ini , saya menerima surat pengesahan bahawa perpindahan saya dari Sarawak ke Johor dibatalkan. Isu yang menjerut perasaan ini berakhir dua hari sebelum bulan Ramadhan datang bertamu. Jadi saya dapat menumpukan kepada meningkatkan amal ibadah dalam bulan ini dengan tenang, alhamdulillah.

Dalam bulan Ramadhan tahun ini saya turut diundang untuk menjadi imam solat sunat Terawih di beberapa surau sekitar kediaman. Selebihnya saya banyak mengfokuskan masa bersama keluarga dan aktiviti Masjid An-Nadwah, SMK Rosli Dhoby. Rasa syukur yang tidak terhingga sehingga hari ke 10 ini aktiviti Tadarrus Al-Quran masih mendapat sambutan pelajar. Sebelah malamnya solat Terawih diadakan bergabung dengan pelajar SM Vokasional Sibu. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Ramadhan mengajar erti sabar, prihatin, syukur dan ikhlas. Itulah nilai yang ingin sekali saya terapkan dalam diri ini. Semoga Ramadhan kali ini memberi seribu erti agar menjadi insan yang lebih taat kepada Allah dan sentiasa gigih berbakti kepada sesiapa saja. Niat saya ingin dekat dengan ibu sendiri belum kesampaian apabila isu perpindahan ke kampung halaman sebelum ini dibatalkan. Kini saya menunggu lagi agar hari itu akan hadir jua suatu hari nanti. Saya akan selalu berdoa agar Allah sentiasa mendengar suara hati saya dan mempermudahkannya, Insya Allah. Andai inilah Ramadhan terakhir saya, mudah-mudahan semua amal ibadah saya diterima oleh Allah SWT.

Ya Allah, Kami bermohon kepadaMu akan Redha dan SyurgaMu, Kami jua memohon agar kami semua dilindungi daripada Murka dan NerakaMu. Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia, Yang amat Mencintai Kemaafan, Maafkanlah segala kesalahan dan dosa kami. amiin, Ya Rabbal 'Aalamiin.


Thursday, July 12, 2012

Sudah 40 Tahun, Aku Ingin Terus Istiqamah Atas Jalan Ini

Genap sudah umurku ke 40 pada 8/7/2012 yang lalu. Oleh kerana kesibukan tersendiri tarikh itu berlalu dengan begitu saja tanpa sebarang catatan pada waktu itu.

Terima kasih kepada semua rakan-rakan dan anak-isteri yang mengingati ulang tahun saya yang ke 40. Ramai yang mendoakan kesejahteraan saya di FB khususnya. Semoga doa-doa kalian akan dimakbulkan oleh allah SWT. Tiada lagi usia saya di angka 30'an. Hari pertama diusia 40. Saya ingin sekali insafkan diri saya tentang hal ini. Tandanya saya melangkah kaki yang kian hampir kepada jarak yang bakal memisahkan kita semua. Selangkah kedepan bermaksud selangkah ke alam baqa'.

Saya mendoakan agar saya menjadi insan yang lebih bermanfaat kepada semua dari segi amal jamaie dan usaha kebajikan dalam meniti usia berbaki ini.

Dalam riwayat hidup saya, saya kali ini menyambut sendiri hari ke usia 40 tahun ini. Saya mahu sedar sekali tentang hal itu. Sebab itu saya mahu meraikannya. Saya ingin memulakannya dengan usaha kebaikan dan kebajikan dan insya Allah ia permulaan yang baik buat saya nanti. Itulah yang saya harapkan.

Di awal pagi saya mengajak isteri ke pasar Sibu untuk membeli beberapa jenis lauk pauk mentah. Dalam kepada saya mahu masak Tom Yam Udang Segar Bersantan atau Nasi Ayam. Saya suka makan nasi ayam. Tapi untuk Tom Yam Udang Bersantan ini kali pertama saya ingin memasaknya sendiri. Saya nyatakan kepada isteri; "masakkan untuk saya, nasi ayam".

Dalam pada itu isteri saya membeli kepala ikan merah untuk dimasak asam pedas. Ini bermaksud dalam tempoh tiga hari saya akan menjamu masakan istimewa ini sempena ulangtahun kelahiran saya yang cukup bermakna ini.

Pada hari ini saya sendiri yang memasakan makan malam untuk ahli keluarga...

Dalam kesibukan itu saya terima saya tugas untuk menyampaikan ceramah di TanahMas Hotel, Sibu anjuran MIS untuk Latihan Kepemimpinan Belia dengan tajuk "Istiqamah Dalam Kehidupan".

Saya mengharapkan bukan saja para belia itu yang berada dalam saf istiqamah ini, saya juga akan terus istiqamah dalam menegakkan Islam di Bumi Allah ini hingga akhir hayat saya nanti. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati insan daif ini dan mendapat hidayah selalu hendaknya... amiin, yarabbal 'alamiin.



Sunday, June 24, 2012

"Ikut Orang Ramailah!!!" ; Berbaloikah???

Sekadar tazkirah pagi Ahad ni; (tiada kena mengena dengan sesuatu peristiwa khusus dan tertentu).

Sebahagian orang berfikiran dan berpendapat; "Kita kena ikut orang ramailah, baru senang hidup. Orang lain buat guana, kita buat gitulah. Ustaz duduk buat kerja tidak selari dengan orang ramai, tidak serupa orang ramai, payahlah sikit, ke guana???"

Pandanganku;

Betulkah pegangan hidup begitu? Adak...ah salah kalau kita mencari kebenaran mengikut orang ramai? Adakah semua yang orang ramai buat, sesuatu itu jadi betul. kalau semua orang ramai sokong ia jadi benar?

Munasabahlah sebahagian orang sekarang hidup jauh daripada Allah SWT. Mereka berpakat ikut orang ramai rupanya. Ramai orang tidak solat, ramai orang memenuhi kehendak nafsu; sibuk cari dunia sehingga lupa akhirat, tiada masa nak dengar kuliah agama di masjid , berjamaah di surau dan mereka sangat taasub dengan hiburan....semua kerana ikut orang ramai, ikut majoriti. Oh, yang berasa sedap duduk tu kerana pakat ikut majoriti.

Ada juga sebahagian orang berfikiran dan berpendapat;; "Kami ikut yg datuk-nenek kami buat dulu2".

Pandanganku;

Ho lagu tu. Kalau pakat ramai2 buat maka semua itu jadi benar dan molek belaka.

Ada tempat yang majoriti ni baik tapi dalam bab menentukan benar atau salah kita tidak boleh jadikan ramai jadi neraca ukuran. Kena tengok quran, hadis dan pandangan ulama yang muktabar. Jangan pakai otak atau ikut rasa.

Sebab itu -sebagai contoh- dalam "dua kalimah syahadah" itu "ada nafi dan ada ithbat". Dinafikan semua sembahan yang manusia sembah barulah didatangkan ithbat bahawa tuhan sebenar itu Allah SWT. Semua yang manusia fikir dan berpendapat tentang tuhan dan sembahan2 mereka dinafikan oleh Allah SWT. Barulah jadi benar pegangan manusia . Baru dikatakan beriman.

Perhatikanlah firman Allah ini;

"Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)  - mafhum daripada surah Al-An'aam; ayat 70.



Thursday, June 21, 2012

Syukur PadaMu Ya Allah!!!

Bagaimana Allah SWT nak tunjukkan Dia sayangkan hambaNya?

Dia uji orang itu sehingga sempit dadanya, lalu orang itu merasa tiada jalan keluar melainkan bergantung harap kepada Allah SWT semata-mata. Lalu Allah SWT membuka jalan-jalan keluar dan membahagiakan hambaNya itu.

Allah SWT menunjukkan kepadanya siapa kawan, siapa lawan dalam saat sukar itu. Lalu hambaNYa itu bersyukur atas nikmat kurnia dan sabar atas ujianNya.

Semua yang berlaku menjadi i'tibar dan jalan mengukuh bagi hambaNya di masa mendatang.

Ya Allah, Terima Kasih Ya Allah, syukur atas kurniaMU, Alhamdulillah!!!



Saturday, June 16, 2012

Aku Bukan Bola Untuk DiSepak Ke Sana-Sini

Dalam masa tiga minggu; isu pindah saya berlegar dari Terengganu ke Johor dan kembali ke SMKRD (Sarawak). 

Dua hari lepas, pihak Johor sudah warning kerana sudah cukup 2 minggu masih belum melapor diri di sekolah baru. "Ustaz sudah ingkar arahan berpindah, jika dalam tempoh dua minggu masih tidak melapor diri" kata pihak tersebut melalui telefon. Dalam pada masa sama Bahagian Pengurusan Sekolah Menengah (Putrajaya) memaklumkan perpindahan saya dibatalkan, kembali ke sekolah asal. "surat berkaitan sudah dihantar ke JPN, Sarawak". Bila saya hubungi Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Bhg Sekolah Menengah, JPN Sarawak, mereka jelaskan belum terima lagi surat daripada KPM.

Kalau kita dibuat macam bola, nak bergerak pun susah, banyak pihak susah, sebeb kita bergerak kena ada surat arahan. Kalau dalam tiga minggu, tiga tempat pergi surat berjalan laju macam tu juga ke? Yang (pihak)Johor marah sebab saya tidak lapor diri, salahkah saya? Siapa yg patut buat s/k atau maklum kepada pihak Johor ni? Saya sendiri baru terima surat. Bayangkan; surat arahan tiba 8 Jun, 11 Jun baru sampai ke tangan saya. Dalam surat itu menyatakan tarikh lapor diri 1 Jun 2012. Keputusan online 19 Mei kata permohonan asal terima, 26 Mei berita penempatannya ke sebuah sekolah di Muar, Johor. 29hb Mei buat surat rayuan batal perpindahan. Sekarang baru dapat maklum batal perpindahan tersebut. Surat rasmi belum terima lagi.

Cara pegawai dekat Johor itu bercakap dengan saya telah mematikan terus rasa saya niat ke Johor, terus saya cakap; "Encik ingat saya nak ke Johor ke? Saya minta Terengganu, tidak dapat, saya sedia balik ke Sibu".

Sekurang-kurangnya pihak tersebut tidak bersikap mahu tunjuk kuasa. Beliau boleh guna budi bahasa seperti bertanya; "Apa masalah ustaz belum melapor diri, sudah masuk 2 minggu ni?" Ni nak bercakap undang-undang dengan saya. Kalau cakap dengan elok pasti kita rasa dialu-alukan ke Johor. Dia orang buat kita sudah tidak ada pilihan, terdesak sangat mahu pergi ke Johor.

Saya dapat maklumat; saya menggantikan tempat seorang ustaz dari sekolah itu balik Terengganu. Kerana sudah belasan tahun di Johor. Dan saya sudah belasan tahun di Sarawak. Pada hemat saya , mereka beranggapan asal ustaz ni balik Semenanjung saja, tidak mengapa. Siapa ganti siapa ni??? Inilah kalau masing-masing tidak lagi menurut lunas peraturan dan guna kuasa ikut suka. Orang yang minta berpindah mengikut aturan menjadi mangsa.

Cukup memberi ibrah kepada saya, Allah nak tunjuk kepada saya betapa kerja-kerja yang tidak jujur dan amanah berlaku dan saya telah mempelajarinya secara amali.

Saya bukan pindah keseorangan, tapi satu keluarga. Bukan senang mahu mengurus satu-satu. Jangan buat orang lain macam bola, itu tidak berperikemanusiaan. Orang biasa merantau ini dia ada satu niat saja. Balik Kampung.

Saya minta balik ke Terengganu atas alasan keluarga. Sebab keluarga saya semua yang tua-tua sudah meninggal. Bapa kandung, bapa tiri, ibu saudara dan keluarga terdekat baik sebelah saya dan isteri satu-satu meninggal dunia, kita hanya dapat ziarah tanah kubur sahaja. Masa sakitnya kita hanya berdoa dari jauh. Betapa sakit dan bebanan hati yg menanggung. Tinggal ibu saya yang masih ada, umur dah mencecah 76 tahun. Apakah saya akan kehilangannya tanpa sempat bersama diakhir usia emasnya??? Mereka sudah tua tidak mahu kemana-mana lagi.

Saya juga ada keluarga mertua, ada harta untuk diurus. Tanah tumpah darah, kampung halaman sendiri. Di situ kita ada segala-galanya. Sebab itu saya nak balik negeri. Seburuk mana tempat kita, kita nak balik kampung halaman kita. "Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri".

Rasulullah SAW sendiri menggenggam tanah Mekah ketika mahu berhijrah ke Madinah. Kasih kepada tempat tumpah darah kita.

Wallahu Musta'aan, Insya Allah!!!



Friday, June 08, 2012

Taman Tumbina Bintulu ~ 7/6/2012

Menyelami Dunia Burung Dan Haiwan


Hari ke dua berada di Bintulu, lokasi ziarah kami ialah Pasar Besar Bintulu kemudiannya Taman Tumbina Bintulu.


Setelah check-out daripada hotel Mastama Inn, kami bersarapan dahulu di sebuah restoran belakang hotel sahaja.

Nak jadi cerita kereta saya pula kena saman parking kerana tidak meletak kupon parking, terpaksa bayar RM15, kena bayar pula dekat Majlis Perbandaran Bintulu. Atas pertolongan seorang hamba Allah, secara ikhlas dia sanggup membayarnya. Sungguh saya terhutang budi. Semoga Allah SWT membalas kebaikan dan keikhlasannya dengan sebaik-baik ganjaran.


Singgah di pasar sekejap saja, beli sedikit buah-buahan, belacan Bintulu, kuih baulu dan sedikit keperluan anak-anak.

Selepas itu kami mula bertolak ke Taman Tumbina. Untuk masuk ke taman ini dikenakan bayaran tiket mengikut kategori dewasa atau kanak-kanak. Warga dewasa dikenakan bayaran sebanyak RM2.00 seorang manakala bagi kanak-kanak pula RM0.50.

Saya telah datang ke sini sekitar bulan Julai, 2009 dulu. Pada masa itu tidak banyak binatang yang ada. Tapi jika pengunjung datang pada waktu ini pasti mereka akan berpuas hati. Lebih banyak binatang dan burung. Keadaan nampak bersih dan terjaga. Bayaran masuk ke taman ini berpatutan.


Sebagai kenang-kenangan menikmati kehidupan binatang di taman ini saya postkan beberapa keping gambar binatang dan burung yang sempat saya tangkap gambarnya.


Ustaz Zamzuri Bin Mohammad

 Taman Burung, di antara penghuninya;


Untuk paparan lebih jelas sila klik pada gambar

Taman Binatang Dan Reptilia, di antaranya;

Untuk paparan lebih jelas sila klik pada gambar
 


Renungan;
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan pada penciptaan kamu dan pada binatang-binatang yang melata yang bertebaran (di muka bumi) terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk kaum yang meyakini.”
(QS. Al Jaatsiyah, 45: 4)




 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |