Syawal sudah masuk hari ke 6. Amalan berziarah sempena hari raya masih diteruskan. Boleh dikatakan sepanjang 6 hari ini jadual ziarah kami ke rumah sahabat-handai penuh daripada pagi hingga ke malam. Tujuannya satu adalah memupuk rasa persaudaraan dan merapatkan ukhuwwah yang jarang dapat dilakukan pada hari biasa.
Pada hari-hari biasa; saya, isteri dan anak-anak sibuk dengan aktiviti dan kegiatan sendiri. Rakan-rakan pun sama, mereka ada kesibukan sendiri.
Keluangan masa cuti hari raya ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan amalan berziarah. Jangan biarkan anak-anak terperap di dalam rumah dengan rancangan televisyen dan melayari internet sedangkan hanya ibubapa sahaja yang berziarah. Tidak cukup dengan hanya mengucapkan "Selamat Hari Raya" di muka buku sahaja. Amalan ini mesti dipupuk dengan penuh sedar agar anak-anak faham tentang kepentingan saling berziarah dan saling kunjung-mengunjung. Selain dapat kenal-mengenal saudara kita dengan lebih mendalam , berjamu juadah dan bertukar-tukar fikiran, kekadang perbualan santai dan bersahaja dapat melupakan segala tekanan malah memupuk perasaan kasih-sayang di antara satu dengan yang lain.
Amalan berziarah di Aidilfitri ini adalah amalan mulia yang dituntut oleh syarak. Ia adalah satu cara melakukan ibadah kepada Allah SWT. Satu sunnah yang dipelihara oleh Rasulullah SAW.
Kesedaran ini penting agar anak-anak tidak dibiasakan dengan sikap keakuan sehingga tidak mengenali persekitaran , saudara-mara dan rakan taulan ibubapa mereka atau rakan-rakan mereka sendiri yang lain. Mereka perlu diasuh dengan adab bergaul secara baik dan positif. Mereka dididik agar tahu cara bertamu dan melayan tetamu.
Malah beberapa tuntutan lain dapat diterapkan dalam diri anak dengan disiplin dan peraturan semasa melakukan amalan ziarah ini.
Jika masa berziarah itu lama dan berlanjutan sampai malam, maka anak-anak diajar untuk bersedia dengan kelengkapan solat yang lengkap kerana mereka akan bersolat di rumah-rumah rakan yang mengizinkan atau singgah di mana-mana masjid atau surau. Jika melibatkan permusafiran, mereka akan dapat melaksanakan solat musafir secara praktikal. Dan ini akan mengukuhkan lagi jati diri mereka sebagai muslim bahawa solat mesti dilaksanakan dalam apa situasi sekali pun.
Saya sangat bertegas dengan anak-anak di hari raya. Mereka perlu bersama mengekori saya walaupun sudah ada yang masuk awal remaja. Setakat ini anak-anak boleh bertoleransi dengan disiplin yang saya tentukan bahawa hari raya bukan hari menonton tv, video atau melayari internet bahkan ia hari untuk membina semangat bersama dan ukhuwwah. Hari melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT. Hari berkongsi kebahagiaan dan kenikmatan dengan melebarkan senyuman dan sedekah sesama muslim.
Peranan ibubapa sangat penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai yang baik dan positif. Kita tidak mahu anak-anak kita suatu hari nanti bagaikan lupa akan asal usulnya dan tidak kenal siapa saudaranya. Hilang jati diri dan tidak tahu menghormati orang lain. Ingat ; orang yang tidak merahmati, tidak akan dirahmati...
Semoga semangat berziarah ini akan terus subur bukan saja dalam bulan Syawal ini bahkan diteruskan dari masa ke semasa diluar bulan perayaan ini.
No comments:
Post a Comment