Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Showing posts with label Amanah. Show all posts
Showing posts with label Amanah. Show all posts

Wednesday, May 01, 2013

Akhirnya Terbuka Jalan Untukku Balik Mengundi PRU13

Suara hatiku, doaku ke hadrat Allah SWT, akhirnya Dia makbulkan. Allah SWT mempermudahkan segala-galanya bagiku, Alhamdulillah. Allah SWT telah buka jalan keluar kepadaku. Maha Suci Allah SWT yang membuat sebaik-baik rencana.

Sebelum ini aku telah menulis;
Hati ini bagaikan melonjak-lonjak untuk kembali ke alamat tempat ku mengundi bagi PRU13 ini, namun melihatkan tarikh PRU13 ini nampaknya hasrat itu terpaksa kupadamkan. Mungkin kesempatan pilihanraya kali ini terpaksa aku lepaskan sekali lagi. 
Hari mengundinya ditetapkan oleh SPR pada 5 Mei nanti. Tarikh ini terlalu hampir kepada due date isteriku untuk kelahiran anakku yang ke 6. Dalam scan yang pertama, doktor menjangkakan pada 10 Mei dan dalam scan yang ke dua, dijangkan pada 2 Mei nanti. Rasanya saat dan waktu ini sangat tidak mengizinkan untuk aku meninggalkan isteriku dalam keadaan begini. 
Kami yang berada di jauh perantauan ini, tiada siapa tempat menumpang. Segala susah-payah selama ini kami hadapi suami-isteri dan anak-anak. Begitulah suratan takdir dan ketentuannya. Kehadiranku di sisi isteri sangat mendesak sekali. Keselamatan dan kesejahteraan keluarga satu kewajiban yang lebih utama buat masa dan saat ini. Tiada pilihankah lagi buat hambaMu ini, Ya Allah...??? 
"Doa Senjata Orang Beriman"
Harga mengundi pada kali ini sangat mahal buatku. Kewajiban yang tidak mampu aku tunaikan. Namun aku masih ada peranan, jika pun aku tidak dapat pulang menunaikan "hak undi" yang datang dengan susah-payah kepada rakyat Malaysia, aku akan berdoa; tidak putus-putus berdoa. Berdoa dengan sungguh-sungguh demi kemenangan Islam dan perjuangan Islam agar mampu mentadbir Malaysia dengan suara, semangat dan ruh baru. 
Undi dalam PRU13 adalah undi kepada sebuah perubahan. Undi untuk menolak sebuah keburukan. Hakku dalam sebuah negara yang memberi hak mengundi sebagai menentukan sebuah kerajaan yang berdaulat dan bermaruah, satu undiku adalah ibadah buatku yang tidak patut aku persiakan. 
Aku berdoa agar Allah SWT membuka jalan buatku. Aku berdoa agar Allah SWT masih memberi peluang buatku. Mungkin ada ketentuan terbaik buat kami. Hanya niatku tiada lain agar satu undiku mampu memberi kemenangan kepada perjuangan Islam. Menjatuhkan kezaliman itu wajib. Wallahu Musta'aan!!!
Ya, Allah SWT sebaik-baik perencana lalu Dia memberi kemudahan kepadaku.
Resah menanti kelahiran bayiku dengan keadaan isteriku yang masa mengandungnya kali ini agak memerlukan perhatian kerana kadar gula dalam darahnya agak tinggi sehingga terpaksa berulang alik ke hospital Sibu berkali-kali atas arahan doktor secara rutin. Kekadang dari pagi sampai malam, sehari-harian.

Namun dalam keluangan masa saya cuba juga menyertai sahabat-sahabat dalam jamaah untuk sama terlibat dalam gerak-kerja jamaah agar saya juga ada saham memberi kemenangan kepada PAS khususnya dan Pakatan Rakyat umumnya di Sarawak. Ini Kalilah!!!

Akhirnya lahir juga puteriku tanggal 29 April dan kegusaranku untuk pulang mengundi akhirnya terlerai. Syukur tidak ada masalah besar yang berlaku, isteriku melahirkan bayi kami seminggu lebih awal daripada jangkaan doktor. Kelahirannya dipermudahkan secara normal. Syukur...syukur...padaMu ya Allah!!!

Setelah berbincang dengan isteri, in sya Allah SWT saya akan pulang untuk melaksanakan tanggungjawabku kepada agama, bangsa dan negara buat kali ini. 

Walaupun kos penerbangan agak mahal untuk balik mengundi untuk ulang-alik (Sibu/KL/TrG) bagi tiga hari saja, semuanya kerana tanggungjawab yang lebih besar. Semoga ini satu jihad dan pengorbanan daripada kami untuk kesejahteraan rakyat semuanya. Tanggungjawab menentukan sebuah kerajaan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia. 

Kegagalan balik mengundi satu penyesalan yang tidak sudah kerana itu adalah hak yang mesti ditunaikan oleh setiap warga Malaysia yang layak mengundi.

Bagiku, bersangka-baiklah dengan Allah SWT kerana segala sesuatu tertakluk dengan Ilmu, Qudrah dan Iradah Allah SWT. Aku berdoa agar Allah SWT menyerahkan Malaysia ini kepada mereka yang lebih berhak mentadbir. Wallahu Musta'aan!!! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar, Walillahil Hamdu!!!

Thursday, October 18, 2012

AMANAH ITU KETAATAN KEPADA ALLAH SWT

KULIAH SUBUH;
Oleh Ustaz MOHD ISA BIN MAT DAUD


Firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Maksudnya:
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab ( amanah ) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan”.
( Surah Al-Ahzaab; Ayat 72)

Tuan-tuan sekalian;

Saya memetik di dalam tafsir Ibnu Kathir; Al-‘Ufi berkata bahawa Ibnu Abbas meriwayatkan dengan katanya: Amanah itu ialah ketaatan. Dan Ali bin Abi Talhah pula berkata bahawa Ibnu Abbas berkata: “ Amanah itu ialah Kefarduan atau Kewajipan’’ Sesiapa yang melaksanakannya akan memperolehi (Al-Fadhl) yakni kemuliaan , (As-Thawaab) yakni ganjaran pahala dan (Al-Jannah) yakni Syurga dan sesiapa yang ingkar derhaka akan beroleh seksa ( I’qaab) dan di masukkan ke dalam neraka (An-Nar).

Apabila Allah SWT mencipta segala maklukNya lalu menghimpunkan mereka lantas membentangkan amanah ini kepada mereka; kesemuanya enggan menerima amanah tersebut sehinggalah Allah SWT memanggil Nabi Adam lalu Allah bertanya kepada Adam. “Sanggupkah kamu menerima amanah daripadaku iaitu apabila kamu berbuat baik aku ampunkan kamu dan jika engkau berbuat kejahatan aku jatuhkan siksaan ke atas kamu“. Lalu Adam menerimanya.

Berkata langit “Aku enggan menerimanya kerana aku dan penghuniku tidak berhajat kepada dosa dan pahala dan tidak pula menerima kefarduan. Sedangkan kami dijadikan dalam keadaan tunduk kepadaMu sepenuhnya” Begitulah juga jawapan yang diberikan oleh bumi, bukit-bukau dan juga gunung ganang.

Tuan-tuan yang dirahmati Allah SWT;

Jelas di sini keistimewaan manusia dan jin yang dianugerahkan kepada mereka dengan akal fikiran menyebabkan mereka diistimewakan ke atas makhluk lain. Orang yang hebat pasti tanggungjawab ke atasnya pun hebat bersesuaian dengan kebolehannya. Allah memfardukan sesuatu perintah mengikut kemampuan hambaNya itu sendiri sebagaimana yang Allah jelaskan di dalam ayat terakhir dari surah Al-Baqarah: ” Tidak Kami bebankan seseorang itu melainkan menurut kemampuannya”. Keupayaan akal inilah yang menyebabkan manusia memiliki kelayakan untuk menerima amanah. Kemampuan untuk memilih di antara yang baik dan yang buruk. Kebolehan mengenal yang hak (benar) dan yang bathil (salah). Kemampuan untuk bersyukur ataupun kufur. Semuanya terletak dalam kehendak hamba itu sendiri.

Tuan-tuan sekalian;

Kita saban hari salah guna nikmat Allah SWT. Mata suka tengok yang haram. Telinga suka dengar yang haram. Nafsu cenderung melakukan yang haram. Hati suka merasakan yang haram. Akal suka memikirkan yang haram. Macam-macam lagi keseronokan yang tuhan larang kita suka. Allah Maha Mengetahui kecenderungan manusia. Kerana Allah SWT sendiri menegaskan bahawa nafsu itu suka kepada yang haram. Sebab itu Allah SWT menyifat manusia itu zalim lagi jahil.

Biarpun sifat manusia yang suka melakukan kerja-kerja yang menjatuhkan mereka dalam lembah kejahilan dan kezaliman kepada diri sendiri; manusia itu tidak suka kepada kesusahan dan kesengsaraan. Mereka mahukan kenikmatan dan kebahagiaan. Jiwa yang kotor tidak mungkin berasa bahagia. Sehinggalah kesengsaraan demi kesengsaraan bersarang dan berlapis-lapis dalam jiwa mereka.

Pada masa itu tiada jalan lagi bagi manusia melainkan kembali kepada mengingati tentang amanah yang telah mereka itu berjanji di atasnya. Iaitu untuk kembali taat dan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Hanya air mata keinsafan yang dapat menyuci jiwa mereka.

Benarlah tuan-tuan sekalian akan firman Allah SWT;

Maksudnya:
"Demi Jiwa dan penciptaannya. (Allah) mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)". ( Surah As-Syams; ayat 7-10)
Allah SWT Maha Mengetahui bahawa manusia itu sanyat suka berlaku zalim dan bertindak atas kejahilan. Jadi Allah SWT tidak membebankan manusia dengan kebolehan akal semata-mata tetapi diberi hidayah dan bimbingan wahyu. Allah utuskan kepada mereka Nabi dan Rasul serta para ulamak sebagai pewaris kepada nabi dan rasul. Manusia dibimbing dan diasuh dengan ilmu pengetahuan. Menjadikan setiap langkah perjalanan hidupnya sebagai pengalaman hidup dan pengajaran yang berguna supaya manusia itu dapat memilih jalan-jalan kebaikan yang menyampaikannya kepada Syurga dan keampunan dan Rahmat Allah SWT. Jika ada yang tersilap langkah diberiNya peluang untuk kembali dan bertaubat lalu diampunkan dosa-dosanya.

Allah SWT menciptakan kita bukan untuk diazab atau untuk disia-siakan. Matlamat penciptaan Jin dan manusia itu ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Az-Zariyat; Ayat 56. Maka jika kita melakukan maksiat kepada Allah, kita sudah berlaku zalim kepada diri kita sendiri. Selayaknya Allah memurkai kita dan mengazabkan kita jika Dia mengkehendaki.

Oleh itu; janganlah kita tersalah memilih haluan hidup. Sebab kita semua akan ditanya setiap amanah yang Allah bagikan kepada kita. Kita semua tidak akan terlepas daripada soal jawab ini. Beringat-ingatlah sebelum terlambat.

Buat akhirnya suka saya menbacakan firman Allah SWT: Maksudnya;
"Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat. Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (Dalam pada itu), Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang". ( Surah Al-Insaan; Ayat 2-4 )

Sekian. Wabillahit Taufiq. Wassalam.


 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |