Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com
"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"
::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::
Firman Allah SWT Yang Bermaksud;"Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH
Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua
“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]
29/04/2013 ( Isnin) - Sibu Specialist Medical Centre: Tepat jam 9:29 pagi lahirlah puteriku seberat 3.0kg, anak yang ke6.
Semoga kelahiran ini menambah seri dan keberkatan dalam keluarga kami. Ini adalah anak kami yang ke 6 ; Anak sulung (Anis-15th), ke2(Irah-14th), ke3 (Fawwaz-12th), ke4 (Asilah-10th) dan ke5 (Adim-7th).
Puteriku ini belum diberi nama... tengah mencari nama yang sesuai, insya Allah.
Terima kasih isteriku; Rohani Husin. Pengorbananmu melahirkan buah cinta kita yang ke6 amat besar dan tidak ternilai harganya. Semoga menjadi anak yang solehah dan pelengkap kebahagiaan keluarga kita.
Syukurlah segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Semuanya selamat. Alhamdulillah.
Pagi tadi sekitar jam 7:45 pagi saya menjalankan tugas sebagai guru pengiring kepada anak-anak pelajar saya yang mengambil bahagian dalam MTQSS , Bahagian Sibu bertempat di SMK Sibu Jaya. Ini adalah hari kedua dan majlis penutupan kepada majlis tadarrus al-quran tersebut.
Sepanjang perjalanan itu saya bersungut lapar kepada salah seorang murid yang berada di sebelah penumpang di kiri saya. Dia diam saja. Ada 6 orang murid bersama saya dalam kereta Avanza itu.
Sesampai saja di pekan Sibu Jaya, mata saya melilau mencari kedai makan Muslim. Entah macam mana, tetiba saja kereta saya merempuh sebuah motorsikal. Astaghfirullah!!! Saya telah merempuh motorsikal seorang lelaki, dia dan motorsikalnya tersondol dan terbalik ke arah kereta saya. Mujurlah dia selamat dan motorsikalnya saja yang mengalami kerosakan.
Insiden ini berlaku benar-benar di depan Silverstone Tyres (Honjiang Auto Servis), Sibu Jaya. Agak terkejut kerana tayar kereta saya sebelah kanan pecah. Rezeki terpijaklah buat dia orang. Akibat rempuhan itu; bonet depan kemek, dan bumper serta skirt bahagian depan kereta sebelah kanan juga remuk.
Mujurlah perkara ini dapat di selesaikan secara baik. Saya telah membayar semua kos pembaikan motorsikal lelaki berbangsa Iban yang rosak.
Akhirnya niat mahu bersarapan terpaksa dilupakan begitu saja. "Ponet" atau kepunan kata salah seorang anak murid saya. Semua adalah ketentuan Allah SWT yang berlaku. Syukurlah hanya kenderaan saja yang rosak, semua yang terlibat selamat.
Saya sempat telefon beberapa orang kawan yang turut sama hadir ke majlis tadarrus Al-Quran ini, yang lokasinya tidak berapa jauh daripada tempat kejadian. Mereka cepat-cepat datang membantu. Anak-anak murid saya akhirnya di bawa ke lokasi oleh bapa salah seorang murid yang tinggal di Sibu Jaya ini juga. Terima kasih atas segala bantuan dan nasihat. In Shaa Allah bermanfaat kepada saya untuk membaiki kereta saya yang rosak akibat kemalangan ini.
Satu laporan polis telah dibuat bagi melaporkan kejadian ini. Masih dalam mood terkejut....
Bila baca pelbagai kisah yang berlaku sekitar dunia politik hari ini, saya dapat rumuskan betapa sukarnya mencari kawan atau sahabat yang akan menyelimut dan melindungi kita daripada fitnah. Bila sudah jadi musuh semua rahsia kita selama ini terdedah di sana sini. Rahsia peribadi ditelanjangkan di sana-sini.
Apatah lagi menjelang pilihanraya ni, musuh-musuh politik semacam tidak dapat lari daripada serangan peribadi. Biasanya yang sangat buruk dan memualkan.
Benarlah kata orang; dalam dunia ini tiada kawan yang bersifat abadi, hari ini kawan esok boleh jadi lawan, boleh saja.
Kita boleh cerita kisah kita yang tidak terlalu peribadi, pasal selera makan minum boleh lah kot. Jika pasal isi hati rasanya simpanlah jauh-jauh dalam hati sanubari sendiri. Biarlah Ianya Rahsia.
Dulu saya amat percaya bahawa kawan ini lebih akrab daripada saudara kandung sendiri. Pepatah arab ada berkata; "Moga saudara kamu itu bukan lahir daripada kandungan ibumu".
Pengalaman saya sekitar awal keberadaan saya di Sibu ini, masa itu tidak ramai para ustaz yang memberi khidmat bakti mengajar agama di masjid surau, jadilah sekumpulan orang yang mula cenderung hati dengan kuliah saya, mengikuti pergerakan saya dan nama saya pernah meniti di bibir mereka. Sekecil manapun masalah mereka akan berhubung bertanya itu dan bertanya ini dan saya dengan murah hati membantu sekadar yang termampu.
Dalam pergaulan itu maka timbullah kemesraan dan saya mula banyak bercerita latarbelakang perjalanan hidup saya. Dulunya saya begini dan begini. Bukan yang elok saja, yang kurang elok pun saya berkongsi cerita. Penglibatan saya dalam kerja dakwah, sejarah penglibatan dan pihak mana saya berwala' mula saya berkongsi. Pada saya sebagai kawan tidak salah mereka mengetahui sedikit rahsia perjalanan hidup saya.
Namun bila hati kawan saya beralih arah atas kepentingan peribadi dan politiknya, dia mula menjadi musuh dalam selimut. Rahsia saya tidak menjadi rahsia lagi. Apa yang saya kongsikan akhirnya menjadi bebanan kepada aktiviti saya. Pihak yang berkepentingan dengan mudah memperolehi maklumat apa yang mereka kehendaki dengan maklumat yang mereka perolehi daripada mereka yang melingkari saya sebelum ini.
Apabila saya sedar, mereka yang akrab itu telah meninggalkan saya dan menjauhi saya. Saya baru tersedar bila saya dipanggil oleh pihak berkuasa, penguasa agama dan diberhentikan daripada memberikan khidmat di masjid dan surau. Kata pengerusi masjid kami tidak boleh menjemput ustaz lagi atas arahan. Lebih malang lagi mereka bacakan kepada saya laporan-laporan yang sungguh menyakiti kerana "ianya adalah rahsia saya".
Akhirnya, saya dikenakan tindakan "gam" daripada menyampaikan khutbah, ceramah dan kuliah di masjid dan surau. Kecuali beberapa buah masjid dan surau masih bertegas meneruskan khidmat saya.
Fokus saya ialah kawan yang makan kawan. Dulu mereka ini selalu bersama kita dan hari ini mereka amat jauh dan menyakiti kita. Apa yang mereka "tahu" dijadikan senjata untuk menyakiti kita.
Saya insaf, saya sedar. Semua ini telah menjadi pengalaman berharga dalam hidup saya.
Sebagai ingatan, jangan berkongsi semua perkara dengan kawan, boleh jadi hari ini dia kawan setia kita, esok entahlah, wallahu a'lam boleh jadi seteru kita.
Namun belumlah saya tidak mahu berkawan. Sampai hari ini pun saya tidak serik berkawan. Masih ada ruang husnu dzan saya kepada diri saya dan orang lain. Saya tetap masih mahu berkongsi rasa dan bicara. Belum rasanya untuk bertapa seorang diri. Apa-apa pun berhati-hatilah dalam mencari kawan. Kawan untuk bergelak ketawa senang dapat, kawan menangis sukar dicari.
Semalam PM (dengan mood sedih) telah umumkan pembubaran Parlimen Malaysia bagi memberi laluan PRU13 diadakan. Ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang layak mengundi menentukan hala-tuju negara selepas ini samada kekal di bawah BN atau bertukar kepada PR.
Mengenang sejarah saya mengundi kalau tidak silap saya, pada 29 November 1999, itulah kali pertama saya berpengalaman memangkah undi bagi DUN Bukit Payong dan Parlimen Marang, Terengganu. Dan pada tahun itulah PAS berjaya membentuk kerajaan di Terengganu. Sebulan selepas itu saya telah ditugaskan ke Sarawak. Itulah kali pertama saya mengguna hak saya sebagai pengundi. Dalam pilihanraya seterusnya saya tidak berkemampuan untuk balik mengundi.
Pada PRU12 (2008), ada seorang calon BN yang menelefon saya untuk balik mengundi tapi dia letak syarat kena undi BN lalu saya tolak. Saya kata; "Kalau nak bantu untuk saya menjadi pemilih saya sedia, tapi kalau bersyarat saya tidak mampu menunaikannya. Tiada sesiapa boleh meletakkan bebanan dan paksaan kepada saya untuk memilih siapa yang saya suka". Akhirnya dia berkata , "tak jadilah bagi tiket untuk balik".
Sekurang-kurangnya untuk DUN Bukit Payong dan Parlimen Marang ada dua orang yang tidak melaksanakan haknya sebagai pengundi, saya dan isteri saya. Khususnya pada PRU11 (2004) dan PRU12 (2008). Tahun ini saya tidak pasti akan balik atau tidak. Dengan kekangan kewangan dan kesihatan isteri yang tidak mengizinkan; rasanya sekali lagi kami terlepas melaksanakan hak mengundi ini.
Apapun kepada semua rakyat Malaysia yang tiada halangan dan kekangan, gunalah hak anda sebagai Rakyat Malaysia untuk menentukan siapa pilihan hati di PRU13, undilah secara berhemah dan bijaksana; "Pilihlah Mengundi!!!".
Lama Saya berehat daripada menulis di laman blog saya ini. Kekangan masa disamping "mood menulis" agak berkurangan. Kalau ada idea, tulis je di FB. Ringkas dan padat. Tapi pagi ni rasa nak berceloteh sedikit tantang isi hati.
Rasa hidup ini banyak buat salah, semoga saya masih berpeluang untuk membetulkan keadaan. Alhamdulillah, Allah SWT masih membuka jalan dan menunjuk jalan itu kepada saya.
Saya diingatkan oleh seorang "hamba Allah" betapa saya ada sifat buruk, ego dan tidak berterima kasih kepada orang yang menolong; begini mesejnya kepada saya; "kadang2 apa yg kita buat ikhlas tapi salah pada pandangan org..teringat saya pada seorang hamba allah yg cuba membantu seorang hamba yg terkena sengat kala jengking hamba allah yg membantu ni hanya berpakaian selekeh dan yg di bantu pula berjubah dan berserban setelah selesai hamba yg membantu tdi duduk di tmptnya dan yg dibantu cuma tngk tanpa mengucap apa2 dan hamba yg membantu tdi diam sanbil berfikir adakh perbuatanya satu dosa..."
Membaca mesej ini, saya beristighfar panjang. saya menangis dan sedih. Menangis atas peristiwa sekitar 7 atau 8 tahun yang lalu, saya sudah lupa tahunnya dengan tepat. Saya sedih kerana orang ingat kesilapan saya dan semacam berdendam dengan saya. Lama dia menyimpan perasaan itu kepada saya. Tidak tahulah dia sendiri yang membantu saya suatu ketika dulu atau dia sekadar memberitakan perasaan orang lain kepada saya.
Saya tahu dan faham apa yang ditulis "hamba Allah" ini mengenai seorang yg dibantu satu ketika dahulu...;
"kadang2 apa yg kita buat ikhlas tapi salah pada pandangan org..teringat saya pada seorang hamba allah yg cuba membantu seorang hamba yg terkena sengat kala jengking hamba allah yg membantu ni hanya berpakaian selekeh dan yg di bantu pula berjubah dan berserban setelah selesai hamba yg membantu tdi duduk di tmptnya dan yg dibantu cuma tngk tanpa mengucap apa2 dan hamba yg membantu tdi diam sanbil berfikir adakh perbuatanya satu dosa..."
Bermacam-macam gangguan fikiran dibenak saya; Inilah bisikan hati saya ketika mula-mula membaca mesej itu,
"Kalau betul hamba Allah itu ikhlas mengapa dia rasa melakukan dosa? Dosa-pahala itukan milik Allah, Allah SWT akan membalasnya dengan lebih baik lagi atau sebaliknya. Bahkan orang yang jd mangsa itu pasti ingat dan sentiasa berdoa agar orang yg baik itu mendapat ganjaran yg lebih baik lagi.
~sangat besar kebencian orang yg menolong kepada orang yg ditolong, sehingga mengungkit pertolongannya tidak dibalas dengan terima kasih. sehingga merasa pertolongannya satu dosa.Apa kaitannya pakai baju selekeh dengan pakai jubah/kopiah? Apakah sekadar mahu beri gambaran buruk kepada orang itu. Syukurlah Allah tunjuk kebenaran akan hal ini setelah bertahun2 peristiwa ini berlaku. Kalau perbuatan org kena gigit kala itu salah, maaflah. Kalau rasa tidak berterima kasih, terima kasih. Tp Allah SWT tu Maha Mengetahui atas segalanya. Usahlah rasa terkilan. Allah SWT tidak mengsia2kan amalan baik hambaNYa.
~ kalau orang yg dalam kemalangan atau ditimpa keburukan, haruskan orang yang memberi pertolongan itu berfikir pertolongannya sia-sia, kerana tidak diucap terima kasih serta merta saat itu."
Saya membalasnya; tapi tiada pula respon dia kepada saya;
"saya masih ingat saat saya digigit kala jengking dan dibantu oleh hamba Allah yang saya tidak kenali pada beberapa tahun yg lalu. Sampai hari ini pun saya terfikir siapa org yg bantu saya malam tersebut. Boleh jadi saya terkejut dengan peristiwa tersebut, saya terlupa mengucapkan terima kasih kepadanya. Kalaulah tuan yg membantu saya, saya ucapkan terima kasih atas bantuan yg saya tidak minta. Hanya Allah SWT yg layak membalas kebaikan tuan. Allah mentaqdirkan pertolongan Allah itu daripada tuan. Syukur kepadaNya.Saya ada bertanya dan bercerita kepada org Teku, tp mereka tidak tahu peristiwanya. Kalau tuan kenal atau tuan sendiri yg membantu saya , saya sekali lg ingin ucapkan terima kasih. Kalau tuan rasa terkilan dengan sikap saya, saya bukan manusia maksum. Boleh buat silap kepada sesiapa saja. Sekali lg saya mohon maaf. sifat ego dan sombong itu bukan saya, dan bukan sikap orang2 beriman. Terima kasih juga atas peringatan."
Mengapa perlu rasa berdosa kerana membantu orang lain?
Kalau boleh tidak mahu menyusahkan orang lain, tapi keperluan hidup ini terpaksa menyusahkan orang lain juga. Sampai mati pun terpaksa orang hidup bersusah-payah kepadanya. Kepada mereka yang saya sudah susahkan, berniatlah itu sebagai amal soleh dan sedekah jariah untuk diri sendiri semasa kita masih hidup. Usah merasa bersalah dan berdosa. Rasanya setiap inci langkah kehidupan kita akan saling susah dan menyusahkan kerana keperluan kita untuk saling memerlukan.
Ya, Allah, ampunkanlah segala kesilapan dan kekhilafanku, ampunkan juga "hamba Allah" yang aku tidak kenalinya, balaslah kebaikannya dengan sebaik-baik ganjaran kebaikan. Ya Allah, tidak ada sedikitpun dalam hatiku perasaan ego dan sombong sesama manusia. Jika ada yang engkau ketahui dan aku tidak ketahui, janganlah engkau hisab ke atasku ya Allah. Ampunkan dosaku, sesungguhnya Engkau tuhan yang Maha Pengasih Lagi Maha Pengampun...Amiin, ya rabbal 'aalamiin.
Sebulan mutakhir ini rasa sibuk sangat, tidak menang tangan rasanya menyiapkan kerja-kerja dan tugasan di sekolah dan luar sekolah.
Bantu PPD dan Mengawas PMR 2012
Bermula dengan Kem Pemantapan Sahsiah dan Kem Kemanisan Iman bagi pelajar-pelajarr Tingkatan 4 dan 5 seluruh Sekolah Bahagian Sibu, bersambung dengan pengawasan PMR, seterusnya Kursus Penataran PBS untuk pelajar Tingkatan 2 tahun depan.
Kembali ke Sekolah
Apabila balik ke sekolah perlu menyiapkan banyak kerja-kerja tertangguh, menyiapkan markah pelajar, Sijil-sijil Ko-kurukulum dan membuat persiapan penyampaian sijil dan anugerah kecemerlangan sekolah pada tahun ini.
Bantu Masyuarakat Setempat
Kehadiran Eid Korban, Saya berkesempatan membantu ahli masyarakat melaksanakan tuntutan agama menyembelih binatang korban. Membantu mereka agar mendapat ibadah korban yang sempurna. Banyak juga binatang korban dan aqiqah yang saya tolong sembelihkan. Pada masa yang sama sempat saya mendidik dan melatih beberapa orang rakan ustaz yang kali pertama melakukan sembelihan binatang korban seperti lembu ini.
Pengalaman Yang Tidak Dapat Kulupakan
Pada hari Raya Korban yang ke dua, saya juga membantu sekumpulan orang yang masuk korban. Masalahnya yang hadir ramai perempuan dan yang lelaki sekitar 5 atau 6 orang pula masing-masing tidak ada pengalaman merebahkan binatang lembu. Salah seorangnya awal-awal lagi bercerita gerun melihat orang sembelihkan binatang. "Kasihan sangat"; katanya. Orang yang berpengalaman langsung tidak diajak. Mereka buat korban untuk aktiviti berkumpulan mereka sahaja. Nak jadi ceritanya, orang kampung ada bertanya apakah mereka perlukan bantuan, namun mereka merasakan boleh laksanakan sendiri. Sudah ada orang yang boleh diharap untuk merebahkan lembu nanti. Jadi orang kampung pun tidaklah membantu mereka pada hari itu. Pada hari sebelum ramai orang datang membantu.
Sementara itu lembu yang mahu dibuat korban itu agak garang, hidung pun tidak dicucuk hanya seutas tali kasar di leher sahaja. Ada dua orang lelaki yang ditugaskan untuk merebah lembu itu. Setelah berusaha tidak dapat ditumbangkan juga binatang tersebut.
Saya yang pagi itu telah melaksanakan beberapa sembelihan di tempat lain, datang untuk membantu sembelihan tersebut namun setelah lama menunggu binatang korban itu masih liar dan tidak dapat dijinakkan lagi. Kehadiran saya pula kerana ingin membantu seorang ustaz yang tidak pernah sekali menyembelih lembu. Ini pengalaman pertamanya. Pada asalnya saya membiarkan saja mereka berusaha. Setelah agak lama menunggu kawan saya meminta untuk saya membantu. Saya pun menghampiri dua orang yang cuba memerangkap lembu tadi ala cowboy. Mereka pasang jerat, membuat gelungan tali untuk menjerut binatang tersebut tapi semuanya gagal.
Terpelanting Hampir Dibelasah Lembu Korban
Setelah saya hampiri mereka, saya dapati hanya satu masalah saja iaitu tali leher lembu itu dibiarkan panjang. Saya memaklumkan supaya tali di leher binatang itu kena tarik supaya hidung binatang itu tersendung ke batang besi yang diikat lembu itu tapi tiada siapa yang berani mendekatinya. Lembu itu garang sekali. Dia sudah mengawal sekelilingnya. Saya cuba memberanikan diri akhirnya lembu itu merengus dan berlari ke arah saya. Kaki saya tetiba berundur ke belakang dan tertanam ke dalam selut lembik. Saya tidak mampu bergerak lagi dan rebah ke belakang. Tetiba lembu itu berhenti. Saya terselamat daripada disondol oleh lembu itu. Habis basah dan comot baju dan seluar saya. Nasib baik juga tiada pisau sembelihan saya di tubuh. Lantas saya mendapat ilham untuk menghalau lembu itu dengan tali dan lembu itu menjauhkan diri kebelakang sehingga saya dapat menarik tali yang mengikat leher lembu tersebut. Lantas saya tarik dan meminta ahli korban itu menarik lembu tersebut sehingga hidungnya rapat dengan tiang besi. Bila lembu itu tersendung begitu saya minta dua orang tolong jerut kaki belakang lembu tersebut barulah ia tumbang. Seberapa segera saya ikat kaki lembu itu depan dan belakangnya.
Inilah pengalaman pertama saya merebahkan lembu. Biasanya saya melaksanakan sembelihan sahaja. Bagi saya ia amat bermakna walaupun saya sedikit cemas pada waktu itu. Akhirnya lembu itu dapat dikorbankan dengan sempurna dengan izin Allah SWT.. Sahabat saya pun dapat melaksanakan tugasan pertamanya menyembelih korban tersebut. Alhamdulillah.
Ketika berusia 10 tahun , saya belajar kelas Fardhu Ain dengan arwah Pak Long Mat (Mamat Bin Hassan) setiap minggu balik saja dari solat Jumaat, biasanya setengah ahli masyarakat kampung saya ke Masjid Rusila untuk mendengar kuliah Pagi Jumaat dan menunggu habis jumaat bagi mendengar amanah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Pak Long Mat banyak mendidik saya dengan ilmu-ilmu asas agama dan perjuangan. Dia ada juga menyelitkan siri pengajarannya mengenai perjuangan dan gerakan Islam. Walaupun hanya berlatarkan sekolah pondok Hj Syafie, dia banyak menekuni hal-hal fiqh dan aqidah serta Jihad. Dia ada kesedaran Islam. Saya banyak belajar dengannya. Banyak jasa dan budinya kepada saya sehingga tertanam kemas ilmu-ilmu dan asas-asas agama Islam dalam benak dan jiwa saya. Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni dosa guru saya ini dan meletakkannya beserta orang-orang yang soleh, amiin ya rabbal a'alamiin.
Perjuangan kepartian berpaksikan Islam.
Diusia 10 tahun saya telah ditunjuk oleh guru saya sehingga saya mengenali perjuangan Parti Islam SeMalaysia (PAS). Semangat perjuangan diserapkan kepada anak didiknya walaupun diusia muda. Diajarkan kami dengan takbir; "Allahu Akbar" , Doa Wehdah dan selalu diberikan contoh teladan cerita alim ulama silam dan pemimpin Ikhwanul Muslimin seperti Hassan Al-Banna Dan Syed Qutb.
Tiupan ruh jihad dan perjuangan itu menaikkan semangat juang dan berusaha untuk menjadi insan yang berguna kepada masyarakat. Saya masih ingat pesanannya ; "kalau kita mahukan keberkatan hidup di dunia dan kesejahteraan di akhirat, kita mesti jaga adab di hadapan guru khususnya guru yang menulis dan mengarang kitab, ilmu mereka berkekalan walaupun mereka telah meninggal dunia. Beradab dengan guru seperti kita beradab dengan Rasulullah saw kerana Rasulullah saw tidak meninggalkan harta benda, emas dan perak. Sebaliknya Rasulullah saw meninggalkan ilmu dan orang yang mewarisi ilmu ialah alim ulama. Ulama yang kita lebih kita muliakan ialah mereka yang memanfaatkan ilmunya kepada ahli masyarakatnya khususnya ulama yang tinggalkan khazanah ilmu melalui penulisannya".
"Zaman kita ni macam Tok Guru Ustaz Fadhil Nor (al-marhum), macam Tok Guru Nik Abdul Aziz dan macam Tok Guru Haji Abdul Hadi". Itu selalu guru fardhu ain saya cakapkan, bukan sekali bahkan ianya tertanam di sanubari kami. Masih saya ingat kata-kata guru saya itu.
Boleh dikatakan saya membesar dengan fikrah PAS ini sejak dibangku sekolah rendah lagi.... Dan inilah pilihan perjuanganku sehingga kini.
Di markaz tarbiyyah inilah segalanya ianya bermula dan di sinilah saya menimba segala ilmu pengetahuan.
Saya tekun belajar dengan Al-Fadhil Ustaz Ahmad Bin Awang , saya antara yang suka bertanya dalam majlis dan kuliahnya. saya selalu berada di hadapannya. Walaupun saya kecil dan muda, ustaz selalu melayan pertanyaan saya. Saya syukur saya cepat belajar sementara anak-anak lain rasanya tiada dalam majlis itu. Kuliahnya panjang dan saya tekun belajar.
Tuan Guru Hj Zainal Abidin atau Ustaz Din
antara pentashih al-Quran di Malaysia
Semuanya kerana saya cuba amalkan nasihat guru saya; hormati ulama dan muliakan mereka dengan hadir ke majlis-majlis mereka. Mencari-cari kuliah mereka. Alhamdulillah di usia muda saya leka dengan mencari kuliah agama seperti ini dan saya terselamat daripada kerosakan para belia pada waktu itu. Syukur Alhamdulillah.
Sekali Bah Sekali Pantai Berubah
Alam kanak-kanak saya memang suci dan murni. Tapi sejak saya mula meninggalkan alam persekolahan peringkat sekolah rendah, saya menyambung pembelajaran di SM Agama tapi dipertengahan jalan saya selalu bertemu dengan kawan-kawan baru. Kedudukan sekolah yang jauh dari rumah memaksa saya menunggang basikal separuh jalan dan menaiki bas diseparuh jalan lagi. Bermula dari sinilah saya mula mengenali kawan-kawan baru dan saya agak liar sedikit pada waktu itu. Saya mula berjinak dengan dunia rock dan selalu lepak di Stesen Bas Kuala Terengganu. Balik dari sekolah terus memanjangkan langkah ke Kuala Terengganu.Petang baru pulang. Namun saya masih juga ada kecintaan dengan majlis ilmu dan ceramah-ceramah agama dan ceramah politik. Kata orang muda ; "Rock Tapi Warak". Masa rock saya boleh berseluar ketat , lepak sambil mendengar lagu tapi bila bab ceramah, pakai serban duduk di saf hadapan. Pergi tempat ceramah naik Van atau naik lori . Ramai-ramai pulak tu, seronok duduk belakang.
Dan kini...
Sekali sekala berada di kampung saya tidak lokek untuk mencurah bakti buat anak kampung dan warganya... saya sayang mereka...
beri ceramah motivasi kepada anak-anak remaja
kelas Maharah Al-Quran bagi dewasa
Insya Allah ada banyak lagi hal yang saya mahu bicarakan. Cerita yang memperihalkan tanah tumpah darahku dimana di situlah tarbiyah pertamaku bermula...
Mengenang masa lalu dalam hidup kita adalah sesuatu yang amat menyenangkan, kekadang amat memeritkan pada jiwa. Segalanya menjadi ibrah dan sempadan dalam menyelusuri kehidupan di kemudian hari. Menjadikan saya insan yang bersyukur dan penuh kasih sayang. Ada insan yang saya ingati, ada tempat yang saya kenangi. Kata orang; "tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain."
Sebagai anak yang menjadi mangsa keadaan perceraian ibubapa di usia lima tahun, aku menumpang teduh di rumah kakak ketiga dan abang iparku. Kakak saya itu saudara seibu. Mereka empat beradik. Mereka anak yatim kerana bapa mereka meninggal sejak mereka semua masih keci lagi. Semua mereka tidak bersekolah kecuali abang saya yang keempat (adik bongsu mereka) yang bersekolah dan kini telah menjadi seorang guru. Yang lain hanya hidup di kampung buat kerja kampung sahaja. Perkahwinan ke dua ibuku dengan bapa hanya dapat aku seorang sahaja. Aku anak tunggal tiada adik beradik kandung. Yang ada pada aku ialah adik beradik seibu dan adik beradik sebapa sahaja. Kehidupan mereka amat susah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dengan keadaan rumah yang sempit, tiada bekalan elektrik dan kemudahan asas yang daif, kehidupan kami sangat mencabar pada masa itu. Kehidupan malam kami hanya berhiaskan pelita sahaja. Abang dan kakak kerjanya menanam sayur, kami menghabiskan masa mengurus sayur yang di susun dan diikat untuk dijual seawal pagi kepada peraih. Segala macam pahit getir kehidupan aku tempuh bersama keluarga kerdil ini. Segala kesusahan, kerinduan kepada ayah, aku ulamkan menjadi rencah hidup dan perjuangan yang panjang. Aku lebih bernasib baik daripada abang-abang dan kakak-kakak seibuku kerana mereka anak yatim sedangkan aku ditinggalkan bapa sahaja. Sikap tidak mengalah kepada takdir dengan niat merubah hidup sentiasa tersemat di dada dan sanubari saya.
Dalam usaha merubah hidup, saya anak di usia sembilan tahun merelakan ditinggalkan oleh ibu demi mencari kehidupannya dan akhirnya ibu berkahwin lagi dan menetap bersama suaminya di kampung berasingan dan jauh daripada saya. Dalam setahun hanya beberapa ketika saja kami dapat bersama seperti hari raya dan cuti sekolah. Aku diamanahkan kepada kakak ketiga, anak ibu, kerana rumah hampir dengan sekolah. Di tempat baru ibu, jauh ketinggalan dari segala pembangunan di mana untuk ke sekolah terdekat pun terpaksa berjalan kaki sekurang-kurangnya enam batu merentasi ladang pokok getah yang jalannya seluas dua jengkal jari. Orang pada masa itu ramai menunggang basikal sahaja. Yang ada motorsikal sudah dianggap berada, itupun seorang dua sahaja. Jadi saya perlu berkorban demi pelajaran dan masa depanku. Keluarga kami mana ada basikal.... berjalan kaki sajalah.
Pemberontakkan Sanubari Dan Jiwa
Sejak ibu dan ayah berpisah (seusia lima tahun waktu itu) , ayah pergi dengan keluarga barunya meninggalkan aku tanpa kasih sayang. (Semoga Allah SWT mengampunkan ayahandaku yang telah pergi menghadap Ilahi pada 19 Julai 2000 lalu dan meletakkannya bersama dengan orang-orang yang soleh, doaku tidak pernah luput kepadanya). Anak manja yang sentiasa diulit dengan permainan rebat di kala aku menangis, sedih ditinggalkan pergi tanpa peduli. Perubahan hidup itu amat sukar bagiku. Kerinduan kepada ayah amat memedihkan. Kekadang jika dimarahi ibu, aku mengamuk, melarikan diri dan berjalan kaki berbatu-batu dengan hasrat mencari ayahku. Dan biasanya aku akan berhenti berjalan di satu simpan jalan yang jauhnya tidak kurang lima dan enam batu. Habis semua orang kampung terlibat, memujuk dan mencariku.
Tat kala ibu pula pergi meninggalkan aku, hatiku selalu saja memberontak. Aku tidak lari jauh lagi. Biasanya aku akan bersembunyi di tempat-tempat pelik seperti kandang lembu dan reban ayam. Pernah aku lari dari rumah di waktu malam kerana merajuk dimarahi kakak dan bersembunyi dalam reban ayam di sebuah rumah kejiranan namun orang kampung mencari sampai ke tempat biasa aku lari iaitu di Simpan Batu 9. Namun gerak hati kakak yang membela aku sedari kecil, dapat meneka di mana aku berada. Di kala hari sudah jauh malam, kakak datang memelukku dan membawa aku pulang. Kakak memujuk dan meredakan saya. Air matanya bercucuran membasah rambutku...
"Besarnya pengorbananmu Kak, tidak dapat aku membalasnya. Allah saja yang berhak ke atas segala perit jerihmu membela dan mendidikku. Sebagai adik yang terhutang budi, hanya doa agar Allah SWT selalu merahmatimu setiap waktu dan engkau selalu ada dalam hatiku. Engkaulah sebesar-besar contoh kakak yang baik di dalam hidupku."
Sabarmu kak dalam melayan kerenahku.
Anak Masyarakat
Orang kampung selalu memangilku sebagai "anak yatim-piatu" sedangkan ayah dan ibu masih hidup waktu itu. Mereka yang belas kepadaku selalu mengajak aku makan di rumah mereka. Mereka senang denganku kerana aku anak yang baik. Suka berbual dengan orang tua, pintar dan petrah bercakap. Segala apa yang aku belajar di sekolah cepat aku menangkapnya dan biasanya aku akan mengajar orang kampung yang bersantai di laman rumah mereka. Aku boleh bercerita dan boleh menjadikan mereka terhibur. Aku boleh menyanyi juga. Mungkin darah seni bapaku mengalir dalam darahku. Semasa bapaku bersamaku dia selalu membawaku ketempat persembahan dikir barat dan main wayang kulit dan aku selalu berada di belakang pentas khususnya bila ada Pesta Pantai Di Batu Buruk. Kepetahanku membuatkan orang senang denganku dan biasanya mereka akan bagi aku duit belanja sekolah.
Bila aku meningkat remaja, aku mula liar sedikit. Aku mula berkawan dengan kawan-kawan yang bermasalah. Masa itu aku mula ponteng kelas dan lepak di bandar Kuala Terengganu. Stesen bas lama yang kini menjadi stesen teksi/kereta sewa. Teksi di Terengganu adalah beca di tempat lain.
Aku suka lepak dan dengar lagu-lagu. Jiwa Rock menguasai minda dan jiwaku. Masa tu kumpulan Search , Lefthanded, Ella And The Boys Dan Wing tengah popular. Lagu-lagu dan cara berpakaian mereka jadi ikutanku. Segala lagu mereka aku hafaz dan masih ingat sampai kini. Dan pernah aku buat persembahan pentas di keramaian sekitar kampung dan sekolahku pada waktu itu. Aku masih ingat; aku persembahkan lagu " Aku Cari Damai Di Hati" nyanyian kumpulan GingerBread, . Ragu Rock yang jadi siulanku waktu itu "Fantasia Bulan Madu". Sampai hari ini lagu itu melekat dihatiku. Namun lagu "Hati Lebur Jadi Debu", dendangan Hetty Koes Endang benar-benar terkesan dijiwa. Kerna ia bagaikan bicara dan jeritan batinku....
Status Hubungan:
Berkahwin dengan Puan Rohani HusinBandar Semasa:
Sibu, Sarawak, Malaysia.
Kata-kata Motivasi:
"Orang Mukmin Itu Menjadi Cermin Kepada Orang Mukmin Yang Lain"
"Manfaatkan Facebook Untuk Kemaslahatan Islam dan Umat Islam bukannya Hanyut diUlit Khayalan Ciptaan Musuh Islam"
~ Salam Persahabatan Buat Semua.