Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Showing posts with label Amar Makruf. Show all posts
Showing posts with label Amar Makruf. Show all posts

Saturday, April 14, 2012

Kerana Sudah 12 Tahun Lebih Bertapak Di Sini...


Lumrah hidup di dunia tidak sunyi daripada dugaan hidup baik kecil maupun besar. Ada pasang surutnya. Dalam pekerjaan, dalam alam rumahtangga, dalam perhubungan dan persahabatan, dalam parti dan jamaah.... tidak sunyi daripada masalah. Ada saja yang timbul, ada saja mehnah dan tribulasinya. Walau berapa banyak usaha untuk mengatasinya, pasti ada saja isu dan kelemahan yang timbul. Semuanya kerana semua itu adalah makhluk, sudah tentu  sifat makhluk itu lemah dan tidak sempurna. Yang Maha Sempurna Hanya Allah SWT yang Maha Esa.

mengutip sisa-sisa motivasi bagi membangunkan diri yang hampir jatuh...

Terbangun saya dari tidur yang lena, masa tu jam menunjukkan jam 4.35 pagi. Isteri sedang lena tidur dan mungkin saja diulit oleh mimpinya yang tersendiri. Setelah membersihkan diri, saya menunaikan solat tahajjud dan hajat dua rakaat...merenung jauh kepada apa yang berlaku kepada diri saya akhir-akhir ini. Terasa kian banyak kesilapan yang telah saya lakukan, kian banyak kebencian orang kepada saya... Mengapa ianya berlaku dan terjadi??? Apa sebab dan faktur yang menyebabkan ianya terjadi??? Lama saya berfikir...

Saya teringat kepada mesej yang saya terima: " Ust Isa, anta sombong, riak dan ujub dengan ilmu. Kalau rasa bijak sangat, tak boleh terima pandangan orang,  balik negeri sendirilah atau buat negeri sendiri jd tak perlu ikut undang-undang, buat undang-undang sendiri..."

"kalau awak rasa awak baik sangat, balik Semenajung, apa awak ingat orang sini jahat sangat ke? Orang dekat Semenanjung lagi banyak buat jenayahlah.. tengok sendiri, buka TV, surat khabar siapa duduk buat jenayah... balik negeri buat dakwah dekat sanalah, bukan sini"

Keras sekali kata-kata itu, apa yang telah saya buat sehingga benci benar mereka yang tidak saya ketahui tapi seperti orang dekat sekeliling saja... apa yang membuatkan dia sakit hati sekali kepada saya. Kalau saya silap usahlah babitkan orang lain yang saya tidak bertanggungjawab terhadap mereka. Saya hanya menyampaikan dakwah, amar makruf, nahi mungkar sahaja. Bukan saya berlagak jadi baik dan menunjuk-nunjuk saya baik. Saya sedar saya ustaz di sekolah saja tidak ada title hebat dan itu tidak bermaksud saya tidak boleh berdakwah. "saya hanya menyampaikan walau dengan sebaris ayat sahaja".

Dua minggu lepas tanpa segan silu seorang hamba Allah mengutuk saya sebagai punca fitnah dan kejahatan. Sebagai orang yang kepoh dan suka memburukkan orang. Apabila saya beristighfar, dia membalas; "Itu saja yang awak tau, buat buruk lepas tu beristghfar, awak ingat dosa awak diampunkan Allah? Usah sibuk pasal orang lainlah, betulkan diri sendiri dulu" katanya dengan penuh emosi sehingga jelas getar suaranya.

Kesilapanku; Kerana Aku Bertahan 12 Tahun Di Sini...

Ya, saya manusia biasa dan banyak silapnya.... Tapi satu kesilapan besar yang saya buat ialah kerana saya tinggal lama di sini. Sudah 12 tahun lebih dan selama itu jugalah agaknya saya telah menyakiti banyak insan yang tinggal di kejiranan saya di sini. Dan dalam tempoh itu amat benarlah saya telah berbuat banyak kesilapan dan keburukan sehingga tiada kebaikkan yang boleh orang lihat lagi...

Rasanya inilah tempoh masa terbaik untuk saya pergi... melangkah keluar daripada kemudharat yang timbul. Saya tidak ubah seperti satu anggota buruk yang berpenyakit yang mesti dipotong dan dibuang demi kebaikan anggota yang lain. Kalau faktor 12 tahun saya mengumpul kejahatan maka ada baiknya saya berlalu pergi.

Izinkan saya permisi dahulu... kalau itu yang terbaik buat semua. Semoga ada sinar cahaya dan janji bahagia ditempat lain pula.

Insya Allah SWT...

Saya teringat-ingat akan bicara seorang sahabat, ustaz tidak isi borang pindah lagi ke??? Saya jawab "sudah isi diharap ianya baik untuk saya dan untuk semua". Biarpun sekadar isi borang pindah sekurang-kurangnya orang tahu saya sudah ada keinginan untuk pergi... Saya berdoa agar Allah SWT mempermudahkan urusan saya walaupun saya sedar bukan senang untuk mendapat tempat yang sesuai untuk berpindah. Kalau ada dalam ilmu dan iradah Allah saya berpindah, pindahlah saya, insya Allah.

Untuk sekian kalinya saya membuka talian e-GTukar dalam sejarah perkhidmatan saya. Ini kali pertama, sungguh!!! Saya tidak mengganggap ini kekalahan dalam hidup saya tapi jalan ke arah membuka lembaran baru dalam sejarah perkhidmatan saya sebagai guru dan daie di jalan Allah SWT.

Kata seorang sahabat saya; "Kalau ustaz dapat pindah balik negeri sendiri dengan sekali buat permohonan pindah, ustaz memang sungguh hebat". Semoga ada keajaiban itu, insya Allah.

Saya tidaklah bermaksud saya kecewa tapi bagi menjaga kemaslahatan anggota lain agar tidak terus menderita sakit dan ada jalan penyembuhannya.... Kalau belum dibuka jalan itu maka terus menerus anggota-anggota itu akan menanggung kesakitannya... Kasihan sungguhlah kepada mereka.


Sunday, January 30, 2011

Doa Untuk Kemenangan Perjuangan Islam

Doa Tuan Guru Nik Aziz
(Mursyidul Am PAS)



"Wahai Tuhan Kami, berilah kami perasaan takut kepadamu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan dan berilah kami ketaatan kepadamu yang menyampaikan kami ke syurgamu, dan berilah dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia."

"Wahai tuhan kami berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami. Dan janganlah engkau jadikan bencana bagi kami dalam ugama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya dami dan tidak sampai batasan ilmu kami. Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami."

"Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungan dengan nur kesucian Engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat Jalal engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik." "Wahai tuhan kami, Engkaulah penolong kami, maka kepada Engkau kami mohon pertolongan. Wahai tuhan kami, Engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada Engkaulah kami pohon selamat. Wahai tuhan bagilah kelemahan dan kehinaan yang mana segala tengkuk pembesar dunia."

"Dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun, selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman siksamu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada tuhan bagi kami melainkan Engkau demi kebesaran wajah Engkau dan kemuliaan kesucian engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba Engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari Engkau wahai tuhan yang Maha Pemurah."

"Wahai Tuhan sama ada Engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan kamu menundukkan mereka seperti seperti kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun kamu lipat balik rancnagan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri , dan kamu hancur leburkan pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan pendirian mereka dan Ya Allah turunkan bendera mereka rapat ke bumi, Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya, Wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu."

"Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungnan kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat mengubati hati dan menjadikan penawar, menyihatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian."
Amim..ya Rabbal a'lamim................

Monday, September 01, 2008

Al-Hikmah Adalah Permata Orang Mukmin Yang Hilang

Oleh isma daud

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan selamat berpuasa kepada muslimin dan muslimat. Marilah kita menjernihkan jiwa kita dalam bulan yang mulia ini dengan memperbanyakkan zikrullah dan amalan yang soleh. Caranya dengan memperbetulkan niat kita supaya ianya benar-benar ikhlas kerana Allah SWT dan dalam masa yang sama kita pastikan amalan kita benar-benar menepati syarak sebagaimana yang diajarkan oleh nabi kita Muhammad saw. Jika ini kita lakukan insya Allah SWT amalan yang kita lakukan akan menjadi sebenar-benar ibadah yang akan mendapat mardhatillahi SWT.

Apa yang menarik perhatian saya kali ini ialah apa yang dipaparkan oleh Harakahdaily tentang ucapan KM Pulau Pinang bahawa konsep "amar makruf, nahi mungkar" adalah konsep yang baik dan mampu mengekang maksiat dan mampu mendidik manusia menjadi orang yang betul dan berguna.

Terfikir saya bahawa sudah lama para ulama kita di Malaysia bercakap tentang konsep ini tetapi ia tidak dapat dinilai oleh manusia dengan baik kerana konsep itu tinggal dalam "kotak konsep" sahaja tanpa mampu diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan. Orang Islam semacam tidak percaya dengan gagasan yang diunjurkan oleh Allah swt. Beberapa pihak pula macam sinis menyebut "amar makruf dan nahi mungkar" kerana pihak ini tidak pernah bersungguh-sungguh melaksanakannya biar pun sekian lama memerintah negara. Sifat tidak beriman , suka bermain dengan hukum Allah SWT menzahirkan lagi sifat nifaq yang ada dalam jiwa mereka apa bila kita lihat perkataan dan tindak tanduk mereka yang "menzahirkan lagi perasaan "sinis" mereka dengan gagasan ini.

Ya, atas sifat mereka itulah hari ini kita lihat negara kita sedang di ambang kemurungan dan kerosakan. Negara yang mencapai kemerdekaan ini sejak 51 tahun dahulu hilang serinya walau bermacam kosmetik sedang disolek diwajahnya tetapi ketara sekali murungnya. Kenapa? Kerana terlalu sarat negara ini menanggung penderitaan rakyatnya yang sedang dihimpit oleh kebejatan, kerosakan dan kecelaruan pemimpin yang memimpin dan keruntuhan nilai rakyatnya yang dihinggapi pelbagai penyakit sosial dan moral.

Sekali lagi kenapa? Jawabnya kerana negara kita hari ini dipimpin oleh mereka yang tidak yakin dengan gagasan "amar makruf dan nahi Mungkar" yang diajar oleh Allah SWT. Dan rakyat pula memahami konsep ini dalam rupa yang celaru sekali. Pernah dipaparkan dipapan-tanda kempen anti dadah di tulis "Jauhi maksiat ; Tanpa Dadah Keluarga Bahagia". Dibawahnya dipaparkan gambar orang lelaki dan perempuan yang bahagia tanpa dadah tanpa pula si perempuan itu menutup aurat. Dadah dilihat maksiat tetapi buka aurat pula tidak dilihat sebagai maksiat. Inilah rupa bentuk nifaq dan kecelaruan dalam fikiran umat Islam kita dan kita sedang dijajah oleh kecelaruan ini.

Saya melihat apa yang diucapkan oleh KM Pulau Pinang ; Lim Guan Eng sebagai kalam hikmah orang Islam yang hilang yang ditemui oleh oarang bukan Islam. Tidak peliklah jika kita melancong ke luar negara kita dapati nilai Islam itu ada dalam masyarakat bukan Islam. Kenapa? Ini kerana mereka tidak faham Islam tetapi mereka percaya bahawa nilai yang baik boleh diamalkan oleh siapa sahaja. Tetapi umat Islam jika anda tidak percaya kepada ajaran wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT maka anda akan digantikan dengan umat lain untuk mempraktikkan hikmatullah itu.

Marilah kita semua menjernihkan hati kita dalam bulan Ramadhan ini untuk membaca Al-Quran dan Al-Hadis serta cuba memahami serta menghayati kedua-duanya agar kita dapat keluar daripada kotak penjajahan pemikiran dan kecelaruan minda ini. Keluarlah dari penjajahan nifaq yang ragu terhadap hukum dan ketetapan Allah SWT dan Rasulnya. Marilah kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan berjuang atas kebenaran itu. Jauhilah diri kita daripada mereka yang melakukan kezaliman ini supaya kita nanti tidak disentuh oleh api neraka.

Fikirkanlah : "Musuh yang cerdik itu lebih baik daripada Kawan yang Bodoh".

Sebagai sendal saya siarkan apa yang dilaporkan oleh Harakahdaily...

Hanya 'Amar Makruf Nahi Mungkar' boleh cegah jenayah - Guan Eng

Mohd Sabri Said

Mon | Sep 01, 08 | 3:06:40 pm MYT

PERMATANG PAUH, 1 Sept (Hrkh) - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyeru semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, keturunan atau bangsa mengamalkan 'Amar Makruf Nahi Mungkar' jika mahu segala masalah seperti kadar jenayah, kecurian, rasuah dan penyelewengan dapat dikurangkan.

Ujar beliau, hanya dengan mengamalkan kebaikan sambil menghindarkan perkara yang boleh menghampiri perbuatan terkutuk negara dapat diselamatkan daripada hancur.

"Sempena bulan puasa ini saya menyeru semua pihak tidak kira apa bangsa dan agama sekali pun marilah kita bersama-sama mengamal ' Amal Makruf Nahi Mungkar' sebagai jalan terbaik untuk atasi gejala moral di negara ini, " tegasnya sewaktu memberikan ucapan sempena Makan Malam Pakatan Rakyat Pulau Pinang meraikan kemenangan Dato' Seri Anwar Ibrahim di tapak Ekspo Seberang Jaya semalam.

Beliau percaya, semua agama mengamalkan kebaikan maka tidak menjadi kesalahan sekiranya rakyat yang cintakan keharmonian, kesejaheraaan, keadilan dan ketamadunan sejagat.

Menurutnya, negara akan terus maju dengan sikap atau amalan tersebut kerana ia terbukti dengan pemerintahan secara Islam yang mementingkan kaedah berkenaan.



Guan Eng berkata, setelah mencapai kemenangan dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh semua petugas jangan bersikap sombong dan bongkak kerana sikap sebegitu boleh mengundang kemarahan orang ramai yang akhirnya menggagalkan matlamat Pakatan Rakyat. (Gambar - Lim Guan Eng berucap, hadir sama Dato' Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Dato' Zaharin Hashim dan Ustaz Salleh Man).



Katanya, petugas atau pun ahli parti di parlimen Permatang Pauh hendaklah mengerakkan semua organisasi seperti biasa serta senantiasa bersiap sedia membantu masyarakat.

"Kita dah menang dan untuk menjagai kemenangan satu tugasan yang amat berat. Maka, ia perlu kerjasama yang baik daripada semua parti dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Kerajaan negeri katanya, mengemukakan lima prinsip yang patut diikuti untuk mengujudkan situasi yang aman dan makmur dalam urus tadbir pemerinthan.

Pertamanya, pemerintahan mesti bersih. Kedua, cekap dalam segala bidang urus tadbir yang membabitkan kakitangan kerajaan ataupun swasta.

Ketiganya,pemerintahan berlandaskan demokrasi yang betul,

Keempatnya pula, mengwujudkan perpaduan dengan lebih sistematik serta memperkasakan rakyat berbilang bangsa dan ke lima, perlu menegakan sifat keharmonian, rendah diri dan merdeka secara hakiki. - mr _
 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |