Peti Undi Masih Kosong |
Semalam PM (dengan mood sedih) telah umumkan pembubaran Parlimen Malaysia bagi memberi laluan PRU13 diadakan. Ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang layak mengundi menentukan hala-tuju negara selepas ini samada kekal di bawah BN atau bertukar kepada PR.
Mengenang sejarah saya mengundi kalau tidak silap saya, pada 29 November 1999, itulah kali pertama saya berpengalaman memangkah undi bagi DUN Bukit Payong dan Parlimen Marang, Terengganu. Dan pada tahun itulah PAS berjaya membentuk kerajaan di Terengganu. Sebulan selepas itu saya telah ditugaskan ke Sarawak. Itulah kali pertama saya mengguna hak saya sebagai pengundi. Dalam pilihanraya seterusnya saya tidak berkemampuan untuk balik mengundi.
Pada PRU12 (2008), ada seorang calon BN yang menelefon saya untuk balik mengundi tapi dia letak syarat kena undi BN lalu saya tolak. Saya kata; "Kalau nak bantu untuk saya menjadi pemilih saya sedia, tapi kalau bersyarat saya tidak mampu menunaikannya. Tiada sesiapa boleh meletakkan bebanan dan paksaan kepada saya untuk memilih siapa yang saya suka". Akhirnya dia berkata , "tak jadilah bagi tiket untuk balik".
Sekurang-kurangnya untuk DUN Bukit Payong dan Parlimen Marang ada dua orang yang tidak melaksanakan haknya sebagai pengundi, saya dan isteri saya. Khususnya pada PRU11 (2004) dan PRU12 (2008). Tahun ini saya tidak pasti akan balik atau tidak. Dengan kekangan kewangan dan kesihatan isteri yang tidak mengizinkan; rasanya sekali lagi kami terlepas melaksanakan hak mengundi ini.
Apapun kepada semua rakyat Malaysia yang tiada halangan dan kekangan, gunalah hak anda sebagai Rakyat Malaysia untuk menentukan siapa pilihan hati di PRU13, undilah secara berhemah dan bijaksana; "Pilihlah Mengundi!!!".
No comments:
Post a Comment