Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Tuesday, November 06, 2012

Sifat Nifaq Dalam Hati Dan Perbuatan Seseorang

Nota Kuliah Subuh
4 November 2012

Dalam pencarian saya terhadap kata pokok "NAFAQA" terdapat 111 kali sebutan dalam al-Quran pada 86 ayat Al-Quran.. Ia merangkumi maksud bagi nafaqah, infaq, nifaq dan munafiq. Dalam pencarian saya di internet saya singgal di laman blog MENCARI KEBENARAN dan menukilkan perkataan Imam al-Qurthubi dalam menerangkan maksud “Yunfiqun”. Beliau mengatakan bahawa perkataan “nafaqa” ini digunakan dalam berbagai bentuk dan penggunaan antaranya:
 i) – الإنفاق yang bermaksud mengeluarkan harta
 ii) – النافقاء nama kepada lubang arnab atau biawak pasir(dhab) yang digunakan untuk menyelamatkan dirinya ketika lubang utamanya tidak selamat untuk keluar melaluinya.
iii) – المنافق dinamakan seseorang dengan nama munafik kerana dia keluar dari keimanan atau iman keluar dari hatinya.
iv) – السراويل نيفق lubang kaki seluar
 v) – نفق الزاد habis atau binasa bekalannya

Melalui pembacaan, pendengaran dan pemerhatian, tidak kurang daripada 30 sifat yang menjadikan seseorang itu ada sifat nifaq. Pemerhatian ini baik melalui pengalaman hidup apatah lagi penjelasan-penjelasan Allah SWT di dalam Al-Quran mahupun hadis Nabi SAW.

Ayat-ayat ini menjelaskan sifat golongan Minafiqiin atau Munafiqaat. Ada dua jenis sifat munafiq ini;
1) Munafiq Hati (Aqidah/i'tiqadi)
2) Munafiq Perbuatan / Amalan (samada Syariat atau Akhlak)

Munafiq Aqidah

Ada munafiq aqidah yang menyembunyikan kekufuran dalam hati mereka dengan menzahirkan keislaman mereka. Mereka inilah yang menjadi musuh paling berbahaya di zaman Rasulullah SAW yang memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

Merekalah yang disifatkan oleh Allah SWT melalui firmanNya yang bermaksud; "Mereka berkeadaan "muzabzab" (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman). dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka Engkau (Wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya." (An-Nisa ; 143)

Allah SWT menyifatkan mereka sebagai penghuni neraka paling bawah; إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا "Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah (lapisan-lapisan dalam) neraka. dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. (An-Nisa ; 145)

Nifaq penyakit umum masyarakat 

Nifaq ini adalah nifaq ciri-ciri yang ada dalam tingkah laku dan perbuatan seseorang. Boleh jadi ada pada saya dan sesiapa saja. Munafiq ini dinamakan Munafiq Perbuatan.

Semoga mengenali sifat ini kita berusaha menghapuskannya dan ia tidak menjadi parasit dalam batang tubuh kita yang merosakkan diri dan pergaulan kita sesama muslim dan orang ramai yang berada di sekeliling kita.

Saya melewati firman Allah SWT dalam ayat 204 - 206, surah Al-Baqarah maksudnya; Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan Engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa Yang ada Dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu)(204). Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.(205) Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah Engkau kepada Allah" timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan Demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.(206).

Setelah membaca ayat-ayat ini,dapat saya menyenaraikan beberapa ciri Nifaq;

30 Sifat

Pada hemat dan perincian saya terdapat 30 Sifat yang apabila ada pada diri seseorang menjadikannya ada sifat Nifaq;

1. Orang yang hebat pada tuturkatanya sehingga orang terpedaya dengan tipudaya dan janji dunianya.

2. Suka bersumpah dengan nama Allah walau dalam perkara kecil dan bertujuan menyembunyikan pendustaan.  menjadikan sumpah sebagai perisainya.

3. Keras permusuhannya terhadap Nabi dan Islam. Pada zaman sekarang sikap keras ini ditujukan kepada mereka yang berlitima' kepada para daie, jamaah dan harakah Islam.

4. Melemahkan semangat juang orang Islam dan melumpuhkan perancangan mereka dengan mecuri maklumat mereka dan menyerahkan rahsia orang Islam kepada musuhnya

5. Melakukan kerosakkan atas muka bumi atas nama pembangunan padahal mereka sangat berkehendakkan kepada habuan dunia. Slogan mereka pembangunan untuk semua walaupun merosakkan alam sekitar dan membahayakan kehidupan manusia itu sendiri.

 6. Bencikan kerja Taqwa dan Iman. Bahkan mengenggap menghalang mereka daripada memperolehi kehidupan dunia yang mereka dambakan.

7. Bersikap Sombong dan keras hati, bertindak menentang kebenaran

 8. Terus menerus melakukan dosa walaupun diajak untuk bertaubat. Mereka berpaling dan tidak mengendahkan ajakan keampuanan dan taubat.

 9. Bersikap "muzabzabin" dan bermuka-muka dan hipokrik. Bersama orang Islam mereka mengatakan keislaman mereka dan bila bersama golongan kufur; mereka berkata bahawa perkataan mereka besama orang Islam itu hanya permainan lidah sahaja. Dalam surah An-Nisa bermula 143- 145 Allah mendedahkan lagi sifat-sifat mereka ini;

10. Suka berdusta bila berkata-kata. Dalam surah Al-Munafiquun adalah menjelaskan lagi ciri-ciri mereka ini; Firman Allah SWT. إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَكَاذِبُون "Sesungguhnya orang-orang Munafiq itu adalah pendusta (Al-Munafiun ;1)

11. Khianat terhadap amanah. 

12. Melampau batas bila bertengkar dan bergaduh 

13. Memungkiri janji apabila berjanji 

Sifat-sifat ini sangat masyur disebut dalam hadis tanda sifat nifaq.

14. Bermalas-malasan ketika mendirikan solat. Firman Allah SWT;
   وَلَا يَأْتُونَ الصَّلَاةَ إِلَّا وَهُمْ كُسَالَىٰ
 Maksudnya; "Dan tidaklah mereka itu mendirikan solat melainkan dalam keadaan malas". (At-Taubah; 54)

15. Bersedekah dengan hati yang berat dan kikir . Firman allah SWT; وَلَا يُنفِقُونَ إِلَّا وَهُمْ كَارِهُونَ maksudnya; "tidak pula mereka menginfaqkan harta melainkan dalam keadaan penuh kikir dan kebencian" (At-Taubah; 54)

16. Melakukan Kemungkaran dan Mencegah Kebaikan الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُم مِّن بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ Maksudnya; "Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan Yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang Yang fasik.". ( At-Taubah ; 67)

17. Riak dan menunjukkan kebaikannya. Orang munafiq itu kalau berbuat kebaikan dia riak dan mahu orang nampak dan memuji mereka.

18. Tidak memperdulikan kaum muslimin. Perangai ini ditunjukkan oleh orang Madinah yang hadir majlis Rasulullah, mereka datang awal dan berada dihadapan Rasulullah. Apabila ruang penuh sesak datang para sahabat yang berhijrah bersama Rasulullah untuk sama mengikuti pengajaran Rasulullah, mereka tidak mahu memberi ruang. Maka Allah SWT menurunkan ayat dalam surah Al-Mujadilah; ayat 11 menegur perbuatan mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud; "Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.

19. Berbangga dengan keturunan dan puak sendiri. Firman Allah SWT yang maksudnya; "Harta benda mereka dan anak pinak mereka tidak sekali-kali akan dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari azab Allah. merekalah ahli neraka, mereka tetap kekal di dalamnya. (setelah nyata kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadanya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu; dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikian) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa Sesungguhnya merekalah golongan pendusta. (Al-Mujadilah; 17-18)

Dalam surah Al-Munafiquun ayat 7 dan 8 Allah SWT menceritakan perkataan orang Munafiq; "Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah Yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang Yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)". padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun Yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan Dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang Yang munafik itu tidak memahami (hakikat Yang sebenarnya).. Mereka berkata lagi: " Demi sesungguhnya! jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang Yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang Yang hina lagi lemah (pihak Islam)". padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang Yang beriman; akan tetapi golongan Yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).

20. Sedikit berzikir dan gelisah berada dalam majlis zikrullah

21. Mencela orang yang alim dan soleh. Memuji orang yang berharta, berkedudukan. Biasanya dalam usaha mendapat manfaat duniawi.

22. Suka berbisik-bisik dan sebar berita dusta. Firman allah SWT yang bermaksud; "Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang Yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan Dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang Yang beriman berserah diri." ( Al-Mujadilah; 10)

23. Tidak Redha Dengan Takdir Allah SWT dan bersangka buruk terhadap Allah SWT. Firman Allah SWT; "Dan supaya ia menyeksa orang-orang munafik - lelaki dan perempuan, dan orang-orang musyrik - lelaki dan perempuan, Yang menyangka terhadap Allah Dengan sangkaan Yang buruk (bahawa ia akan mengecewakan RasulNya). atas merekalah tertimpanya bala bencana Yang dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka Jahannam; sedang neraka jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (Al-Fath ; 6)

24. Mengasing diri daripada jamaah orang Islam dan meninggalkan solat berjamaah. 25. Gembira dengan musibah dan malapetaka yang menimpa orang lain. "Padan Muka", katanya.

26. Melaga-lagakan orang lain supaya mereka selalu hidup bermusuhan. Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya “Madaarij as-Salikin” mengatakan: “Sesungguhnya Islam telah banyak menderita oleh sebab kejahatan mereka(orang-orang munafik). Mereka menamakan diri mereka Islam, mereka pula berlagak seakan-akan mengangkat martabat Islam dan membela Islam dan memberikan sokongan dan kesetiaan yang padu kepada Islam. Padahal, hakikatnya mereka memusuhi dan berusaha menghancurkan Islam dari dalam. Orang-orang jahil dari ummat Islam menyangka orang-orang munafik ini adalah orang yang cedik lagi pandai dan amat baik perangainya, tetapi hakikat sebenarnya disisi Allah ialah orang-orang munafik ini adalah jahil(bahkan amat-amat jahil) dan ingin merosakkan Islam.

 27. Menyangka semua perkataan ditujukan kepadanya. Orang Munafiq merupakan orang yang sakit hatinya. Mereka selalu mengangkap perkataan orang lain selalunya ingin ditujukan kepadanya. Ini kerana jiwa mereka sarat dengan perkara-perkara yang ingin disembunyikan.Firman Allah dalam surah al-Munafiquun, ayat 4; "dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya, maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka.

28. Meragukan orang lain kepada kebenaran. Mereka sering bertanya, "Awak percayakah kepada kata-katanya? Boleh jadi orang-orang yang beriman itu ingin menipu kamu".

29. Selalunya suka beralasan. Suka berdalih padahal semuanya bertujuan menyelamatkan diri dan menipu orang lain. Seingkali dikaitkan dengan sumpah seperti dijelaskan sebelum ini.

30. Lari daripada medan jihad dan saat-saat kaum muslimin memerlikan tenaga mereka. Bahkan mereka lebih suka menjadi alat kepada musuh Islam.

Rumusan dan Penutup
Semoga sedikit catatan ini dapat membantu kita memperbaiki diri dan diselamatkan oleh Allah SWT daripada golongan Munafiqiin yang sangat berbahaya kepada kehidupan seorang Muslim bahkan menyebabkan kemurkaan Allah SWT seta azabNya yang sangat pedih di hari akhirat nanti.

No comments:

Post a Comment

 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |