Sudah masuk hari ke 10 berada dalam bulan Ramadhan tahun ini. Setelah melalui beberapa ujian kehidupan, kehadiran Ramadhan tahun ini disambut dengan rasa syukur. Ini kerana menjelangnya hari penuh ibadat bagi umat Islam ini , saya menerima surat pengesahan bahawa perpindahan saya dari Sarawak ke Johor dibatalkan. Isu yang menjerut perasaan ini berakhir dua hari sebelum bulan Ramadhan datang bertamu. Jadi saya dapat menumpukan kepada meningkatkan amal ibadah dalam bulan ini dengan tenang, alhamdulillah.
Dalam bulan Ramadhan tahun ini saya turut diundang untuk menjadi imam solat sunat Terawih di beberapa surau sekitar kediaman. Selebihnya saya banyak mengfokuskan masa bersama keluarga dan aktiviti Masjid An-Nadwah, SMK Rosli Dhoby. Rasa syukur yang tidak terhingga sehingga hari ke 10 ini aktiviti Tadarrus Al-Quran masih mendapat sambutan pelajar. Sebelah malamnya solat Terawih diadakan bergabung dengan pelajar SM Vokasional Sibu. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.
Ramadhan mengajar erti sabar, prihatin, syukur dan ikhlas. Itulah nilai yang ingin sekali saya terapkan dalam diri ini. Semoga Ramadhan kali ini memberi seribu erti agar menjadi insan yang lebih taat kepada Allah dan sentiasa gigih berbakti kepada sesiapa saja. Niat saya ingin dekat dengan ibu sendiri belum kesampaian apabila isu perpindahan ke kampung halaman sebelum ini dibatalkan. Kini saya menunggu lagi agar hari itu akan hadir jua suatu hari nanti. Saya akan selalu berdoa agar Allah sentiasa mendengar suara hati saya dan mempermudahkannya, Insya Allah. Andai inilah Ramadhan terakhir saya, mudah-mudahan semua amal ibadah saya diterima oleh Allah SWT.
Ya Allah, Kami bermohon kepadaMu akan Redha dan SyurgaMu, Kami jua memohon agar kami semua dilindungi daripada Murka dan NerakaMu. Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia, Yang amat Mencintai Kemaafan, Maafkanlah segala kesalahan dan dosa kami. amiin, Ya Rabbal 'Aalamiin.
No comments:
Post a Comment