Mohd Isa menulis;
"jahat dan pandai (bijak) ni kekadang datang sekali gus, jahat ini selalu dilihat pandai. Kita kena tahu bahawa orang jahat selalu dilihat pandai apabila dia pandai untuk mengolah perkara salah sehingga orang anggap benda itu betul. berhati2lah dengan golongan ini."
Pada hari Isnin yang lalu saya ada meletakkan penyataan ini di status fb saya kerana kesempitan masa untuk menulis perihal ini. Dan Alhamdulillah saya nampak status saya itu dicopy &paste oleh beberapa orang rakan fb dan mendapat komen yang baik difb mereka itu, maknanya orang bersetuju dengan pandangan ini. Saya memang ingin sekali membuat komentar perihal ini tapi tugasan rasmi masih berjalan dari pagi sampai petang dan sebelah malam pula ada kuliah fiqh di masjid dan surau. Sebelah malam memang tidur awal kepenatan.
Dengan sedikit ruang yang ada ini saya ingin memanjangkan sedikit memperihalkan persoalan ini.
Kita Sering Tertipu
Saya menulis sedemikian kerana kerapkali berdepan dengan manusia sebegini. Suka bersedekah, selalu mendepani isu-isu masyarakat dan seringkali muncul di khalayak ramai sebagai pembawa watak yang cukup memikat sebagai pemimpin berwibawa atau "hero" dan cepat ambil tahu perihal orang bawahannya dan orang ramai umumnya. Yang lebih hebat lagi selalu muncul sebagai orang kuat beragama malangnya agama itu diperkudakan untuk dirinya bukan untuk menegakkan agama Allah SWT itu sendiri.
Pada hal kita tahu disebalik segala kebaikan itu tersimpan banyak kezaliman dan penindasan yang dilakukannya demi menjaga status dan kedudukannya. Mana-mana orang yang dirasakan mengancamnya akan ditindasnya termasuk rakan-rakannya dan mereka yang hampir kepadanya sekalipun. Bahkan kerakusannya itu melewati orang-orang jujur dan ikhlas, yang tidak berkepentingan apa-apa. Mereka juga dimangsakan. Sebagai contohnya dalam usahanya membangunkan kampung, masjid surau tetapi dalam masa yang sama dia mengkhianati para imam , para ustaz yang ingin menyampaikan ilmu dan peringatan kepada masyarakat dihalangnya. Dengan kedudukannya dia menghalang orang lain agar tidak terus memberi ilmu kepada masyarakatnya.
Kenapa dia sangat terkesan dengan mereka ini? Mereka yang jujur ini? Kerana dia bimbang berkembangnya ilmu dan kesedaran dalam masyarakat, maka berkembanglah kesedaran ahli masyarakat dan dibimbangnya segala serakah dan kejahatannya disedari oleh orang ramai dan kebathilannya terbongkar. Maka dengan jiwa yang busuk, dia sedari awal lagi semampu boleh cuba mengekang segala bentuk kesedaran agar dia terus berkuasa dan mampu menipu maanusia lagi... Semuanya dilakukan untuk meneruskan cita-cita besarnya dan terus berada dipersada singgah sana. Apatah lagi dengan berada di tampuk yang mampu menguasai kedudukan dan kekayaan hasil mahsul di bumi ini maka bermaharajalelalah dia dengan kekuasaannya itu.
Kebaikan yang ditabur hanya semata-mata untuk terus mendapat sokongan dan seterusnya mengekalkan kedudukan diri dalam hati manusia yang lemah.
Untuk mengenal orang yang ikhlas memang susah kerana keikhlasan itu milik hati yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Cuma kita selaku manusia dapat meneka hati orang melalu pengalaman percakapan dan pergaulan sahaja. Kita hanya menghukum apa yang zahir (nyata), sementara Allah SWT mengurus dan mengetahui apa yang tersembunyi dan bersifat batin.
Namun dunia ini adalah tempat yang penuh "GHARUR", penuh dengan lakonan dan tipudaya. Sesiapa yang dapat memanfaatkan kebijaksanaannya dengan sifat buruk ini akan menjadikannya orang yang sentiasa dipandang elok dan nampak baik di mata orang lain. Dengan cara ini keburukkan seseorang itu menjadi kecil dan kadang-kadang orang langsung tidak percaya akan adanya kejahatan yang dilakukan itu. Kebijaksanaanya menipu dan memperdaya tadi menjadikannya menjadi insan baik sepanjang masa dan sukar orang mempercayai akan keburukkannya.
Apatah lagi kita selalu disuruh supaya menutup keaiban orang lain dan tidak mendedahkannya. Jadi sesetengah orang yang bijak mereka memanfaatkan perihal ini sebaik mungkin. Sebab itulah ramai orang buat amal kebajikan untuk menutup kejahatan yang dilakukan. Orang tahu kejahatannya tapi orang kabur dengan kebaikan yang telah dilakukan... akhirnya orang tutup mata, telinga dan mulut. selamatlah dia di dunia...
Beginilah caranya syaitan dan kejahatan nafsu dalam diri menipu dan memperdayakan kita semua. Sebab itu saya berpesan agar kita semua sentiasa peka dengan golongan berkepentingan seperti ini. Mereka ini sangat licik dan biasanya menggunakan kekayaan, kekuasaan untuk menutup segala kebobrokkannya. Mereka cuba untuk membeli jiwa orang lain dengan wang-ringgitnya.
Oleh sebab itu kita umat Islam mesti ada keberanian menentang kemunafiqkan golongan ini kerana mereka sebenarnya musuh Allah SWT dan selalu mempergunakan orang lain untuk kepentingannya semata-mana. Mereka adalah musuh kita juga yang mesti kita menentangnya. Mereka adalah golongan menaja kemungkaran dan ahli maksiat kepada Allah SWT. Kita nampak kemungkarannya tapi ramai orang berpura-pura tidak nampak kerana terpedaya dengan kekayaan dan kekuasaannya.
Kenapa kita tidak berani memperbetul dan lebih tinggi tahap daripada itu dengan menentangnya? Ini semua kerana kita berada dalam keadaan lemah aqidah dan kejahilan, lemah ekonomi dan tidak ada kedudukan dari segi politiknya.
Tiga faktor ini orang yang bijak dan jahat selalu mempergunakannya untuk berkuasa dan menindas yang lain. Jadi oleh itu kita mesti keluar daripada kejahilan dengan belajar, gigih menuntut ilmu, jika kita tidak berkemampuan ke tempat berbayar dan institusi yang tinggi, kita keluar ke masjid dan surau atau mana-mana tempat dan medan yang diizinkan kita untuk mendapatkan ilmu dan penjelasan; kita keluar. Kita berjihad sedikit untuk memperolehi ilmu kerana itu saja yang mampu kita ubah golongan ini agar mereka yang bijak dengan kejahatan tadi sedar diri dan memperbetulkan keadaan. Kita gunakan kuasa diri kita untuk menunjukkan sikap penentangan kita terhadap golongan berkepentingan seperti ini. Jika tidak kita selamanya diperkotak-katikkan oleh mereka buat selamanya.
Fikir-fikirkan dan sudak sampai masanya kita menetukan sikap terhadap mereka ini. Perhatikanlah kepada apa yang digambarkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman yang maksudnya;
" Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahwa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)? "- ayat 4 ; Surah al-Munaafiquun.
Allah SWT sifatkan mereka sebagai kayu sandar sahaja kerana sifat mereka yang buruk meskipun tubuh mereka bagus-bagus dan mereka pandai berbicara, akan tetapi sebenarnya otak mereka adalah kosong tak dapat memahami kebenaran.
Wallahu A'lamu Bis Sowaab.
No comments:
Post a Comment