Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Sunday, June 24, 2012

"Ikut Orang Ramailah!!!" ; Berbaloikah???

Sekadar tazkirah pagi Ahad ni; (tiada kena mengena dengan sesuatu peristiwa khusus dan tertentu).

Sebahagian orang berfikiran dan berpendapat; "Kita kena ikut orang ramailah, baru senang hidup. Orang lain buat guana, kita buat gitulah. Ustaz duduk buat kerja tidak selari dengan orang ramai, tidak serupa orang ramai, payahlah sikit, ke guana???"

Pandanganku;

Betulkah pegangan hidup begitu? Adak...ah salah kalau kita mencari kebenaran mengikut orang ramai? Adakah semua yang orang ramai buat, sesuatu itu jadi betul. kalau semua orang ramai sokong ia jadi benar?

Munasabahlah sebahagian orang sekarang hidup jauh daripada Allah SWT. Mereka berpakat ikut orang ramai rupanya. Ramai orang tidak solat, ramai orang memenuhi kehendak nafsu; sibuk cari dunia sehingga lupa akhirat, tiada masa nak dengar kuliah agama di masjid , berjamaah di surau dan mereka sangat taasub dengan hiburan....semua kerana ikut orang ramai, ikut majoriti. Oh, yang berasa sedap duduk tu kerana pakat ikut majoriti.

Ada juga sebahagian orang berfikiran dan berpendapat;; "Kami ikut yg datuk-nenek kami buat dulu2".

Pandanganku;

Ho lagu tu. Kalau pakat ramai2 buat maka semua itu jadi benar dan molek belaka.

Ada tempat yang majoriti ni baik tapi dalam bab menentukan benar atau salah kita tidak boleh jadikan ramai jadi neraca ukuran. Kena tengok quran, hadis dan pandangan ulama yang muktabar. Jangan pakai otak atau ikut rasa.

Sebab itu -sebagai contoh- dalam "dua kalimah syahadah" itu "ada nafi dan ada ithbat". Dinafikan semua sembahan yang manusia sembah barulah didatangkan ithbat bahawa tuhan sebenar itu Allah SWT. Semua yang manusia fikir dan berpendapat tentang tuhan dan sembahan2 mereka dinafikan oleh Allah SWT. Barulah jadi benar pegangan manusia . Baru dikatakan beriman.

Perhatikanlah firman Allah ini;

"Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)  - mafhum daripada surah Al-An'aam; ayat 70.



Thursday, June 21, 2012

Syukur PadaMu Ya Allah!!!

Bagaimana Allah SWT nak tunjukkan Dia sayangkan hambaNya?

Dia uji orang itu sehingga sempit dadanya, lalu orang itu merasa tiada jalan keluar melainkan bergantung harap kepada Allah SWT semata-mata. Lalu Allah SWT membuka jalan-jalan keluar dan membahagiakan hambaNya itu.

Allah SWT menunjukkan kepadanya siapa kawan, siapa lawan dalam saat sukar itu. Lalu hambaNYa itu bersyukur atas nikmat kurnia dan sabar atas ujianNya.

Semua yang berlaku menjadi i'tibar dan jalan mengukuh bagi hambaNya di masa mendatang.

Ya Allah, Terima Kasih Ya Allah, syukur atas kurniaMU, Alhamdulillah!!!



Saturday, June 16, 2012

Aku Bukan Bola Untuk DiSepak Ke Sana-Sini

Dalam masa tiga minggu; isu pindah saya berlegar dari Terengganu ke Johor dan kembali ke SMKRD (Sarawak). 

Dua hari lepas, pihak Johor sudah warning kerana sudah cukup 2 minggu masih belum melapor diri di sekolah baru. "Ustaz sudah ingkar arahan berpindah, jika dalam tempoh dua minggu masih tidak melapor diri" kata pihak tersebut melalui telefon. Dalam pada masa sama Bahagian Pengurusan Sekolah Menengah (Putrajaya) memaklumkan perpindahan saya dibatalkan, kembali ke sekolah asal. "surat berkaitan sudah dihantar ke JPN, Sarawak". Bila saya hubungi Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Bhg Sekolah Menengah, JPN Sarawak, mereka jelaskan belum terima lagi surat daripada KPM.

Kalau kita dibuat macam bola, nak bergerak pun susah, banyak pihak susah, sebeb kita bergerak kena ada surat arahan. Kalau dalam tiga minggu, tiga tempat pergi surat berjalan laju macam tu juga ke? Yang (pihak)Johor marah sebab saya tidak lapor diri, salahkah saya? Siapa yg patut buat s/k atau maklum kepada pihak Johor ni? Saya sendiri baru terima surat. Bayangkan; surat arahan tiba 8 Jun, 11 Jun baru sampai ke tangan saya. Dalam surat itu menyatakan tarikh lapor diri 1 Jun 2012. Keputusan online 19 Mei kata permohonan asal terima, 26 Mei berita penempatannya ke sebuah sekolah di Muar, Johor. 29hb Mei buat surat rayuan batal perpindahan. Sekarang baru dapat maklum batal perpindahan tersebut. Surat rasmi belum terima lagi.

Cara pegawai dekat Johor itu bercakap dengan saya telah mematikan terus rasa saya niat ke Johor, terus saya cakap; "Encik ingat saya nak ke Johor ke? Saya minta Terengganu, tidak dapat, saya sedia balik ke Sibu".

Sekurang-kurangnya pihak tersebut tidak bersikap mahu tunjuk kuasa. Beliau boleh guna budi bahasa seperti bertanya; "Apa masalah ustaz belum melapor diri, sudah masuk 2 minggu ni?" Ni nak bercakap undang-undang dengan saya. Kalau cakap dengan elok pasti kita rasa dialu-alukan ke Johor. Dia orang buat kita sudah tidak ada pilihan, terdesak sangat mahu pergi ke Johor.

Saya dapat maklumat; saya menggantikan tempat seorang ustaz dari sekolah itu balik Terengganu. Kerana sudah belasan tahun di Johor. Dan saya sudah belasan tahun di Sarawak. Pada hemat saya , mereka beranggapan asal ustaz ni balik Semenanjung saja, tidak mengapa. Siapa ganti siapa ni??? Inilah kalau masing-masing tidak lagi menurut lunas peraturan dan guna kuasa ikut suka. Orang yang minta berpindah mengikut aturan menjadi mangsa.

Cukup memberi ibrah kepada saya, Allah nak tunjuk kepada saya betapa kerja-kerja yang tidak jujur dan amanah berlaku dan saya telah mempelajarinya secara amali.

Saya bukan pindah keseorangan, tapi satu keluarga. Bukan senang mahu mengurus satu-satu. Jangan buat orang lain macam bola, itu tidak berperikemanusiaan. Orang biasa merantau ini dia ada satu niat saja. Balik Kampung.

Saya minta balik ke Terengganu atas alasan keluarga. Sebab keluarga saya semua yang tua-tua sudah meninggal. Bapa kandung, bapa tiri, ibu saudara dan keluarga terdekat baik sebelah saya dan isteri satu-satu meninggal dunia, kita hanya dapat ziarah tanah kubur sahaja. Masa sakitnya kita hanya berdoa dari jauh. Betapa sakit dan bebanan hati yg menanggung. Tinggal ibu saya yang masih ada, umur dah mencecah 76 tahun. Apakah saya akan kehilangannya tanpa sempat bersama diakhir usia emasnya??? Mereka sudah tua tidak mahu kemana-mana lagi.

Saya juga ada keluarga mertua, ada harta untuk diurus. Tanah tumpah darah, kampung halaman sendiri. Di situ kita ada segala-galanya. Sebab itu saya nak balik negeri. Seburuk mana tempat kita, kita nak balik kampung halaman kita. "Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri".

Rasulullah SAW sendiri menggenggam tanah Mekah ketika mahu berhijrah ke Madinah. Kasih kepada tempat tumpah darah kita.

Wallahu Musta'aan, Insya Allah!!!



Friday, June 08, 2012

Taman Tumbina Bintulu ~ 7/6/2012

Menyelami Dunia Burung Dan Haiwan


Hari ke dua berada di Bintulu, lokasi ziarah kami ialah Pasar Besar Bintulu kemudiannya Taman Tumbina Bintulu.


Setelah check-out daripada hotel Mastama Inn, kami bersarapan dahulu di sebuah restoran belakang hotel sahaja.

Nak jadi cerita kereta saya pula kena saman parking kerana tidak meletak kupon parking, terpaksa bayar RM15, kena bayar pula dekat Majlis Perbandaran Bintulu. Atas pertolongan seorang hamba Allah, secara ikhlas dia sanggup membayarnya. Sungguh saya terhutang budi. Semoga Allah SWT membalas kebaikan dan keikhlasannya dengan sebaik-baik ganjaran.


Singgah di pasar sekejap saja, beli sedikit buah-buahan, belacan Bintulu, kuih baulu dan sedikit keperluan anak-anak.

Selepas itu kami mula bertolak ke Taman Tumbina. Untuk masuk ke taman ini dikenakan bayaran tiket mengikut kategori dewasa atau kanak-kanak. Warga dewasa dikenakan bayaran sebanyak RM2.00 seorang manakala bagi kanak-kanak pula RM0.50.

Saya telah datang ke sini sekitar bulan Julai, 2009 dulu. Pada masa itu tidak banyak binatang yang ada. Tapi jika pengunjung datang pada waktu ini pasti mereka akan berpuas hati. Lebih banyak binatang dan burung. Keadaan nampak bersih dan terjaga. Bayaran masuk ke taman ini berpatutan.


Sebagai kenang-kenangan menikmati kehidupan binatang di taman ini saya postkan beberapa keping gambar binatang dan burung yang sempat saya tangkap gambarnya.


Ustaz Zamzuri Bin Mohammad

 Taman Burung, di antara penghuninya;


Untuk paparan lebih jelas sila klik pada gambar

Taman Binatang Dan Reptilia, di antaranya;

Untuk paparan lebih jelas sila klik pada gambar
 


Renungan;
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan pada penciptaan kamu dan pada binatang-binatang yang melata yang bertebaran (di muka bumi) terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk kaum yang meyakini.”
(QS. Al Jaatsiyah, 45: 4)




Thursday, June 07, 2012

Ziarah Bintulu Edisi 2012

Catatan: 6/6/2012.

Walaupun tiada dalam jadual cuti pertengahan tahun ini untuk ke Bintulu, apabila diajak oleh Al-Fadhil Ustaz Zamzuri Bin Mohammad (SMK Agama Sibu) untuk melakukan ziarah ke sana, anak-anak pula beriya-iya untuk bersama-sama dengan anak-anaknya, rasanya rugi untuk tidak bersama. Saya ada mengajak beberapa orang kawan asatizah yang lain tetapi mereka sudah ada keuzuran sendiri.

Kali terakhir saya datang ke Bintulu rasanya tiga tahun yang lalu. Pada masa itu saya buat pertama kali datang bersama dengan Ustaz Hafiz Bin Mohd Said, Ustaz Roslan Bin Mohammad, Ustaz Roslan Bin Mat Hassan dan keluarga masing-masing. Jalanraya baru saja siap dan elok. Tapi bila datang kali ini jalanraya agak teruk rosak dan berlopak-lopak. Faktur yang menyumbang rosaknya jalan ini ialah banyaknya lori-lori besar yang membawa muatan lebihan seperti lori membawa minyak dan kayu balak.

Semasa dalam perjalanan semalam, saya dapat lihat depan mata di mana sebuah van terpaksa jatuh ke kali lima sebelah kanan kerana dihimpit oleh sebuah lori dengan biadab sekali. Tanpa mempedulikan keadaan dan keselamatan orang lain. Nasib baiklah masih ada kaki lima jalan dan tiada kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

Tidak beberapa lama selepas itu, melepasi beberapa kilometer daripada Pekan Selangau dan simpang ke Mukah, berlaku satu kemalangan yang melibatkan beberapa buah kereta, lori dan sebuah hilux. Kereta proton baru remuk teruk melintang atas jalan terperosok bawah lori dan hilux pula macam kena rempuh remuk sebelah pemandu. Kereta lain tidak dapat mengelak berlaga sama sendiri. Saya tidak berhenti di situ. Keadaan mangsa yang terlibat pun sudah tiada cuma tengok kesan kemalangan. Yang tinggal ialah pihak berkuasa, tuan kenderaan yang rosak dan orang tempatan yang datang membantu. Oleh kerana saya tidak berhenti, memerhatikan saja, itu agakkan saya dengan keadaan kenderaan di atas jalanraya. Cerita sebenar, wallahu a'lam.

Apapun kemalangan telah terjadi. Pada saya selain faktur jalanraya yang banyak rosak, saya berpendapat sikap pemandu yang suka memandu laju dan memotong kenderaan lain dengan tidak mengikut peraturan serta sikap kurang sabar. Kalau ini dapat ditangani, kemalangan teruk seperti ini mungkin dapat dielakkan.


Kami bertolak meninggalkan Sibu sekitar jam 9:45am. Setelah memandu dua jam kami sampai ke Pekan Tatau. Sebuah pekan kecil yang saya lihat tiada banyak perubahannya sejak empat tahun lalu. Saya memimpin perjalanan dan singgah di Masjid Darul Ibadah yang telah dibina pada tahun 1975 lalu. Satu jam juga kami berada di sini. Makan tengahari dan solat Zohor secara berjamaah dengan masyarakat setempat. Kemudian kami jamakkan dengan solat asar dengan jamaah kami sendiri. Meneruskan perjalanan lebih kurang satu jam, kami sampai ke Bandar Bintulu.


Kami terus ke Mastama Hotel; hotel yang saya singgah ketika datang buat pertama kali dahulu. Banyak hotel-hotel lain, tapi di sini mudah kerana sebelah malam ada pasar malam. Alhamdulillah perjalanan kami selamat. Ustaz Zamzuri sekeluarga menginap di bilik no. 333 manakala kami sekeluarga berada di bilik no. 405. Kos untuk setiap bilik RM63. Ada satu katil kelamin dan satu katil single. Oklah buat kami untuk menginap untuk satu malam.


Sebelah petang kami ke Pantai Tanjung Batu. Selain menghirup angin petang, saya dan isteri sempat membeli kek sponge bersaiz kecil bagi meraikan hari ulangtahun ke 11 kepada anak ke 3 saya; Muhammad Fawwaz. Selamat Hari Ulangtahun ke 11, semoga Allah SWT sentiasa memberkatinya dan menjadi anak yang soleh.


Kami tidak lama di pantai, apabila hari yang cerah berubah gelap. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Kami terus balik ke hotel dan hujan ini nampaknya berpanjangan sampai ke malam.

Sebelah malam sempat berkunjung ke pasar malam di hadapan hotel. Sekadar membeli makanan untuk makan malam. Syukurlah.

Jadual pada 7/6/2012 : Pasar Besar Bintulu Dan Taman Tumbina.
Baca Lawatan Tahun 2009; di sini.


Monday, June 04, 2012

Kali Ke 3, Hari Keluarga Di Pantai Belawai

Tanpa perancangan rapi, beberapa rakan ustaz dan ustazah mengajak kami sekeluarga menyertai Hari Keluarga Ke 3 ke Pantai Belawai. Kali ini melibatkan 5 keluarga; Ustaz Zamzuri, Ustaz Hafiz Said, Ustaz Mat Yukee, Ustaz Man dan saya sendiri. Kami mula berkumpul di hadapan Balai Polis Sungai Merah, Sibu dan bertolak sekitar jam 9:00 pagi. Saya memimpin perjalanan dan kami sampai ke Pantai Belawai sekitar jam 10:45 pagi.

Nasib kami baik kerana masih ada tempat untuk kami mendapatkan meja berbumbung untuk menempatkan keluarga, peralatan, makanan dan minuman. Empat meja semuanya. Setiap meja hanya RM4 sahaja. Itupun kerana seorang hamba Allah yang tempah tempat ini tidak jadi datang, sudah rezeki kami.


Sesampai sahaja kami mulakan dengan menjamah makanan dahulu kerana belum sempat bersarapan pagi tadi. Anak-anak pula tidak sabar untuk bermandi-manda di pantai. Dalam kaum ibu menyiapkan makanan dan minuman, yang lelaki melayan anak-anak masing-masing di gigi pantai bermain ombak. Bila sudah siap hidangan kami mula menjamah hidangan yang dibawa masing-masing.


Kebetulan hari ini hari minggu begitu ramai sekali pengunjung yang datang. Selain menikmati pantai, mandi-manda ramai yang menaikkan layang-layang. Angin pantai pula bertiup kuat. Masing-masing dengan aktiviti masing-masing.


Ya, selain merapatkan ukhuwwah sesama sendiri, dapat melupakan sekejap segala permasalahan yang membelenggu diri.



Anak-anak juga seronok dapat bermain ombak dan bermain bersama-sama dengan rakan-rakan mereka.


Bagi keluarga Ustaz Man, ini kali pertama mereka sampai ke Pantai Belawai.


Aktiviti santai ini berakhir jam 2 petang. Dalam kami bersiap meninggalkan kawasan pantai ini tetiba angin bertiup kencang , ribut datang dengan hujannya sekali. Kami meneruskan perjalanan menuju ke Masjid Kampung Rajang untuk membersih diri dan menunaikan solat fardhu.

Jam 4:00 petang kami bertolak pulang dan singgah di rumah saya dulu untuk menghabiskan juadah yang dibawa tadi. Maghrib jugalah sampai ke rumah masing-masing.

Alhamdulillah...

catatan: penghargaan kepada Ustaz Mat Yukee atas sumbangan gambar-gambar.


Sunday, June 03, 2012

Guru Jiwanya Tabah, Destinasi Jauh Tetap Sampai

Dua tahun lepas saya bertugas mengawas peperiksaan SPM di SMK Bawang Assan. Pada masa itu jalan yang menghubungkan Sibu dengan Tanjung Manis dalam pembinaan. Teruk sekali keadaan jalan yang dalam pembinaan pada ketika itu. Saya berulang-alik setiap hari melaksanakan tugas ini hampir sebulan lamanya. Ada dua jalan, satunya menyelusuri jalan kampung yang sempit dan satu lagi jalan berbatu kasar dan berlumpur. Jalan inilah telah memendekkan perjalanan ke SMK Bawang Assan pada ketika ini. Kalau dulu perjalanan dengan kereta memakan masa hampir 45 minit tapi kini sekadar 20 minit saja dari rumah sewa saya di Jalan Wawasan, Sibu ke sana.

Apa pentingnya mengingat kisah ini? Catatan ini bukan untuk mengisahkan perihal sekolah atau jalannya. Ia sekadar sebuah muhasabah kepada satu perjalanan. Perjalanan seorang guru dalam melaksanakan tugasannya setiap hari.

Walaupun telah hampir 13 tahun berada di bumi Sarawak ini, tidak semua tempat kami telah pergi. Biasanya tempat-tempat menarik dan bandarlah menjadi tempat ziarah dan kunjungan. Tapi hari ini saya dan isteri keluar berdua bersiar-siar ke kawasan sedikit pedalaman. Anak-anak, mereka ditinggalkan di rumah.

Petang tadi, saya dan isteri bersiar dengan kereta melalui jalan lama yang sering saya selusuri satu ketika dulu. Satu jalan sempit dan diapit oleh semak dan hijau hutan kiri dan kanan. Walaubagaimana pun jalannya bertar. Dua jambatan yang telah dibina sekian lama masih tidak siap pembinaannya sampai sekarang. Jalan lencungan pun teruk. Kurang kepentingannya barangkali sebab sudah ada jalan utama yang menjadi penghubung Sibu dan Tanjung Manis. Jalan kampung ini hanya untuk kegunaan segelintir masyarakat setempat sahaja. Bila air pasang atau hujan lebat ia akan menjadi banjir pula.

Pergi guna jalan kampung, balik pakai jalan baru yang telah siap dibina sekitar tahun 2010. Sekarang jalan ini menjadi perhubungan utama ke Pantai Belawai dan Daro.

"Ke mana abang nak bawa saya ni, jauh juga sekolah ni?"

"Nasib baik saya bukan seorang guru" katanya menggambarkan apa yang tersirat di hatinya.

Saya membalas;

"Jalan ni jalan lama, dulu inilah alternatifnya nak ke sekolah ni, sekarang sekejap saja"

"Jiwa guru selalunya tabah, sanggup harungi segala susah payah. Sebab itu tidak semua orang berjaya menjadi guru. Kesanggupan mengajar di mana sahaja mereka ditugaskan merupakan pengorbanan terbesar seorang guru"

"Menggalas tugas guru adalah kerja mulia"

Begitulah sedikit perbualan kami mengenangkan beberapa orang guru yang kami kenal bertugas di sekolah ini. Tapi mereka yang datang sekarang ini sudah dikira bertuah kerana jalan perhubungan semuanya sudah menjadi mudah. Jauhpun tapi mudah sampai.

Sebenarnya ada lagi guru kita yang jauh lebih besar pengorbanan mereka, sanggup meredah jalan balak,, lautan, lembah, jalan becak, menyelusuri jeram dan menyeberang sungai deras dengan bergayut di jambatan gantung. Pada mereka hanya wajah manis anak-anak didik yang menanti kehadiran mereka ke sekolah telah menghilangkan segala penat lelah dan kesukaran yang mereka tempuh.

Jadi bersyukurlah para guru yang dapat memandu kenderaan sendiri ke sekolah masing-masing. Walau jauh tapi sampai ke destinasi.

 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |