Catatan: 6/6/2012.
Walaupun tiada dalam jadual cuti pertengahan tahun ini untuk ke Bintulu, apabila diajak oleh Al-Fadhil Ustaz Zamzuri Bin Mohammad (SMK Agama Sibu) untuk melakukan ziarah ke sana, anak-anak pula beriya-iya untuk bersama-sama dengan anak-anaknya, rasanya rugi untuk tidak bersama. Saya ada mengajak beberapa orang kawan asatizah yang lain tetapi mereka sudah ada keuzuran sendiri.
Kali terakhir saya datang ke Bintulu rasanya tiga tahun yang lalu. Pada masa itu saya buat pertama kali datang bersama dengan Ustaz Hafiz Bin Mohd Said, Ustaz Roslan Bin Mohammad, Ustaz Roslan Bin Mat Hassan dan keluarga masing-masing. Jalanraya baru saja siap dan elok. Tapi bila datang kali ini jalanraya agak teruk rosak dan berlopak-lopak. Faktur yang menyumbang rosaknya jalan ini ialah banyaknya lori-lori besar yang membawa muatan lebihan seperti lori membawa minyak dan kayu balak.
Semasa dalam perjalanan semalam, saya dapat lihat depan mata di mana sebuah van terpaksa jatuh ke kali lima sebelah kanan kerana dihimpit oleh sebuah lori dengan biadab sekali. Tanpa mempedulikan keadaan dan keselamatan orang lain. Nasib baiklah masih ada kaki lima jalan dan tiada kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.
Tidak beberapa lama selepas itu, melepasi beberapa kilometer daripada Pekan Selangau dan simpang ke Mukah, berlaku satu kemalangan yang melibatkan beberapa buah kereta, lori dan sebuah hilux. Kereta proton baru remuk teruk melintang atas jalan terperosok bawah lori dan hilux pula macam kena rempuh remuk sebelah pemandu. Kereta lain tidak dapat mengelak berlaga sama sendiri. Saya tidak berhenti di situ. Keadaan mangsa yang terlibat pun sudah tiada cuma tengok kesan kemalangan. Yang tinggal ialah pihak berkuasa, tuan kenderaan yang rosak dan orang tempatan yang datang membantu. Oleh kerana saya tidak berhenti, memerhatikan saja, itu agakkan saya dengan keadaan kenderaan di atas jalanraya. Cerita sebenar, wallahu a'lam.
Apapun kemalangan telah terjadi. Pada saya selain faktur jalanraya yang banyak rosak, saya berpendapat sikap pemandu yang suka memandu laju dan memotong kenderaan lain dengan tidak mengikut peraturan serta sikap kurang sabar. Kalau ini dapat ditangani, kemalangan teruk seperti ini mungkin dapat dielakkan.
Kami bertolak meninggalkan Sibu sekitar jam 9:45am. Setelah memandu dua jam kami sampai ke Pekan Tatau. Sebuah pekan kecil yang saya lihat tiada banyak perubahannya sejak empat tahun lalu. Saya memimpin perjalanan dan singgah di Masjid Darul Ibadah yang telah dibina pada tahun 1975 lalu. Satu jam juga kami berada di sini. Makan tengahari dan solat Zohor secara berjamaah dengan masyarakat setempat. Kemudian kami jamakkan dengan solat asar dengan jamaah kami sendiri. Meneruskan perjalanan lebih kurang satu jam, kami sampai ke Bandar Bintulu.
Kami terus ke Mastama Hotel; hotel yang saya singgah ketika datang buat pertama kali dahulu. Banyak hotel-hotel lain, tapi di sini mudah kerana sebelah malam ada pasar malam. Alhamdulillah perjalanan kami selamat. Ustaz Zamzuri sekeluarga menginap di bilik no. 333 manakala kami sekeluarga berada di bilik no. 405. Kos untuk setiap bilik RM63. Ada satu katil kelamin dan satu katil single. Oklah buat kami untuk menginap untuk satu malam.
Sebelah petang kami ke Pantai Tanjung Batu. Selain menghirup angin petang, saya dan isteri sempat membeli kek sponge bersaiz kecil bagi meraikan hari ulangtahun ke 11 kepada anak ke 3 saya; Muhammad Fawwaz. Selamat Hari Ulangtahun ke 11, semoga Allah SWT sentiasa memberkatinya dan menjadi anak yang soleh.
Kami tidak lama di pantai, apabila hari yang cerah berubah gelap. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Kami terus balik ke hotel dan hujan ini nampaknya berpanjangan sampai ke malam.
Sebelah malam sempat berkunjung ke pasar malam di hadapan hotel. Sekadar membeli makanan untuk makan malam. Syukurlah.
Jadual pada 7/6/2012 : Pasar Besar Bintulu Dan Taman Tumbina.
Baca Lawatan Tahun 2009; di sini.
mengikut maklumat yang saya terima daripada seorang rakan bahawa kereta proton saga baru dipandu oleh seorang wanita yang terlibat dalam kemalangan itu cedera parah, ibu mertua dan anak kecilnya berusia tiga bulan meningggal dunia, dilaporkan gagal memotong kenderaan dan merempuh lori yang datang dari arah bertentangan.
ReplyDelete