Dua tahun lepas saya bertugas mengawas peperiksaan SPM di SMK Bawang Assan. Pada masa itu jalan yang menghubungkan Sibu dengan Tanjung Manis dalam pembinaan. Teruk sekali keadaan jalan yang dalam pembinaan pada ketika itu. Saya berulang-alik setiap hari melaksanakan tugas ini hampir sebulan lamanya. Ada dua jalan, satunya menyelusuri jalan kampung yang sempit dan satu lagi jalan berbatu kasar dan berlumpur. Jalan inilah telah memendekkan perjalanan ke SMK Bawang Assan pada ketika ini. Kalau dulu perjalanan dengan kereta memakan masa hampir 45 minit tapi kini sekadar 20 minit saja dari rumah sewa saya di Jalan Wawasan, Sibu ke sana.
Apa pentingnya mengingat kisah ini? Catatan ini bukan untuk mengisahkan perihal sekolah atau jalannya. Ia sekadar sebuah muhasabah kepada satu perjalanan. Perjalanan seorang guru dalam melaksanakan tugasannya setiap hari.
Walaupun telah hampir 13 tahun berada di bumi Sarawak ini, tidak semua tempat kami telah pergi. Biasanya tempat-tempat menarik dan bandarlah menjadi tempat ziarah dan kunjungan. Tapi hari ini saya dan isteri keluar berdua bersiar-siar ke kawasan sedikit pedalaman. Anak-anak, mereka ditinggalkan di rumah.
Petang tadi, saya dan isteri bersiar dengan kereta melalui jalan lama yang sering saya selusuri satu ketika dulu. Satu jalan sempit dan diapit oleh semak dan hijau hutan kiri dan kanan. Walaubagaimana pun jalannya bertar. Dua jambatan yang telah dibina sekian lama masih tidak siap pembinaannya sampai sekarang. Jalan lencungan pun teruk. Kurang kepentingannya barangkali sebab sudah ada jalan utama yang menjadi penghubung Sibu dan Tanjung Manis. Jalan kampung ini hanya untuk kegunaan segelintir masyarakat setempat sahaja. Bila air pasang atau hujan lebat ia akan menjadi banjir pula.
Pergi guna jalan kampung, balik pakai jalan baru yang telah siap dibina sekitar tahun 2010. Sekarang jalan ini menjadi perhubungan utama ke Pantai Belawai dan Daro.
"Ke mana abang nak bawa saya ni, jauh juga sekolah ni?"
"Nasib baik saya bukan seorang guru" katanya menggambarkan apa yang tersirat di hatinya.
Saya membalas;
"Jalan ni jalan lama, dulu inilah alternatifnya nak ke sekolah ni, sekarang sekejap saja"
"Jiwa guru selalunya tabah, sanggup harungi segala susah payah. Sebab itu tidak semua orang berjaya menjadi guru. Kesanggupan mengajar di mana sahaja mereka ditugaskan merupakan pengorbanan terbesar seorang guru"
"Menggalas tugas guru adalah kerja mulia"
Begitulah sedikit perbualan kami mengenangkan beberapa orang guru yang kami kenal bertugas di sekolah ini. Tapi mereka yang datang sekarang ini sudah dikira bertuah kerana jalan perhubungan semuanya sudah menjadi mudah. Jauhpun tapi mudah sampai.
Sebenarnya ada lagi guru kita yang jauh lebih besar pengorbanan mereka, sanggup meredah jalan balak,, lautan, lembah, jalan becak, menyelusuri jeram dan menyeberang sungai deras dengan bergayut di jambatan gantung. Pada mereka hanya wajah manis anak-anak didik yang menanti kehadiran mereka ke sekolah telah menghilangkan segala penat lelah dan kesukaran yang mereka tempuh.
Jadi bersyukurlah para guru yang dapat memandu kenderaan sendiri ke sekolah masing-masing. Walau jauh tapi sampai ke destinasi.
No comments:
Post a Comment