Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Sunday, November 13, 2011

Jangan Jadi Sekadar Orang Tua Sahaja Tetapi Tertipu Dengan Kejahilan Dan Kesilapan

Aku cukup kecewa dengan "orang lama a.k.a orang tua" yang tidak belajar apa-apa. Sudah lama hidup tapi tidak boleh tumpang apa-apa. Hidup lama tapi ulang kesilapan yang sama tidak mahu belajar apa-apa.

Sebagai manusia biasa, boleh saja dan bila-bila saja akan berbuat kesilapan. Tapi sebolehnya kesilapan itu janganlah disengajakan. Dan kalau boleh kesilapan itu bukannya ulangan. Orang Islam tidak harus dipatut ular dari lubang yang sama dua kali. Itu bodoh namanya kerana kita tidak mahu belajar apa-apa. Mengulangi kesilapan seolah-olah mengundang kecelakaan yang tidak berkesudahan. Memang kita boleh saja berbuat silap. Silap perahu boleh diundur, silap kata buruk padanya.

Tua Umur Sahaja

Aku kekadang kasihan kepada sesetengah orang, walaupun umurnya sudah panjang, sudah beruban, sudah beranak cucu, sudah lama makan garam, sudah lama hidup, ada yang sudah buat haji berulang kali... dan sudah banyak pengalaman hidupnya tapi boleh saja bersikap keanak-anakan, masih bersikap budak-budakan dan tidak sedar kesilapan diri pun. Memang kasihan.

Hidup Lama Hukum Allah Tidak Setuju

Kalau dulu sebelum insaf, masa jahil mulut selalu kata hukum Allah SWT tidak sesuai, maka sampai tua pun mulut yang sama masih ada hati kering yang sama... tetap kata hukum Allah SWT tidak sesuai. Sudah melaksanakan solat mulut tetap kata hukum Allah SWT tidak sesuai, setelas tamat sebulan puasa Ramadhan pun kata hukum Allah SWT tidak sesuai, sudah bayar zakat pun mulut kata hukum Allah SWT tidak sesuai, sudah khatam quran pun masih juga kata yang sama...sesudah balik haji pun masih dengan prinsip dan pegangan yang sama... hukum Allah SWT tidak sesuai.

Banyak Berjuang Tapi Tidak Mahu Perjuangan Islam

Memang pelik sungguh manusia seperti ini. Bila kita menerangkan tentang perjuangan Islam walaupun solat tidak tinggal, puasa lengkap , haji umrah sudah pergi; mata dibulatkan , tubuh merasa geli dan jiwa rasa menjengkelkan. Itulah saya rasa pelik sangat. Tidak ada minat langsung nak tahu lebih apatah lagi nak berjuang bersama-sama. Perjuangan kebendaan, kekhurafatan dan asabiyyah masih kuat di hati. Takut kepada perjuangan Islam lebih takut daripada fahaman komunis. Sampai mati berpegang dengan perjuangan sekular dan asabiyyah. Tidak berganjak dengan asobiyyah. Bukan tidak ada ruang berfikir tetapi dibutakan mata hati sebab sayang kepada kebendaan dan keduniaan. Atas kepentingan diri yang sedikit, perjuangan Islam diketepikan. Itulah kebodohan namanya. Mengejar yang sedikit melupakan yang membawa kesejahteraan buat selamanya.

Mereka tidak ubah macam kanak-kanak dengan ibunya kerana mahukan mainan sedangkan siibu sibuk memujuk supaya dia belikan makanan yang lebih bermanfaat dan mengenyangkan. Maka mengamuklah kanak-kanak itu mahukan mainan sedangkan dia sepatutnya mahukan yang lebih penting daripada itu. Maka belilah siibu itu mainan dan apabila sampai dirumah anak itu tadi merasa lapar dan dia sebenarnya perlukan makanan.

Kebodohan kanak-kanak itu kerana dia kanak-kanak tetapi kebodohan orang yang penuh akal dan hidup lama sungguh mengecewakan.

Ahli Ibadat Tapi Taik Maksiat

Sesetengah tu memang ahli masjid, surau tapi amalan khurafat dan sihir tidak dapat ditinggalkan. Tikam nombor ekor dibilang sebagai hobi, mengintai bini orang dikata hiburan.. memang pelik sungguh manusia.

Ada yang bersengketa. Berturun temurun bersengketa. Yang berkait dan yang tidak berkait, yang tahu sebab musabab dan tidak tahu sebab musabab kerana sejarah bersengketa sudah ada, dari datuk-nenek sampai cucu-cicik, berketurunan dan bergenerasi; api sengketa tidak padam-padam.

Kena Kencing Dek Orang Sampai Ke Tua

Ramai juga yang kena tipu, kena tipu oleh orang yang sama berkali-kali. Walaupun sudah kena tipu sudah serik katanya, bila dipujuk rayu, diumpankan sedikit dengan mata benda lupa diri yang dia pernah ditipu dan sanggup ditipu lagi asalkan dapat benda. Kena kencing lagi... begitulah rupanya... berkali-kali tidak belajar apa-apa.

Ada juga yang pegang JK Masjid, sekadar pegang. Masjid sekadar jadi tempat sembahyang orang tua-tua. Kalau datang bebudak bising sikit dia lagi bising. Akhirnya bebudak lari tidak suka masjid atau surau. Orang mahu buat program agama dihalang-halang. Takut masuk agama dan ajaran Islam dan roboh tembok jahiliyyah. Takut bawa politik masuk dalam masjid. Politik tidak boleh masuk masjid katanya. Pelik sungguh kepercayaan orang tua-tua.

Banyak lagi sebenarnya, kesilapan yang dibuat disengajakan dan tidak ada niat untuk belajar apa-apa. Itulah kebodohan namanya.

Robohkanlah Jahiliyyah

Semua angkara di atas adalah jahiliyyah baik zaman mana sekali pun. Api jahiliyyah itu telah dipadamkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat ajmain. Mengapa kita masih hidupkannya. Dimanakah letaknya mata hati kita sehingga kita terpedaya dengan virus jahiliyyah ini.

Marilah kita kembali kepada Islam. Kembali kepada kehidupan sebenar yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Kembali kepada landasan hidup sebenar.

Sekular Di Jiwa

Sudah lama pemikiran sekular yang mencabut ruh Islam daripada jiwa penganutnya. Bila ruh Islam mati, tinggallah jasad yang tidak bernyawa. Sebab itu hari ini ruh Islam itu tidak dapat dirasai. Walaupun jasad kelihatannya bersolat, berpuasa, berzakat dan berhaji tetapi ruh ibadat itu telah mati maka kita dapat lihatlah ansir-anasir buruk di atas.

Zahirnya nampak Islam tetapi jiwanya penuh kefasikan dan kekufuran. Jiwanya kotor dan menjijikan. Sebab itulah biarpun sudah dewasa dan tua umurnya kesilapan demi kesilapan tidak dirasai jiwanya apa-apa. Terus seronok dengan jahiliyyah. Terus alpa dengan kehurafatan dan kesyirikan.

Tidak Salah Orang Tua Belajar Walaupun Dengan Kanak-kanak

Cukuplah tu. Berhentilah dari menjadi orang yang hanya mendabik dada, aku makan garam lebih dahulu daripada kamu. Ia tidak berfaedah apa-apa kalau tidak pernah mahu belajar apa-apa. Kekadang kanak-kanak kecil lebih matang daripada orang tua yang lupa diri.... Ada kanak-kanak kecil fasih membaca doa makan, doa tidur, tahu bertakbir, melaungkan takbir Allahu Akbar!!! Malulah kepada mereka. Jangan hanya jadi orang tua sahaja.

Friday, November 11, 2011

Hancur Luluhnya Hati Ibu.... Oh Anak!!!

Hari ini banyak peristiwa menyentuh hati. Aku terima mesej penghinaan orang terhadapku, aku terima berita konspirasi yang menyekat perpindahan sahabatku ke kampung halamannya.... dan aku menerima tugasan di hari2 persekolah menjelang cuti... kesemua itu tidak menjadikan aku menitis air mata tetapi panggilan berikutnya yang melibatkan aku dengan tragedi ini. Akhirnya airmata kelelakianku menitis. Aku tidak tertahan pilu...

Dalam menyelusuri hari terakhir persekolahan bagi tahun ini dan esok mula bercuti, aku masih sibuk dengan aktiviti Pejabat Pelajaran daerah Sibu (PPD), KEM Juara Quran dan bermula 16-18 November nanti Kursus Perdana Guru Pendidikan Islam (GPI). Sekali lagi aku akan berada di bahagian Urusetia dan akan membantu perjalanan kursus selama tiga hari ini.

Dalam kesibukan itu, aku menerima satu panggilan telefon meminta aku membantu satu khilaf yang berlaku di antara seorang anak remaja lelaki dan ibunya. Anak ini sudah melarikan diri daripada ibunya sejak dua bulan yang lalu dan sekarang menumpang dirumah keluarganya yang lain.

Aku mengambil tanggungjawab menemukan seorang ibu dengan anak remaja lelakinya ini. Setelah aku menemukan mereka, sedih dan sebak hatiku. tidak tertahan lagi bila si anak terus menafikan bahawa itu ibunya. Paling meruntun hatiku , anak itu tidak mahu menyebut nama ibunya jauh daripada memperakui itu ibunya. Ya Allah!!! Ujian apakah ini yang sedang berlaku dihadapan mataku hari ini.

Banyak aku berbicara dengan anak itu dan sehingga akhirnya dia dengan keras hati dan tangannya tergenggam memeluk tubuhnya tidak mahu bersalamanpun dengan ibunya. Untuk tidak menghampakan ibu itu, saya tarik juga tangan anak itu dan membawanya kepada ibunya, hanya si ibu yang memeluk anak itu yang membatukan dirinya. Jauh sekali anak itu daripada memandang wajah ibunya. Benci sungguh dia kepada ibunya. Atas kesalahan apakah sehingga begini sudahnya???

Aku tidak dapat melentur hati anak, tapi aku cuba bagi semangat kepada si ibu. Bagi nasihat supaya sabar dan cekal dalam menempuh saat duka ini. Sungguh ini ujian Allah SWT buatnya. Minta dia tidak lupa berdoa dan berdoa kepada Allah SWT dan bersolat hajat. Mudah-mudahan hati anaknya dilembutkan Allah SWT pada suatu hari dan kembali kepada pangkuan ibunya.

Anak itu berlalu dan berkata; "dia tidak sesal dan dia sudah dewasa dan mampu berdikari..."

Aku memandang sayu dan pilu dan luluh di hati. Dapat kubayangkan bagaimana hancur hati ibu...

Wednesday, November 09, 2011

UPSR Keputusannya 17 November 2011???

Tahun lepas puteri sulungku menduduki UPSR. Keputusannya 6A. Alhamdulillah.

Tahun ini (2011) seorang lagi puteriku menduduki UPSR, dan ini yang terakhir agaknya...

Sebagai bapa ada resah juga menunggu keputusannya. Bagi puteriku lagi hebatlah bebarannya...

Biarpun hati selalu berdoa agar puteriku ini juga menjejaki langkah kakaknya tahun lepas memperolehi keputusan yang cemerlang, debarannya cukup terasa. Yang tinggal hanya doa dan tawakkallah sahaja. Mudah-mudahan semuanya memberi keputusan yang baik insya Allah.

Bukan kepada puteriku sahaja bahkan kepada semua anak-anak yang menduduki UPSR tahun ini khususnya anak-anak di SK Agama Sibu. Semoga kejayaan tahun lepas diraih kembali.

Setiap ibubapa tidak lekang mendoakan kejayaan buat anaknya dalam peperiksaan. Tapi bukanlah sesuatu kemestian anaknya beroleh begitu kerana kejayaan seseorang itu mempunyai makna yang lebih luas ruang lingkupnya bukan peperiksaan dan akedemik sahaja. Segalanya dengan izin Allah SWT.

Anak tetap anak, apa pun keputusan mereka, ibubapa tidak kecewa, malah tetap bangga dan selalu ada untuk mereka.

Apapun keputusannya nanti, saya tetap terima dengan senang hati.

Kalau ikutkan pada tahun-tahun yang lepas, tidak melewati bulan November ini keputusannya keluar.

Sebagai rekod;

Keputusan UPSR 2010 diumumkan pada 11 November 2010.
Keputusan UPSR 2009 diumukan pada 19 November 2009
Keputusan UPSR 2008 diumukan pada 13 November 2008

Jadinya, sesetengah sekolah sudah mula bercuti pada 18 November 2011. Apakah 17 November hari pengumuman UPSR tahun ini?

Hari penyampaian sijil sekolah anakku pada 15 November 2011. Sekolah tempat aku mengajar sudah bercuti bermula 12 November 2011 kerana memberi laluan kepada peperiksaan SPM dan STPM 2011. Jadi insya Allah saya akan hadir ke majlis penyampaian sijil tahun 6 dan kecemerlangan pelajar di SK Agama Sibu tahun ini.

Alangkah baiknya jika keputusan UPSR juga jatuh pada hari ini, lebih bermakna rasanya...

Selamat Berjaya buat puteriku, Athiratul Hibah.....



Sunday, October 30, 2011

Inilah Markaz Tarbiyyah Yang Mendidik Aku...

Oleh isma daud

sambungan dari coretan terdahulu; Di Sinilah Tarbiyyah Diriku Bermula... Bah 1


Ketika berusia 10 tahun , saya belajar kelas Fardhu Ain dengan arwah Pak Long Mat (Mamat Bin Hassan) setiap minggu balik saja dari solat Jumaat, biasanya setengah ahli masyarakat kampung saya ke Masjid Rusila untuk mendengar kuliah Pagi Jumaat dan menunggu habis jumaat bagi mendengar amanah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Pak Long Mat banyak mendidik saya dengan ilmu-ilmu asas agama dan perjuangan. Dia ada juga menyelitkan siri pengajarannya mengenai perjuangan dan gerakan Islam. Walaupun hanya berlatarkan sekolah pondok Hj Syafie, dia banyak menekuni hal-hal fiqh dan aqidah serta Jihad. Dia ada kesedaran Islam. Saya banyak belajar dengannya. Banyak jasa dan budinya kepada saya sehingga tertanam kemas ilmu-ilmu dan asas-asas agama Islam dalam benak dan jiwa saya. Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni dosa guru saya ini dan meletakkannya beserta orang-orang yang soleh, amiin ya rabbal a'alamiin.

Perjuangan kepartian berpaksikan Islam.

Diusia 10 tahun saya telah ditunjuk oleh guru saya sehingga saya mengenali perjuangan Parti Islam SeMalaysia (PAS). Semangat perjuangan diserapkan kepada anak didiknya walaupun diusia muda. Diajarkan kami dengan takbir; "Allahu Akbar" , Doa Wehdah dan selalu diberikan contoh teladan cerita alim ulama silam dan pemimpin Ikhwanul Muslimin seperti Hassan Al-Banna Dan Syed Qutb.

Tiupan ruh jihad dan perjuangan itu menaikkan semangat juang dan berusaha untuk menjadi insan yang berguna kepada masyarakat. Saya masih ingat pesanannya ; "kalau kita mahukan keberkatan hidup di dunia dan kesejahteraan di akhirat, kita mesti jaga adab di hadapan guru khususnya guru yang menulis dan mengarang kitab, ilmu mereka berkekalan walaupun mereka telah meninggal dunia. Beradab dengan guru seperti kita beradab dengan Rasulullah saw kerana Rasulullah saw tidak meninggalkan harta benda, emas dan perak. Sebaliknya Rasulullah saw meninggalkan ilmu dan orang yang mewarisi ilmu ialah alim ulama. Ulama yang kita lebih kita muliakan ialah mereka yang memanfaatkan ilmunya kepada ahli masyarakatnya khususnya ulama yang tinggalkan khazanah ilmu melalui penulisannya".

"Zaman kita ni macam Tok Guru Ustaz Fadhil Nor (al-marhum), macam Tok Guru Nik Abdul Aziz dan macam Tok Guru Haji Abdul Hadi". Itu selalu guru fardhu ain saya cakapkan, bukan sekali bahkan ianya tertanam di sanubari kami. Masih saya ingat kata-kata guru saya itu.


Boleh dikatakan saya membesar dengan fikrah PAS ini sejak dibangku sekolah rendah lagi.... Dan inilah pilihan perjuanganku sehingga kini.

Di markaz tarbiyyah inilah segalanya ianya bermula dan di sinilah saya menimba segala ilmu pengetahuan.

Saya tekun belajar dengan Al-Fadhil Ustaz Ahmad Bin Awang , saya antara yang suka bertanya dalam majlis dan kuliahnya. saya selalu berada di hadapannya. Walaupun saya kecil dan muda, ustaz selalu melayan pertanyaan saya. Saya syukur saya cepat belajar sementara anak-anak lain rasanya tiada dalam majlis itu. Kuliahnya panjang dan saya tekun belajar.

Tuan Guru Hj Zainal Abidin atau Ustaz Din
antara pentashih al-Quran di Malaysia
Semuanya kerana saya cuba amalkan nasihat guru saya; hormati ulama dan muliakan mereka dengan hadir ke majlis-majlis mereka. Mencari-cari kuliah mereka. Alhamdulillah di usia muda saya leka dengan mencari kuliah agama seperti ini dan saya terselamat daripada kerosakan para belia pada waktu itu. Syukur Alhamdulillah.

Sekali Bah Sekali Pantai Berubah

Alam kanak-kanak saya memang suci dan murni. Tapi sejak saya mula meninggalkan alam persekolahan peringkat sekolah rendah, saya menyambung pembelajaran di SM Agama tapi dipertengahan jalan saya selalu bertemu dengan kawan-kawan baru. Kedudukan sekolah yang jauh dari rumah memaksa saya menunggang basikal separuh jalan dan menaiki bas diseparuh jalan lagi. Bermula dari sinilah saya mula mengenali kawan-kawan baru dan saya agak liar sedikit pada waktu itu. Saya mula berjinak dengan dunia rock dan selalu lepak di Stesen Bas Kuala Terengganu. Balik dari sekolah terus memanjangkan langkah ke Kuala Terengganu.Petang baru pulang. Namun saya masih juga ada kecintaan dengan majlis ilmu dan ceramah-ceramah agama dan ceramah politik. Kata orang muda ; "Rock Tapi Warak". Masa rock saya boleh berseluar ketat , lepak sambil mendengar lagu tapi bila bab ceramah, pakai serban duduk di saf hadapan. Pergi tempat ceramah naik Van atau naik lori . Ramai-ramai pulak tu, seronok duduk belakang.

Dan kini...

Sekali sekala berada di kampung saya tidak lokek untuk mencurah bakti buat anak kampung dan warganya... saya sayang mereka...


beri ceramah motivasi kepada anak-anak remaja



kelas Maharah Al-Quran bagi dewasa


Insya Allah ada banyak lagi hal yang saya mahu bicarakan. Cerita yang memperihalkan tanah tumpah darahku dimana di situlah tarbiyah pertamaku bermula...


Monday, August 29, 2011

Genap 14 Tahun Dan Salam Aidil Fitri 1432H


Alhamdulillah, hari ini 2908-2011 telah tiba. 14 tahun dulu selepas Zohor, Hari Jumaat yang mulia kita sah diijabkabulkan menjadi suami isteri. Begitu pantas sekali detik masa berlalu. Setiap hari kita berdoa agar rumahtangga yang kita bina akan sentiasa disimbahi cahaya. Rumahtangga mana yang tidak menempuh badai gelora, syukurlah kita masih kuat bertahan sehingga detik dan waktu ini, masih kekal sebagai pasangan yang bahagia. Syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat dan anugerahnya.

Hari ini genap 14 tahun usia perkahwinan kami. 14 tahun jika dinisbah kepada seorang insan, merupakan seorang yang berumur remaja. Masih mentah dalam rumahtangga dan berusaha untuk memperolehi yang terbaik dalam perhubungan yang terbina ini. Kepada isteriku, sayang adalah insan terbaik anugerah Allah SWT buat diriku. Semoga Allah SWT sentiasa memelihara rumahtangga kita daripada sebarang fitnah dan pancaroba yang tidak terduga... insya Allah kita akan harungi setiap detik, senang dan susah bersama. Semoga doa kita di hari terakhir Ramadhan ini dimakbulkan Allah SWT dan menjadikan kita pasangan yang bahagia selamanya... Amiin Ya Rabbal 'Aalamiin.



Sayang,

Sempena kehadiran

Syawal 1432H yang mulia ini

Abang menyusun 10 jari

Memohon ampun dan maaf

Atas segala silap dan dosa

Yang sengaja,

Yang tidak sengaja

Atau dek kerana alpa….

Sesungguhnya

Kita hanya insan biasa

Tidak terlepas daripada salah dan khilaf antara kita…

Sedangkan lidah lagikan tergigit

Inikan pula suami-isteri.



Kepada semua kaum Muslimin Dan Muslimat yang kenal kami atau yang bertandang ke teratap blog ini;




Saya, isteri dan anak-anak mengucapkan;

Selamat Hari Raya

Maaf Zahir dan Batin

"Taqabballahu Minna Waminkum, Taqabbal Ya Kariim".

Thursday, August 18, 2011

Tukang Solek Dan Tukang Kipas

isma daud : Umno memang tukang karut hebat sekarang ni, nak jadi pembela agama dan macam-macam lagi... Walaupun di Sarawak ini tiada UMNO secara rasmi, pemikiran UMNO tetap sama baik nama mereka PBB dan sebagainya, tarbiyyah dan pemikiran mereka tetap sama. Saya masih ingat dengan jelas, hanya dengan menyifatkan "kerajaan sekular" kepada pemerintahan yang ada sekarang kerana mengamalkan Islam sekerat-sekerat atau Islam terpilih yang menguntungkan politik mereka sahaja, dengan serta merta saya di"gam' dan diberhentikan daripada menjadi khatib di sebuah masjid utama di Sibu ini dan segala kerja kuliah dan dakwah saya diganggu sehingga pihak JAIS (Sibu, Sarawak), memanggil saya untuk diberi kata-dua sekitar tahun 2009 dahulu. Kesan buruk daripada tindakan sekat itu masih dirasai. Siapa tukang bela agama ni??? Kalau setakat bersuara lantang terhadap pembangkang dan diam kepada puak sendiri, itu bukan pembela, itu "syaitan bisu" yang hanya berani kepada pihak lain sahaja. Bersuara dalam perkara yang menguntungkan diri dan cuba gambarkan pihak lain sebagai buruk. Jelas sangat bermuka-muka terhadap agama puak ini.

Saya bersetuju sangat-sangat dengan kata-kata tuan guru; "Saya ingin bertanya kepada Umno sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini “Sebelum tangan menggapai ke atas lihat dahulu lantai berpijak Dasar Umno sendiri ialah kebangsaan dan sekular” .


___________________________________________

Nik Aziz: Umno politikkan bacaan al-Quran Pulau Pinang tapi bisu isu Melaka

August 17, 2011

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Umno sewajarnya tidak memainkan isu larangan bacaan al-Quran melalui pembesar suara di Pulau Pinang kerana keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dan tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan negeri dipimpin Pakatan Rakyat.

UMNO Tukang Solek

Tegas Mursyidul Am PAS (gambar), pada pandangannya tidak munasabah Umno mahu ‘mencari balah’ dengan Mufti dalam isu yang tidak ada kepentingan politik.

“Tapi nampaknya, sangkaan saya agak tersasar. Umno yang saya lihat sudah sampai saat kejatuhannya barangkali akan cuba berpaut dengan apa jua dahan untuk mengelakkannya daripada jatuh terhempas dan patah tulang,” katanya.

Menteri Besar Kelantan menambah isu yang langsung tiada kaitan dengan kerajaan negeri dipolitikkan.

“Barangkali, jika tiba-tiba terjaga di tengah malam sekalipun, perkataan yang akan terpancul keluar ialah ‘DAP!’

“Dalam isu ini, saya bukan menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi saya menyokong pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang. Buta maklumatkah golongan ini?” kata Nik Aziz lagi.

Nik Aziz menambah, isu ini sebenarnya sengaja dipolitikkan sehingga menjadi polemik.

“Saya ingin bertanya kepada Umno, sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini?

“Sebelum tangan menggapai ke atas, lihat dahulu lantai berpijak. Dasar Umno sendiri ialah kebangsaan dan sekular,” katanya lagi.

Beliau juga berkata Islam tidak pernah ada dalam agenda perjuangan Umno. “Justeru, apabila kerajaan Melaka melanjutkan tempoh pusat hiburan beberapa bulan lepas, tidak ada sebarang suara yang menentang daripada Umno.

Tukang Kipas UMNO

“Ada pula yang sibuk mahu menggantikan PAS sebagai pembela Islam,” katanya lagi.

Nik Aziz berkata, ia sebenarnya satu pengiktirafan terhadap PAS yang telah berjuang sekian lama membela Islam. Katanya, barangkali pihak ini ‘tidak tergamak’ untuk menggantikan Umno untuk memperjuangkan Islam.

“Masakan tidak, bila pula pernah Umno berjuang untuk Islam?” katanya lagi.

Nik Aziz mengulangi bahawa bacaan al-Quran di pembesar suara sebelum solat Subuh bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam, jika ia terbukti menganggu dan ada aduan, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan pandangan.

“Di Kelantan dengan kebanyakan masyarakatnya Muslim mungkin tidak mengira ini sebagai satu masalah, tetapi di Pulau Pinang mungkin keadaannya berbeza. Rasulullah s.a.w sendiri pernah melarang seorang sahabat yang mengangkat suara di dalam masjid untuk berzikir sehingga mengganggu orang lain,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Nik Aziz, “saya menyeru kepada Umno, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam.”

Katanya, Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi.

“Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi. Sayangnya, saya lihat Umno sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa.

“Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana,” kata beliau sambil menambah, “Umno mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara.”

“Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam.

“Ingatlah, dalam mengendalikan sebarang isu, ambillah pertimbangan kemuliaan bulan Ramadan yang sedang kita lalui sekarang,” katanya lagi.

Monday, August 01, 2011

Ramadhan Karem 1432H ~ Mendidik Nafsu Taatkan Allah SWT

Oleh isma daud

"Walaupun berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga, dalam masa yang sama larangan Allah SWT diteruskan juga, contohnya; ramai yang berpuasa tetapi tidak mendirikan solat fardu, masih tidak menutup aurat, tidak berhenti daripada kerja-kerja jahat dan membuat fitnah, masih kedekut dan bakhil membelanjakan harta pada jalan Allah SWT sebaliknya suka membazirkan wang pada jalan sia-sia dan tidak berfaedah..... maksudnya puasa itu tiada mengesan pada hati dan dirinya sedikitpun. Malah puasanya tidak mampu mendidik dirinya untuk taatkan Allah SWT sebaliknya nafsunya itu terus bermaharajalela menguasai dan mencengkam dirinya. Biarpun Syaitan sudah terbelenggu dalam bulan Ramadhan, namun asuhan syaitan dan cengkaman syaitan pada hati dan nafsunya amat berjaya sekali."


Bulan Ramadhan yang mulia datang lagi. Ia datang dengan membawa hidangan rahmat dan keampunan Allah SWT. Kandungan Ramadhan yang utama ialah puasa selama satu bulan. Matlamatnya melahirkan insan bertaqwa kepada Allah SWT.

Tarbiyah utama dalam bulan Ramadhan adalah untuk mendidik nafsu kita agar taat akan Allah SWT. Penanda aras kejayaan kita samada berjaya atau tidak dalam melepasi ujian Allah SWT tiada lain kecuali kita mampu mendidik nafsu kita menjadi jinak kepada segala yang disuruh oleh Allah SWT. Dalam masa yang sama kita mampu meninggalkan segala larangan Allah SWT. Jika gagal mencapai penanda aras ini bermaksud kita gagal mencapai matlamat bertaqwa kepada Allah SWT dan meneruskan kegagalan buat sekian kalinya dalam bulan Ramadhan ini kerana terus tunduk kepada kehendak dan kemahuan nafsu kita yang tiada batas itu walaupun dijelaskan kepada kita bahawa Allah SWT telah membelenggukan Syaitan yang menjadi nakhodanya.

Sesiapa yang masuk bulan Ramadhan dan gagal memperolehi rahmat dan keampunan Allah SWT, bermaksud dia orang yang tertipu dan terpedaya. Kenapa??? Sebabnya orang yang beriman akan berusaha memperolehi seberapa banyak kurniaan Allah SWT dalam bulan yang mulia ini sedangkan orang yang hanya berharap mendapatkan rahmatnya tetapi tidak pula beramal di dalamnya dan berangan-angan dengan rahmat dan ampunan tuhan, itulah tipuan namanya.

Hal ini terjadi kerana nafsu tidak dijaga dan dikawal dengan rapi. Walaupun berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga, dalam masa yang sama larangan Allah SWT diteruskan juga. Contohnya; ramai yang berpuasa tetapi tidak mendirikan solat fardu, masih tidak menutup aurat, tidak berhenti daripada kerja-kerja jahat dan membuat fitnah, masih kedekut dan bakhil membelanjakan harta pada jalan Allah SWT sebaliknya suka membazirkan wang pada jalan sia-sia dan tidak berfaedah..... maksudnya puasa itu tiada mengesan pada hati dan dirinya sedikitpun. Malah puasanya tidak mampu mendidik dirinya untuk taatkan Allah SWT sebaliknya nafsunya itu terus bermaharajalela menguasai dan mencengkam dirinya. Biarpun Syaitan sudah terbelenggu dalam bulan Ramadhan, namun asuhan syaitan dan cengkaman syaitan pada hati dan nafsunya amat berjaya sekali. Masakan tidak 11 bulan menurut kata nafsu dan komandernya, syaitan manakan mampu mencabut tujahan dan terjahan syaitan serta merta.

Namun kita jangan berputus asa. Semoga sebulan berpuasa ini akan memberi kejayaan baru kepada kita apabila kita mampu memacukan nafsu kita mengikut acuan Allah SWT. Insya Allah ia akan cenderung untuk melakukan kebaikan mengatasi kejahatan.

Sesungguhnya nafsu itu adalah amanah Allah SWT kepada pemiliknya agar ia diasuh dan didik supaya taatkan Allah SWT sepanjang masa. Barulah apabila ia dipicitkan dengan rasa lapar dan dahaga ia menjadi lembut dan mudah dilentur. Oleh sebab itu marilah kita jadikan Ramadhan kali ini sebagai titik tolak untuk kita bermujahadah diri agar ia terbina sebagai hamba yang kenal penciptanya dan selalu taat akan Dia.

Semoga kita semua umat Islam berjaga memperolehi rahmat dan berkat daripada Ramadhan tahun ini dan ibadat puasa yang terkandung di dalamnya. Amiin, Ya Rabbal 'Aalamiin.

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1432H KEPADA SEMUA KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG BERTANDANG KE LAMAN BLOG INI. AHLAN WA SAHLAN, YA RAMADHAN!!!

Monday, July 25, 2011

Kena "Gam" Pahit atau "FITNAH"Nya Pahit ???

Pahitnya di"gam" pernah saya rasai, bukan kena gam itu yang pahit tetapi FITNAH yang datang bersama dan tersembunyi didalamnya itu lebih pahit. Respond saya kpd orang popular spt Ustaz Zambri Manthop kena "gam". Jadi apalah sangat ujian yang kita terima ini berbanding dengan apa yang telah dilalui oleh mujahid dan mujahidah terdahulu. Sesungguhnya kita ini hanya insan kerdil kepada Allah SWT yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa. Usah sedih, rezeki dalam tanganNya.

gambar ini diambil di blog ini; N'N@Blog , terima kasih.

Kerajaan BN bukan puak yang mesra kepada ulama yang benar atas kebenaran. Mereka hanya ingin memperalatkan golongan ulama selama mereka boleh diperguna dan diperkudakan. Jika mereka ini menegakkan kebenaran, mereka tidak ubah macam anjing yang ditendang dan dihina tanpa belas kasihan bahkan tiada harga lagi. Tidak kira anda siapa, nasibnya sama. Itulah nasib berbaik dengan puak-puak duniawi ini. Hanya Allah SWT sahaja yang akan menentukan nasib malang mereka  yang taghut ini sebagaimana Allah SWT telah berbuat kepada kaum-kaum yang dibinasakanNya terdahulu seperti kaum 'Aad, Thamud dan Fir'aun.

Masanya akan tiba, tidak lama, sabarlah Ustaz.

Sunday, July 24, 2011

Kagum !!! Sultan Kelantan V Tunjuk Contoh Terbaik

Gambar ni terjumpa dalam blog Karat E-jau . Kagum saya kepada Sutltan Kelantan V yang telah menunjuk satu contoh dan akhlak terpuji kepada rakyat jelata dalam usahanya memupuk semangat menjaga kebersihan dan mementingkan keceriaan alam sekitar.



Baginda turut menitahkan; "Beta dapati masjid tidak dibersihkan, tandas tidak dicuci, ini tidak sepatutnya berlaku sebab kebersihan adalah sebahagian daripada iman".

Semoga contoh yang baik menjadi budaya semua rakyat jelata.

Friday, July 08, 2011

Genap 39 tahun

Hari ini, suara masih serak, masih batuk-batuk. Mujurlah tugasan ceramah di surau atau masjid tidak ada untuk tiga hari ini. Harap pagi Ahad nanti ia kembali pulih. Kelmarin langsung hilang.


Apa pun hari ni genap usiaku 39 tahun. Tahun terakhir diusia angka 30an. Di FB ramai rakan-rakan ucapkan selamat dan doakan kesejahteraan saya. Terima kasih buat semua. Terima kasih.


Semoga ada sisa-sisa hari untuk saya meneruskan kehidupan di alam fana ini.


Alhamdulillah... syukur atas segala kurniaan dan nikmatMu, ya Allah.

Tuesday, July 05, 2011

Demontrasi Adalah Satu Manifestasi Perasaan

Perhimpunan bersih itu bukanlah nak gulingkan kerajaan tapi sekadar protes mahukan pilihanraya djalankan secara adil dan bersih dari penipuan dan penyelewengan.

Tapi pihak BN@UMNO gambarkan ianya seperti satu rampasan kuasa sedang berlaku. Begitulah rupa orang yang takut kehilangan kuasa dan mereka bimbang penyelewengan mereka akan didedah kepada masyarakat umum.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

YAB Menteri Besar Kelantan TG Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mengutarakan tentang "Demontrasi":

Demontrasi (Tunjuk perasaan) adalah satu tajuk yang sangat berkaitan dengan fitrah manusia. Kanak-kanak boleh merajuk. Isteri kadang-kadang boleh menangis. Anak lelaki atau perempuan kita juga biasa menunjukkan pernyataan sikap mereka sama ada suka atau duka melalui perlakuan dan tutur kata.

Semua ini adalah manifestasi perasaan. Apa yang ditunjukkan dinamakan tunjuk perasaan.

Di dalam Islam, kita menunjukkan perasaan kecintaan dan ketundukan kita terhadap Allah S.W.T. melalui sembahyang lima waktu beramai-ramai (berjemaah) yang lengkap dengan aksi duduk, sujud dan tunduk bangunnya.

Kita juga ada solat Jumaat sekali seminggu dan solat sunat dua Hari Raya untuk tiap-tiap tahun.

Kemuncak demonstrasi dapat kita saksikan melalui pertemuan sekali seumur hidup (sekurang-kurangnya) untuk berhimpun di Padang Arafah, melontar iblis di ketiga-tiga Jamrah, Saei di antara Safar dan Marwah dan Tawaf untuk mengEsakan Allah S.W.T. di Kaabah, satu-satunya Kiblat seluruh umat Islam.

Ini semua adalah manifestasi demonstrasi sebenar yang telah dituntut oleh Allah S.W.T. seawal-awal wujudnya Adam Alaihissalam lagi.

Sebagaimana kita dibolehkan berdemontrasi untuk perkara-perkara maaruf, begitulah juga kita dituntut untuk menunjukkan perasaan protes dan penentangan kita terhadap apa juga kezaliman, jika berlaku kezaliman.(Amar maaruf nahi mungkar).

Suasana Di Amman Jordan ~ gambar ehsan pejuang jordan

Sebagai sebuah negara demokrasi; Biarkan Rakyat Berdemontrasi;Bagaikan tabie air, Rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti.

Bagi saya, saya tetap merestui sebarang perhimpunan aman untuk sekadar menyatakan sikap dan membangkitkan semangat kesedaran untuk menolak kezaliman.

Petikan dari : Blog Ustaz Rosli Dhoby.

Sunday, July 03, 2011

Walau Kurang Sihat, Hati Nak "BERSIH"

Sejak awal minggu ini kesihatan saya agak terjejas. Kurang rehat rasanya. Sakit dalam perut, buang air besar pun ada pendarahan, batuk dan selsema. Walaubagaimanapun saya belum ambil sebarang cuti dan terus menggagahkan diri ke sekolah. Cuma badan tu rasa penat saja.

Kerja-kerja pembangunan anjung Masjid An-Nadwah pun sudah bermula. Membuat benteng simen itulah yang sedikit mencabar. Banyak tenaga yang diperlukan. Sekarang ini tengah diusahakan untuk mengisi tanah dan pasir di ruang tengah yang sudah dibentengkan itu.

Cuaca hujung minggu lepas cukup panas tetiba minggu ini pula hujan memanjang pula. Perubahan cuaca itu rasanya telah memberi kesan kepada badan saya yang sudah merangkak masuk usia 40 tahun. Mana tahan kerja macam orang muda lagi....

Dalam pada itu kuliah agama saya ada sedikit terganggu khususnya kuliah subuh. Ini kerana badan sudah terlalu letih, sakit-sakit dalam daging. Sakit urat tu biasalah. Mungkin otot perut saya terkesan daripada kerja berat, maka sistemnya terganggu, ada luka dalam menyebabkan saya lama berada dalam bilik termenung itu. Itulah kuliah subuh sudah dua minggu tidak dapat hadirkan diri.

Jadi dalam seminggu ini, saya nak rehatkan badan dan tenangkan fikiran bagi mengembalikan stamina dan kecerdasan badan. Semoga dengan rehat dan tidur yang cukup saya kembali bertenaga untuk terus bekerja, berkhidmat kepada anak bangsa, agama. Insya Allah,  Allah SWT membantu dan mempermudahkan urusan saya. Amiin Ya Rabbal 'Aalamiin.

Dalam sakit-sakit ni, pemikiran tetap tertumpu kepada isu semasa di luar sana. Isu BERSIH 2.0 tetap menarik perhatian saya. Saya sokong BERSIH 2.0. Inilah caranya rakyat dapat memberi kesedaran kepada kerajaan yang ada agar mereka sedar bahawa mereka perlu berbuat yang baik sepanjang masa. Tanpa gertakan rakyat, kerajaan rasa selamat mahu buat apa saja. Sekarang pihak polis sedang berusaha menangkap siapa saja yang mengedar risalah dan menyekat jalanan agar BERSIH 2.0 gagal dalam misinya demi mengekalkan kerajaan pemerintah yang ada. Simbol BERSIH ialah kuning, jadi yang kuning sudah kena haram sekarang ni. KESIAN!!!

Moga hadis ini dapat membuka mata mereka yang alpa; ‎"Akan tiba suatu masa, ketua-ketua mereka seperti singa, menteri-menteri mereka seperti serigala, para hakim mereka seperti anjing, dan rakyat jelata seperti  kambing-kambing" (maksud hadith).


www.malaysiakini.com
Dengan menggunakan label yang keras, khutbah mendakwa perhimpunan BERSIH haram diikuti umat Islam kerana boleh "mencampakkan manusia dalam kebinasaan".

Khutbah Jumaat JAKIM pada jumaat lepas kata Perhimpunan BERSIH haram. Tapi kalau berhimpun macam JOM HEBOH, Konsert Artis, HALAL. Ni yang buat saya meluat dengan "orang agama duniawi". Jadi orang macam ni seperti apa ye? Saya rasa mereka ini dalam kategori PARA HAKIM yang menyalak seperti anjing. Itulah kelompok mereka yang paling sesuai.

Friday, June 24, 2011

Terima Ahli Baru Sempena Ulang Tahun Perkahwinan Ke 14

Singgah ke Pusat Pameran Toyota sekitar akhir bulan Mei yang asalnya sekadar jenguk-jenguk pelbagai kereta di ruang showroom, membuka jalan kepada saya untuk mendekati MPV Avanza baru yang dikeluarkan sejak beberapa bulan lalu sebagai keluaran 2011.


Model 1.3E, Manual ~ (Gambar Sekadar Hiasan)

Model 1.5G A/T (Automatic) ~ (Gambar Sekadar Hiasan)

Masa tu buat kerja parttime di AMS (Academy Maritime Sarawak), Jalan Lanang. Oleh kerana sekolah cuti, kelas ni saja yang berjalan. Sesampai saja saya ke bilik pameran Toyota tu, saya ditegur oleh seorang jurujual, Mr Peter Ting (awal 30an) dan menjemput saya minum air teh tarik yang disediakan percuma oleh pihak Syarikat kepada semua pengunjung. Saya mendengar sedikit penerangan daripada beliau tentang Avanza baru ni.

Walaupun kereta MPV jenis ni telah lama berada di jalan-jalan raya dan ramai rakan-rakan saya yang memakainya. Dekat sekolah tu ia antara kereta yang menguasai laman letak kereta sekolah, tapi saya masih selesa dengan kereta lama saya baik kancil maupun proton saga saja. Entah, saya rasa tak ada keperluan menambah kereta lagi...

Pada asalnya saya memang tiada niat langsung nak beli apa-apa kereta dalam masa terdekat ini. Jadi pertemuan saya dengan Mr Peter Ting ni berakhir begitu saja pada petang itu.

Apabila saya balik ke rumah, saya bercerita dengan orang rumah saya, dan kami pergi lagi berjumpa dengan MR Peter sekali lagi dan kali ini kami membuat kira-kira sedikit tentang bajet, bayaran bulanan dan sebagainya.

Sebenarnya kereta MPV ni adalah persediaan untuk meraikan perkahwinan kami yang akan tiba nanti.... Dengan rebet sebanyak RM1,500.00, En Peter menawarkan discount lagi sebanyak RM500. Beliau juga membantu saya memindahkan NCD kereta lama ke kereta ini, dapat jimat sikitlah belanja insuran nanti... Beberapa tawaran lg termasuk minyak, pemasangan tinted bahagian cermin depan, topi, payung dan hadiah untuk anak-anak berapa buku lukisan dan stiker. 5 orang anak dapat lima set le....

Dengan membuat bayaran sebanyak RM3k sebagai "booking" di awal bulan Jun, dan bayar muka dengan sejumlah wang, agar bayaran bulan tidak terlalu tinggi, maka akhirnya kereta MPV jenis ini telah sampai juga kelmarin. Warna yang kami pilih ialah "Gray Matellic". Warna baru bagi kereta jenis ini. Insya Allah pada hari Selasa nanti ia akan berada bersama kami. Kami telah memilih Avanza 1.5G A/T dengan nombor pendaftarannya menggunakan tarikh ulang tahun perkahwinan kami.

Model 1.5E A/T (Automatic) ~ (Gambar Sekadar Hiasan)

Semoga ianya bermanfaat untuk keluarga sederhana seperti kami, insya Allah.... Ia bukan hanya sebuah kereta, malah lambang kesinambungan kasih sayang dan cinta yang kami paterikan bersama sejak 14 tahun yang lalu. Semoga jodoh kami sentiasa dipeliharakan Allah SWT dan berpanjangan....

Aamiin.

Tuesday, May 31, 2011

Rehlah Ke Pantai Belawai, Sarawak

Walaupun tanpa perancangan yang teliti, akhirnya rehlah ke Pantai Belawai yang terletak 116km dari bandar Sibu berjaya juga dilakukan. Oleh kerana perjalanan secara konvoi, kami mengambil masa 1jam 30 minit untuk sampai ke pantai ini. Dalam perjalanan balik kami sempat singgah di Tanjung Manis.


Rehlah kali ini melibatkan 8 keluarga ustaz dan ustazah yang berasal dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang masing-masing sudah lama menetap di Sarawak demi mendidik anak bangsa agar menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.

Sempena cuti sekolah dan Hari GAWAI, kami merancang perkelahan keluarga bagi menghilangkan segala penat-lelah bekerja dan merapatkan rasa ukhwah Islamiah di antara satu sama lain.

Bergambar kenangan di hadapan Masjid Rajang

Alhamdulillah , rehlah kali ini disertai oleh 8 keluarga;
  • Keluarga Ustaz Nazri Ismail
  • Keluarga Ustaz Zamzuri
  • Keluarga Ustaz Mohammad Abdullah
  • Keluarga Ustaz Adenan Rosdi
  • Keluarga Ustaz Abdul Fattah
  • Keluarga Ustaz Dasuki Abdul Rahman
  • Keluarga Ustaz Mohd Isa Daud
  • Keluarga Ustaz Syukri Ali

Pada asalnya hanya 3 keluarga namun atas inisiatif masing-masing akhirnya 8 keluarga bersepakat untuk rehlah bersama dalam konvoi kali ini. Sesampai saja di sana kami menemui Ustaz Suhaimi Noh sekeluarga dan Cikgu Haslim sekeluarga (Ustazah Khairul Bariah) turut melakukan aktiviti yang sama.

Mengurus juadah yang dibawa untuk makan bersama

Kalau dulu untuk sampai ke Belawai terpaksa menggunakan laluan sungai dan ferri, kini perjalanannya kian mudah setelah siapnya jambatan dan jalan dari Sibu ke Belawai. Lebih daripada 20 jambatan yang sempat dibilang oleh anak-anak saya; ada jambatan panjang dan ada yang pendek.. itulah berkat pembangunan dan usaha kerajaan yang memerintah dalam merealisasikan kehendak rakyat Sarawak. Jarak yang jauh menjadi dekat, yang sukar berhubung sebelum ini menjadi mudah.

Berikut sebahagian aktiviti yang sempat dirakam oleh anak-anak saya....

Melayan anak sambil bersembang
Di Sibu mana ada pantai; seronok bermain air laut
Leka bermain pasir
Ibu bapa sibuk menyiapkan tempat berehat dan makan

Alhamdulillah!!! Syukur ke hadrat Allah SWT kerana perjalanan kami hari ini selamat pergi dan balik....

Saturday, April 30, 2011

UMNO Terpalit Porno ; Al-Quran Sekadar Untuk Dipegang Dan Masjid Menjadi Saksi

Sejak akhir-akhir ini saya rasa malu menonton berita TV, membaca berita di laman akhbar milik UMNO yang tidak segan silu membicarakan filem Porno. Mereka rasa bebas laku dan semua orang suka dengan apa yang mereka dedahkan. Sehingga saya tertanya-tanya apakah UMNO hari ini sedang diwakili dan ditunjangi oleh mereka yang suka benda porno ini. Menjadikan bahan porno sebagai cara mencari kebenaran dan jalan perjuangan, menjatuhkan maruah orang dan memalukan orang Islam dan melayu itu sendiri.

Saya rasa orang melayu yang bertunjangkan Islam kena keluar daripada UMNO kerana parti itu dikuasai oleh mereka yang suka kepada kerja porno. Jadikan bahan porno sebagai cara UMNO untuk terus bernyawa dalam arena politik. UMNO telah hilang daya juangnya untuk mengutarakan isu orang Islam dan melayu sehingga perlu membuat jalan cerita yang bersiri dan panjang bagi menjatuhkan musuh mereka melalui jalan liwat dan video porno. Lebih malang lagi, orang Islam dalam UMNO sanggup memperkudakan masjid dan agama untuk keuntungan politik yang sedikit sehingga menjadikan masjid sebagai tempat bersumpah laknat bagi membenarkan tuduhan porno yang dimainkan oleh media siang dan malam. Kini, tiada tempat suci lagi dalam UMNO. Semua tempat telah terpalit najis dan kotoran porno yang dibawa oleh segelintir orang UMNO. Layaklah setengah orang UMNO seperti ini dipanggil UMporNO.

Sungguh malang sekali mereka yang bersumpah ini tidak faham asas sumpah dalam Islam. Mereka yang bersumpah hanya sekadar mahu membuktikan bahawa mereka benar sahaja. Asal matlamat mereka tercapai sahaja. Mengapa masjid dan al-Quran dijadikan mainan dan perhiasan? Sekadar untuk dipegang dengan tangan dan masjid sekadar menjadi saksi bisu? Adakah al-Quran dan masjid disucikan oleh puak-puak yang suka sumpah laknat ini? Sedangkan pegang al-Quran dan tempatnya pula masjid, bukan rukun dan syarat sumpah dalam Islam. Sungguh malang mereka yang pegang al-quran dalam masjid tidak berpegang dengan ajaran al-Quran. Al-Quran itu sekadar untuk dipegang bukan untuk berpegang dan beramal dengan ajarannya.

gambar : majlis sumpah laknat dalam masjid yang saya ambil dalam siaran blog

Di dalam al-Quran ada hukum hudud, qisas yang membabitkan persoalan liwat dan zina. Tetapi sayang orang Islam tidak dapat melihat kemanisan hukum al-Quran itu terlaksana dengan adil. Orang Islam hanya mampu melihat sumpah laknat yang tidak sah di sisi syarak sahaja. Masjid dan Al-Quran sekadar dijadikan syarat oleh orang UMNO untuk membuktikan kebenaran sumpah, sedangkan hukum berkaitan liwat dan zina diketepikan oleh mereka dan hukum berkaitan diperlekeh dan dipijak-pijak sepanjang masa. Hukum yang terkandung di dalam Al-Quran diketepikan, hukum mereka sendiri mengambil ganti.

Orang-orang yang suka mempermainkan hukum Allah, suka bersumpah dan menjadikan sumpah sebagai perisai mereka disifatkan oleh al-Quran yang dipegang oleh sebahagian tangan orang Islam sebagai golongan munafiq yang tidak boleh dipercayai mereka itu. Perhatikanlah ayat-ayat Allah SWT dalam surah al-Munafiquun dari ayat 2-4. Firman Allah SWT yang bermaksud; "Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai, lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah). Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?"

Lihatlah hari ini fitnah berleluasa, perasaan malu tiada lagi. Yang benar tidak diketahui , yang fitnah mendapat tempat dan pembelaan. Yang buruk kelihatan baik , yang baik nampak buruk. Itulah dunia akhir zaman namanya. Akhir zaman juga kepada UMNO yang terpalit dengan kerja porno dan fitnah yang tiada berpenghujung.

Sungguh tiada siapa yang sempurna, tiada siapa yang tidak berbuat salah dan dosa. Tetapi sebaik orang yang berdosa ialah orang yang bertaubat, kembali kepada tuhanNya. Masa masih ada, berhentilah daripada membuat durja semasa hidup di dunia. Ingatlah ada janji sebenar di akhirat sana. Wassalam.

Tuesday, March 15, 2011

Orang Kampungku ; Pegawai ADUN Di Tangkap Khalwat???

Membaca Sinar Harian Online, membuatkan saya teruja dengan beritanya kerana ianya berkaitan dengan orang-orang kampung saya, Kampung Tok Dir. Berita Pegawai Wakil Rakyat Di Cekup Khalwat dalam sebuah kereta di satu kawasan sunyi dan gelap di Kampung Alur Tuman, Pulau Kerengga, Marang, kira-kira jam 1.30 pagi, Jumaat 11 Mac 2011. Pegawai Wakil Rakyat di sini dimaksudkan oleh Sinar Harian sebagai pegawai kepada YB Ustaz Mohd Nor Bin Hamzah; ADUN Bkt Payong, Marang.

Tapi melihat kepada orang dalam gambar ini, saya cuba berkali-kali mengenalinya, rasanya tidak kenal. Gambar siapa ini yang disiarkan oleh Sinar Harian???

Bila saya telefon orang kampung saya mereka mengesahkan orang itu bernama Mohd Din.

Mohd Din Jusoh??? Saya kenal sangat dia. Bila pula dia jadi Pegawai ADUN.

Tetapi lelaki ini (gambar kiri yang disiarkan oleh Sinar Harian) saya tidak kenal.

Kalau Mohd Din Jusoh, saya kenal dia, orang kampung saya tu, memang ada pertalian dengan YB Ustaz Mohd Nor Bin Hamzah, yang suaranya lunak dalam melaungkan azan, membaca al-Quran dan anak menantunya juga seorang Ustaz yang kini bertugas di satu sekolah di Sabah... rasanya macam tidak percaya membaca berita ini.... Apabila saya balik kampung, mengajar mengaji dia di antara yang berada dengan saya mempelajari tajwid dan al-quran. Kenal sangatlah!!!

Kalau betullah dia ditangkat khalwat, dia sekadar ada pertalian keluarga , tidak semestinya pegawai ADUN. Kerja buruh tu betul. Nak jadi pegawai ADUN kena ada sijil sikitlah, Mohd Din yang saya kenal tu orang kampung biasa-biasa saja. Kalau jadi pemandu kereta ADUN munasabah.... tapi saya kenal Ustaz Mohd Nor, rakan sekelas saya yang kini YB DUN Bkt Payong, dia pun memandu sendiri. Kalau perlu kepada perjalanan jauh seperti ke KL atau berceramah di luar kawasan baru pakai pemandu, itu pun bertukar-tukar pemandunya.

Siaran Berita Dalam Berita Harian Online : 14/03/2011
Bila saya mencari dalam carian google, ni berita yang disiarkan oleh Harakah Daily Online; Fitnah: Adun Bukit Payung buat laporan polis
.

KUALA TERENGGANU, 14 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah membuat satu laporan polis terhadap akhbar Berita Harian hari ini.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Chendering
Laporan polis tersebut dibuat pada jam 3.00 petang tadi di Balai Polis Chendering, Kuala Terengganu kerana berunsur fitnah serta memalukan wakil rakyat berkenaan.

Katanya, pihak polis diminta segera bertindak membuat siasatan terhadap penulis serta akhbar terbabit agar tidak meneruskan laporan bersifat fitnah dan memalukan itu.

“Kami buat laporan polis ini supaya pihak polis segera buat siasatan terhadap akhbar yang terlibat agar jangan meneruskan lagi.

“Kita minta mereka (akhbar) segera menunaikan beberapa tanggungjawab terhadap kesilapan yang mereka buat dengan menjatuhkan imej saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipilih oleh rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Chendering dengan diiringi oleh beberapa orang ahli jawatankuasa Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payung.

Ini berikutan, laporan sebuah akhbar arus perdana itu yang melaporkan ‘Pegawai Adun mengaku khalwat’ serta dikaitkan dengan Adun Bukit Payung.

Mohd Nor turut melahirkan rasa kesal dan malu dengan fitnah yang dikaitkan isu khalwat dengan Pegawai Adun Bukit Payung.

“Saya buat laporan fitnah dan malu. Memalukan saya dan rakyat di Bukit Payung. Fitnah ‘jahat’ yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks, sedangkan saya tidak memiliki mana-mana pegawai.

“Ini (laporan) bukan hanya memalukan saya tetapi memalukan rakyat di Dun Bukit Payung, yang mereka memilih saya menjadi wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-12, lalu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu menafikan mengenali individu terbabit berdasarkan laporan berita tersebut.

Katanya, dalam Dun Bukit Payung mempunyai lebih 19,000 pengundi yang terdiri dari kalangan rakyat Umno, PAS dan lain-lain.

“Saya tidak kenal individu itu berdasarkan laporan berita tersebut. Pengundi di Dun Bukit Payung seramai 19,000 orang yang terdiri dari rakyat Umno, PAS dan sebagainya.

“Nama Mohd Din Jusoh mungkin ramai yang terdapat di Dun Bukit Payung. Saya tidak pernah melantik dia (Mohd Din) sebagai pegawai Adun.

“Ini fitnah ‘jahat’ yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks sedangkan, saya tidak memiliki mana-mana pegawai,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor telah menyerahkan kepada pihak peguam dari Dewan Pemuda PAS negeri bagi meneliti serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Hadir sama mengiringinya, Ketua Penerangan Dun Bukit Payung, Mohd Nasir Ismail.

Saturday, March 05, 2011

Di Sinilah Tarbiyyah Diriku Bermula... Bah 1

Mengenang masa lalu dalam hidup kita adalah sesuatu yang amat menyenangkan, kekadang amat memeritkan pada jiwa. Segalanya menjadi ibrah dan sempadan dalam menyelusuri kehidupan di kemudian hari. Menjadikan saya insan yang bersyukur dan penuh kasih sayang. Ada insan yang saya ingati, ada tempat yang saya kenangi. Kata orang; "tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain."

Sebagai anak yang menjadi mangsa keadaan perceraian ibubapa di usia lima tahun, aku menumpang teduh di rumah kakak ketiga dan abang iparku. Kakak saya itu saudara seibu. Mereka empat beradik. Mereka anak yatim kerana bapa mereka meninggal sejak mereka semua masih keci lagi. Semua mereka tidak bersekolah kecuali abang saya yang  keempat (adik bongsu mereka) yang bersekolah dan kini telah menjadi seorang guru. Yang lain hanya hidup di kampung buat kerja kampung sahaja. Perkahwinan ke dua ibuku dengan bapa hanya dapat aku seorang sahaja. Aku anak tunggal tiada adik beradik kandung. Yang ada pada aku ialah adik beradik seibu dan adik beradik sebapa sahaja. Kehidupan mereka amat susah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dengan keadaan rumah yang sempit, tiada bekalan elektrik dan kemudahan asas yang daif, kehidupan kami sangat mencabar pada masa itu. Kehidupan malam kami hanya berhiaskan pelita sahaja. Abang dan kakak kerjanya menanam sayur, kami menghabiskan masa mengurus sayur yang di susun dan diikat untuk dijual seawal pagi kepada peraih. Segala macam pahit getir kehidupan aku tempuh bersama keluarga kerdil ini. Segala kesusahan, kerinduan kepada ayah, aku ulamkan menjadi rencah hidup dan perjuangan yang panjang. Aku lebih bernasib baik daripada abang-abang dan kakak-kakak seibuku kerana mereka anak yatim sedangkan aku ditinggalkan bapa sahaja. Sikap tidak mengalah kepada takdir dengan niat merubah hidup sentiasa tersemat di dada dan sanubari saya.

Dalam usaha merubah hidup, saya anak di usia sembilan tahun merelakan ditinggalkan oleh ibu demi mencari kehidupannya dan akhirnya ibu berkahwin lagi dan menetap bersama suaminya di kampung berasingan dan jauh daripada saya. Dalam setahun hanya beberapa ketika saja kami dapat bersama seperti hari raya dan cuti sekolah. Aku diamanahkan kepada kakak ketiga, anak ibu, kerana rumah hampir dengan sekolah. Di tempat baru ibu, jauh ketinggalan dari segala pembangunan di mana untuk ke sekolah terdekat pun terpaksa berjalan kaki sekurang-kurangnya enam batu merentasi ladang pokok getah yang jalannya seluas dua jengkal jari. Orang pada masa itu ramai menunggang basikal sahaja. Yang ada motorsikal sudah dianggap berada, itupun seorang dua sahaja. Jadi saya perlu berkorban demi pelajaran dan masa depanku. Keluarga kami mana ada basikal.... berjalan kaki sajalah.


Pemberontakkan Sanubari Dan Jiwa

Sejak ibu dan ayah berpisah (seusia lima tahun waktu itu) , ayah pergi dengan keluarga barunya meninggalkan aku tanpa kasih sayang. (Semoga Allah SWT mengampunkan ayahandaku yang telah pergi menghadap Ilahi pada 19 Julai 2000 lalu dan meletakkannya bersama dengan orang-orang yang soleh, doaku tidak pernah luput kepadanya). Anak manja yang sentiasa diulit dengan permainan rebat di kala aku menangis, sedih ditinggalkan pergi tanpa peduli. Perubahan hidup itu amat sukar bagiku. Kerinduan kepada ayah amat memedihkan. Kekadang jika dimarahi ibu, aku mengamuk, melarikan diri dan berjalan kaki berbatu-batu dengan hasrat mencari ayahku. Dan biasanya aku akan berhenti berjalan di satu simpan jalan yang jauhnya tidak kurang lima dan enam batu. Habis semua orang kampung terlibat, memujuk dan mencariku.

Tat kala ibu pula pergi meninggalkan aku, hatiku selalu saja memberontak.  Aku tidak lari jauh lagi. Biasanya aku akan bersembunyi di tempat-tempat pelik seperti kandang lembu dan reban ayam. Pernah aku lari dari rumah di waktu malam kerana merajuk dimarahi kakak dan bersembunyi dalam reban ayam di sebuah rumah kejiranan namun orang kampung mencari sampai ke tempat biasa aku lari iaitu di Simpan Batu 9. Namun gerak hati kakak yang membela aku sedari kecil, dapat meneka di mana aku berada. Di kala hari sudah jauh malam, kakak datang memelukku dan membawa aku pulang. Kakak memujuk dan meredakan saya. Air matanya bercucuran membasah rambutku...

"Besarnya pengorbananmu Kak, tidak dapat aku membalasnya. Allah saja yang berhak ke atas segala perit jerihmu membela dan mendidikku. Sebagai adik yang terhutang budi, hanya doa agar Allah SWT selalu merahmatimu setiap waktu dan engkau selalu ada dalam hatiku. Engkaulah sebesar-besar contoh kakak yang baik di dalam hidupku."

Sabarmu kak dalam melayan kerenahku.

Anak Masyarakat

Orang kampung selalu memangilku sebagai "anak yatim-piatu" sedangkan ayah dan ibu masih hidup waktu itu. Mereka yang belas kepadaku selalu mengajak aku makan di rumah mereka. Mereka senang denganku kerana aku anak yang baik. Suka berbual dengan orang tua, pintar dan petrah bercakap. Segala apa yang aku belajar di sekolah cepat aku menangkapnya dan biasanya aku akan mengajar orang kampung yang bersantai di laman rumah mereka. Aku boleh bercerita dan boleh menjadikan mereka terhibur. Aku boleh menyanyi juga. Mungkin darah seni bapaku mengalir dalam darahku. Semasa bapaku bersamaku dia selalu membawaku ketempat persembahan dikir barat dan main wayang kulit dan aku selalu berada di belakang pentas khususnya bila ada Pesta Pantai Di Batu Buruk. Kepetahanku membuatkan orang senang denganku dan biasanya mereka akan bagi aku duit belanja sekolah.

Bila aku meningkat remaja, aku mula liar sedikit. Aku mula berkawan dengan kawan-kawan yang bermasalah. Masa itu aku mula ponteng kelas dan lepak di bandar Kuala Terengganu. Stesen bas lama yang kini menjadi stesen teksi/kereta sewa. Teksi di Terengganu adalah beca di tempat lain.

Aku suka lepak dan dengar lagu-lagu. Jiwa Rock menguasai minda dan jiwaku. Masa tu kumpulan Search , Lefthanded, Ella And The Boys Dan Wing tengah popular. Lagu-lagu dan cara berpakaian mereka jadi ikutanku. Segala lagu mereka aku hafaz dan masih ingat sampai kini. Dan pernah aku buat persembahan pentas di keramaian sekitar kampung dan sekolahku pada waktu itu. Aku masih ingat; aku persembahkan lagu " Aku Cari Damai Di Hati" nyanyian kumpulan GingerBread, . Ragu Rock yang jadi siulanku waktu itu "Fantasia Bulan Madu". Sampai hari ini lagu itu melekat dihatiku. Namun lagu "Hati Lebur Jadi Debu", dendangan Hetty Koes Endang benar-benar terkesan dijiwa. Kerna ia bagaikan bicara dan jeritan batinku....




Bersambung....

Monday, February 28, 2011

Sekitar Ziarah Ibu Dan Bapa Mertua Ke Sarikei Dan Kabong

Biarkan gambar-gambar sahaja yang berbicara.... mood menulis tidak ada. Kenangan ibu dan bapa mertua dengan cucu mereka di......

TEBINGAN SUNGAI SARIKEI













TEPI PANTAI KABONG












 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |