Dua tiga hari ini saya bagai kekeringan idea untuk menulis. hari2 adalah perjalanan yang biasa-biasa saja. tiada yang menarik untuk ditintakan di sini. kerja.. kerja... kerja... itu rutin biasa yang tidak payah dicerita...
Hari ni saya dijemput menyampaikan khutbah jumaat di Masjid al-Huda, Masjid SMK Agama Sibu. Lama sudah saya tidak berkhutbah di sini. Masjid lain sementelah lagi... Ada satu masjid tu takut mahu menjemput saya berkhutbah, maklumlah pernah kena gam di JAIS, Sibu. Tahun ni saya pun tidak tahu apakah saya masih digam.. sebenarnya saya ni digam daripada menyampaikan khutbah di Masjid an-Nur, Sibu setelah saya menyentuh isu sekular dan mengekalkan pemimpin sekular tidak akan memberi sebarang keuntungan kepada Islam dan umat Islam. Kebetulan pada masa itu PM terkini baru dilantik. Jadi isulah....
Hari ini khutbah saya menyentuh tentang ingatan kepada kelahiran Rasulullah SAW. Rasanya belum terlambat kepada saya untuk terus menyentuh persoalan maulidur rasul dalam khutbah memandangkan ketidak-mudahan saya mendapat peluang berkhutbah mutakhir ini.
Saya mengajak para jamaah bukan saja mengingati Rasulullah pada hari tertentu sahaja sementara lupa kepada baginda pada hari-hari yang lain. Saya mengajak kepada ahli jamaah agar memahami tugas sebenar seorang nabi dan rasul. Menghayati tugasannya lebih bermakna daripada mengingati tarikh lahirnya saja. Dari situ kita lebih faham akan tugas dan peranan kita pula selaku umatnya di masa kini. saya memetik ayat 2, surah Al-Jumuah sebagai landasan khutbah hari ini.
Firman Allah ; " Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (al-Jumuah; 2)
Saya menyebut tentang orang yang menyambut maulidur rasul sekadar gembira dengan kelahirannya saja tanpa penghayatan sebenar kepada asas iman dan aqidah sehingga menjadikan seseorang itu yakin kepada Allah SWT sebagai tuhannya, yakin kepada ajaran rasulNya, mereka tidak ubah seperti Abu Lahab yang gembira dengan kelahiran baginda tetapi menentang ajarannya sehingga Allah SWT mencerca Abu Lahab dan apa yang telah diusahakannya sehingga hari kiamat.
Watak-watak Abu Lahab akan sentiasa ada sepanjang zaman jika mereka ini terus meniru apa yang dilakukan olehnya. Kecelakaan demi kecelakaan akan menimpa biarpun kita sambut maulidur rasul setiap tahun.
Saya melebarkan khutbah saya dengan memperihalkan tentang tugas dan peranan utama nabi selain menyampaikan wahyu, nabi dan rasul dituntut mengajak umatnya supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT dan menentang Taghut. Sebesar-besar Taghut ialah Syirik kepada Allah SWT. Taghut itu melampau, mengikut syaitan dan mengadakan hukum, undang2 dan peraturan sendiri dengan menolak hukum Allah SWT.
Syirik sangat bahaya sehingga membatalkan iman dan amal yang soleh. Sebab itu tugas rasul itu membersihkan aqidah manusia daripada syirik kepada Allah SWT. FirmanNya : "Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (Al-Kahfi;110)
Masyarakat Arab Jahiliyyah yang rosak akhlaknya dan tidak ada aqidah menjadi manusia yang dipuji oleh allah sebagai umat terbaik kerana mereka yakin dengan ajaran yang dibawa oleh baginda sehingga sanggup meninggalkan agama datuk dan moyang mereka. Mereka mulia kerana mereka menghayati kehidupan beragama dengan menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah SWT.
Dipenghujung khutbah saya menghuraikan beberapa petikan ayat dari surah Al-Kahf dari ayat 103-106.
Renungan : " Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya Neraka Jahanam, disebabkan mereka kufur ingkar dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan. " (al-kahfi; 103-106)
Semoga ahli jamaah dapat mengambil faedah daripada khutbah hari ini.
::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak:: |
---|
No comments:
Post a Comment