Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Tuesday, April 30, 2013

Kelahiran Ke 6; Puteri Pelengkap Seri Keluargaku

Puteriku ini belum diberi nama..
29/04/2013 ( Isnin) - Sibu Specialist Medical Centre:  Tepat jam 9:29 pagi lahirlah puteriku seberat 3.0kg, anak yang ke6.

Semoga kelahiran ini menambah seri dan keberkatan dalam keluarga kami. Ini adalah anak kami yang ke 6 ; Anak sulung (Anis-15th), ke2(Irah-14th), ke3 (Fawwaz-12th), ke4 (Asilah-10th) dan ke5 (Adim-7th). Puteriku ini belum diberi nama... tengah mencari nama yang sesuai, insya Allah.

Terima kasih isteriku; Rohani Husin. Pengorbananmu melahirkan buah cinta kita yang ke6 amat besar dan tidak ternilai harganya. Semoga menjadi anak yang solehah dan pelengkap kebahagiaan keluarga kita.

Syukurlah segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Semuanya selamat. Alhamdulillah.

Monday, April 22, 2013

Pengorbanan Perantau Di Sabah Dan Sarawak Untuk Pulang Mengundi


Seorang guru dan isterinya serta dua anaknya terpaksa berbelanja sehingga 2k-4k untuk membeli tiket kapal terbang semata-mata untuk menunaikan amanah kepada negara, untuk menunaikan haknya sebagai pengundi dalam PRU13 ini. Itu satu contoh daripada seberapa ramai perantau yang bertugas di Sabah dan Sarawak yang tempat mengundinya di kampungnya, di Semenanjung. Jangan kata; "Kenapa tidak tukar tempat mengundi?" 

Tingginya kos pengangkutan kerana syarikat penerbangan mengambil kesempatan daripada permintaan tinggi perantau untuk pulang ke tempat masing-masing walaupun untuk dua ke tiga hari sahaja. 

Syarikat penerbangan sepatutnya lebih mesra pengundi untuk perantau pulang mengundi. Kerajaan Pakatan jika memerintah saya mengharapkan perkara ini diambil kira pada masa akan datang.???

Jika pilihanraya terancang, tarikhnya sudah di ketahui awal tidaklah perkara ini berlaku. Para perantau akan merancang penerbangan, cuti dan segala permasalahan yang timbul. Jika sudah terdesak begini, rakyat juga yang menanggung bebanan. 

Bagi saya kerajaan yang memerintah (dalam mandat sementara atau habis tempoh) hanya ingin menjaga kesinambungan pemerintahannya sahaja sehingga rakyat tertanya-tanya bila akan berlaku pilihanraya? 

Rakyat tidak mampu merancang perjalanan dan apabila diumumkan tarikhnya barulah semua pihak berlumba-lumba membeli tiket penerbangan dan pihak syarikat penerbangan mengambil kesempatan atas ketepergantungan rakyat kepada perhubungan udara yang menghubungkan Sabah, Sarawak ke Semenanjung Malaysia. 

Bahkan harga tiket antara negeri di Semenanjung sendiri lebih mahal daripada Sarawak ke Kuala Lumpur khususnya destinasi ke Kota Bharu atau ke Kuala Terengganu. Kegunaan tiket pada tarikh "terdesak" ini ditambah mereka yang bertugas terpaksa balik ke tempat bertugas seberapa segera. 

Apakah Pakatan Rakyat akan memberi perhatian kepada rungutan ini? Pihak kerajaan lalu telah mengabaikan kebajikan sebahagian rakyat dan hak mereka untuk mengundi. Adakah boleh kawalan tiket penerbangan dilakukan jika tempoh terdesak seperti ini supaya lebih ramai yang dapat menunaikan hak sebagai pengundi? Atau segala masalah ini dipulangkan kepada individu itu sendiri terserahlah kalau mahu balik mengundi atau tidak???


Tuesday, April 16, 2013

Malang Tak Berbau, Kepunan Mahu Sarapan Pagi

Pagi tadi sekitar jam 7:45 pagi saya menjalankan tugas sebagai guru pengiring kepada anak-anak pelajar saya yang mengambil bahagian dalam MTQSS , Bahagian Sibu bertempat di SMK Sibu Jaya. Ini adalah hari kedua dan majlis penutupan kepada majlis tadarrus al-quran tersebut. 

Sepanjang perjalanan itu saya bersungut lapar kepada salah seorang murid yang berada di sebelah penumpang di kiri saya. Dia diam saja. Ada 6 orang murid bersama saya dalam kereta Avanza itu.

Sesampai saja di pekan Sibu Jaya, mata saya melilau mencari kedai makan Muslim. Entah macam mana, tetiba saja kereta saya merempuh sebuah motorsikal. Astaghfirullah!!! Saya telah merempuh motorsikal seorang lelaki, dia dan motorsikalnya tersondol dan terbalik ke arah kereta saya. Mujurlah dia selamat dan motorsikalnya saja yang mengalami kerosakan.

Insiden ini berlaku benar-benar di depan Silverstone Tyres (Honjiang Auto Servis), Sibu Jaya. Agak terkejut kerana tayar kereta saya sebelah kanan pecah. Rezeki terpijaklah buat dia orang. Akibat rempuhan itu; bonet depan kemek, dan bumper serta skirt bahagian depan kereta sebelah kanan juga remuk. 

Mujurlah perkara ini dapat di selesaikan secara baik. Saya telah membayar semua kos pembaikan motorsikal lelaki berbangsa Iban yang rosak.

Akhirnya niat mahu bersarapan terpaksa dilupakan begitu saja. "Ponet" atau kepunan kata salah seorang anak murid saya. Semua adalah ketentuan Allah SWT yang berlaku. Syukurlah hanya kenderaan saja yang rosak, semua yang terlibat selamat.

Saya sempat telefon beberapa orang kawan yang turut sama hadir ke majlis tadarrus Al-Quran ini, yang lokasinya tidak berapa jauh daripada tempat kejadian. Mereka cepat-cepat datang membantu. Anak-anak murid saya akhirnya di bawa ke lokasi oleh bapa salah seorang murid yang tinggal di Sibu Jaya ini juga. Terima kasih atas segala bantuan dan nasihat. In Shaa Allah bermanfaat kepada saya untuk membaiki kereta saya yang rosak akibat kemalangan ini.

Satu laporan polis telah dibuat bagi melaporkan kejadian ini. Masih dalam mood terkejut....


Friday, April 12, 2013

Mahalnya Harga PRU13 Bagiku

Hati ini bagaikan melonjak-lonjak untuk kembali ke alamat tempat ku mengundi bagi PRU13 ini, namun melihatkan tarikh PRU13 ini nampaknya hasrat itu terpaksa kupadamkan. Mungkin kesempatan pilihanraya kali ini terpaksa aku lepaskan sekali lagi. 

Hari mengundinya ditetapkan oleh SPR pada 5 Mei nanti. Tarikh ini terlalu hampir kepada due date isteriku untuk kelahiran anakku yang ke 6. Dalam scan yang pertama, doktor menjangkakan pada 10 Mei dan dalam scan yang ke dua, dijangkan pada 2 Mei nanti. Rasanya saat dan waktu ini sangat tidak mengizinkan untuk aku meninggalkan isteriku dalam keadaan begini. 

Kami yang berada di jauh perantauan ini, tiada siapa tempat menumpang. Segala susah-payah selama ini kami hadapi suami-isteri dan anak-anak. Begitulah suratan takdir dan ketentuannya. Kehadiranku di sisi isteri sangat mendesak sekali. Keselamatan dan kesejahteraan keluarga satu kewajiban yang lebih utama buat masa dan saat ini. Tiada pilihankah lagi buat hambaMu ini, Ya Allah...???

"Doa Senjata Orang Beriman" ~ Gambar Sekadar Hiasan
Harga mengundi pada kali ini sangat mahal buatku. Kewajiban yang tidak mampu aku tunaikan. Namun aku masih ada peranan, jika pun aku tidak dapat pulang menunaikan "hak undi" yang datang dengan susah-payah kepada rakyat Malaysia, aku akan berdoa; tidak putus-putus berdoa. Berdoa dengan sungguh-sungguh demi kemenangan Islam dan perjuangan Islam agar mampu mentadbir Malaysia dengan suara, semangat dan ruh baru.

Undi dalam PRU13 adalah undi kepada sebuah perubahan. Undi untuk menolak sebuah keburukan. Hakku dalam sebuah negara yang memberi hak mengundi sebagai menentukan sebuah kerajaan yang berdaulat dan bermaruah, satu undiku adalah ibadah buatku yang tidak patut aku persiakan.

Aku berdoa agar Allah SWT membuka jalan buatku. Aku berdoa agar Allah SWT masih memberi peluang buatku. Mungkin ada ketentuan terbaik buat kami. Hanya niatku tiada lain agar satu undiku mampu memberi kemenangan kepada perjuangan Islam. Menjatuhkan kezaliman itu wajib. Wallahu Musta'aan!!!

Kupetik Kalam Khutbah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man:

 1. Sekarang bukan lagi zaman menjadi penyokong, sekarang zaman semua kena menjadi petugas untuk menangkan Islam.

 2. Jika ditakdirkan kita tewas, janganlah berasa dukacita diatas kekalahan, tapi berdukacitalah kerana kita tidak menyumbang kepada kemenangan. Yang telah bekerja keras tidak perlu bersedih, kerana itu adalah kehendak Allah.

 3. Berilah sumbangan kepada perjuangan memenangkan Islam.

 4. Di dalam sebuah peperangan yang sangat penting di zaman Nabi, Nabi menyuruh semua sahabat-sahabat menginfaqkan harta. Saidina Umar menyumbang separuh hartanya, Saidina Abu Bakar menyumbang semua hartanya termasuk jubah yg sedang dipakai, tetapi ada seorang jamaah yang kudung ke dua-dua tangan dan kakinya, menyumbang segantang kurma, hasil dia mengumpul setelah lama bekerja menjadi hamba mengangkat air dari perigi.
 5.Yang kudung kaki dan tangan pun menyumbang untuk Islam, takkan kita setakat jadi penyokong, bila kalah nanti sedih, sedangkan orang lain berjaga sampai lewat pagi untuk gerakerja Islam, dia di rumah menonton tv!!!

 6.Perjuangan ibarat sebuah bangunan.. semuanya saling memerlukan.. siapa yang jadi atap, jangan komplen kepada lantai..yang jadi tangga jangan komplen kepada dinding..yang jadi tiang jangan komplen kepada tingkap..

Sekarang, kita di mana sebenarnya.


Monday, April 08, 2013

Jangan Berkongsi Cerita Apa Saja Dengan Kawan

Bila baca pelbagai kisah yang berlaku sekitar dunia politik hari ini, saya dapat rumuskan betapa sukarnya mencari kawan atau sahabat yang akan menyelimut dan melindungi kita daripada fitnah. Bila sudah jadi musuh semua rahsia kita selama ini terdedah di sana sini. Rahsia peribadi ditelanjangkan di sana-sini. 

Apatah lagi menjelang pilihanraya ni, musuh-musuh politik semacam tidak dapat lari daripada serangan peribadi. Biasanya yang sangat buruk dan memualkan. Benarlah kata orang; dalam dunia ini tiada kawan yang bersifat abadi, hari ini kawan esok boleh jadi lawan, boleh saja. 

Kita boleh cerita kisah kita yang tidak terlalu peribadi, pasal selera makan minum boleh lah kot. Jika pasal isi hati rasanya simpanlah jauh-jauh dalam hati sanubari sendiri. Biarlah Ianya Rahsia. 

Dulu saya amat percaya bahawa kawan ini lebih akrab daripada saudara kandung sendiri. Pepatah arab ada berkata; "Moga saudara kamu itu bukan lahir daripada kandungan ibumu". 

Pengalaman saya sekitar awal keberadaan saya di Sibu ini, masa itu tidak ramai para ustaz yang memberi khidmat bakti mengajar agama di masjid surau, jadilah sekumpulan orang yang mula cenderung hati dengan kuliah saya, mengikuti pergerakan saya dan nama saya pernah meniti di bibir mereka. Sekecil manapun masalah mereka akan berhubung bertanya itu dan bertanya ini dan saya dengan murah hati membantu sekadar yang termampu. 

Dalam pergaulan itu maka timbullah kemesraan dan saya mula banyak bercerita latarbelakang perjalanan hidup saya. Dulunya saya begini dan begini. Bukan yang elok saja, yang kurang elok pun saya berkongsi cerita. Penglibatan saya dalam kerja dakwah, sejarah penglibatan dan pihak mana saya berwala' mula saya berkongsi. Pada saya sebagai kawan tidak salah mereka mengetahui sedikit rahsia perjalanan hidup saya. 

Namun bila hati kawan saya beralih arah atas kepentingan peribadi dan politiknya, dia mula menjadi musuh dalam selimut. Rahsia saya tidak menjadi rahsia lagi. Apa yang saya kongsikan akhirnya menjadi bebanan kepada aktiviti saya. Pihak yang berkepentingan dengan mudah memperolehi maklumat apa yang mereka kehendaki dengan maklumat yang mereka perolehi daripada mereka yang melingkari saya sebelum ini. 

Apabila saya sedar, mereka yang akrab itu telah meninggalkan saya dan menjauhi saya. Saya baru tersedar bila saya dipanggil oleh pihak berkuasa, penguasa agama dan diberhentikan daripada memberikan khidmat di masjid dan surau. Kata pengerusi masjid kami tidak boleh menjemput ustaz lagi atas arahan. Lebih malang lagi mereka bacakan kepada saya laporan-laporan yang sungguh menyakiti kerana "ianya adalah rahsia saya". Akhirnya, saya dikenakan tindakan "gam" daripada menyampaikan khutbah, ceramah dan kuliah di masjid dan surau. Kecuali beberapa buah masjid dan surau masih bertegas meneruskan khidmat saya. 

Fokus saya ialah kawan yang makan kawan. Dulu mereka ini selalu bersama kita dan hari ini mereka amat jauh dan menyakiti kita. Apa yang mereka "tahu" dijadikan senjata untuk menyakiti kita. Saya insaf, saya sedar. Semua ini telah menjadi pengalaman berharga dalam hidup saya. Sebagai ingatan, jangan berkongsi semua perkara dengan kawan, boleh jadi hari ini dia kawan setia kita, esok entahlah, wallahu a'lam boleh jadi seteru kita. 

Namun belumlah saya tidak mahu berkawan. Sampai hari ini pun saya tidak serik berkawan. Masih ada ruang husnu dzan saya kepada diri saya dan orang lain. Saya tetap masih mahu berkongsi rasa dan bicara. Belum rasanya untuk bertapa seorang diri. Apa-apa pun berhati-hatilah dalam mencari kawan. Kawan untuk bergelak ketawa senang dapat, kawan menangis sukar dicari.

Thursday, April 04, 2013

Kali Pertama Menjadi Pemilih Dalam PRU10 ; PRU13 "Pilihlah Mengundi!!!"

Peti Undi  Masih Kosong
Semalam PM (dengan mood sedih) telah umumkan pembubaran Parlimen Malaysia bagi memberi laluan PRU13 diadakan. Ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang layak mengundi menentukan hala-tuju negara selepas ini samada kekal di bawah BN atau bertukar kepada PR. 

Mengenang sejarah saya mengundi kalau tidak silap saya, pada 29 November 1999, itulah kali pertama saya berpengalaman memangkah undi bagi DUN Bukit Payong dan Parlimen Marang, Terengganu. Dan pada tahun itulah PAS berjaya membentuk kerajaan di Terengganu. Sebulan selepas itu saya telah ditugaskan ke Sarawak. Itulah kali pertama saya mengguna hak saya sebagai pengundi. Dalam pilihanraya seterusnya saya tidak berkemampuan untuk balik mengundi. 

Pada PRU12 (2008), ada seorang calon BN yang menelefon saya untuk balik mengundi tapi dia letak syarat kena undi BN lalu saya tolak. Saya kata; "Kalau nak bantu untuk saya menjadi pemilih saya sedia, tapi kalau bersyarat saya tidak mampu menunaikannya. Tiada sesiapa boleh meletakkan bebanan dan paksaan kepada saya untuk memilih siapa yang saya suka". Akhirnya dia berkata , "tak jadilah bagi tiket untuk balik". 

Sekurang-kurangnya untuk DUN Bukit Payong dan Parlimen Marang ada dua orang yang tidak melaksanakan haknya sebagai pengundi, saya dan isteri saya. Khususnya pada PRU11 (2004) dan PRU12 (2008).  Tahun ini saya tidak pasti akan balik atau tidak. Dengan kekangan kewangan dan kesihatan isteri yang tidak mengizinkan; rasanya sekali lagi kami terlepas melaksanakan hak mengundi ini. 

Apapun kepada semua rakyat Malaysia yang tiada halangan dan kekangan, gunalah hak anda sebagai Rakyat Malaysia untuk menentukan siapa pilihan hati di PRU13, undilah secara berhemah dan bijaksana; "Pilihlah Mengundi!!!".

 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |