10"S" Positif Untuk Bahagia dan 10"S" Negatif Yang Mesti diHindari Bagi Beroleh Bahagia
Hari ini saya cuba amalkan, 10 "S"; Anggaplah "S" Positif itu sebagai sahabat yang baik yang boleh kita berkawan dengannya sementara "S" Negatif itu sebagai musuh yang patut kita jauhi. Untuk rasa bahagia, kita kena tahu memilih sahabat. Sahabat yang baik tidak akan meninggalkan kita dalam apa jua situasi pun. Dalam senang dan susah.
Untuk rasa bahagia, saya bersahabat dengan 10"S", dialah rakan, dialah teman yang paling setia dalam hayat saya. Secara istiqamah saya menjaganya dan secara halus dia memberi cahaya kebahagiaan dalam hidup saya yang singkat ini. Saya yakin dia akan bersahabat dengan saya di kala saya sudah berada di alam baqa sana. Semoga 10"S" ini dapat saya realisasikan dalam perjalanan seharian saya secara praktikal dan manfaatnya saya dapat kecapi segera dan kekal sifatnya.
10"S" SahabatbPositif itu ialah;
S1: 'Solat' Awal Waktu
S2: Sebarkan 'Salam'
S3: Sentiasa 'Senyum'
S4: 'Sapa-Sapaan' (Sapa Menyapa/Tegur Menegur)
S5: Sambung 'Silaturrahim'
S6: 'Sedekah' Senyap-Senyap
S7: 'Serius' Menjalankan Tugas/Amanah
S8: 'Sensitif' Dengan Masalah Orang Lain
S9: 'Senang'kan Yang Susah
S10: 'Selesai'kan Satu2 Masalah Ikut Keutamaan
Saya Mahu Bahagia!!! Anda Pun Bahagia. Semua Orang Harus Rasa Bahagia. Saya Mulakan Dengan Diri Saya Dahulu.
Ada yang musykil, bagaimana nak bahagia jika duit sentiasa tidak berkecukupan?
Duit bukan syarat kebahagiaan. Duit tidak boleh beli bahagia malah duit tidak ada kuasa untuk membeli masa dan kehidupan kita.
Mahu bahagia kena balik kepada hati yang tenang, thabat dan tenteram. Tenang dengan kehidupan duniawi, thabat di kala hadapi sakaratul maut dan tenteram ketika bertemu dengan pencipta kita, Allah SWT Rabbul Jalil.
Mahu memiliki hati yang damai kena sentiasa mengingati pencipta hati iaitu Allah SWT. Untuk mengingati Allah SWT kena jaga solat, banyak beristighfar dan bertaubat, sentiasa amalkan zikir, baca alquran dan berdoa. Semua amalan itu terangkum dalam solat yang fardhu dan yang sunat. Bahkan solat itu DOA. Solat yang afdhal ialah solat diawal waktu. Orang yang jaga solat tanda ikatan hatinya dengan Allah SWT sentiasa baik. Solat yang terbaik ialah solat yang khusyuk, jika hati kita tenang akan dapatlah nikmat khusyuk dalam solat. Bukan senang nak hadir hati dalam solat jika kehidupan kita tidak diatur dan disusun dengan baik, semua itu tarbiyah dan tazkiyah yang sukar dan bukan diperoleh dalam masa sehari.
Jika kita tidak ada duit untuk bahagia, kita kena guna konsep "DUIT" untuk bahagia. "D" itu doa, "U" itu usaha, "I" itu iman dan "T" itu tawakkal. Ingatlah untuk mudah berjalan atas jalanraya, kita kena sediakan jalanraya yang baik. Mana yang becak dan rosak, kita kena tampal dan ratakan. Segala halangan dijalanan kita kena bersihkan, pandangan buruk dipersekitaran kita kena indahkan. Bila perjalanan kita selesa elok maka badan pun rasa selesa, akal rasa sihat, minda rasa lapang dan jiwa rasa tenteram.
Jika kita tiada kemampuan kerana meratakan jalan bukan dalam ruang lingkup kemampuan kita, berjalanlah dengan melihat ke depan, pandanglah yang elok-elok dan usah dipengaruhi dengan keburukan persekitaran. Jika kita mahu mengubah maka berdakwah, berjuang dan berjihadlah.
Bahagiakanlah sesuatu disekeliling kita, kita akan dapat balik kesan yang baik kepada diri kita sendiri. Kita berusaha membahagiakan orang lain, kebahagiaan itu akan mengesan dan membahagiakan diri kita juga.
Bahagiakanlah orang yang paling hampir kepada kita, kesannya juga teramat dekat dengan kita. Siapa yang paling dekat dengan kita? Bahagiakanlah dia!!!
Ada orang mengeluh kerana kesibukan pencariannya terhadap dunia sehingga dia melupakan kebahagiaan orang yang terhampir dengannya, dia mengejar yang jauh merosakkan yang dekat, bagaimana dia mampu beroleh bahagia? Ibu bapamu bagaimana? Anak-isterimu pun bagaimana? Kaum kerabat dan harta-bendamu bagaimana pula? Sahabat-sahabat, jiran-jiran tetangga dan siapa-siapa lagi yang ada hak ke atas kamu!!! Bagaimana keadaan mereka, agaknya?
Kita lapangkan urusan orang lain, kelapangan itu datang kepada kita juga. Ingat, apa yang kamu beri, itulah apa yang kamu dapat!!!
Yang menyesak dan menyempitkan hidup kita ialah penyakit-penyakit hati yang bersarang rendang dalam jiwa kita. Bersihkanlah!!!
Hindarilah 10"S", sikap yang keji dan negatif;
S1: amalan 'Syirik' dan 'Sihir', seluruh amalan tertolak dan membinasakan.
S2: 'sakit mata' dan 'sempit dada' atas nikmat orang lain khususnya orang terdekat.
S3: 'syok sendiri'; rasa diri sudah cukup baik, tidak mahu berubah dan sukar terima pandangan orang atau teguran.
S4: 'syak wasangka' yang tidak berasas dan bertempat, suka mengumpat dan menyebar fitnah.
S5: perkara-perkara 'syubhat' yang hampir kepada haram, gelap hati, doa tidak dimakbulkan.
S6: 'simpan lemak' dan 'sayangkan penyakit' pada badan padahal tahu ia merosakkan tubuh badan.
S7: 'sia-siakan' masa dan kenikmatan; peluang yang ada berlalu percuma
S8: 'songsang' perjalanan hidup, sedang kehidupan fitrah penuh kenikmatan.
S9: 'sombong', sedang Allah benci orang yang bongkak dan sombong
S10: 'Syaitan'; dialah musuh no1 dan sejahat-jahat makhluk Tuhan. Dialah punca segala keporak-perandaan hidupmu sehingga kamu jauh dan sesat daripada Tuhan. Dialah menjanjikan kemiskinan dan mengajar duit rahsia kejayaan.
Berhentilah!!! Duit bukan segalanya walaupun segalanya perlukan duit.
Musykil lagikah?
Kata kaedah syarak, beramal yang istiqamah walaupun sedikit lebih baik dan disukai Allah SWT daripada banyak tapi tidak konsisten dan tergopoh gapah. Jika tidak mampu melakukan semua, jangan ditinggalkan semuanya. Selamat Beramal!!!
Ada KeBAHAGIAan menanti.... Sabar dalam menyelusurinya. In sha Allah kita akan ketemui dan benar-benar menikmatinya. Kamu pasti dapat asalkan kamu percaya dan yakin. Percayalah!!!
No comments:
Post a Comment