Hari ini Hari Guru. Dikebanyakan sekolah sudah menyambutnya hari ini. Di sekolah saya belum lagi. Hari ini hanya diadakan perutusan hari guru sahaja. Insya Allah akan diadakan kemudian sebelum cuti sekolah dan cuti Gawai nanti. Hari Guru dimasyhurkan untuk mengenangkan jasa semua guru. Hari penghargaan buat mereka. Walau tiada majlis keraian semangat seorang guru tetap membara. Sebagai seorang guru tetap rasa bangga menjadi seorang guru. Walau tiada hadiah, tiada anugerah. Tetap bangga menjadi seorang guru.
Walaupun hari ini hari istimewa untuk seorang guru namun sifat tegas seorang guru, tegasnya macam biasa. Tidak ada ruang untuk berlembut dalam perkara yang perlu ketegasan. Disiplin tetap menjadi keutamaan. Leteran dan nasihat terus melucur laju keluar daripada mulut guru walaupun di sana-sini murid mengucapkan kepada guru; "Selamat Hari Guru , Terima Kasih Cikgu". Bukan guru tidak berterima kasih kepada anak muridnya. Sebagai guru tersemat rasa bangga atas penghormatan anak-anak didiknya yang menghargainya khusus pada hari yang istimewa ini. Sebagai seorang guru sifatnya tekal dalam memberi tunjuk ajar. Dalam bicaranya mesti ada nasihat, mesti ada tunjuk ajar kerana guru itu tugasnya membantu dan membimbing para pelajarnya agar mereka itu cukup ajar. Kurang tegasnya maka akan lahirlah manusia yang "kurang ajar".
Aku seorang guru yang mesra, mudah berseloroh dan mudah didekati. Walaupun berwatakan sedikit garang jiwa dalamanku lembut dan mudah tersentuh. Mudah simpati dan impati. Apa saja kelemahan muridku menjadi beban dalam hatiku. Mereka bagaikan anak-anakku sendiri. Kasih-sayangku kepada mereka datang dari jiwa yang paling dalam. Doaku buat mereka sepanjang masa. Harapanku kepada mereka menggunung tingginya. Tidak pula aku mengharapkan mereka membalas segala jasa cukuplah mereka menjadi insan yang berguna kepada agama, nusa dan bangsa. Itu sudah cukup sebagai hadiah kepada seorang guru.
Kalau anak murid tadi menjadi insan soleh bukan saja dia mendoakan kedua ibubapanya, para gurunya insya Allah tidak akan dilupa. Hal ini aku sendiri sentiasa lakukan . Setiap lepas sembahyang dan membaca quran maupun ketika ingin memulakan kuliah dan pengajaran, doaku panjat memohon keberkatan agar ilmu yang dicurah tetap bersambungan dengan guru yang pernah mendidik aku sehingga menjadi insan berguna pada hari ini. Apa yang ada padaku hari ini kerana keberkatan dan jasa guru-guru yang lalu.
Sungguh besar jasa dan pengorbanan seorang guru. Kekadang orang cepat lupa jasa guru. Kalau berjaya jarang yang ingat dan menghargai guru tapi jika gagal dan berlaku sesuatu yang kurang elok dengan cepat sesetengah pihak menuding jari kepada kesilapan guru. Sungguh guru itu juga manusia biasa tidak sempurna dalam semua perkara. Tapi janganlah dengan mudah melupakan jasa mereka. Mereka insan mulia selepas kedua ibubapa kita.
Dikesempatan ini aku ingin menzahirkan rasa penghargaan kepada semua guruku baik yang masih hidup maupun yang telah pergi menghadap Ilahi. "Terima kasih Cikgu". Al-Fatihah untuk mereka semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan kasih sayang buat mereka. Ilmu yang mereka curah adalah sedekah yang mengalir tanpa putus. Bertuahnya insan yang bergelar Guru.
Akhir sekali, "Terima Kasih Cikgu".
No comments:
Post a Comment