Sewaktu perbentangan Bajet 2011 oleh PM, saya dalam perjalanan ke Kabong, sempat dengar sikit-sikit sahaja kerana siaran radio yang terputus-putus. Namun saya sempat menangkap beberapa intipati bajet yang menampakkan kelibatan isteri PM dalam bajet ini walaupun saya tidak menonton di television. Walaupun hanya di radio. Nampak kelibatannya. Kuat sungguh auranya. Apakah bajet ini bajet RM??? Sehingga terdengar dari corong radio bahawa 300 barangan harian seperti pewarna rambut, beg, seluar dalam dan kelambu ....dimansuhkan duti importnya, telah menenggelamkan isi bajet lain. Sesampai di Kabong, seluar dalam juga melekat di kepala saya... Bajet "Seluar Dalam". Harap pembaca tidak memahaminya sebagai maksud tersurat.
Oleh kerana kedatangan ke Kabong ini adalah bertujuan ziarah sahabat yang sakit, saya tidak memikirkan lagi persoalan bajet itu. Oleh kerana sampai ke Kabong sudah malam, saya dan keluarga bermalam di rumah sahabat saya ini. Apabila berkumpul ramai-ramai, isu seluar dalam lebih diminati untuk diperkatakan oleh orang yang sama berziarah. Dan nama isteri PM terus berlegar dalam perbualan. Ramai berkata kebajikan RM (Rosmah Mansor) terlalu nampak dalam perkiraan bajet kali ini. Paling ketara ialah pengumuman PM dalam bajet kali ini dengan peruntukan RM111 juta untuk program PERMATA yang dinaungi oleh Rosmah.
Saya yang sedikit keletihan bekerja dan memandu pula sebelah petang tadi terlelap awal tanpa memperdulikan perbualan orang ramai. Bila terjaga, semua orang sudah beredar. Jam 1:20 pagi. Saya segera solat yang tertangguh.
Dan sedikit masa yang terluang di lewat malam yang masuk pagi ini, saya mengambil sedikit peluang membaca pelbagai komentar di sesawang internet baik di blog atau FB, nampak sekali orang ramai berminat isu seluar dalam yang disebut PM dalam bejet yang dibentang tadi...
Rasanya kali pertama bajet yang berpengaruh sehingga seluar dalam pun termasuk dalam isi kandungan bajet... dan ia melekat sekali. Ada penulis blog sifatkan bajet kali ini sebagai gula-gula pilihanraya yang dekat dan tidak kurang menyifatkan sebagai Bajet Seluar Dalam.
"Seluar Dalam???"
"Seluar Dalam" ini adalah perkara tersirat daripada yang tersurat, memberi bermacam tafsiran dan pelbagai makna. Semacam ada gangguan dalaman kepada perbentangan bajet. Ini dari sudut rasa bukan nyata. Ini yang tersirat bukan yang tersurat. Sehingga Malaysiakini pun menulis ; Nama Rosmah juga diheret dalam Bajet 2011.
Gambar yang dipaparkan di Malaysiakini |
Dalam satu FB seorang kawan beri komentar tentang hairannya jika penglibatan sang isteri begitu ketara dalam pekerjaan suami. Cuba bayangkan jika seorang pengetua bekerja di sekolah, bila buka pintu bilik pengetua mesti ada isteri pengetua bersama pengetua.??? Begitu hairannya.
Jadi isu seluar dalam ini ada maknanya dalam bajet kali ini. Kalau tidak tersurat pun tersirat maknanya... Apa pun tahniah PM kerana PM respon kepada rakyat seperti elaun kepada Pengerusi JKKK, imam, guru KAFA yang dapat imbuhan tambah dalam usaha mereka berkhidmat kepada masyarakat. Semoga ikhlas tidak ada unsur "seluar dalam" terhadap golongan ini.