Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Friday, August 24, 2012

Amalan Berziarah Ajak Anak-Anak Bersama

Syawal sudah masuk hari ke 6. Amalan berziarah sempena hari raya masih diteruskan. Boleh dikatakan sepanjang 6 hari ini jadual ziarah kami ke rumah sahabat-handai penuh daripada pagi hingga ke malam. Tujuannya satu adalah memupuk rasa persaudaraan dan merapatkan ukhuwwah yang jarang dapat dilakukan pada hari biasa.

Pada hari-hari biasa; saya, isteri dan anak-anak sibuk dengan aktiviti dan kegiatan sendiri. Rakan-rakan pun sama, mereka ada kesibukan sendiri.

Keluangan masa cuti hari raya ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan amalan berziarah. Jangan biarkan anak-anak terperap di dalam rumah dengan rancangan televisyen dan melayari internet sedangkan hanya ibubapa sahaja yang berziarah. Tidak cukup dengan hanya mengucapkan "Selamat Hari Raya" di muka buku sahaja. Amalan ini mesti dipupuk dengan penuh sedar agar anak-anak faham tentang kepentingan saling berziarah dan saling kunjung-mengunjung. Selain dapat kenal-mengenal saudara kita dengan lebih mendalam , berjamu juadah dan bertukar-tukar fikiran, kekadang perbualan santai dan bersahaja dapat melupakan segala tekanan malah memupuk perasaan kasih-sayang di antara satu dengan yang lain.

Amalan berziarah di Aidilfitri ini adalah amalan mulia yang dituntut oleh syarak. Ia adalah satu cara melakukan ibadah kepada Allah SWT. Satu sunnah yang dipelihara oleh Rasulullah SAW.

Kesedaran ini penting agar anak-anak tidak dibiasakan dengan sikap keakuan sehingga tidak mengenali persekitaran , saudara-mara dan rakan taulan ibubapa mereka atau rakan-rakan mereka sendiri yang lain. Mereka perlu diasuh dengan adab bergaul secara baik dan positif. Mereka dididik agar tahu cara bertamu dan melayan tetamu.

Malah beberapa tuntutan lain dapat diterapkan dalam diri anak dengan disiplin dan peraturan semasa melakukan amalan ziarah ini.

Jika masa berziarah itu lama dan berlanjutan sampai malam, maka anak-anak diajar untuk bersedia dengan kelengkapan solat yang lengkap kerana mereka akan bersolat di rumah-rumah rakan yang mengizinkan atau singgah di mana-mana masjid atau surau. Jika melibatkan permusafiran, mereka akan dapat melaksanakan solat musafir secara praktikal. Dan ini akan mengukuhkan lagi jati diri mereka sebagai muslim bahawa solat mesti dilaksanakan dalam apa situasi sekali pun.

Saya sangat bertegas dengan anak-anak di hari raya. Mereka perlu bersama mengekori saya walaupun sudah ada yang masuk awal remaja. Setakat ini anak-anak boleh bertoleransi dengan disiplin yang saya tentukan bahawa hari raya bukan hari menonton tv, video atau melayari internet bahkan ia hari untuk membina semangat bersama dan ukhuwwah. Hari melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT. Hari berkongsi kebahagiaan dan kenikmatan dengan melebarkan senyuman dan sedekah sesama muslim.

Peranan ibubapa sangat penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai yang baik dan positif. Kita tidak mahu anak-anak kita suatu hari nanti bagaikan lupa akan asal usulnya dan tidak kenal siapa saudaranya. Hilang jati diri dan tidak tahu menghormati orang lain. Ingat ; orang yang tidak merahmati, tidak akan dirahmati...

Semoga semangat berziarah ini akan terus subur bukan saja dalam bulan Syawal ini bahkan diteruskan dari masa ke semasa diluar bulan perayaan ini.



Monday, August 20, 2012

1Syawal Mengembalikan Insan Kepada Fitrah [Jiwa Bertaqwa]

Ramadhan telah berlalu. Bulan Rahmat dan Berkat itu telah pergi meninggalkan seluruh umat Islam baik mereka suka atau sebaliknya. Yang tinggal adalah himpunan doa agar dapat bersua kembali dengannya pada tahun mendatang.

Syawal telah datang bertandang. Kehadirannya disambut oleh umat Islam dengan kegembiraan tanda kemenangan dan kejayaan melaksanakan perintah Allah SWT. Seharusnya umat Islam tidak lupa kepada matlamat puasa itu untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Sifat taqwa inilah yang akan membentuk jiwa yang tunduk dan taat kepada perintah Allah SWT dan menzahirkan rasa penentangan dan permusuhan terhadap Syaitan dan sekutu-sekutunya. Ini kerana Syaitan itu sangat nyata permusuhannya terhadap Allah SWT dan rasulNYa dengan cara menyesatkan manusia daripada jalanNya, menjadikan manusia memusuhi syariat dan pendokongnya serta menimbulkan rasa permusuhan sesama-manusia sehingga mereka hidup bercerai-berai, berlaku pergaduhan dan rosak perhubungan sesama mereka.

Sifat taqwa ini akan membentuk insan yang merdeka dari segi aqidah dan ruhnya dengan mengisytiharkan bahawa "Hurriyatul Insaan Fi 'Ubudiyyatillahi" yakni kemerdekaan manusia itu hanya dalam perkara ubudiyyah kepada Allah SWT semata-mata. Inilah matlamat daripada ibadat puasa sebulan dalam bulan Ramadhan. Kita menentang musuh Allah; Syaitan dan mendidik nafsu kita untuk mentaati Allah SWT. Melepaskan diri daripada cengkaman kezaliman penjajahan Syaitan dan Nafsu jahat yang ada dalam diri kita. Laungan kemerdekaan tidak akan memberi apa-apa makna jika kita gagal keluar daripada penjajahan musuh Allah ini, selagi jiwa kita, hati nurani serta akal kita masih dirantai pada akar syirik dan kufur kepada Allah SWT.

Hebatnya orang bertaqwa ialah setiap sesuatu yang dilakukannya ada nilai di sisi Allah SWT. Buah taqwa itu akan membentuk dirinya dan menjadi asbab ia mendapat syafaat dan pertolongan Allah SWT di dunia dan akhirat. Diriwayatkan satu kisah bagaimana kebajikan seorang lelaki ahli maksiat yang memberi minum seteguk air kepada seorang lelaki yang soleh menjadikan dirinya mendapat syafaat daripada Allah SWT di akhirat. Lelaki yang dihisab sebagai ahli maksiat ini dibawa Malaikat sebagai ahli neraka. Dalam perjalanan, tetiba dia ternampak seorang lelaki yang soleh, dia berkata;"Adakah kamu tidak mengenali aku?". Dia berkata lagi; "Akulah orang yang memberi minum kepada engkau yang sangat dahaga dengan seteguk air di dunia dahulu, maka berilah syafaat kepada aku melalui tuhanmu". Lalu Lelaki yang soleh itu berdoa; "Wahai tuhanku, hamba engkau ini telah memberi minum seteguk air di kala aku kehausan yang teramat di dunia dahulu, maka berilah syafaat kepadanya melalu amalannya itu". Lalu Allah SWT berfirman kepada malaikatNya, "Bawalah lelaki ahli maksiat itu ke dalam syurga, Aku telah memberi syafaat kepadanya melalui amalan yang soleh itu". Seteguk air... ia adalah amalan taqwa maka ia diterima oleh Allah SWT. maka dapat kita lihat betapa peri pentingnya sifat taqwa sehingga ia menjadi matlamat segala ibadat yang diperintah oleh Allah SWT. Rugilah kita jika gagal meletakkan diri kita sebagai insan bertqwa kepada Allah SWT.

Syawal menjadikan kita kembali kepada FITRAH. Ia terangkum dalam maksud Eid Fitri. Ia bermaksud kembali kepada fitrah. Fitrah yang Allah SWT jadikan ke dalam diri manusia sejak awal lagi. Fitrah yang menjadi mereka bersih daripada syirik dan kufur. Fitrah yang mengembalikan mereka kepada Islam dan Iman. Kembali kepada bersih daripada dosa dan noda. Jiwa mereka mesra dengan kebaikan dan sedia bermaaf-maafan. Lunak kepada kebajikan dan ringan dalam memberi pertolongan serta bantuan. Mudah simpati terhadap kesusahan dan penderitaan orang lain. Seharusnya sifat-sifat mulia ini dikekalkan untuk menjadi insan bertaqwa sepanjang masa. Bukan sahaja dosa kepada Allah SWT, dosa sesama manusia turut dapat dijernih dan diputihkan. Inilah yang dimaksudkan Allah SWT;"Fitratallaahu allati fathoran naasu 'alaiha".

Sungguh satu syawal itu mesti disambut dengan sifat taqwa kepada Allah SWT. Dalam meraikan hari mulia ini janganlah dihiasi dengan perkara-perkara maksiat sehingga mengotori semula fitrah yang telah mula kita kecapi. Seharusnya kita ingat akan nasib malang yang menimpa saudara-saudara seagama di negara-negara lain yang sedang dilanda pergolakan yang tidak tahu bila keamanan yang datang. Nasib mereka di Rohinya , di Syria dan beberapa negara lagi sungguh meruntun hati kita umat Islam. Dalam suasana syawal ini kita tidak seharusnya lupa kepada mereka semua. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada mereka. Dan kita tidak lupa menghulurkan bantuan atau doa agar Allah SWT cepat menamatkan penderitaan yang sedang mereka hadapi saat ini.

Kepada semua umat Islam; selamat Menyambut Syawal. Semoga Allah SWT telah menerima semua amalan soleh yang kita lakukan pada sepanjang bulan Ramadhan dan 1Syawal semalam. amiin, ya Rabbal 'Aalamiin.


Saturday, August 18, 2012

Terakhir Ramadhan 1433H - "Taqabbalallahu Minna Wa Minkum!!!"

Terbangun jam 4 pagi memberi kesempatan menghidupkan pagi terakhir Ramadhan ini. Menjelang subuh baru mengejutkan anak-anak untuk bersahur yang telah disiapkan oleh isteriku. Semalam anakku yang berusia 6 tahun berpuasa hanya bersahur dengan segelas air milo sahaja. Pagi ini pun sama hanya segelas air milo juga. Sebelah siang bukan main aktif lagi.

Shahdu hati bersahur pagi ini. Akhir-akhir ini makan sedikit sahaja. Masing-masing mengambil sejemput nasi saja. Cukuplah sekadar mencari keberkatan bersahur.

Tahun ini sekali lagi kami sekeluarga beraya di rantauan. Sekali lagi beraya di Sibu , Sarawak. Saya dijadualkan berkhutbah Hari Raya di Masjid Darul Halim, Teku dan insya Allah akan bersama masyarakat setempat meraikan hari yang mulia ini.

Semoga Allah SWT menerima semua ibadah yang telah kami sempurnakan sepanjang Ramadhan tahun ini. Biarpun sedikit semoga ia menjadi asbab mendapat rahmat dan kasih-sayang Allah SWT.

"Taqabbalallahu Minna Wa Minkum!!!"


Dalam kesempatan ini saya dan keluarga di Sibu mengambil kesempatan mengucapkan Salam Aidil Fitri kepada semua umat Islam yang akan menyambutnya pada 1 Syawal nanti. "Minal 'Aaidiin Wal Faaiziin. Kullu 'Aamin Wa Antum Bi Khair".

Wassalamu 'Alaikum WMT.


Friday, August 17, 2012

Berat Hati Berpisah DenganMu Oh Ramadhan

Apa saja... baik yang kita sayang atau sebaliknya akan meninggalkan kita. Mana yang kita rasa hampir itu yang akan mengesan pada hati. Kekadang air mata mengalir kerana gembira dan acapkali kita menangis kerana sedih dan kecewa. Tapi hari ini aku memilih untuk menangis dalam perkara yang terlepas, tidak sempat aku lakukan dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Sekuatmana hatiku ingin Ramadhan ini bertahan, ia  tetap akan meninggalkan aku biarpun berat hati ini untuk melepaskan kau pergi. Aku tahu aku tidak akan bertemu dengannya lagi.. Ramadhan mendatang apakah akan masih lagi menjadi milikku? Wallahu A'lam!!! Semoga akan kembali bersua dengan Ramadhan yang baru.

Bulan Ramadhan ini istimewa kerana ia bulan Rahmat, Maghfirah dan Pembebasan daripada Api Neraka. Bukan itu saja, syaitan dibelenggu, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Bulan dilipat-gandakan semua pahala atas amal ibadat yang dilakukan. Inilah hadiah Allah SWT yang tiada dalam bulan yang lain. Disamping itu di dalamnya ada anugerah yang hebat kepada para tetamunya. Inilah bulan Puasa, bulan Solat, bulan Sedekah, bulan Qiamullail, bulan Quran, bulan Doa dan bulan yang memiliki satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan yakni Lailatul Qodar.

Bulan Puasa : Puasa boleh dilakukan pada bila-bila masa tapi istimewanya Ramadhan, Allah SWT  fardhukan kita berpuasa sebulan dan pahalanya tidak sama kita berpuasa kita berpuasa dalam bulan-bulan yang lain.

Bulan Solat : Solat fardu adalah perintah yang wajib yang sudah tertentu waktunya. Dalam bulan Ramadhan diistimewakan dengan solat sunat Terawih yang tiada bulan yang lain.

Bulan Sedekah : Bulan ini orang Islam menjadi lebih pemurah mencontohi kemurahan Nabi Muhammad SAW. Baginda menjadi lebih pemurah di dalam bulan Ramadhan berbanding dalam bulan-bulan yang lain. Bulan ini banyak pihak lebih prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik dan kurang upaya. Orang miskin diambil peduli, anak-anak yatim dicakna.

Bulan Qiamullail : Bulan yang dihidupkan malamnya dengan ibadat-ibadat sunat seperti sunat tahajjud, taubat, hajat, tasbih dan sebagainya. Orang yang berpuasa juga bangun bersahur walaupun dengan seteguk air untuk mendapat berkat sahur dan membezakan puasanya dengan puasa orang yahudi.

Bulan Quran : Usaha bertadarrus Al-Quran dipergiatkan lagi dalam bulan ini sebagaimana Rasulullah SAW sendiri bertadarus Al-Quran bersama malaikat Jibril dalam bulan yang mulia ini. Bulan yang diturunkan padanya Al-Quran. Bulan yang dinamakan "Shahrul Furqan". Allah SWT menjelaskan bahawa bulan Ramadhan diturunkan padanya Al-Quran yang memberi petunjuk kepada manusia, yang menjelaskan lagi kepada petunjuk itu dan menjadi pembeza di antara yang hak dan bathil.

Bulan Doa : Inilah bulan yang setiap detik padanya akan diperkenankan doa. Diantara orang tiada hijab dengan Allah SWT yang akan diperkenankan doanya ialah orang yang berpuasa.

Lailatur Qodar : Inilah anugerah terbesar Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Rugilah sesiapa yang mengalpakan dalam tuntutan mencari dan mendapatkannya. Para ulama sepakat mengatakan bahawa ianya akan berlaku dalam setiap Ramadhan sekali pada malamnya. Maka janganlah dalam kesibukan kita membuat persiapan hari raya, kita alpa kepada tuntutan mendapatkannya. Satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan. Rasulullah SAW sendiri menegaskan bahawa carilah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan khususnya pada malam yang ganjil. Namun janganlah hanya memilih malam itu hanya pada malam tertentu saja tanpa beribadat pada malam yang lain kerana ianya menjadi rahsia Allah SWT yang boleh berlaku pada mana-mana malam daripada bulan Ramadhan.

Sungguh aku bersedih kerana kekasihku ini akan meninggalkan aku. Banyak sungguh kebaikannya kepadaku yang Allah kirimkan melaluinya untuk aku kutip sebanyaknya dalam bulan yang mulia ini.. Namun aku rasa belum cukup dan belum puas bermesra dengannya.

Ya Allah, semoga Engkau Maha Tahu bahawa aku lebih mencintaiMu. Ramadhan yang hadir ini hanya menjadi asbab untuk aku dekat denganMu. Terima kasih dan syukur kerana Engkaulah sebenar kekakihku. Engkaulah kekasihku yang tidak luput dan kekal selamanya yang tidak akan pernah meninggalkan aku. Ya Allah, aku berkasih dengan bulan yang Engkau kasih untuk mendapat Kasih dan CintaMu. Terimalah daripadaku... amiin ya rabbal 'aalamiin.

 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |