Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Monday, August 29, 2011

Genap 14 Tahun Dan Salam Aidil Fitri 1432H


Alhamdulillah, hari ini 2908-2011 telah tiba. 14 tahun dulu selepas Zohor, Hari Jumaat yang mulia kita sah diijabkabulkan menjadi suami isteri. Begitu pantas sekali detik masa berlalu. Setiap hari kita berdoa agar rumahtangga yang kita bina akan sentiasa disimbahi cahaya. Rumahtangga mana yang tidak menempuh badai gelora, syukurlah kita masih kuat bertahan sehingga detik dan waktu ini, masih kekal sebagai pasangan yang bahagia. Syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat dan anugerahnya.

Hari ini genap 14 tahun usia perkahwinan kami. 14 tahun jika dinisbah kepada seorang insan, merupakan seorang yang berumur remaja. Masih mentah dalam rumahtangga dan berusaha untuk memperolehi yang terbaik dalam perhubungan yang terbina ini. Kepada isteriku, sayang adalah insan terbaik anugerah Allah SWT buat diriku. Semoga Allah SWT sentiasa memelihara rumahtangga kita daripada sebarang fitnah dan pancaroba yang tidak terduga... insya Allah kita akan harungi setiap detik, senang dan susah bersama. Semoga doa kita di hari terakhir Ramadhan ini dimakbulkan Allah SWT dan menjadikan kita pasangan yang bahagia selamanya... Amiin Ya Rabbal 'Aalamiin.



Sayang,

Sempena kehadiran

Syawal 1432H yang mulia ini

Abang menyusun 10 jari

Memohon ampun dan maaf

Atas segala silap dan dosa

Yang sengaja,

Yang tidak sengaja

Atau dek kerana alpa….

Sesungguhnya

Kita hanya insan biasa

Tidak terlepas daripada salah dan khilaf antara kita…

Sedangkan lidah lagikan tergigit

Inikan pula suami-isteri.



Kepada semua kaum Muslimin Dan Muslimat yang kenal kami atau yang bertandang ke teratap blog ini;




Saya, isteri dan anak-anak mengucapkan;

Selamat Hari Raya

Maaf Zahir dan Batin

"Taqabballahu Minna Waminkum, Taqabbal Ya Kariim".

Thursday, August 18, 2011

Tukang Solek Dan Tukang Kipas

isma daud : Umno memang tukang karut hebat sekarang ni, nak jadi pembela agama dan macam-macam lagi... Walaupun di Sarawak ini tiada UMNO secara rasmi, pemikiran UMNO tetap sama baik nama mereka PBB dan sebagainya, tarbiyyah dan pemikiran mereka tetap sama. Saya masih ingat dengan jelas, hanya dengan menyifatkan "kerajaan sekular" kepada pemerintahan yang ada sekarang kerana mengamalkan Islam sekerat-sekerat atau Islam terpilih yang menguntungkan politik mereka sahaja, dengan serta merta saya di"gam' dan diberhentikan daripada menjadi khatib di sebuah masjid utama di Sibu ini dan segala kerja kuliah dan dakwah saya diganggu sehingga pihak JAIS (Sibu, Sarawak), memanggil saya untuk diberi kata-dua sekitar tahun 2009 dahulu. Kesan buruk daripada tindakan sekat itu masih dirasai. Siapa tukang bela agama ni??? Kalau setakat bersuara lantang terhadap pembangkang dan diam kepada puak sendiri, itu bukan pembela, itu "syaitan bisu" yang hanya berani kepada pihak lain sahaja. Bersuara dalam perkara yang menguntungkan diri dan cuba gambarkan pihak lain sebagai buruk. Jelas sangat bermuka-muka terhadap agama puak ini.

Saya bersetuju sangat-sangat dengan kata-kata tuan guru; "Saya ingin bertanya kepada Umno sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini “Sebelum tangan menggapai ke atas lihat dahulu lantai berpijak Dasar Umno sendiri ialah kebangsaan dan sekular” .


___________________________________________

Nik Aziz: Umno politikkan bacaan al-Quran Pulau Pinang tapi bisu isu Melaka

August 17, 2011

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Umno sewajarnya tidak memainkan isu larangan bacaan al-Quran melalui pembesar suara di Pulau Pinang kerana keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dan tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan negeri dipimpin Pakatan Rakyat.

UMNO Tukang Solek

Tegas Mursyidul Am PAS (gambar), pada pandangannya tidak munasabah Umno mahu ‘mencari balah’ dengan Mufti dalam isu yang tidak ada kepentingan politik.

“Tapi nampaknya, sangkaan saya agak tersasar. Umno yang saya lihat sudah sampai saat kejatuhannya barangkali akan cuba berpaut dengan apa jua dahan untuk mengelakkannya daripada jatuh terhempas dan patah tulang,” katanya.

Menteri Besar Kelantan menambah isu yang langsung tiada kaitan dengan kerajaan negeri dipolitikkan.

“Barangkali, jika tiba-tiba terjaga di tengah malam sekalipun, perkataan yang akan terpancul keluar ialah ‘DAP!’

“Dalam isu ini, saya bukan menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi saya menyokong pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang. Buta maklumatkah golongan ini?” kata Nik Aziz lagi.

Nik Aziz menambah, isu ini sebenarnya sengaja dipolitikkan sehingga menjadi polemik.

“Saya ingin bertanya kepada Umno, sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini?

“Sebelum tangan menggapai ke atas, lihat dahulu lantai berpijak. Dasar Umno sendiri ialah kebangsaan dan sekular,” katanya lagi.

Beliau juga berkata Islam tidak pernah ada dalam agenda perjuangan Umno. “Justeru, apabila kerajaan Melaka melanjutkan tempoh pusat hiburan beberapa bulan lepas, tidak ada sebarang suara yang menentang daripada Umno.

Tukang Kipas UMNO

“Ada pula yang sibuk mahu menggantikan PAS sebagai pembela Islam,” katanya lagi.

Nik Aziz berkata, ia sebenarnya satu pengiktirafan terhadap PAS yang telah berjuang sekian lama membela Islam. Katanya, barangkali pihak ini ‘tidak tergamak’ untuk menggantikan Umno untuk memperjuangkan Islam.

“Masakan tidak, bila pula pernah Umno berjuang untuk Islam?” katanya lagi.

Nik Aziz mengulangi bahawa bacaan al-Quran di pembesar suara sebelum solat Subuh bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam, jika ia terbukti menganggu dan ada aduan, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan pandangan.

“Di Kelantan dengan kebanyakan masyarakatnya Muslim mungkin tidak mengira ini sebagai satu masalah, tetapi di Pulau Pinang mungkin keadaannya berbeza. Rasulullah s.a.w sendiri pernah melarang seorang sahabat yang mengangkat suara di dalam masjid untuk berzikir sehingga mengganggu orang lain,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Nik Aziz, “saya menyeru kepada Umno, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam.”

Katanya, Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi.

“Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi. Sayangnya, saya lihat Umno sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa.

“Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana,” kata beliau sambil menambah, “Umno mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara.”

“Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam.

“Ingatlah, dalam mengendalikan sebarang isu, ambillah pertimbangan kemuliaan bulan Ramadan yang sedang kita lalui sekarang,” katanya lagi.

Monday, August 01, 2011

Ramadhan Karem 1432H ~ Mendidik Nafsu Taatkan Allah SWT

Oleh isma daud

"Walaupun berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga, dalam masa yang sama larangan Allah SWT diteruskan juga, contohnya; ramai yang berpuasa tetapi tidak mendirikan solat fardu, masih tidak menutup aurat, tidak berhenti daripada kerja-kerja jahat dan membuat fitnah, masih kedekut dan bakhil membelanjakan harta pada jalan Allah SWT sebaliknya suka membazirkan wang pada jalan sia-sia dan tidak berfaedah..... maksudnya puasa itu tiada mengesan pada hati dan dirinya sedikitpun. Malah puasanya tidak mampu mendidik dirinya untuk taatkan Allah SWT sebaliknya nafsunya itu terus bermaharajalela menguasai dan mencengkam dirinya. Biarpun Syaitan sudah terbelenggu dalam bulan Ramadhan, namun asuhan syaitan dan cengkaman syaitan pada hati dan nafsunya amat berjaya sekali."


Bulan Ramadhan yang mulia datang lagi. Ia datang dengan membawa hidangan rahmat dan keampunan Allah SWT. Kandungan Ramadhan yang utama ialah puasa selama satu bulan. Matlamatnya melahirkan insan bertaqwa kepada Allah SWT.

Tarbiyah utama dalam bulan Ramadhan adalah untuk mendidik nafsu kita agar taat akan Allah SWT. Penanda aras kejayaan kita samada berjaya atau tidak dalam melepasi ujian Allah SWT tiada lain kecuali kita mampu mendidik nafsu kita menjadi jinak kepada segala yang disuruh oleh Allah SWT. Dalam masa yang sama kita mampu meninggalkan segala larangan Allah SWT. Jika gagal mencapai penanda aras ini bermaksud kita gagal mencapai matlamat bertaqwa kepada Allah SWT dan meneruskan kegagalan buat sekian kalinya dalam bulan Ramadhan ini kerana terus tunduk kepada kehendak dan kemahuan nafsu kita yang tiada batas itu walaupun dijelaskan kepada kita bahawa Allah SWT telah membelenggukan Syaitan yang menjadi nakhodanya.

Sesiapa yang masuk bulan Ramadhan dan gagal memperolehi rahmat dan keampunan Allah SWT, bermaksud dia orang yang tertipu dan terpedaya. Kenapa??? Sebabnya orang yang beriman akan berusaha memperolehi seberapa banyak kurniaan Allah SWT dalam bulan yang mulia ini sedangkan orang yang hanya berharap mendapatkan rahmatnya tetapi tidak pula beramal di dalamnya dan berangan-angan dengan rahmat dan ampunan tuhan, itulah tipuan namanya.

Hal ini terjadi kerana nafsu tidak dijaga dan dikawal dengan rapi. Walaupun berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga, dalam masa yang sama larangan Allah SWT diteruskan juga. Contohnya; ramai yang berpuasa tetapi tidak mendirikan solat fardu, masih tidak menutup aurat, tidak berhenti daripada kerja-kerja jahat dan membuat fitnah, masih kedekut dan bakhil membelanjakan harta pada jalan Allah SWT sebaliknya suka membazirkan wang pada jalan sia-sia dan tidak berfaedah..... maksudnya puasa itu tiada mengesan pada hati dan dirinya sedikitpun. Malah puasanya tidak mampu mendidik dirinya untuk taatkan Allah SWT sebaliknya nafsunya itu terus bermaharajalela menguasai dan mencengkam dirinya. Biarpun Syaitan sudah terbelenggu dalam bulan Ramadhan, namun asuhan syaitan dan cengkaman syaitan pada hati dan nafsunya amat berjaya sekali. Masakan tidak 11 bulan menurut kata nafsu dan komandernya, syaitan manakan mampu mencabut tujahan dan terjahan syaitan serta merta.

Namun kita jangan berputus asa. Semoga sebulan berpuasa ini akan memberi kejayaan baru kepada kita apabila kita mampu memacukan nafsu kita mengikut acuan Allah SWT. Insya Allah ia akan cenderung untuk melakukan kebaikan mengatasi kejahatan.

Sesungguhnya nafsu itu adalah amanah Allah SWT kepada pemiliknya agar ia diasuh dan didik supaya taatkan Allah SWT sepanjang masa. Barulah apabila ia dipicitkan dengan rasa lapar dan dahaga ia menjadi lembut dan mudah dilentur. Oleh sebab itu marilah kita jadikan Ramadhan kali ini sebagai titik tolak untuk kita bermujahadah diri agar ia terbina sebagai hamba yang kenal penciptanya dan selalu taat akan Dia.

Semoga kita semua umat Islam berjaga memperolehi rahmat dan berkat daripada Ramadhan tahun ini dan ibadat puasa yang terkandung di dalamnya. Amiin, Ya Rabbal 'Aalamiin.

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1432H KEPADA SEMUA KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG BERTANDANG KE LAMAN BLOG INI. AHLAN WA SAHLAN, YA RAMADHAN!!!
 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |