Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Sunday, November 21, 2010

Bermuhasabah Dengan Rutin Yang Buruk Dan Rutin Yang Baik

Oleh isma daud

Rutin. Apa itu Rutin? Kepada saya, rutin itu ialah sesuatu yang kita lakukan berulang-ulang sehingga kita jadikan sesuatu itu satu kebiasaan. Kekadang bila kita melakukan sesuatu yang sama, setiap hari tiada berubah apa-apa akhirnya menjadikan perkara yang dianggap rutin ini sesuatu yang menjemukan. Akhirnya sesuatu yang rutin itu mendatangkan pelbagai kesan sampingan kepada kehidupan seseorang individu, keluarga dan masyarakat.

Maksud rutin yang saya nyatakan di sini tidak dirujuk kepada mana-mana kamus, tetapi sekadar memberi makna dari sudut kefahaman saya sendiri semata-mata.

Mengapa persoalan rutin menjadi sesuatu yang penting untuk kita bincangkan di sini?

Ramai orang terperangkap dalam perkara rutin ini. Tidak kurang yang mula merungut betapa kejemuan menguasai dirinya. Merungut kerana jemu melakukan hal-hal yang sama setiap hari. Mula hilang objektif, hilang tumpuan kerana segalanya berjalan macam biasa. Segalanya adalah biasa-biasa sahaja. Sesuatu yang diulang setiap hari. Jadi semuanya berjalan macam biasa tiada yang baru, yang mencabar dan mudah diduga.


Bayangkan jika kita makan nasi dengan lauk yang sama saja setiap hari. Pasti menjemukan. Bayangkan jika kita sebelum buka tudung periuk, kita sudah tahu apa lauk dan masakannya. Bayangkan sebelum pulang ke rumah kita sudah tahu apa masalahnya, bayangkan jika kita sebelum kita pergi ke tempat kerja, kita sudah tahu apa tugasannya. Tiada langsung dugaan, kejutan dan kepelbagaian???

Sesungguhnya rutin ini satu perangkap yang bahaya dalam peringkat kerja dan hidup seseorang. Ini kerana semangat, kreativiti dan pemikiran kritis seseorang mula diragut dengan mudah di luar kesedaran diri. Akhirnya seseorang itu mula masuk dalam perangkap kejemuan dan selalu mengeluh kerana hasrat dan matlamat tidak tercapai.

Tidak hairanlah kualiti hidup seseorang mula terganggu, kesihatannya terganggu, komunikasinya dengan seseorang juga terganggu. Tidak hairan jika seorang itu bercerita dengan saya bahawa dalam melakukan hubungan badan dengan isterinya pun ianya sesuatu yang membosankan. Padahal semua orang mengejar-ngejar ruangan nikmat ini dan tiada pula orang yang sihat rohani dan jasmaninya mahu mempersia-siakannya pula...... kenapa jadi begitu?

Ramai orang yang mahukan perubahan dan kemajuan. Tetapi dia lupa untuk merancang, lupa memberi sedikit sentuhan dan nafas baru kepada hal-hal yang rutin itu dan lupa untuk menyusun langkah bagaimana dia boleh keluar daripada zon yang mendatangkan hal dan situasi yang biasa-biasa saja itu.

Rasulullah bersabda:

“Amal yang paling dicintai Allah adalah (amal) yang dikerjakan pelakunya secara rutin meskipun sedikit. (HR. Muslim 2779)”

Lihatlah bagaimana saranan Rasulullah SAW agar menjadikan sesuatu amalan itu bukan sekadar rutin atau sekadar buat sahaja tetapi baginda mengajar kita menguruskan rutin itu agar ianya menjadi sesuatu yang bermanfaat.

Tahukah kita bahawa sesuatu yang rutin itu jika kita urus dengan terancang dan penuh penelitian, ia akan memberi pulangan dan keberhasilan yang lumayan sekali. Namun janganlah pula sesuatu perancangan itu menjadikan kita seseorang yang beku dan kaku sehingga kembali kepada rutin yang menjemukan pula. Jadi tiada faedahnya. Dibimbangi akan jadi seperti dicakap orang; "Pi Mai Pi Mai Tang Tu".

Saya bukan ahli ekonomi, bukan juga ahli politik atau pakar sosiologi, akan tetapi saya hanyalah seorang guru dan seorang daie. Jadi saya sebutkan di sini dari sudut pandang saya sebagai seorang guru atau seorang daie.

Saya dapati betapa sukarnya kita mahu mengajak seseorang kepada berubah menjadi seseorangan yang berusaha mendekati dan menghayati ajaran Allah SWT. Saya ambil contoh, amalan rutin datang berjamaah di masjid atau surau, amalan rutin menghadiri kuliah agama dan kelas-kelas pengajian dalam pelbagai bidang. Bayangkan jika kita datang ke surau hanya bersifat rutin, apa yang kita lakukan?


Cuba bayangkan manfaat yang kita perolehi jika kita benar-benar merancang rutin dalam kehidupan kita. Sebagai contoh jika kita dapat jadualkan solat fardhu berjamaah setiap hari seperti jadual di bawah;


Solat Fardhu Pahala Sendirian Pahala Berjama’ah
1. Subuh 1 120
2. Zohur 1 27
3. Asar 1 27
4. Maghrib 1 27
5. Isyak 1 60

Jumlah 5 261

Dari sini cuba kita bayangkan keberuntungan yang kita perolehi hanya dengan menyusun dan memprogramkan rutin yang biasa kita buat..... itu baru solat berjamaah di masjid... jika ditambah dengan amalan-amalan yang lain...berapa banyak kebajikkan yang dapat kita kutip pahalanya. Cuba bayangkan kebajikan yang diceritakan oleh Rasulullah SAW ketika mana kita dikala tetiba tidak mampu melakukan sesuatu yang rutin kerana sakit dan sebab-sebab tertentu . Sabdanya SAW: “Apabila seorang hamba biasa melakukan amal kebaikan lalu terhalang oleh sakit atau sebab musafir maka dituliskan untuknya pahala-pahala kebaikan yang biasa dilakukan ketika ia sihat dan bermukim. ( HR. Abu Daud 2687)”?

Dapat saya perhatikan apa yang dilakukan oleh ahli jamaah yang datang ke masjid tanpa objektif dan kesedaran sebenar, mereka datang ke masjid sekadar untuk solat berjamaah selepas itu mereka bersandar di dinding masjid atau koridor surau sambil berbual kosong, mengumpat, merokok dan sebagainya. Inilah yang saya maksudkan sebagai rutin yang buruk. Buat hal-hal yang biasa setiap hari, tidak pernah mahu bermuhasabah dan mahu berubah. Akhirnya kita melihat bahawa kita datang ke masjid tidak ubah kita lepak di kedai kopi atau wakaf seperti perhentian bas sahaja.

Inilah kesan jika kita melakukan sesuatu hanya sebagai rutin. Apa yang sepatutnya seseorang itu lakukan? Bagaimanakah rutin itu menjadi hal yang bermanfaat dan berkeberuntungan? Bayangkan jika kita datang ke masjid dan surau itu dengan kesedaran yang sebenar. Tahu apa yang sepatutnya kita lakukan. Terfikirkah kita akan kewajaran jika kita melakukan hal-hal yang buruk ketika berada di rumah Allah SWT itu?

Menyedari hal sebeginilah menjadikan kita seseorang yang tidak cuai dan lalai daripada tujuan dan matlamat sebenar kita datang ke masjid atau ke majlis ilmu itu. Sudah tentu matlamat kita ke masjid itu dengan tujuan beribadat kepada Allah SWT dan mencari keredhaanNya. Jadi di sinilah kita bergerak menjadi seseorang yang hanya menjadikan hal-hal yang rutin asalnya kepada seseorang yang berusaha merebut keberuntungan daripada kebiasaan itu. Tidak lagi dia duduk bersembang di laman masjid tetapi berada dalam masjid, beriktikaf, melakukan amalan-amalan sunat seperti solat sunat, membaca wirid dan al-quran, menekuni diri dengan pencarian ilmu pengetahuan, mengamalkan budaya saling berpesan-pesan dengan kebaikan dan mengajak kepada yang makruf serta mencegah yang mungkar.

Berapa banyak orang yang asalnya rajin ke masjid, akhirnya berhenti daripada datang ke masjid. Kenapa? Jawabnya: Jemu. Kenapa tidak hadir kelas agama? Jemu. Kenapa tidak berjamaah? Jawabnya : Sibuk dengan keluarga, sibuk dengan kerja dan harta...



Padahal berapa ramai yang gagal menyusun diri supaya membiasakan diri dengan rutin yang baik dan positif. Banyaknya mereka yang berada dalam zon rutin yang negatif. Sesuatu yang baik akhirnya kelihatan buruk. Inilah yang menjadikan masjid dan surau menjadi lesu sekarang ini. Berapa ramai orang yang terperosok dirinya dalam rumah masing-masing kerana rutinnya adalah menonton televisyen, berchating di laman Facebook (internet), ada apointment atau temu janji dengan seseorang perihal perniagaan, politik dan perhubungan. Jadi sesuatu rutin itu disusun sedemikian rupa sehingga gagal menghadirkan diri ke rumah Allah SWT. Bila diajak ke rumah Allah, sudah tentu pelbagai alasan diberi. Semuanya berdasarkan dengan rutin yang telah dilalui saban hari bagaikan tidak boleh dirombak lagi.

Sepatutnya kita bermuhasabah diri agar kita tidak terperangkap dalam rutin yang negatif sedemikian rupa. Marilah kita menyahut seruan Allah SWT dalam azan yang dilaungkan setiap waktu solat fardhu, "Haiyya 'Alas Solah, Haiya 'Alal Falaah"yakni "marilah kita menuju kepada Solat, marilah kita menuju kepada kejayaan". Marilah kita melihat kepada peluang yang ada dalam rutin yang jika kita lakukan dengan perancangan teliti, ianya akan membawa keberuntungan dalam hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat nanti. Ayuhlah kita berubah kepada yang baik atau lebih baik....!!!

catatan : pernah disiarkan di ; blog Ustaz Rosli Dhoby bertarikh 23 April 2010.

Thursday, November 18, 2010

Membantu Pelaksanaan Ibadat Korban Di Surau Darul Firdaus, Jln Apollo, Sibu

Sejak awal lagi tuan pengerusi surau, Tuan Hj Hamzah Bin Beeran meminta saya membantu AJK surau dalam melaksanakan ibadat korban kali ini agar berjalan dengan sempurna mengikut syarak.


Sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan pada Hari Raya Korban (Adha) kali ini. Ini sebagai permulaan kepada surau yang baru memiliki tuan pengerusi yang ke dua ini. Insya Allah di tahun hadapan akan lebih banyak penyertaan daripada ahli masyarakat setempat dan jumlah korban akan bertambah.

Apa yang menariknya dalam kerja-kerja merebah binatang, melapah dan menyempurnakan ibadat ini dibantu oleh kebanyakkannya guru-guru Islam dan guru-guru agama (GPI dan J-Qaf) di sekitar Bandar Sibu ini yang kebanyakkannya datang dari Semenanjung yang tidak berkesempatan pulang bercuti ke kampung kerana masih ada hari persekolahan yang akan berakhir pada hari Jumaat nanti.

Nampaknya ramai yang berpengalaman dalam melaksanakan kerja-kerja ini walaupun ramai  juga yang bertaraf amator . Berkat kerjasama, tiga ekor lembu yang dikorbankan dapat diurus dengan sempurna.

Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan pengerusi surau dan AJKnya yang memberi kepercayaan kepada saya dalam membantu kerja-kerja berkebajikan seperti ini. Terima kasih juga kepada semua teman-teman yang membantu...

Nota : Gambar-gambar di atas adalah ehsan daripada foto-foto Surau Al-Firdaus, Jalan Apollo, Sibu. Terima Kasih.

Baca juga artikel yang saya tulis sebagai komentar kepada syarat-syarat penyembelihan korban atau aqiqah di :
Ketelitian Memilih Binatang Korban Atau Aqiqah oleh isma daud di blog Ustaz Rosli Dhoby.

Thursday, November 11, 2010

Syukur, Tahniah Anakku!!!

Syukur, alhamdulillah kerana anak sulungku, Anisah Syahirah memperolehi 6A dalam keputusan UPSR yang diumumkan pada hari ini.

Anis dapat 5A dalam UPSR dan A1 dalam subjek Bahasa Arab yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Sarawak.

Sebagai bapa pasti rasa syukur menerima berita ini. Tahniah daripada abah dan ummie buat Anisah.

Terima kasih juga saya rakamkan buat pihak warga pendidik yang bertungkus-lumus mendidik, membantu anak saya merealisasikan cita2 anak saya untuk mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaannya ini. Tahniah buat warga SK Agama Sibu.

Monday, November 01, 2010

Usahaku Adalah Usaha Dakwah Biarpun Di Pentas Pembangkang

Dua tiga minggu ini , saya rasakan bagai berkejar dengan masa. Selain kerja-kerja harian yang kian menuju akhir tahun, ada kerja-kerja tambahan baik diperingkat jabatan maupun khidmat masyarakat. Semalam saja dalam satu hari ada 4 kuliah dari pagi sampai ke malam. 4 kuliah ini melibatkan empat tempat iaitu di masjid, di markaz Tarbiyah PAS, Sibu, di Tadika Kanak-Kanak dan di sekolah. Dalam masa yang sama kerja-kerja gotong-royong membaikpulih dalaman masjid An-Nadwah sedang berjalan yang insya Allah akan siap pada minggu ini juga. Lagi pun ianya perlu disiapkan sebab hari Jumaat nanti akan digunakan untuk Solat Jumaat.


Teringat dua hari lepas ada satu mesej daripada siapapun tak tahu, sebab nombor yang naik ke handphone saya tu nombor orang yang tidak saya kenali bertanya apakah PAS akan bertanding di Dun Nangka? Dalam keadaan bertanya itu dia memberitahu bahawa kawannya orang kuat dalam PBB memberitahunya bahawa khabarnya parti PBB telah senaraikan DUN ini sebagai kawasan panas, yang sebelum ini mereka selalu mengganggapkan DUN ini adalah DUN yang selamat.

Saya mahu beritahu bahawa saya tidak ambil tahu pasal politik orang tempatan (Sibu) sehingga ke dalam kain mereka. Siapa nak jadi wakil dalam satu-satu DUN tu jauh daripada pengetahuan saya. Saya pun tidak pernah hadir dalam menyuarat mereka. Saya ni orang pendatang, kerja saya melebarkan usaha-usaha dakwah Islam agar ahli masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.


Oleh kerana kerja dakwah tidak boleh dilakukan sendirian, saya perlu menggabungkan diri dengan mana-mana kesatuan yang ada di Sibu tidak kira yang pro kerajaan atau pembangkang. Matlamat saya jelas, saya berdakwah dengan wadah yang jelas dan tidak dikongkong oleh sesiapapun. Sebab itu saya pernah di"gam" daripada membaca khutbah dan sebagainya dua tahun yang lalu.

Walaupun saya hadir dalam majlis anjuran PAS contohnya, saya hadir sebagai penceramah atau pemberi tazkirah sesuai saya sebagai ahli PAS berdaftar sejak tahun 1997 dahulu lagi. Sebenarnya saya ni bukan bekerja untuk mana-mana ahli politik, saya hanyalah pendakwah yang berceramah , berkuliah untuk menyebarkan Islam, saya akan memberi kerjasama saya kepada mana-mana pihak yang memerlukan khidmat dan menjemput saya. Walaupun saya ini adalah ahli PAS, tetapi saya bukan bekerja untuk satu parti sahaja.

Selama bertahun-tahun saya berada di Sibu, saya membawa agenda Islam untuk disampaikan kepada ahli masyarakat. Sekian lama saya diterima baik di sini. Saya tidak bermasalah dengan sesiapa pun melainkan mereka yang bersifat pendengki dan mereka yang berfikiran sempit yang di kategorikan oleh seorang yang ada "nama" juga di Sibu ini sebagai "golongan bodoh sombong".

Jadi kepada mereka yang berusaha mahu mencungkil rahsia kalau-kalau saya tahu itu dan ini, saya beritahu bahawa saya tidak tahu apa-apa tentang percaturan politik orang sini. Siapa nak bertanding, parti mana nak bertanding , saya tidak ambil pusing langsung. Saya rasa ada pihak nak tahu dan nak mencungkil rahsia, kalau-kalau saya terlibat dalam pakatan rakyat di sini.


Sungguh kelibat saya di pentas pembangkang adalah sebagai tetamu yang memberi tazkirah dan penceramah atau pemberi kuliah saja. Saya menganggap siapa saja memberi peluang kepada saya, itulah peluang saya berdakwah. Oleh kerana peluang ini biasanya tidak disediakan oleh pihak kerajaan maka ruang saya di pentas pembangkang itu lebih besar. Apa salahnya saya isikan. Anda tidak mahu, maka ada orang yang mahu dan memberi peluang maka saya patut mengambil peluang itu.

Walaubagaimanapun jika anda mengajak saya bersekongkong dengan kerja-kerja kebathilan, maaflah saya tidak berminat....
 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |