Oleh isma daud
Malam tadi masuklah malam ke 12 berteraweh di Masjid An-Nadwah. Turut sama berteraweh malam tadi wakil Aman Malaysia Sarawak yang turut membuat tayangan nasib umat Islam Palestin dan misi mereka menghantar bantuan ke Gaza, Palestin. Tayangan selama 30 minit diadakan selepas solat Witir.
Solat teraweh pula diimamkan oleh Ustaz Dasuki dari SK Sentosa yang turut memberi sedikit tazkirah kepada para jamaah yang hadir. Dalam tazkirahnya, ustaz telah menyebutkan bahawa matlamat daripada solat teraweh itu untuk menyatakan rasa ubudiyyah kita kepada Allah SWT yang seharusnya dilakukan dengan sempurna, bukan mengejar untuk menghabiskan solat 20 rakaat tanpa menjaga adab dan tomakninah dalam solat. Kita solat kerana kita mahu beribadat bukan pesta bulan Ramadhan semata-mata. Habis Ramadhan nanti masjid surau kembali sepi. "Saya bersyukur kerana masjid ini memberi ruang kepada tazkirah agar para jamaah yang hadir dapat diperingatkan selalu tentang tanggungjawab mereka kepada Allah SWT kerana matlamat penciptaan manusia itu sendiri adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kejayaan kita bukan hanya dapat berpuasa dalam bulan Ramadhan tetapi dapat mendidik diri kita menjadi orang yang mampu melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya. Itulah kejayaan sebenar daripada puasa kita kerana puasa dapat mendidik diri kita menjadi insan bertaqwa kepada Allah SWT".
"Allah swt telah memberi kemenangan kepada Nabi Muhammad dan Sahabatnya dalam bulan Ramadhan seperti kemenangan dalam perang Badar Al-Kubra, dengan bilangan yang sedikit dapat mengalahkan musuh yang lebih ramai. Apa rahsianya ? Sebab mereka itu umat berkualiti yang dapat menanam keimanan dan ketaqwaan yang sebenar kepada Allah SWT. Jadi Allah mendatangkan Nusrah dan pertolongan kepada mereka. Sebaliknya jika kita meninggalkan ajaran Allah, iman kita pudar dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT luntur, kita dihina oleh allah SWT sebagaimana yang berlaku hari ini".ujarnya bersemangat.
Bayi ini bernasib baik ditemui masih hidup tidak senasib bayi-bayi lain yang mati begitu sahaja angkara kebinatangan manusia |
Beliau menambah lagi; "Dalam Piala Dunia baru-bari ini manusia menjadi serendah-rendah darjat apabila menjadikan binatang sebagai penentu keputusan pertandingan dan apa yang dicakap dan ditunjuk oleh binatang tersebut ramai akan ikut, saya merujuk kepada PAUL dan MANI katanya. Apabila ramalan binatang ini tepat, ramailah orang percaya. Ramai ikut Binatang, Ramai jadi bodoh sebab percaya kepada ramalan binatang".
Begitulah hakikatnya yang berlaku alam dunia manusia hari ini dan sepatutnya kita kembali kepada landasan hidup yang berlandaskan Al-Quran dan Hadis bukannya berkiblatkan kepada sifat kebinatangan. Al-Quran dan As-Sunnah adalah sumber rujukan umat Islam bukan ikut kata hati masing-masing sahaja. Mudah-mudahan kita sama-sama insaf dan berusaha menghayati kehidupan bersumberkan wahyu Allah SWT dalam seluruh lapangan kehidupan kita.
No comments:
Post a Comment