Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Sunday, August 22, 2010

Tazkirah Ramadhan : Bulan Al-Quran

Oleh isma daud

Malam ke 13 Ramadhan, suasana berteraweh di Masjid An-Nadwah terus bersemarak. Malam ini disispkan sedikit tazkirah oleh imam teraweh yang bertugas iaitu Ustaz Zaki dari SJK Do Nang. Ustaz telah menyentuh tentang penghayatan Al-Quran dalam bulan Ramadhan ini. Beliau mengingatkan para jamaah yang hadir agar meningkatkan pembacaan Al-Quran secara sendirian maupun berjamaah seperti bertadarrus kerana Rasulullah SAW sentiasa bertadarrus bersama Malaikat Jibril sepanjang malam-malam Ramadhan.

Seterusnya, Ustaz telah mengingatkan agar menyusun masa yang sesuai agar dapat membaca Al-Quran walau sedikit seperti satu muka mashaf, kalau lebih lagi baik. Jangan tidak baca langsung, ujarnya. Rasulullah SAW sendiri mengkhatamkan bacaan Al-Quran setiap malam, ini dicontohi oleh para sahabat baginda yang khatam setiam malam atau tiga malam sekali atau khatan seminggu sekali. Hal ini juga dicontohi oleh imam Syafie rh dimana beliau diceritakan mengkhatamkan al-Quran sekali atau dua kali dalam sehari.

Tambahnya lagi kelebihan membaca al-quran di dalam bulan Ramadhan dilipat gandakan lagi pahalanya berbanding bulan-bulan yang lain. Oleh sebab itu kita jangan terlepas peluang mengaut keuntungan pahala yang disediakan oleh Allah SWT kepada umat Muhammad SAW dalam bulan yang mulia ini.

Tazkirah Ramadhan; Manusia Hari Ini Bersifat Kebinatangan

Oleh isma daud

Malam tadi masuklah malam ke 12 berteraweh di Masjid An-Nadwah. Turut sama berteraweh malam tadi wakil Aman Malaysia Sarawak yang turut membuat tayangan nasib umat Islam Palestin dan misi mereka menghantar bantuan ke Gaza, Palestin. Tayangan selama 30 minit diadakan selepas solat Witir.

Solat teraweh pula diimamkan oleh Ustaz Dasuki dari SK Sentosa yang turut memberi sedikit tazkirah kepada para jamaah yang hadir. Dalam tazkirahnya, ustaz telah menyebutkan bahawa matlamat daripada solat teraweh itu untuk menyatakan rasa ubudiyyah kita kepada Allah SWT yang seharusnya dilakukan dengan sempurna, bukan mengejar untuk menghabiskan solat 20 rakaat tanpa menjaga adab dan tomakninah dalam solat. Kita solat kerana kita mahu beribadat bukan pesta bulan Ramadhan semata-mata. Habis Ramadhan nanti masjid surau kembali sepi. "Saya bersyukur kerana masjid ini memberi ruang kepada tazkirah agar para jamaah yang hadir dapat diperingatkan selalu tentang tanggungjawab mereka kepada Allah SWT kerana matlamat penciptaan manusia itu sendiri adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kejayaan kita bukan hanya dapat berpuasa dalam bulan Ramadhan tetapi dapat mendidik diri kita menjadi orang yang mampu melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya. Itulah kejayaan sebenar daripada puasa kita kerana puasa dapat mendidik diri kita menjadi insan bertaqwa kepada Allah SWT".

"Allah swt telah memberi kemenangan kepada Nabi Muhammad dan Sahabatnya dalam bulan Ramadhan seperti kemenangan dalam perang Badar Al-Kubra, dengan bilangan yang sedikit dapat mengalahkan musuh yang lebih ramai. Apa rahsianya ? Sebab mereka itu umat berkualiti yang dapat menanam keimanan dan ketaqwaan yang sebenar kepada Allah SWT. Jadi Allah mendatangkan Nusrah dan pertolongan kepada mereka. Sebaliknya jika kita meninggalkan ajaran Allah, iman kita pudar dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT luntur, kita dihina oleh allah SWT sebagaimana yang berlaku hari ini".ujarnya bersemangat.

Bayi ini bernasib baik ditemui masih hidup tidak senasib bayi-bayi lain yang mati begitu sahaja angkara kebinatangan manusia
Ustaz Dasuki menambah lagi dalam tazkirahnya; " Hari ini manusia tidak lagi bersifat kemanusiaan sebaliknya berubah menjadi mereka yang berkiblatkan kepada sifat kebinatangan. Gejala sosial yang bagai wabak penyakit yang tiada ubat adalah contoh sikap dan tingkah laku manusia hari ini. Apa yang berlaku bukan lagi sifat manusia tetapi sifat binatang contohnya buli membuli, ragut, buang bayi, rogol anak sendiri dan lain-lain lagi. Sekarang orang jika mahu melempiaskan nafsu tidak berkahwin lagi, mereka bersekedudukan macam binatang bersekedudukan. Tamadun kemanusiaan sudah runtuh kerana manusia perlu berkahwin baru dapat berkesedudukan" ujarnya.

Beliau menambah lagi; "Dalam Piala Dunia baru-bari ini manusia menjadi serendah-rendah darjat apabila menjadikan binatang sebagai penentu keputusan pertandingan dan apa yang dicakap dan ditunjuk oleh binatang tersebut ramai akan ikut, saya merujuk kepada PAUL dan MANI katanya. Apabila ramalan binatang ini tepat, ramailah orang percaya. Ramai ikut Binatang, Ramai jadi bodoh sebab percaya kepada ramalan binatang". 

Begitulah hakikatnya yang berlaku alam dunia manusia hari ini dan sepatutnya kita kembali kepada landasan hidup yang berlandaskan Al-Quran dan Hadis bukannya berkiblatkan kepada sifat kebinatangan. Al-Quran dan As-Sunnah adalah sumber rujukan umat Islam bukan ikut kata hati masing-masing sahaja. Mudah-mudahan kita sama-sama insaf dan berusaha menghayati kehidupan bersumberkan wahyu Allah SWT dalam seluruh lapangan kehidupan kita.

Wednesday, August 18, 2010

Tazkirah Ramadhan; Memperbaiki Adab Dan Akhlak Kepada Allah

Oleh isma daud

Hari-hari Ramadhan terus lancar berlalu... syukur setiap malam dapat berjamaah dengan pelajar-pelajar yang sentiasa memerlukan perhatian guru-guru mereka sepanjang mereka berada di asrama, mereka jauh daripada ibubapa dan mereka sangat bergantung kepada warden dan guru-guru sebagai pengganti ibubapa. Mudah-mudahan mereka masih merasai kenikmatan Ramadhan biarpun tidak bersama ahli keluarga.

Setiap malam berterawih, kami jemput para ustaz yang yang bertugas di sekolah-sekolah sekitar bandar Sibu untuk menjadi imam salat fardhu dan solat sunat terawih. Di samping itu mereka dapat memberi tazkirah sebagai ingatan kepada para jamaah yang hadir.

Di antara tazkirah yang menarik perhatian saya ialah tazkirah Ustaz Zaki yang menyentuh puasa orang bujang. Beliau mengingatkan bahawa orang bujang di sini ada dua; pertama memang orang bujang betul belum berkahwin dan satu lagi orang bujang yang berkahwin tapi terpaksa berada dijarak jauh dengan keluarga disebabkan tugas dan belajar. Mereka tetap menghadapi cabaran tersendiri dalam mengharungi bulan yang mulia ini. Tapi tugas dan tanggungjawab kepada Allah SWT mesti terus dilaksanakan biarpun dengan cara yang bersederhana ketika berbuka dan bersahur. Masak pun jarang dapur mereka di kedai. Kalau masakpun mereka tidak bersungguh makan kerana makan sama kawan-kawan bukan dengan anak-anak atau isteri tersayang. Itulah pengorbanan orang bujang yang berjauhan dengan ahli keluarga masing-masing.

Mereka ini bukan sahaja berpuasa bulan Ramadhan, mereka juga berpuasa "batin"nya... disambut ketawa oleh para hadirin yang ramai bujang samada bujang betul dan bujang sementara itu. Ada juga yang bujang kerana insan tersayang telah pergi menemui Ilahi buat selama-lamanya. Dengan anak yang ramai, bapa merekalah kini tempat anak-anak bergantung kasih sayang. Dialah ibu dan dialah bapa.... Dialah yang menyediakan segala-galanya persiapan anak-anak baik ketika berbuka puasa, bersahur dan persiapan raya nanti.

Malam dua malam lepas juga ada tazkirah, kali ini Ustaz Hafiz Amran. Dia menyentuh persoalan ibadat puasa dan solat yang tidak seimbang di kalangan sebahagian remaja dan orang Islam. Ada orang Islam boleh dan mampu berpuasa tetapi gagal menyempurnakan solat. Boleh berpuasa satu hari tanpa makan dan minum tapi masih meninggalkan solat. Beratnya bebanan solat berbanding bebanan meninggalkan makan dan minum. Solat lima minit lebih berat dari berpuasa satu hari. Kita kena betulkan hal ini. Solat adalah tiang agama, amalan lain mengikutnya. Ingatlah.

Ada yang solat tetapi mahu sudahkan cepat-cepat sedangkan bila berpuasa boleh akur dengan tempoh masa berpuasa dari masa mula menahan diri sehingga berbuka. Sepatutnya kita bila solat turut mengamalkan disiplin yang sama. Tepat masa dan bersabar dalam melaksanakannya. Bukan dengan gopoh gapah sepertimana yang berlaku di sesetengah tempat yang menunaikan solat sunat terawih yang imamnya membaca dengan laju sehingga tidak terkejar oleh makmum dan makmum pula mencari-cari surau atau masjid yang mana cepat habis solat mereka. Lebih malang lagi bacaan Al-Fatihah dan rukun=rukun solat seperti tomakninah dilanggar sebarang sahaja. Mana kesempurnaan solat? Soalnya.

Dalam pada itu dia menyentuh bagaimana untuk mendidik para remaja untuk gigih bersolat dan tidak meninggalkannya. Disamping mempelajari solat mereka sepatutnya ditanam dengan pemikiran yang diajar oleh gurunya; "jangan kahwin dengan orang tidak solat" katanya. Seorang lelaki jangan berkahwin dengan seorang perempuan sehingga dia dapat solat dengan sempurna, jika dia tidak mahu solat tinggalkan dia menjadi anak dara tua (andartu) atau lanjut usia (andalusia). Kepada yang perempuan pula jangan terima lelaki yang tidak solat sehingga mereka solat. Jangan buat menantu orang yang tidak solat sehingga dia solat. sebab orang yang bertanggungjawab kepada Allah akan bertanggungjawab kepada semua perintah dan amanah Allah. Dia akan bertanggungjawab kepada keluarga dan tidak mensia-siakannya.

Dan malam tadi pula Ustaz Hafiz Said pula yang menghubungkan ibadat puasa dengan matlamat penciptaan jin dan manusia adalah untuk beribadat kepada Allah SWT. "Kita kena perelokkan hati dan diri kita sewaktu bersolat dan menunaikan ibadat kita yang lain. Beliau menyentuh persoalan pakaian. Biarlah kita bezakan antara pakaian kita mahu ke pasar, bermain bola sepak dengan pakaian kita mahu menghadap Allah SWT. "Allah itu cantik suka yang cantik". Teringat malam semalam Ustaz Roslan ada menegur para jamaah hal yang sama dan malam ini diperkukuhkan oleh Ustaz Hafiz pula.

Ada yang pakai pakaian yang berlabel dan bertulisan apa saja boleh mengganggu orang lain khusyuk dalam solat.

Apa yang saya mahu tambah ialah fesyen rambut yang entah apa-apa jauh sekali mahu meletakkan tutup kepala seperti kupiah agar nampak lebih sopan dan ada kesempunaan dalam beribadat. Masing-masing bercerocak macam duri-duri landak..... teringat saya kepada Cikgu Bujang Wen;  mantan PK1 SMK Rosli Dhoby yang menyebut, "paku-paku yang berkeliaran di sana sini". Biarpun hal-hal ini tidak termasuk dalam rukun dan syarat tetapi menjaga adab dengan Allah SWT dan orang lain adalah juga termasuk dalam perkara utama. Kekadang kita leka dan lupa. Sebab itu pentingnya tazkirah dan peringatan.

"Maka berilah peringatan, mudahan-mudahan kita beroleh ingat". mafhum al-Quran.

Sunday, August 15, 2010

Tarbiyah Ramadhan ; Keberhasilan Taqwa Hanya Dengan Ilmu Dan Iman

Menghayati Ramadhan perlu kepada penguasaan ilmu. Tanpa ilmu kita tidak mampu mengharungi sebulan bulan yang penuh rahsia Allah SWT. Bulan yang penuh rahmat dan barakah kepada sesiapa saja yang mencarinya. Sebab itu Rasulullah saw memperingatkan kita agar memasuki bulan Ramadhan dengan penuh persiapan iman dan ilmu agar kita mampu mengaut keuntangan daripada bulan penuh keberuntungan ini.

Hari ini sudah masuk hari ke 5 berpuasa bagi tahun 1431H ini. Cepat masa berlalu. Bila kaki melangkah masuk ke masjid atau surau timbul rasa terharu bila tengok ahli jamaah yang datang solat sehingga memenuhi ruangan solat. Semoga suasana begini akan berterusan sampai akhir Ramadhan dan kalau boleh bukan setakat bulan Ramadhan saja bahkan mana-mana bulan saja. Senario ni berulang dan akan terus berulang. Ramainya umat manusia muslim yang boleh bertandang ke masjid atau surau dalam bulan Ramadhan.

Macam seorang kawan saya cakap; "Bulan ni "spesis kawan tu" kena tambat lalu kita cari kawan-kawan baru dekat masjid atau surau tapi bila habis bulan ramadhan nanti "spesis kawan tu" tu akan bebas semula maka kita akan mula lupa kawan-kawan masjid lalu kita akan bersama dengan kawan tu pula untuk 11 bulan lagi. Itu agaknya bila berakhir Ramadhan masjid dan surau kembali lengang dan tinggal ahli jamaah yang biasa-biasa memakmurkan masjid dan surau itu". Memang betul dan ada kewajaran pandangan dan pendapat sahabat saya ni.

Namun apakah wajar senario ini terus menerus berlaku seakan-akan tarbiyah ramadhan tidak mampu mendidik jiwa kita untuk terus tunduk kepada Allah SWT. Semoga ada ruh dan jiwa baru selepas Ramadhan tahun ini.

Makmurkah Majlis Ilmu Dan Masjid Selepas Ramadhan?

Satu persoalan biasa.... makmurkah masjid atau surau selepas ini? Adalah tidak pelik bila saya dengar mana2 ceramah dan kuliah; para penceramah ini menyindir di mana2 saja akan perihal yang sama. Kelas agama tidak ramai yang hadir. Bila Bulan Ramadhan entah datang dari mana manusianya sehingga penuh surau dan masjid. Orang mula berduyun-duyun datang masjid. Namun biasanya 10 hari pertama bulan Ramadhan saja le... lepas tu akan kembali kepada senario biasa saja.

Tapi buat kali ini; harapan saya agar kelas-kelas agama dan kuliah akan terus makmur. Semoga orang akan terus suka mencari ilmu. Orang akan terus ghairah untuk datang ke masjid.

Selagi kita tidak membangunkan majlis ilmu selagi itu hati kita akan terus mati. "Kematian hati" ini akan menjatuhkan diri kita dalam kebinasaan. Ini telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW bahawa jangan kamu menjadi orang yang kelima nanti kamu akan binasa iaitu orang yang tidak mahu menjadi orang yang berilmu samada belajar, mendengar dan minat serta menghormati orang yang berilmu.

Bergurulah Bukan Sekadar Bacaan

Ramai orang lupa persoalan mencari ilmu dan menambah ilmu di masjid atau surau. Ramai berpendapat ilmu tidak lagi hanya boleh diperolehi melalui kaedah tradisi ini. Ilmu boleh didapati melalui internet dan bacaan-bacaan lain. Memang benar tetapi ilmu itu mesti diperolehi melalui disiplinnya yang tersendiri supaya itu terus bersambung dan mendapat keberkatan Allah SWT. Sesuatu ilmu yang tidak melalui "guru" atau kaedah "talaqi" sebenarnya terputus dan tidak mendapat rahmat Allah SWT. Sebab itu orang yang tidak berguru dalam mendapat ilmu maka gurunya adalah syaitan. Ini kerana ilmu itu tidak dapat melahirkan rasa yakin dalam diri dan timbul kekeliruan dan keraguan dalam diri penuntutnya dan kalau disebarkan akan menimbulkan kekeliruan yang banyak dalam masyarakat.

Sebab itu tidak hairan hari ini ramai yang memberi pendapat dan pandangan mengikut pemahaman sendiri dan pandangan itu semacam tidak mendapat hidayah Allah SWT sehingga timbul perbagai isu dan permasalahan dalam masyarakat. Yang lebih buruk timbulnya perpecahan dalam masyarakatt itu sendiri.

Ilmu mendidik kita untuk hampir dan taqwa kepada Allah

Ilmu yang diperolehi sepatutnya menjadikan kita orang yang beriman dan dekat dengan Allah SWT. Tapi malang ramai orang dapat ilmu mereka menjadi orang yang tidak mendapat hidayah dengan ilmunya. Ramai yang menjadikan ilmu untuk memenuhi kepentingan diri dan keperluan duniawi semata-mata dan mula berbangga diri dan memberi pendapat mengikut pandangan sendiri. Langsung tidak mengaitkan diri dengan sifat taqwa kepada Allah SWT. Maka ilmu itu bukannya mendekatkan pemiliknya itu kepada Allah SWT bahkan memasukkan dia dalam kelompok orang yang mendapat kebinasaan yang dinyatakan oleh Rasulullah saw. Maka berhati-hatilah.

Mohon Ampun Atas Segala Kesalahan
Memasuki bulan rahmat ini, saya ingin mengambil peluang ini untuk menyucikan diri daripada dosa-dosa saya terhadap Allah dan sesama manusia. Saya memohon ampun dan maaf kepada setiap insan yang saya temui di mana saja berada termasuk yang singgah di alam maya ini. Biar sebanyak mana pun kesilapan dan kesalahan saya, harap maafkan saya... sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari daripada "liarnya nafsu" dan kedangkalan jiwa dan ilmu kita sehingga kita mungkin melewati batas memungkinkan kita secara sedar atau tidak sedar telah menyakiti hati orang lain.

Semoga dengan kemaafan semua , saya dapat menyelusuri bilah-bilah hari dalam madrasah ramadhan ini dengan lebih beerti. Bukan sahaja kita dituntut untuk mendidik nafsu kita supaya tunduk kepada Allah SWT bahkan juga kita sepatutnya meletakkan rasa ubudiyyah kita yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Kita tahu bahawa makan minum itu penting bagi jasad dan jasmani kita tetapi atas perintah Allah SWT kita sanggup meninggalkan tuntutan jasmani itu. Semuanya kerana kita mahu mendidik nafsu kita supaya taatkan Allah SWT.

Semoga Ramadhan kali ini dipenuhi rahmat daripada Allah dan kasih-sayang sesama insan.

Marilah kita banyak bermuhasabah diri dalam menempuh hari-hari dalam bulan Ramadhan agar terbina sahsiah diri dan sifat taqwa dalam jiwa kita kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa yng kita lakukan. "Mudah-mudahan Kamu Bertaqwa" -(al-Baqarah /183).

Ianya juga selaras dengan apa yang telah digarapkan oleh Rasulullah saw dengan sabdanya;
"Barangsiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri), nescaya Allah SWT akan mengampunkan dosanya yang telah lalu".
Begitulah harapan kita agar kita beroleh keampunan Allah SWT melalui madrasah Ramadhan kali ini kerana kita tidak pasti apakah kita akan mampu menghabiskan bilah-bilah hari dan malamnya pada tahun ini dan mungkinkah kita berkesempatan lagi menemuinya pada masa yang mendatang.

Semoga Ramadhan kali ini mampu mendidik diri kita menjadi insan bertaqwa. Sekurang-kurang nya kita bertolak dari titik menuntut ilmu khususnya ilmu-ilmu agama yang menjadi asas fardhu ain dalam kehidupan seharian kita. Mudah-mudahan!!!
 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |