-
Tidak ada lagi bincang kerajaan perpaduan - Presiden PAS
HarakahDaily.Net
Wan Nordin Wan Yaacob
Foto Wan Zahari Wan Salleh
KUALA LUMPUR, 22 Jun (Hrkh) - Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini menegaskan pihaknya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendieri menyatakan, dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.
Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan, katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Bilik Ketua Pembangkang, Bangunan Parlimen hari ini.Turut hadir ialah, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Seri Nizar Jamaluddin.
Sementara di pihak KeADILan, Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah; anggota MT KeADILan, Saifuddin Nasution, dan di pihak DAP pula, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng; Dato' Ngeh Ko Ham.
Sementara itu, Anwar yang membacakan kenyataan mewakili Pakatan Rakyat menyebut, akatan Rakyat menolak pengwujudan kerajaan perpaduan.
"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.
Majlis pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan Perpaduan dengan Umno-BN, yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan serta tindakan terdesak Umno mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat, tegas Anwar.
Menyokong pandangan itu, Salahuddin Ayub pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermaka tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno.
Malah Salahuddin kelihatan gembira dengan perkembangan itu yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno kelemasan.
Seorang lagi Naib Presiden PAS, Mahfuz pula memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pakatan.
Kenyataan itu juga sebagai satu usaha menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini mengucarkacirkan pakatan dnegan penyelewengan isu kerajaan perpaduan, ujarnya./wann_
more
-
Kalau Cenderung Kepada PAS ; Gam! Gam! Gam!
Pahang Daily Online :Eksklusif: Juara Akademi Nasyid TV9, Azhan Atan Rupanya Kini Telah Digam Dan Terpaksa Promosi Sendiri Album Terbarunya Ke Seluruh Negara !!
KUANTAN [3.40 pm] - Biarpun mengecapi kejayaan dan memenangi hadiah wang tunai RM100,000, hasil kejuaraannya dalam rancangan realiti Akademi Nasyid di TV9 2008 namun tiada yang tahu bahawa Ustaz Azhan Atan rupanya kini telah di"gam" oleh pihak media, termasuk RTM dan TV9 sendiri.
Menurut Azhan, beliau merasa amat terkilan biarpun kontraknya dengan TV9 masih berbaki dua tahun namun kini segalanya bagai sekadar "kontrak" semata-mata. Sedangkan kelibatnya dihalang untuk muncul dalam mana-mana siaran terbitan stesyen TV milik Media Prima itu.
Ia mungkin berikutan kelibat beliau yang sering muncul dalam program-program anjuran PAS sejak akhir-akhir ini. Biar pun beliau tidak berceramah politik dan hanya sekadar mengadakan persembahan hiburan semata-mata, namun ketakutan tidak bertempat pihak-pihak berkenaan menyebabkan beliau disingkirkan. Kami sempat bertemu beliau dalam satu program Gabungan penceramah, penasyid dan blogger Malam Kesenian Islam anjuran PAS Taman Tas dekat sini malam tadi. Dalam program yang diadakan di Markas PAS Taman Tas itu, Ustaz Azhan telah mendendangkan beberapa buah lagu dari album terbaru beliau yang sedang berada di pasaran sekarang ini. Malah, beliau turut mengalunkan beberapa buah ayat suci Al-Quran dan berselawat dalam program itu.
Biarpun kehadiran orang ramai tidak seperti yang dijangkakan kerana faktor cuaca, namun beliau telah berjaya mengadakan persembahan dengan baik serta menghiburkan orang ramai yang hadir malam itu.
Program yang turut menampilkan ceramah oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad itu turut menampilkan krew kami Blogger Cucumatkilau sebagai Pengacara jemputan. Turut hadir ialah Ustaz Yusof Embong, Ketua PAS Kawasan Paya Besar.
Ketika ditemui, Ustaz Azhan berkata katanya. "Biarpun agak terkilan dengan sikap pihak media kepada saya, namun saya terima dengan seadanya. Malah, lebih mengecewakan ialah album baru saya yang bertajuk Ku Milik Mu telah dilancarkan tanpa sebarang sidang media seperti kebiasaannya. Album yang sudah berada dipasaran itu diterbitkan oleh Hijjaz Records dan diedarkan oleh Warner Music. Ia menampilkan beberapa buah lagu ciptaan anggota kumpulan Hijjaz sendiri".
"Atas tekanan pihak kerajaan, majlis pelancaran album ini tidak diadakan. Ini menyebabkan saya terpaksa turun padang untuk mempromosikan album tersebut tanpa sokongan pihak media. Apapun, saya tetap tabah menghadapi dugaan ini" tambah beliau lagi dengan nada yang agak serius dan terharu.
Sementara itu menurut Ustaz Yusof Embong "Di antara hiburan yang dapat menghibur jiwa dan menenangkan hati serta mengenakkan telinga, ialah nyanyian. Hal ini dibolehkan oleh Islam, selama tidak dicampuri omong kotor, cabul dan yang kiranya dapat mengarah kepada perbuatan dosa. Dan tidak salah pula kalau disertainya dengan muzik yang tidak membangkitkan nafsu. Bahkan disunatkan dalam situasi gembira, guna melahirkan perasaan riang dan menghibur hati, seperti pada hari raya, perkahwinan, kedatangan orang yang sudah lama tidak datang, saat walimah, aqiqah dan di waktu lahirnya seorang bayi". (Ulasan di Blog Ustaz Yusof Embong).
Kami amat terkejut dengan maklumat yang mengatakan Ustaz Azhan telah digam oleh media arus perdana sebenarnya. Justeru itu, kami menyeru kepada peminat seni hiburan nasyid tanahair dan seluruh dunia untuk memberikan sokongan padu kepada Ustaz Azhan. Caranya dengan membeli album terbaru beliau yang kini sudah berada di pasaran sekarang. Anda boleh dapatkan di kedai-kedai kaset yang berdekatan mulai sekarang. Sokongan semua akan memberi harapan baru buat penyanyi nasyid ini untuk terus berjaya di persada muzik nasyid tanahair nanti.
Ulasan PDO :[Kami amat terkejut melihat Ustaz Azhan turut melakukan sendiri segala urusan yang berkaitan dengan persembahannya, termasuk mengemas barangan yang berkaitan. Sesungguhnya hiburan alternatif yang dibawa oleh beliau yang merupakan aktivis PAS sejak sekian lama itu dapat memberi sinar baru kepada industri hiburan nasyid di negara kita. Sokongan padu daripada semua pihak amatlah dialu-alukan bagi menyokong beliau. Kami juga mengambil peluang untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada PAS Taman Tas atas daya usaha membawa persembahan Ustaz Azhan ke Kuantan malam tadi. Seharusnya program seperti ini dapat diperbanyakkan lagi ke seluruh negara. Mungkin dengan cara itu, ia dapat memberikan sedikit imbuhan yang berguna kepada beliau. Dalam majlis itu juga PAS Taman Tas turut mengumumkan pelancaran laman blog mereka iaitu www.tamantassyabab.blogspot.com. Justeru itu, kepada semua bolehlah melayari laman blog PAS Taman Tas ini untuk mengetahui segala aktiviti terkini program mereka].
more
-
Kerajaan Perpaduan ; Perangkap Umno pada PAS ~ TG Nik Aziz
Sumber Asal : http://ntvirus.wordpress.com/2009/06/20/perangkap-umno-pada-pas/Kenyataan Tuan Guru pada 17 Jun 2009 - Harakahdaily
KOTA BHARU, 17 Jun (Hrkh) – Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu berkaitan kerajaan perpaduan yang diriuh rendahkan sekarang hanya sekadar kenyataan peribadi pemimpin tertentu yang tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat.
Katanya setakat ini tiada sebarang kertas agenda yang dibawa dalam mesyuarat PAS atau bersama Pakatan Rakyat.
Oleh itu kata beliau isu tersebut tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan PAS kerana ia merupakan satu padangan peribadi pemimpin tertentu sahaja.
“Kerana itulah pemimpin Pakatan Rakyat pun tidak tahu, begitu juga dengan pemimpin PAS yang lain. Jadi bagaimana nak hubungkaitkan dengan PAS berhubung isu kerajaan perpaduan.
“Bawalah dulu benda itu dalam mesyuarat parti, kemudian dalam Pakatan, kalau PAS dan Pakatan Rakyat bersetuju lainlah masalahnya.
“Ini dengan Pakatan tidak dibincang dalam parti pun begitu juga, macamana kita nak proses benda ni.. sebab tu saya kata benda ni direka oleh boneka Umno,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Sehubungan itu katanya, kalau semua pihak setuju, maka setiap wakil sama ada dari PAS, KeADILan dan DAP mungkin ada yang bakal menjadi menteri.
Kata beliau sekiranya perkara itu boleh berlaku barulah benar-benar dikatakan sebagai kerajaan perpaduan.
“Tetapi apa yang berlaku ini perpecahan. Umno sekarang sedang berpesta. PAS dah masuk perangkap. PAS sesama PAS dah nampak macam nak berpecah dah.. bercelaru.
“Begitu juga PAS dengan Pakatan Rakyat juga nampak bercelaru. Ini bererti mereka menganggap telah berjaya memecah belahkan PAS.
“Tetapi Alhamdulillah dapat dibendungkan dengan kenyataan saya sebelum ini,” tambahnya.
Semalam Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dilaporkan percaya PAS ikhlas untuk berbincang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetus presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. – mj _
http://www.harakahdaily.net/
more
-
“Idris Cap Ayam” ~ Ibrahimbaba's Weblog
Posted by ibrahimbaba in Kerajaan, Kuala Terengganu, Terengganu, UMNO, politik.
Tags: Ahmad Said, Idris Jusoh, Ramzi Zubir, stadium runtuh, Terengganu, ugutan SMS, UMNO trackbackdipetik dari Tranungkite Online
KUALA TERENGGANU : Malang datang bertimpa-timpa kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh. Yang terbaru, beliau disifatkan “Idris cap ayam” selepas beberapa projeknya terus-terusan memberikan masalah kepada Umno Terengganu sendiri.Ia bermula dengan robohnya bumbung Sekolah Menengah Wakaf Tapai April 2008 lalu dan kemudiannya bumbung Stadium Sultan Mizan baru-baru ini.
Kolam renang yang menjadi pusat sukan akuatik di Batu Burok juga didakwa bocor oleh peniaga sekelilingnya apabila air tidak berhenti-henti membasahi kawasan perniagaan mereka yang terletak dikawasan kolam renang itu.Ketiga-tiga projek ini dikaitkan dengan projek Wang Ehsan yang diuruskan kerajaan negeri dibawah Idris sebelum ini.
Kini Idris berdepan dengan tuduhan bahawa beliaulah sebenarnya di belakang bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Ramzi Ahmad Zuber yang kini sedang menghadapi tuduhan kes jenayah di mahkamah ekoran SMS ugutan kepada tiga Adun Umno.Ramzi dituduh membuat ugutan bunuh kepada ketiga-tiga mereka di samping membuat fitnah kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu sekarang, Datuk Ahmad Said.
Dakwaan ini dikemukakan kepada Ramzi ekoran tiga Adun BN termasuk Datuk Rosol Wahid, menerima satu SMS ugutan terhadap nyawa mereka dari telefon bimbit yang nombornya dimiliki oleh Ketua Setiausaha Sulit MB Terengganu.Selepas menerima SMS itu, Ramzi telah menemani mereka membuat laporan polis. Ekoran SMS ini juga, ketiga-tiganya membuat sidang akhbar dan mengajak Adun BN Terengganu memboikot sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu yang sepatutnya berjalan hari itu.
Ekoran itu, 14 Adun BN memboikot sidang Dun Terengganu yang gambarnya telah disiarkan di muka depan hampir semua akhbar.Ia telah memalukan kerajaan negeri Terengganu pimpinan Ahmad Said dan beliau telah dipanggil menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin di Kuala Lumpur.Namun, selepas disiasat polis, didapati Ramzi didakwa orang yang sebenarnya menghantar SMS tersebut menggunakan komputer dan meletakkan Ketua Setiausaha Sulit MB sebagai sender (penghantar).Ekoran itu, terbukti bukan pegawai Ahmad Said yang menghantar mesej ugutan tetapi dari kem Idris Jusoh sendiri apabila tertangkapnya Ramzi.Tindakan Ramzi ini disifatkan sebagai usaha kem Idris untuk memalukan Ahmad Said dan seterusnya memaksa beliau meletakkan jawatan sebagai MB Terengganu.Kini, bukan Ahmad Said yang malu tetapi Idris sudah digelar ‘cap ayam’ kerana ungkapan itulah yang selalu digunakan Idris semasa menjadi Menteri Besar dahulu terhadap apa-apa sahaja yang berkualiti rendah.
more
-
SAIFUL LIWAT BERCAKAP PASAL AKHIRAT PULAK
Oleh: WFAUZDIN NS
APABILA mula menyedari bahawa DS Anwar kini meneruskan langkah untuk terus berjuang menuntut keadilan buat diri beliau yang difitnah, maka Saiful pemuda yang pernah bersumpah laknat mengistiharkan dirinya telah diliwat mula berubah bicara dari mahkamah dunia ke mahkamah Akhirat. Tindakan DS Anwar yang berterusan melawan dan terus melawan dan tidak mudah menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada `konspirator', amat menimbulkan gerun dihati Saiful maka beliau seolah-olah mencari kaedah baru agar dirinya mendapat simpati.
Saiful berkata seperti yang disiarkan di dalam Malaysia kini hari ini, sekiranya kes liwat tersebut dibuang dan tidak dibicarakan, maka beliau percaya di akhirat kelak pasti jua dibicarakan. Jika ini keimanan Saiful yang ada, maka sewajarnya lah Saiful tidak perlu membuat Sumpah Laknat yang bertentangan serta tidak mematuhi peraturan Syarie dahulu. Sudah menjadi salah satu Rukun Iman di dalam Islam, bahawa percaya kepada Hari Akhirat. Usahkan kes liwat seperti yang Saiful katakan itu, bahkan Sumpah Laknatnya itu pun akan dibicarakan juga. Ini asas agama dan semua yang mengaku Islam wajib yakin bahawa adanya hari perbicaraan dan pembalasan. Begitu juga, jika seorang doktor di Pusrawi yang memeriksa dubur Saiful mengesahkan tiada kesan liwat, jika beliau berbohong dengan laporannya itu maka tetap akan dibicarakan. Termasuk juga 3 doktor pakar dari HKL yang juga melaporkan tiada kesan liwat ke atas dubur Saiful, jika mereka berbohong mereka tetap akan dibicarakan. Ini semua adalah perkara yang wajib diyakini oleh orang-orang Islam walaupun tanpa Saiful memberitahunya.
Oleh yang demikian, sebagai manusia yang masih tinggal di dalam dunia ini tambahan pula berada dalam sebuah negarayang mengamalkan undang-undang serta sistem kehakiman seperti yang ada, maka wajib juga bagi DS Anwar berikhtiar untuk mempertahankan dirinya dari dianiayai atau dizalimi. Beliau tidak minta kes beliau dibuang tanpa alasan yang munasabah kerana beliau sedar siapa diri beliau di mata kerajaan. Yang penting bukti mesti ada dan kukuh serta keadilan untuk sidituduh dan menuduh mesti diberikan, maka teruskan saja perbicaraan. Tentang urusan di hari Akhirat semua makhluk pasti melaluinya. DS Anwar juga pernah berkata bahawa kezaliman yang berlaku terhadapnya sebelum ini dan juga beberapa tuduhan dan fitnah sebelum ini juga pasti dibicarakan di Akhirat dan mereka yang bersalah pasti tidak akan dapat lepas dari pembalasan Rabbul Jalil.
Nasihat saya buat Saiful, tabahkan hati untuk menghadapi hari perbicaraan nanti. Kita sama-sama tahu mahkamah di dunia tidak sama dengan mahkamah di Akhirat. Namun, usaha perlu dijalankan. Jika perlu menghafal mana-mana skrip perbicaraan nanti, tenangkan hati agar tidak tergigit lidah semasa perbicaraan kelak. Yang Hak Mesti DiTegakkan, Yang Bathil Bakal Dicaci. / wfauzdin.blogspot.com
more
-
"Jumpa Tok Guru Nik Aziz Selesaikan Kemelut" - Mahfuz, Salahuddin.
Blog asal : SANGGAHTOKSAGO.COM
Mahfuz, Salahuddin minta Ustaz Nasharudin jumpa Tok Guru Nik Aziz selesai kemelut
KUALA LUMPUR: Dua Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub meminta Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa bertemu dengan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dalam masa terdekat.
Mereka menasihatkan Nasharudin bertemu dengan Tok Guru bagi meredakan isu berhubung gesaan Tok Guru agar beliau melepaskan jawatan selaku Ahli Parlimen Bachok semalam.
Mahfuz yang ditemui di Dewan Rakyat hari ini berkata, sejak pagi tadi beliau cuba menghubungi Nasharudin bagi membincangkan cadangan bertemu dengan Tok Guru, bagaimanapun gagal.
"Saya cuba telefon beliau tetapi tidak berjaya, namun saya telah mengirimkan SMS kepadanya menyatakan cadangan agar beliau bertemu dengan Tok Guru. Sebagai orang muda beliau kena lihat positif bahawa apa yang diluah Tok Guru adalah untuk lihat masa depan beliau dan parti lebih baik.
"Saya percaya Tok Guru tidak ada sifat kebencian terhadap beliau sebab apa yang dilakukan Tok Guru atas dasar kasih sayang sepertimana sifat seorang ayah yang kadang menegur dan memukul anak atas dasar kasih sayang dan bukan kerana benci," katanya.
Mengulas isu yang sama, Salahudin Ayub turut mahu Nasharudin bertemu dengan Tok Guru dalam masa terdekat. Penyelesaian secara 'anak beranak' adalah penting dalam hal ini bagi meredakan ketegangan, ujarnya.
Salahuddin berharap harap Nasharudin boleh melakukan demi kebaikan beliau dan redakan keadaan dan keresahan dalam parti. Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada mesyuarat khas sekembalinya Presiden PAS dari luar negara hujung minggu ini bagi membincangkan isu terbabit.
more
-
Video Ustaz Hadi di London
Diciplak di blog : http://muhaiminsulam.blogspot.com/1. Terima kasih pada IH mediacs yang merakam video ini.
2. Yang nak cari kebenaran, mudah-mudahan Allah permudahkan anda menemui kebenaran.
3. Yang nak cari salah orang, tengoklah jubah, janggut, serban dll Ust Hadi...mesti jumpa kan.
more
-
Mungkin Tuan Guru Haji Hadi Awang tersilap langkah
Oleh : Lord AzaabPertama sekali saya meminta maaf kepada kesemua pemimpin Pas, terutamanya TG Haji Abdul Hadi Awang, para pemimpin Pas yang lain, penyokong-penyokongnya dan tidak lupa, permohonan maaf ini saya tujukan kepada pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat juga.
Saya juga memohon maaf jikalau artikel ini akan menimbulkan rasa tidak selesa kepada sesiapa sahaja.
Sebenarnya saya tidak mempunyai cara lain untuk menyampaikan perkara ini. Saya cuba mencari email TGHH, tapi tidak berjaya. Saya tinggal di luar negara, tidak memungkinkan saya untuk menyampaikan perkara in by hand. Tambahan pula, saya bekerja di pelantar minyak , mana mungkin saya boleh menghantarnya menggunakan pos.
Setelah beberapa perkiraan, saya mengambil keputusan untuk melontarkan pemikiran saya hanya melalui blog peribadi ini.
Saya sedar capaian blog ini tidak tinggi, tidak ramai yang mengunjungai blog ini. Tambahan pula, blog ini bagi saya adalah sekadar cetusan rasa saya dan tempat saya menyimpan beberapa sejarah politik negara untuk dijadikan panduan di masa hadapan.
Jadi, saya tidak pasti samada cetusan ini akan sampai ke pengetahuan Tuan Guru yang saya hormati dan sanjungi ini.
Kita sering diajar untuk mengingat asal-usul kita. Kita kena belajar dari sejarah agar kesilapan kepimpinan lalu tidak kita ulangi lagi dan dijadikan landasan di dalam menjalani hidup kita. Jadi, itulah juga tujuannya saya muncul di alam maya ini.
Bukan tujuan untuk mencari nama, tetapi untuk kebaikan diri sendiri dan jika ianya dapat memberi sedikit manfaat kepada orang lain, saya sudah cukup bersyukur.
Malah, tiada iklan-iklan perniagaan atau affiliate program saya selitkan di dalam blog ini. Ini kerana, bukan juga niat saya untuk menjana kewangan melalui medium yang saya perolehi secara percuma oleh wordpress ini.
Tetapi, jika ada orang lain melakukannya, itu adalah hak mereka dan kita tidak boleh marah atau menghina meraka. Saya pasti, ada blogger yang menjana wang dari laman meraka dan akhirnya wang itu disalurkan kembali untuk tujuan perjuangan. Alhamdulillah, cukup murni tujuan mereka dan saya kagum dengan anda semua.
Cukup setakat itu untuk mukhadimah saya.
Di dalam buku Art of War oleh Sun Tzu, pakar strategi perang China purba pernah berkata, jikalau arahan pertama oleh ketua tidak dapat diikuti oleh askarnya, mungkin itu kesilapan askarnya yang mungkin tidak berdisiplin.
Tetapi, jika arahan kedua oleh ketua gagal diikuti oleh askarnya, mungkin itu kesilapan ketua itu sendiri yang gagal memberi arahan yang jelas kepada askar-askarnya.
Saya melihat perumpamaan ini sama seperti usul Kerajaan Perpaduan yang hangat diperkatakan hari ini. Walaupun saya percaya perkara ini cuba di initiate oleh bekas PM Pak Lah Badawi, melalui nama seperti muzakarah dan lain-lain, tetapi Pas tetap dilihat seperti berminat dengan usul tersebut.
Maka, gempar seketika perpaduan Pas di dalam Pakatan Rakyat. Ada pemimpin Pas secara senyap-senyap cuba berbincang dengan Umno untuk 1 tujuan lain. Sudah tentu ianya tidak disenangi oleh rakan di dalam Pakatan Rakyat sendiri.
Malah, penyokong-penyokong Pas juga ramai yang turut marah dengan perkembangan itu.
Setelah itu, pertemuan diantara 2 tok guru iaitu TG Nik Aziz dan TG Hj Hadi diadakan di JKR 10. Setelah itu, perkara itu dianggap selesai dan menetapkan bahawa tiada muzakarah diantara Pas dan Umno, yang ada cuma muqabalah.
Reda seketika mengenai soal ini dan perpaduan di kalangan Pakatan rakyat kembali kukuh sehinggakan Pakatan Rakyat berjaya menguasai kesemua PRK di Semenanjung selepas itu.
Kini, di dalam Muktamar Pas ke 55 yang baru tamat baru-baru ini, usul kerajaan perpaduan kembali bergema. Ini telah menimbulkan konflik baru di kalangan penyokong-penyokong Pas dan Pakatan Rakyat sendiri.
Curiga mencurigai berlaku.
Walaupun di dalam ucapan dasar Presiden ada menyentuh mengenai keperluan untuk memantapkan lagi Pakatan Rakyat, tetapi usul Kerajaan Perpaduan ini lebih dominant dan lebih diperkatakan oleh rakyat Malaysia hari ini.
Perkara menjadi semakin buruk apabila ianya ditokok tambah oleh beberapa media batu api.
Jikalau kekecohan kali pertama dahulu, para penyokong tidak dapat menerimanya mungkin kerana penyokong tidak wala’ kepada kepimpinan, ini mungkin tidak. Ini kerana, Mursyidul Am sendiri menolaknya dan bolehlah kita dikatakan bahawa penyokong Pas itu wala’ kepada TG Niz Aziz.
Jadi, kekecohan kali kedua ini berlaku dan bagi saya, ini mungkin kesilapan langkah oleh TG Hj Hadi sendiri berdasarkan buku Sun Tzu itu.
Ini kerana, selepas kekecohan pertama dulu reda, TG Hj Hadi sepatutnya mengambil peluang untuk menerangkannya dan memberi kefahaman kepada kepimpinan di peringkat Pas itu sendiri [mungkin ini sudah dilakukan].
Selepas itu, kefahaman dan penerangan kepada kepimpinan di peringkat Pakatan Rakyat pula dilakukan.
Jikalau kedua-dua proses ini berjaya dilakukan dan mendapat persetujuan semua, maka
para pimpinan Pas dan Pakatan Rakyat pula mengambil initiatif untuk menerangkan kepada penyokong-penyokong masing.
Selepas itu, ianya perlulah digerakkan oleh Pakatan Rakyat agar dilihat sebagai gagasan bersama dan Pas yang mengetuainya.
Saya cukup yakin bahawa usul Kerajaan Perpaduan ini ada kebaikannya. Ini kerana, saya tidak menafikan kemampuan berfikir dan berpolitik seorang ulama besar seperti TG Hj Hadi.
Sebab itu saya cuba senaraikan tuntutan jika Kerajaan Perpaduan ini mahu dilaksanankan. Saya mahu kebajikan Islam dan rakyat Malaysia menjadi keutamaan.
Saya juga percaya, kewujudan Kerajaan Perpaduan pun akan menjurus kepada maksud yang sama. Bukan untuk kepentingan politik dan kuasa individu tertentu sahaja.
Apa yang boleh saya katakan lagi disini, saya mengharapkan agar perkara ini akan dibincangkan oleh pihak kepimpinan Pas secara syura. Saya pasti, para pemimpin Pas akan menggunakan panduan Al-Quran dan hadis sebagai landasan untuk menentukan halatuju mereka.
Jikalau perbincangan secara syura itu berjaya membuat sebarang keputusan, saya akan wala’. Ini kerana, Rasulullah SAW pernah bersabda ”Jikalau engkau mengikut Al-Quran dan Sunnah ku, pasti engkau tidak akan sesat selama-lamanya.
Related articles :
Setujukah anda jika Unity Government disyaratkan begini?
Fahami apa itu Unity Government sebelum menyokong atau menentangnya
more
-
Penjelasan Kerajaan Perpaduan Oleh Naib Presiden Pas
Daripada : HermanSamsudeen (Blog Pemuda Wilayah)
Kerajaan Perpaduan: Kenapa kita berpolemik?
Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Bilamana Presiden mengutarakan gagasan kerajaan perpaduan, ramai di kalangan kita membuat pelbagai tafsiran dan andaian. Ada pandangan terkeluar dari akhlak jamaah dan sebahagian besarnya masih dalam batas berjamaah. Kesemua permasalahan ini berpunca dari tiada satu penjelasan lengkap dikeluarkan. Idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan pakatan Rakyat. PAS tidak akan mengkhianati Pakatan kita, bahkan kita akan perkukuhkan gabungan ini menjadi alternative bagi rakyat.
Sebagai ahli parti, kita mesti menerima idea dan gagasan ini dengan baik sangka kepada presiden disamping mengikuti penjelasan daripadanya. Idea ini dilontar diperingkat awal untuk menjadi bahan renungan semua pihak. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya. Saya suka jelaskan bahawa YB Dato’ Sri Presiden akan membuat dan memperhalusi gagasan ini dalam masa terdekat dan satu wacana kepimpinan akan diadakan. Namun bagi mengurangkan sedikit polimik yang sengaja dibesarkan oleh media arus perdana, saya suka menggambarkan beberapa prinsip yang ujud dalam gagasan ini.
Antara asas utama dalam kerajaan perpaduan ini ialah bertolak kepada firman Allah “ dan bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong Bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”. Konsep taawun yang melahirkan muafakat yang disaran oleh Allah menjadi asas dalam pembinaan Negara perpaduan. Kita mesti membina Negara berasaskan kepada al-bir( Kebaikan ) yang meliputi semua elemen kebaikan bagi rakyat. Kita mesti menyedari pembinaan Negara perpaduan tidak akan lahir dari sistem yang kelam kabut, rasuah dan penyelewengan, pimpinan yang tidak berakhlak, sistem yang penuh dengan kezaliman, dan akta yang digunakan bagi menindas rakyat. Apakah al-bir dari sistem begini. Kita mesti letakkan asas al-bir ini untuk kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Asas ini dittuntut oleh Allah, apakah ada diantara kita yang tidak inginkan kebaikan?
Asas kedua ialah taqwa. Negara mestilah menjurus ke arah melahirkan pimpinan yang bertaqwa, agar rakyat yang kita urus bukan hanya selamat melalui al-bir ( kebaikan sistemn Negara ) tetapi mestilah ujud elemen taqwa. Pemimpin mestilah bertaqwa kepada Allah. Asas al bir bersifat umum, tetapi asas taqwa bersifat khusus bagi pimpinan yang ingin menerajui kepimpinan Negara perpaduan. Semua parti p[olitik yang pimpinannya terdiri dari mereka yang menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Rasul hendaklah sedar bahawa kehidupannya tidak berakhir di dunia. Bagaimana kita ingin melahirkan rakyat yang baik, seandainya kita sendiri bergelumang dengan dosa dan maksiat. Kepimpinan gagal menjadi model bagi rakyat, isteri pimpinan menjadi elemen yang meruntuhkan akhlak dan jati diri bangsa. Hidup tanpa batasan agama dan kawalan wahyu. Negara yang baik lahir dari kepimpinan yang baik, dan taqwa adalah asas bagi semua kebaikan. Rakyat mestilah menyedari betapa Negara kini sangat-sangat memerlukan pemimpin yang bertaqwa bagi memandu Negara.
Kami menawarkan asas yang Allah menyuruh kita berpegang; apakah ada panduan yang lebih baik dari panduan Ilahi?. Apakah parti-parti politik bersedia kearah itu, dan seandainya tidak bersedia apakah alasan dihadapan Allah nanti di akhirat bila Allah meminta kita menjelaskan kenapa dan mengapa.
Asas ketiga ialah kita menyatakan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam pembentukan kerajaan ini sabuah kerjasama kearah durhaka kepada Allah. Konsep al-ism yang sangat luas menjadi sempadan pembinaan kerajaan perpaduan. Kita sebagai pimpinan mesti berusaha agar rakyat tidak terdedah kepada dosa dan maksiat. Kita perlu membina Negara yang soleh melalui pemimpin dan rakyat yang soleh. Kita mesti meletakkan asas utama agar semua elemen yang mendatrangkan dosa bagi rakyat dihapuskan; kerana kebaikan tidak akan lahir dari maksiat dan munkar.
Setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, pelbagai sistem yang mendedahkan dosa dipaksakan ke atas rakyat. Amalan riba yang berterusan, pusat-pusat meksiat diberi ruang yang luas oleh pemerentah, program maksiat mendapat tempat di hati rakyat sehingga lahirlah pelbagai gejala social, jenayah dan penyelewengan. Akibat Negara yang tidak diasas kepada benteng kawalan yang menjadi syarat utama kebaikan bagi rakyat. Inilah syarat kami bahawa kami tidak akan berkompromi dengan perkara dosa dan durhaka kepada Allah yang diizinkan oleh pemimpin Negara perpaduan. Apa makna perpaduan, kelau untuk durhaka kepada Allah, kerana tiada makna kemajuan dan perpaduan kalau ia dibentuk kea rah maksiat dan dosa.
Asas keempat yang dinyatakan oleh Allah ialah kami tidak akan berkerjasama kearah permusuhan. Kita mesti menghentikan sebarang elemen perkauman sempit yang mendorong ujudnya jurang antara kaum di Negara ini. Kecintaan kepada bangsa sendiri adalah fitrah manusia. Islam tidak menghalang setiap kaum menyintai kaumnya, tetapi Islam menentang tindakan zalim kepada kaum lain. Kerana kaum, bangsa dan warna kulit adalah ketentuan Allah, bukan pilihan manusia.
Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan sebarang elemen kearah permusuhan, samada di kalangan kaum melayu, cina, India dan lain-lain. Pertembungan antara dalaman setiap keum akan merugikan Negara. Kita tidak akan membiarkan permusuhan antara orang melayu sebagaimana kita tidak akan izinkan permusuhan sesama kaum India dan cina. Ini asas kita. Tindakan mengapi-api permusuhan, elemen genstarism dan kongsi gelap, gerakan anti perpaduan serta membiarkan jurang kaya dan miskin melampau, elemen penindasan dan kezaliman golongan kaya berpengaruh ke aras rakyat miskin dan tertindas akan menjurus ke arah permusuhan.
Saya ingin tegaskan bahawa inilah antara beberapa asas dalam kerajaan perpaduan. Andainya ada pihak yang menentangnya, apakah alasan kalau inilah yang digariskan oleh Allah dalam konsep al-taawun. Taawun sebagai satu gagasan, bukan hanya terikat dengan taawun fardiyyah; tetapi satu gagasan besar yang hebat dari Allah. Di samping asas tersebut, terdapat beberapa asas lain yang akan dijelaskan kamudian.
more
-
BENARKAH HAJI HADI BUAT SALAH?
Nur Aflah, Thursday, June 11, 2009
Ada penyokong PAS yang marah dengan Presidennya bila isu kerajaan perpaduan tidak mendapat kata putus; samada mahu diteruskan ataupun ditamatkan serta-merta.
Mereka yang marah itu berpendapat, Haji Hadi dan Ustaz Nasha mahu membawa PAS masuk dalam UMNO. Itu yang mereka tak dapat terima. Bagi mereka, kalau PAS nak bergabung dengan UMNO, itu kerja gila!
Tatkala dunia sedang dilanda selsema babi yang kini dikenali sebagai Influenza A (H1N1), PAS pula diberitakan sedang dilanda virus H1N1 yang merujuk kepada peranan yang dimainkan oleh Hadi dan Nasha.
Jika wabak ini tidak dapat dikawal dengan berkesan, berkemungkinan besar PAS akan diserang penyakit ‘pecah-belah’. Kononnya, tanda-tanda itu sudah ada.
Melihat kepada telatah para penyokong PAS yang cepat melatah dengan isu kerajaan perpaduan, media yang dikuasai BN terus mempergunakan isu ini sebagai bahan kempen mereka untuk melemahkan kedudukan PAS dan Pakatan Rakyat di mata pengundi.
Sepatutnya, penyokong PAS tidak perlu melatah bila media BN memainkan isu ini. Lagipun bukan mudah berita PAS mahu menjadi paparan utama di media BN. Peluang ini seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk mengajak seberapa ramai ahli UMNO berpadu tenaga dengan PAS.
Yang dapat difahamkan ketika ini, isu PAS nak masuk UMNO memang tidak pernah bermain di kepala Presiden PAS. Dalam ucapan pergulungannya, beliau masih mempertahankan pendirian yang PAS tidak akan bergabung dengan BN. Yang ingin dilakukannya hanyalah berunding untuk masa depan umat Islam di negara ini.
Pada beliau, UMNO kini ibarat kapal yang sedang karam. Sudah tiba masanya ahli UMNO berhijrah ke kapal PAS dan berpadu tenaga untuk mengukuhkan kedudukan PAS. Lihat sahaja bagaimana kaum Cina sanggup berpindah dari satu kapal ke kapal yang lain untuk memastikan survival kaum itu dapat diteruskan. Misalnya di PRK Kuala Terengganu, mereka menyokong UMNO dan PRK Bukit Gantang, mereka menyokong PAS.
Hari ini mungkin kaum Cina sedang berada di kapal DAP, esok lusa mereka mungkin kembali ke kapal MCA atau Gerakan. Orang Melayu dan Islam juga harus bersikap begitu. Apa salahnya orang PAS membantu ahli UMNO yang sedang ‘kelemasan’ dan apa salahnya jika orang UMNO mengambil tali bantuan yang sedang dihulurkan oleh orang PAS?
Keupayaan dan kemampuan PAS menjadi pemimpin tidak dapat dipertikaikan oleh kawan dan juga lawannya. Sebagai contoh, kerajaan PAS mampu bertahan di Kelantan biarpun dengan 1 majoriti. Apa yang berlaku di Perak baru-baru ini jelas menunjukkan ketidakupayaan PKR dan DAP dalam konteks melahirkan pemimpin yang setia kepada parti dan perjuangan mereka.
Selama ini, PAS sudah biasa tewas dan menjadi pembangkang di peringkat pusat. Tatkala PAS sedang bersinar sebagai parti yang mampu menjadi peneraju kepimpinan di negara ini, PAS tidak angkuh. Sebaliknya PAS sanggup menghulurkan tangannya untuk membantu mereka yang sedang lemah, khususnya umat Islam di negara ini.
Apa yang cuba dilakukan kini adalah sesuatu yang baik dan terpuji. Tidak sombong ketika kuat dan tidak malu ketika lemah.
Dalam ayat 25 Surah At-Taubah, Allah SWT mengingatkan kita supaya tidak merasa megah dengan kemenangan yang kita perolehi serta bilangan kita yang ramai kerana bilangan yang ramai itu belum tentu mendatangkan apa-apa faedah.
Hari ini, umat Islam adalah umat yang teramai di muka bumi. Malangnya, kedudukan Islam tidak pula sekuat bilangan umatnya. Negara-negara Islam ternyata memiliki sumber minyak yang besar, akan tetapi ekonomi negara-negara Islam tidaklah sehebat mana.
Umat Islam kini memang hebat dalam bab berpecah-belah. Dari Palestine ke bumi Malaysia, umat Islam dilihat begitu sukar untuk bersatu demi membentuk perpaduan ummah yang memungkinkan kegemilangan Islam kembali diagungkan. Hanya kerana perkara-perkara kecil dan perebutan kuasa, umat Islam suka berkelahi daripada berkompromi.
Kini PAS dianugerahkan Allah dengan harta yang berbentuk kuasa. 2 negeri diizinkan oleh Allah untuk diterajui PAS setelah Perak tumbang ke tangan BN. Jika benar PAS mahu bersatu dengan UMNO, PAS boleh menerajui kembali Perak dan membentuk kerajaan di Selangor dan Terengganu. Tetapi itu tidak dilakukan. PAS menolak idea kerajaan campuran tetapi membawa idea kerajaan perpaduan.
Perpaduan yang dimaksudkan itu adalah untuk PRU ke 13. Orang bukan Melayu kini tidak lagi melihat UMNO sebagai parti yang layak menerajui negara. Kegemilangan UMNO dalam lipatan sejarah negara bukan lagi sesuatu yang mengujakan bukan Melayu. UMNO kini dilihat sebagai parti yang dikuasai mereka yang korup dan tidak berkredibiliti.
Jika situasi ini berterusan, UMNO bakal berkubur pada PRU ke 13. Pada waktu itu, iklim politik Melayu/Islam akan menjadi huru-hara. Bayangkan pada waktu itu UMNO hanya menguasai negeri dan bukannya kerajaan pusat. Manakala bilangan kerusi yang dimenangi PAS pula tidak memungkinkan PAS dapat menerajui kepimpinan pusat.
Persoalannya nanti, adakah PKR yang membawa idealogi “ketuanan rakyat” akan lebih mendengar suara PAS atau suara DAP?
Ketidaksefahaman PAS dan DAP dalam isu negara Islam serta perlaksanaan hudud bukan lagi rahsia umum. Sehingga kini, belum ada lagi kata putus mengenai pendirian Pakatan Rakyat tentang idealogi pemerintahan PAS. Setakat ini PKR, DAP dan PAS hanya bersetuju untuk menghormati artikel 11 Perlembagaan Malaysia.
Apa yang dipersetujui itu sudahpun dilakukan oleh Barisan Nasional sejak dulu. Jadi, apa bezanya?
Bagi penyokong PAS, sudah tentu mereka ingin melihat PAS merealisasikan agenda Negara Islam yang diperjuangkan oleh mereka sejak dahulu. Apa gunanya PAS bergabung dalam Pakatan Rakyat dan hanya mencapai kemenangan sebagai parti sampingan pada PRU ke 13 nanti sepertimana yang berlaku hari ini?
Bagi penyokong UMNO pula, sudah tentu mereka ingin melihat survival Melayu dapat diteruskan. Apa gunanya orang UMNO terus menyokong UMNO jika parti itu tidak lagi mampu menjadi pemerintah pada PRU ke 13 nanti? Bukankah lebih baik jika mereka menyokong PAS kerana Islam dan Melayu itu memang berkait-rapat. Jika Islam dimertabatkan, orang Melayu juga akan mendapat tempiasnya.
Memanglah isu ini begitu kompleks dan jika tidak diuruskan dengan betul, ia boleh membawa perpecahan kepada PAS. Namun itu tidak bermakna yang PAS tidak boleh mencuba. Jika rakyat benar-benar mahu memilih Pakatan Rakyat sebagai pemerintah yang baru, maka rakyat juga harus membuat keputusan, siapakah yang lebih layak menjadi peneraju Pakatan Rakyat?
Tepuk dada, tanya selera!
Jangan sampai yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat! Ingatlah ayat 13 Surah Asy-Syuura, "Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya".
Sudah tiba masanya orang Melayu/Islam bersatu untuk membentuk satu kuasa yang memungkinkan untuk mereka menggubal satu dasar yang mendaulahkan Islam dan menghancurkan sekularisme yang telah sekian lama mencengkam potensi ummah di negara ini.
more
-
Pertemuan sulit tolak k'jaan perpaduan ~ Malaysiakini
Jimadie Shah Othman | Jun 10, 09 12:52pm
Dalam kehangatan perdebatan idea kerajaan perpaduan yang diutarakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mursyidul amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat memanggil pertemuan sulit bagi menepisnya.
Menurut sumber-sumber, Nik Aziz memanggil beberapa pemimpin parti itu yang dilihat menentang idea kerajaan perpaduan dan muqabalah dengan Umno, antaranya, bekas naib presiden Datuk Husam Musa dan penggantinya Datuk Mahfuz Omar.
Mesyuarat itu yang diadakan di Rumah Kelantan, Jalan Stonor di ibu negara pagi kelmarin juga bersetujui mendesak Abdul Hadi menjelaskan pendirian dan tafsiran beliau berhubung perkara itu.
"Setakat yang kita tahu, kerajaan perpaduan itu maksudnya ingin duduk bersama Umno.
"Ini yang kita tentang. Kita harap presiden dan timbalannya (Nasharuddin Mat Isa) boleh membuat penjelasan," kata sumber.
Jumaat lalu, dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasarnya, Abdul Hadi berkata, beliau yakin idea kerajaan perpaduan akan difahami dan diterima semua pihak suatu hari nanti.
Bagaimanapun, pada malam keesokannya, ketika menyampaikan ceramahnya sempena muktamar tahunan PAS itu, Nik Aziz menyifatkan idea Abdul Hadi itu sebagai "mengarut".
'Nik Aziz risau'
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber berkata, idea Abdul Hadi itu perlu diperjelaskan supaya pemimpin lain dalam PAS tidak curiga dan tertanya-tanya maksud sebenarnya.
"Sekarang kita lihat hanya presiden dan Ustaz Nasharuddin sahaja yang bercakap mengenainya.
"Orang lain tidak tahu apa (butirannya)," kata sumber-sumber itu.
Sumber yang lain memaklumkan bahawa pertemuan itu dibuat ekoran kerisauan Nik Aziz terhadap potensi PAS bergabung dengan Umno apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan bersifat terbuka terhadap idea itu.
Utusan Malaysia sehari selepas majlis perasmian muktamar memuatkan laporan itu di muka depan akhbar tersebut.
Kedengaran juga ura-ura bahawa Nik Aziz "merajuk dan kecewa" dengan tindakan Abdul Hadi dan ingin membuat tindakan drastik dengan meletakkan jawatan sebagai mursyidul am.
Bagaimanapun, sumber-sumber itu berkata bahawa ura-ura itu tidak benar.
Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS pusat yang baru dipilih Dr Hatta Ramli ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung pertemuan Isnin itu.
"(Pertemuan) itu bertanya khabar sahaja," katanya, sambil ketawa.
Bekas bendahari agung PAS itu dikatakan turut hadir dalam pertemuan itu.
Sementara itu, di Pahang, seorang naib presiden PAS yang baru, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Abdul Hadi akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu kerajaan perpaduan.
Katanya, kenyataan akan memperjelaskan secara terperinci kerjasama antara PAS dan Umno berhubung isu kerajaan perpaduan, lapor akhbar Sin Chew Daily.
"Presiden akan mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu. Semuanya akan diuruskan oleh presiden," katanya.
more
-
Ucapan Dasar Presiden PAS: Islam Memimpin Perubahan
Sumber:Harakahdaily
Sun | Jun 07, 09
Bagi pihak seluruh ahli dan kepimpinan PAS Pusat, saya ucapkan selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan, dan mengalu-alukan kedatangan semua tetamu yang menyeri dan memeriahkan muktamar ini, dengan iringan doa kepada Allah SWT, agar dimasukkan kehadiran ini dalam timbangan amal soleh, yang menjadi bekalan kita di hari akhirat, kerana keyakinan kita kepada dasar dan sifat Islamnya parti yang kita dukung ini.
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Marilah kita menyatakan kesyukuran kepada Allah, dengan limpah kurnia-Nya, kita semua terus beristiqamah dengan perjuangan yang kita imani kesuciannya, dalam wadah Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
PAS terus mara berjuang sejak beberapa dekad dan kelangsungannya telah bertali arus sepanjang beberapa generasi hinggalah ke hari ini. Kita terus beriman dan beristiqamah dengan aqidah dan ciri-ciri parti Islam yang ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.. Di atas asas inilah PAS ditubuhkan oleh para alim ulama dan cendekiawan Islam lebih setengah abad yang lalu.
Inilah syarat yang menjadi ketetapan Allah kepada Parti Islam yang bercirikan kesinambungan risalah Islam sebenar, dan inilah sebabnya kita menerima ketetapan Allah yang mewajibkan kumpulan Islam sebenar menjadi penerus risalah agama ini, berhadapan dengan pelbagai mehnah dan fitnah.
Firman Allah yang bermaksud: "Alif Laam Mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'Kami beriman', sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. [29:1-3]
PAS bergerak di atas landasan kesempurnaan ajaran Islam, dengan bercirikan kepimpinan ulama dan kepimpinan berbagai keilmuan, pengalaman, didokong oleh seluruh aktivis PAS di pelbagai peringkat untuk memenuhi segala perintah Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam semuanya (dengan mematuhi segala ajarannya) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [2:208]
IMBASAN SETAHUN
Pelbagai peristiwa telah berlaku sepanjang tempoh setahun kita mengadakan Muktamar yang lalu di negeri Perak Darul Ridzuan. Menerusi muktamar itu, antara keputusan terpenting yang kita sama-sama bahas dan susun jalinan kerjanya adalah untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat, dan dalam masa yang sama PAS mempunyai sikap keterbukaannya untuk bertemu serta berbincang dengan sesiapa sahaja bagi kepentingan Islam dan seterusnya rakyat di dalam negara kita ini.
Sepanjang tempoh setahun ini, kita sama-sama melihat pelbagai imej politik dilakarkan dan pelbagai pergolakan politik berlangsung di tanah air kita, sekaligus menjana perubahan lanskap politik negara. Suasana ekonomi yang semakin menekan, punahnya sistem ekonomi liberal-kapitalis, keresahan rakyat jelata dalam mengharungi pentas hidup yang tidak menentu, amalan rasuah yang semakin meningkat, bantahan berterusan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran sains dan matematik, perubahan kepimpinan negara dan sebagainya.
Kita juga berhadapan dengan beberapa pilihan raya kecil � bermula dengan Parlimen Permatang Pauh yang kita hadapi semasa berlangsungnya muktamar yang lalu, seterusnya pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, Batang Ai dan Penanti dan akan bertemu lagi di Manek Urai.
Kesemua pilihan raya ini kita sama-sama hadapi dengan semangat kerja kuat dan keserasian setiakawan Pakatan Rakyat yang tidak pernah luntur. Walaupun kita berhadapan dengan BN yang berselindung di sebalik jentera kerajaan dan pelbagai agensi, tetapi kita berjaya membuktikan bahawa rakyat terbanyak masih kukuh bersama kita dengan kita memenangi lima dari enam kerusi yang dipertandingkan, dan Insya Allah kita akan dapat mempertahankan Manek Urai.
Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat yang telah celik, kerana hasil daripada maklumat yang dimerdekakan ke atas mereka oleh sumber media baru, sehingga memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu. Kejayaan ini tidak akan mampu kita capai tanpa usaha keras yang ditunjukkan oleh jentera kita dan semua pihak yang sama-sama membantu tanpa habuan wang ringgit.
Rupanya kerjasama kita yang sebegini erat, sangat membuatkan pihak tertentu merasa irihati dan merasa bahang kepanasannya. Kemuncak dari keangkuhan mereka ini adalah tindakan tanpa susila merampas kerajaan yang dipilih oleh suara majoriti rakyat yang telah sama-sama kita bina di negeri Perak Darul Ridzuan. Suara rakyat diketepikan dan semangat Perlembagaan dan undang-undang tidak dilaksanakan, manakala keadilan dicerobohi apabila tiadanya pemisahan kuasa dalam Badan Kehakiman.
Kerajaan yang sedang berbakti kepada rakyat telah direntap dengan senjata peras ugut dan rasuah politik. Apa yang lebih parah lagi, bukan sahaja segala jenis peraturan dan �standing order� Dewan dilanggari bahkan kedudukan Dewan tempat bersidangnya Dewan Undangan Negeri Perak telah dicemari dengan peristiwa rampasan kuasa yang kini telah menjadi bahan momokan masyarakat antarabangsa dengan perbuatan tidak bertamadun dan bermoral. Tragedi ini merupakan satu episod hitam dalam sejarah politik di Malaysia, hasil daripada tindakan Umno dan BN yang gelabah, kerana semakin pudar pengaruhnya di hati rakyat Malaysia.
ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Bersandarkan kepada latar belakang politik negara yang kelam kabut dan iklim dunia yang semakin parah suasana geopolitiknya pada waktu ini, maka marilah kita sama-sama mengorak langkah untuk terus mara dengan memimpin rakyat dan negara ke arah perubahan yang hakiki menerusi tema Muktamar kali ini iaitu - "Islam Memimpin Perubahan".
Kita memimpin untuk merubah masyarakat yang menyanjung tinggi materialistik dan semakin rosak ini kepada ma�aruf. Kita bukan sahaja mencegah kemungkaran, tetapi juga menyokong perubahan ke arah kesejahteraan rakyat dan kekuatan Islam. PAS ingin memimpin perubahan dengan membawa satu gagasan politik Islam yang akan menyatukan kaum di Malaysia ini dengan keadilan sejagat.
Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." [4:58]
Perubahan ini adalah perlu kerana berlakunya kegagalan sistem politik dan ekonomi dalam dunia hari ini. Hasil dari ketidakadilan dan kegagalan pelbagai sistem, kita menyaksikan semakin bertambahnya politik peras ugut dan perkauman di Malaysia.
Keruntuhan sistem komunis dan seterusnya kegagalan sistem ekonomi kapitalis yang sedang berlaku pada hari ini adalah menandakan satu bentuk kehancuran ideologi ciptaan manusia. Kita perlu menyedari bahawa perubahan adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia atas sifatnya sebagai makhluk ciptaan Allah.
Dalam kita menerokai sebuah perubahan itu maka kita pun mula bertanya: "Bagaimanakah bentuk perubahan yang kita idam-idamkan itu?"
Pada masa yang sama, kita juga mendengar pelbagai slogan daripada kerajaan pimpinan Umno dan BN yang kononnya juga mahukan perubahan.
Sepanjang perjalanan sejarah negara, kita bertemu dengan slogan, �Bersih Cekap Amanah�, �Kepimpinan Melalui Teladan�, �Cemerlang, Gemilang dan Terbilang�, terkini meniupkan slogan �Satu Malaysia�. Semuanya adalah retorik, bersifat kosmetik dan akhirnya tidak membuahkan apa-apa yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan pembangunan roh dan jasad bagi negara kita.
Kerajaan yang ada sekarang ini boleh saja melaungkan ratusan slogan, tetapi ianya akan terus hanyut kerana sistem pemerintahan yang ada masih sama, kerana Umno dan BN terperangkap dalam sistem dan amalan politik kuno yang bertunjangkan perkauman, bermatlamatkan kebendaan dan penerusan kuasa dalam apa jua keadaan.
Kita juga percaya bahawa slogan �Satu Malaysia� juga tidak berupaya mewujudkan suasana negara yang lebih baik kerana dalaman Umno dan BN sendiri bercelaru dan tidak bersatu. Hal ini diburukkan lagi dengan tidak adanya konsep pemisahan kuasa antara eksekutif-legislatif-kehakiman dalam negara kita. Sistem politik pula menjadi celaru oleh keegoan politik, pencerobohan dan kerakusan kuasa mencampuri urusan kehakiman dan pentadbiran. Perpaduan masyarakat pula tidak akan mampu dicapai dengan pemberian hak ekonomi dan politik semata-mata.
Perjalanan menuju kepada sebuah negara maju bagi Malaysia pula tidak akan ke mana-mana sekiranya demokrasi kita tidak matang, hasil dari peranan Umno dan BN yang telah memundurkan demokrasi dan rakyat terus menerus dijadikan bahan peras ugut oleh mereka. Istilah demokrasi hanya digunakan untuk mengekalkan kuasa politik mereka.
Kehebatan dunia pendidikan Islam pula telah dilemahkan oleh dasar pendidikan tajaan Umno, maka lahirlah pemimpin yang tidak bermoral, yang berkuasa melalui rasuah dan penipuan, rakyatnya pula dibanjiri gejala sosial, keruntuhan akhlak dan jenayah yang makin merebak, miskin jiwa dan harta, dan akhirnya menjadi pengundi yang boleh ditipu dan dibeli dengan harga yang murah. Inilah cara Umno mengekalkan kuasanya secara tidak beramanah.
PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia. Kita mesti menyedari bahawa di sana ada perkara yang sama dan berbeza dalam kalangan manusia yang perlu diraikan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan ta�aruf di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." [4:1]
Dan Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." [49:13]
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Setelah zaman berkembang, maka perubahan adalah sesuatu yang pasti berlaku. Maka setiap perubahan perlu ditangani dengan sebaik mungkin agar perubahan yang berlaku akan hanya menjurus kepada kebaikan dan bukan sebaliknya.
Perubahan yang kita rencanakan ini adalah bukan akibat daripada tekanan rakyat, atau tekanan golongan bangsawan atau tekanan masyarakat dunia, dan bukannya akibat desakan sesiapa, tetapi perubahan yang hakiki untuk kesejahteraan hidup manusia di atas muka bumi ini.
Perubahan yang hakiki inilah yang seharusnya kita laksanakan dalam negeri yang diperintah secara bersama oleh PAS dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
Cukuplah kesilapan-kesilapan asas pemerintahan yang telah dilakukan oleh Umno dan BN. Bertitik tolak dari perubahan hakiki inilah, maka rakyat akan melihat keupayaan dan keadilan hakiki yang kita perjuangkan ini. Matlamat kita mestilah jelas, iaitu kita merencana ke arah kebaikan kerana ianya adalah suatu tuntutan fitrah dan serasi dengan fitrah manusia dan tanggung jawab bersama, dan bukannya kerana desakan sesiapa.
Dalam kita memahami perubahan yang dipimpin oleh Islam ini, maka kita perlu menyedari bahawa Islam adalah sebuah ad-din yang lengkap dan syumul. Ianya tidak sama sekali bersifat kaku, jumud dan eksklusif sebagaimana yang dikritik oleh para orientalis Barat yang buruk sangka terhadap Islam.
Dalam mempastikan perubahan yang berlaku dalam masyarakat hanya bergerak ke arah jalan yang baik, ke arah yang diredhai oleh Allah dan Rasul-Nya, maka ianya mesti dipimpin oleh mereka yang beriman dan budiman, menjadikan Al Quran dan As- Sunnah sebagai rujukan asas. Hasilnya kita akan lebih mampu untuk melaksanakan keadilan dalam masyarakat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan." [5:8]
Atas dasar inilah PAS sebagai sebuah parti siasah Islam, gerakan dakwah dan tarbiah terus menerus mendokong nilai-nilai Islam yang kekal dan dinamis serta nilai-nilai yang tidak bersifat perkauman. Politik yang kita majukan adalah berteraskan politik li ta'arafu � politik saling menghormati, khususnya bagi negara-bangsa ini yang bersifat majmuk, maka bertambah penting bagi PAS menyerlahkan sifat keadilan Islam yang mampu meraikan kepelbagaian.
PAS ingin menampilkan model penyelesaian dan akan terus menyumbang dalam membangunkan masyarakat dan negara dalam abad 15 Hijrah dan 21 Masehi ini.
PAS terus menerus komited untuk mendefinisi dan mentakrif perubahan yang akan berlaku berdasarkan kerangka rujukan Islam yang bersifat universal. Maka PAS bersedia menawar diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negara dalam sebuah masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia selepas berlangsungnya pilihan raya umum yang ke-13 nanti, insya Allah.
DALAMAN NEGARA
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Kewujudan PAS adalah sebagai penerus kesinambungan perjuangan Islam terdahulu di saat tanah air kita masih dijajah. Persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951 juga telah memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Allah. PAS pernah menyumbangkan pemimpin dan pengikut yang ditarbiah dengan dizalimi dan ditindas dengan pelbagai cara oleh penjajah, kerana kitalah pejuang kemerdekaan yang sebenar, bukan seperti mereka yang pernah mengejar nikmat dunia semata-mata dengan menjadi khadam kepada penjajah, kemudian berkhidmat lagi selepas merdeka untuk meneruskan perancangan penjajah itu.
PAS telah berjaya mendesak bersama NGO Islam di ambang kemerdekaan melalui memorandum kepada Suruhanjaya Reid, mendesak supaya meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, walau pun Suruhanjaya itu menafsirkan perkataan 'Islam' mengikut fahaman sekular yang dianut oleh ahlinya.
Setelah kita merdeka, maka tibalah masanya perkataan besar seperti �agama� dan �Islam� itu ditafsirkan mengikut ad-Din yang sempurna, namun Umno meneruskan tafsiran penjajah itu dengan mereka menjadikan Islam agama yang diperintah mengikut keadaan yang mereka wujudkan. Hasilnya, kita menyaksikan negara tercinta diperintah oleh Umno dengan sistem warisan penjajah, dalam keadaan Islam tetap menjadi agama yang tidak berkuasa dan mereka mencorakkan bangsa yang tidak membangun dengan Islam.
Sifat Islam yang adil untuk semua tidak dapat dibuktikan, manakala amalan amar ma�aruf dan nahi mungkar dibelenggu oleh sistem yang menghalangnya. Akhirnya sistem ini tidak membangunkan insan bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Allah SWT.
Mereka tidak menjadikan Islam sebagai agama yang memerintah dengan keadilan dan hikmahnya untuk seluruh manusia tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. Akibatnya Umno menunjukkan model Islam yang salah kepada rakyat berbagai kaum dan agama, serta menghilangkan kewibawaan umat Islam dan merendahkan martabat raja-raja yang dilantik menjadi ketua agama Islam di negeri masing-masing. Tindakan Umno meminda Perlembagaan merampas kuasa raja-raja bukannya memperkasakan raja-raja dengan kedaulatan Islam, supaya institusi beraja itu berpijak di atas keadilan yang syumul.
Sejak memikul amanah memimpin negara, UMNO telah meminda perlembagaan negara beberapa kali, pindaan yang lebih bersifat tikus membaiki labu, kerana lebih bertujuan untuk mengekalkan kuasa politik mereka, bukannya bertujuan islah untuk memerdekakan negara sepenuhnya daripada kongkongan jahiliah yang masih membelenggu dan menghina Islam.
Umno juga meneruskan sistem yang melemahkan Bahasa Melayu dan peranannya dalam ilmu sejak beberapa dekad, setelah Bahasa Melayu bertulisan jawi menjadi bahasa ilmu di rantau Asia Tenggara. Inilah peranan pemimpin Umno yang menggubal Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dengan menukar tulisan bagi Bahasa Melayu dari tulisan jawi ke tulisan rumi.
Apabila ianya diaktakan, maka peranan tulisan jawi sedikit demi sedikit menuju ke penghujung penggunaannya. Tulisan jawi dilemahkan oleh Umno selepas zaman penjajah asing gagal melemahkannya, dan ini sangat memalukan bangsa Melayu kerana rakan-rakan kita kaum Cina dan India dapat mempertahankan tulisan dan bahasa masing-masing, tetapi tulisan jawi Bahasa Melayu dipinggirkan oleh dasar yang digubal oleh Umno sendiri.
PPSMI
Hari ini, UMNO telah sekali lagi mencatatkan satu sejarah baru dengan meneruskan agenda pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dengan alasan untuk memajukan bangsa, sedangkan pelbagai kajian di peringkat nasional dan antarabangsa yang ada pada masa ini menunjukkan bahawa pembelajaran sains dan matematik di peringkat asas ini mestilah dilaksanakan menerusi bahasa ibunda masing-masing. Penafian fakta ini adalah satu bentuk penipuan terhadap daya intelek rakyat sendiri.
Ingin saya tegaskan sekali lagi di sini, bahawa PAS tidak anti kepada bahasa Inggeris, atau mana-mana bahasa yang ada di dunia ini. Pandangan PAS adalah sama dengan pandangan para pengkaji dan sarjana bahasa, bahawa pengukuhan terhadap bahasa Inggeris mestilah berasaskan kepada memperkukuhkan pembelajaran bahasa itu sendiri.
MARUAH PEMIMPIN NEGARA
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Perubahan kepimpinan dalam negara kita yang baru sahaja berlaku itu bukannya hal dalaman Umno dan BN semata-mata, tetapi ianya juga turut memberi kesan kepada seluruh rakyat yang bernaung dalam negara Malaysia tercinta ini. PAS berpendapat bahawa kepimpinan adalah merupakan satu amanah yang sangat besar, dan ianya wajib dipikul oleh orang yang bukan sahaja layak dan adil tetapi juga perlu dilihat bersih amal perbuatannya. Risiko mempunyai kepimpinan yang rosak akhlak dan mempunyai seribu satu macam bebanan fitnah adalah sangat tinggi, yang mana maruah negara adalah menjadi taruhannya.
Oleh yang demikian, PAS ingin menggesa pihak kerajaan untuk mengambil langkah berani dengan memulakan tindakan bagi membersihkan pemimpin utama negara yang dipaparkan oleh media asing sebagai mempunyai bebanan kes rasuah dan jenayah. Tindakan saman ini adalah perlu supaya imej Malaysia yang tercalar akibat berita yang sangat memalukan ini dapat dipulihkan.
Sekiranya tindakan pembetulan ini tidak diambil, maka sebenarnya maruah dan masa depan negara akan menjadi bahan momokan masyarakat dunia.
Kita juga diuji dengan belenggu undang-undang zalim ISA sejak zaman penjajah, namun setelah penjajah meninggalkan negara kita, ianya disambung semula oleh Umno serta ditambah lagi dengan akta yang dicipta sepertinya selepas merdeka, seperti OSA, AUKU, Akta Polis, Akta Penerbitan, Akta Mesin Cetak dan sebagainya.
Ianya telah berjaya digunakan sebagai senjata untuk mengekalkan kuasa pemerintahan Umno dan BN, melindungi kezaliman dan penyelewengan secara undang-undang, dan juga menghakiskan amalan demokrasi, bukannya menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Kita berpendapat bahawa untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara hendaklah melalui undang-undang dan sistem kehakiman yang adil bukan dengan undang-undang seperti itu. Pra-syarat utama untuk melahirkan sebuah negara yang subur asas demokrasinya pula mestilah dengan mempunyai sistem penjalanan pilihan raya yang bebas; jelas konsep pemisahan kuasa antara eksekutif - legislatif - kehakiman dalam negara; mematangkan konsep raja berperlembagaan yang dilihat dari perspektif Islam; kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang bertepatan dengan fitrah naluri kemanusiaan, pembaharuan sistem ekonomi dan politik; hubungan antarabangsa dan lain-lain lagi.
PAS menyertai pilihan raya sejak kali pertama diadakan di zaman penjajah, walau pun dengan kejayaan hanya satu kerusi dalam serba kekurangan, tetapi kita berterusan menyertai selepasnya. Di awal kemerdekaan lagi, kita mula belajar menyertai pilihan raya dan PAS telah berjaya mengambil dua buah negeri, iaitu Terengganu dan Kelantan.
Pemerintahan kita pada ketika itu berhadapan dengan berbagai-bagai tekanan diskriminasi oleh Kerajaan Pusat, diserang dengan pelbagai cara, termasuklah juga rasuah politik dengan membeli wakil-wakil rakyat. Kita tumbang di Terengganu dan terus bertahan di Kelantan sehingga tahun 1978, di mana akhirnya kita dijatuhkan dengan perisytiharan darurat secara lakonan, apabila mereka gagal memperolehi wakil rakyat yang cukup untuk dibeli.
POLITIK WANG
Alhamdulillah, hari ini PAS menjadi parti yang selamat daripada banjir politik wang, yang dicipta oleh Umno untuk terus berkuasa, walaupun berhadapan dengan gelombang penolakan oleh rakyat. Umno dan BN tetap mahu berkuasa selama-lamanya walau pun melakukan banyak perlanggaran yang merosakkan negara dan rakyat. Mereka sanggup mencabul Perlembagaan, mengancam perpaduan dan seterusnya mewujudkan politik yang tidak stabil. Sekarang ini penyakit itu memakan diri Umno sendiri dan rakan-rakannya dalam BN, dan sedang menjadi barah dalam dirinya, tanpa segan dan malu.
Bagi PAS hanya Islam yang menjadi rahsia ketahanan kita, dengan pengisian tarbiah, dan bai�ah kepada setiap pemimpin dan calon pilihan raya yang dipilih, kita diajar dosa pahala dalam amalan politik. Kita diajar bahawa dosa pahala bukannya terhad dalam perkara ibadat, makan-minum dan pakaian sahaja.
Sekarang PAS bangkit menjadi parti yang kukuh dan istiqamah, yang mana kita bertahan lima penggal di Kelantan dengan kelebihan hanya satu kerusi di penggal yang lalu walaupun diusahakan oleh pihak tertentu untuk menumbangnya dengan tekanan dan habuan politik wang-ringgit. Hari ini kita berjaya lagi, walaupun pemerintahan bersama kita di Perak dirampas, tetapi wakil rakyat kita tidak tenggelam dengan politik wang dan ugutan. Rahsia ketahanan kita ialah Islam yang kita imani secara sempurna dalam semua urusan.
PAS juga merasa bangga kerana hingga kini ahli-ahli Parlimen kita juga telah bertindak menyuarakan pandangan-pandangan parti dengan penuh keberanian dan hikmah, memberikan gagasan-gagasan baru dalam parlimen sehingga mereka disegani oleh kawan dan lawan. Laksanakan amanah itu dengan sebaik mungkin dengan landasan Islam, supaya mesej yang kita bawa dapat diikuti dan difahami oleh rakyat yang sangat dahagakan perubahan ini.
Di masa ini, kita telah berjaya mengadakan hubungan 'tahalluf siyasi' dengan parti-parti dan NGO, yang mempunyai titik persamaan dalam menangani isu tertentu, tanpa kita berganjak dari dasar dan matlamat PAS. Seruan kita adalah dengan mengajak kepada Islam, dan seterusnya menolak pemimpin diktator yang berlagak seperti Tuhan seolah-olah boleh melakukan apa sahaja mengikut hawa nafsunya. Kita tidak memaksa mereka menganut Islam dalam aspek ibadah, tetapi kita boleh bersatu dengan mereka yang menentang kezaliman dan tidak boleh bersama dengan orang-orang yang zalim.
Pendekatan kita dalam amalan politik yang tidak berpisah dengan agama Islam adalah berpandukan firman Allah yang ditulis dalam perutusan Rasulullah s.a.w. kepada kerajaan di zamannya yang bermaksud:
"Marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: 'Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam. [3:64]
IKLIM EKONOMI
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Dunia pada hari ini berdepan dengan krisis kewangan, sekaligus kegawatan ekonomi akibat keruntuhan sistem kewangan Barat berteraskan riba, ihtikar dan gharar.
Adalah mengandungi hikmah mengapa Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.w. menyenaraikan riba di kalangan dosa besar, walaupun tidak dimasukkan ke dalam jenayah Qisas dan Hudud, namun ianya diberi amaran yang keras.
Akibat muamalat kewangan ini, maka terbitlah pelbagai produk dengan beraneka nama canggih yang diniagakan oleh negara Barat yang bermegah dengan kemajuannya. Bank Dunia mengakui bahawa krisis kali ini melibatkan kerugian bukan berbillion bahkan beberapa trillion dollar Amerika. Setelah dunia melihat pertembungan ekonomi kapitalis dan komunis, kini berlaku pula pertembungan antara negara-negara kapitalis yang merugikan dunia.
Kerajaan BN pula berpeluang meletakkan punca krisis ekonomi negara kepada faktor luar yang bersifat global dan kononnya tidak dapat dielakkan. Tindakan kerajaan ini adalah tidak bertanggungjawab, bahkan mengekalkan �sindrom penafian� yang menjadi amalan kerajaan BN selama ini.
Lebih parah lagi kerajaan BN terus menerus mentadbir ekonomi negara dengan rakus dan boros, serta sarat dengan amalan penyelewengan kuasa, rasuah, kronisme dan nepotisme yang menyaksikan pengulangan tabiat buruk pengurusan orde lama. Rakyat terus menanggung kerugian besar, sementara segelintir pihak kroni terus mengecapi keuntungan semasa ekonomi mewah sedikit waktu dulu dan mereka diselamatkan oleh �bailout� kerajaan BN.
Tegasnya, isu utama yang dipertikaikan hingga kini adalah ketelusan dan bertanggungjawaban. Peristiwa Bank Bumiputra yang hidup berkembar dengan pejabat Umno hanya tinggal dalam lipatan sejarah hitam ekonomi negara.
PAS juga menggesa semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, yang menguruskan pelaburan rakyat seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), diuruskan dengan penuh berhemat. PNB yang menguruskan dana berjumlah hampir RM120 billion, semestinya mampu memberi pulangan yang mapan untuk faedah rakyat. Perlu juga diingatkan keperluan untuk mematuhi kehendak syariah dalam setiap pelaburan tersebut.
Lembaga Tabung Haji juga mestilah mampu memenuhi tanggungjawab menjaga kepentingan ekonomi umat Islam dan memastikan setiap pelaburan adalah tidak berasaskan spekulatif dan mengambil kira semua risiko yang terlibat.
Kini rakyat dan pekerja akan terdedah kepada kesan kemelesetan ekonomi. Beban hutang isi-rumah, kad-kredit dan pinjaman swasta, yang menyaksikan hutang tak-berbayar (NPL) akan terus meningkat. Permintaan dunia telah pun berkurangan dan menyebabkan ekspot kita jatuh. Hal ini jelas dengan pengurangan Indeks Pengeluaran Industri (IPI) sebanyak 15.8% pada hujung tahun lalu, hasil pengurangan permintaan khususnya di sektor pengeluaran/pembuatan dalam sektor elektrikal dan elektronik, semi konduktor, produk-produk kimia dan juga sektor komoditi.
Dengan permintaan yang menurun secara mendadak, pengilang tidak ada cara lain kecuali membuang pekerja bagi mengurangkan kos dan mengekalkan keuntungan serta mengelak kerugian besar. Pada hujung tahun 2009 ini, 200,000 pekerja dijangka dibuang dan menjadi penganggur. PAS kerap kali membangkitkan perkara ini supaya segera ditangani.
PAS suka mengingatkan semua pihak bahawa urus tadbir yang baik terhadap segala khazanah kekayaan dan sumber alam yang dianugerahkan di muka bumi ini adalah satu juzuk tuntutan amanah Allah SWT yang diletakkan ke atas manusia selaku khalifah Allah di atas muka bumi ini. Mentadbir kewangan dan menjadikan pengurusan ekonomi serta membangunkan harta atau �Hifzul Mal�, adalah termasuk dalam perkara-perkara penting, yang disebutkan sebagai lima keperluan hidup manusia atau 'ad-Dharuriyat al-Khamsah' yang mesti dipelihara dan dimajukan oleh sebuah kerajaan yang dibimbing dan ditadbir oleh syari�at Islam.
PAS menekankan kepentingan menentukan keutamaan (awlawiyat) dalam kerangka menentukan perbelanjaan, sama ada Perbelanjaan Mengurus dan Membangun serta persoalan sektor utama dan kritikal yang hendak dibangunkan. Acapkali negara diaibkan dengan ketidakcukupan pemakanan seperti beras, sementara negara kita ini dilimpahi dengan tanah pertanian. Tidak salah ingin menjadi negara industri maju, tetapi semua negara maju mempunyai �Kedaulatan dan Keselamatan Pemakan� seperti UK, Jepun, Amerika dan Eropah.
Songsang dan bersimpang siur pemikiran pemimpin negara dalam hal pacuan pembangunan negara, sehingga negara hilang daya saing dalam segala hal dan juga tidak punya daya tahan mendepani pelbagai krisis termasuk pemakanan. Laksana "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran".
PAS juga amat insaf dengan kepentingan asas moral dan nilai agama yang kukuh bagi memastikan kepimpinan politik negara selamat daripada bencana rasuah, penyalahgunaan kuasa serta tamak, rakus dan boros. PAS kembali mengingatkan dirinya bahawa penyelesaian masalah ekonomi manusia bermula dengan memperbetulkan akidah, fikrah dan akhlak, serta iltizam pemimpin kepada tuntutan amanah Allah SWT bagi mentadbir dan memakmurkan bumi dalam rangka tuntutan khilafah dan amanah.
PAS mahukan gagasan Sistem Liberal-Kapitalis lapuk yang telah memansuhkan emas sebagai sandaran utama mata wang ditinggalkan. PAS ingin mengesyorkan supaya pemimpin dunia kembali kepada Dinar Emas, bagi meletakkan struktur kewangan global berpaksikan emas dan perak untuk menangani ketidaktentuan nilai mata wang dan mengelakkan inflasi akibat perbuatan mencetak wang kertas.
PAS juga mahukan konsep Pertumbuhan Hijau terus diperkasakan. Falsafah Petumbuhan Hijau amat selari dan sejajar dengan tuntutan tasawwur Islam yang menekankan pembangunan dan pertumbuhan mestilah mengambil kira impak kemusnahan kepada alam sekitar dan sumber-sumber serta aset negara yang tidak mampu diganti. Hijau yang tidak membawa kemusnahan kepada kelangsungan kualiti hidup dan daya saing generasi mendatang, wajar ditekankan dalam paradigma pembangunan lestari. Itulah tasawwur pembangunan memakmurkan bumi yang dianjurkan Islam sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 61.
Maksudnya: "Dan kepada kaum Tsamud (Kami utus) saudara mereka Salleh. Salleh berkata: 'Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Dia telah menciptakan kamu daripada tanah dan menjadikan kamu pemakmurnya karena itu mohonlah keampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)." [11:61]
Di samping itu PAS menekankan bahawa pembangunan perlu seiring dengan semangat "perkongsian" yang sebenar di antara entiti-entiti bisnes dan perniagaan, atas dasar berkongsi dalam keuntungan dan juga kerugian - "musyarakah bil gharam wal ghanam". Penswastaan perkhidmatan dan keperluan asas seperti perkhidmatan air, elektrik, kesihatan dan pendidikan adalah amat tidak digalakkan kerana membebankan rakyat akhirnya.
Sementara Islam adalah mesra perniagaan, tetapi ia tidak mengorbankan kepentingan awam. Golongan berpendapatan rendah, fakir dan miskin, tambah-tambah lagi mesti dilindungi dengan pelbagai kaedah agihan kekayaan dalam pendekatan zakat dan sadaqah bagi membela kehidupan mereka. Di samping itu jaringan keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan bagi semua rakyat, agama, kaum dan budaya mestilah juga ditekankan dalam dasar kerajaan. Segala pendekatan positif mesti dilakukan di atas dasar dan prinsip keperluan dan kelayakan secara adil. Inilah prinsip keadilan Islam yang terus dijunjung tinggi oleh PAS dalam semua keadaan.
PEMERKASAAN ORGANISASI
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Hasrat untuk melihat PAS berkembang menjadi sebuah organisasi yang kuat tidak akan dapat dicapai tanpa mempunyai sistem pengurusan parti yang kukuh.
Sistem pejabat, pengurusan organisasi dan petugas parti mestilah senantiasa diberikan pelbagai ruang untuk berkembang dalam menghadapi cabaran yang semakin menekan di masa kini dan akan datang. Kursus-kursus peningkatan kemahiran untuk petugas ini perlulah dirancang untuk melahirkan petugas yang hebat dan mempunyai fikrah perjuangan Islam yang jelas.
Usaha untuk meningkatkan jumlah ahli haruslah dipertingkatkan. Selain dari itu, kualiti ahli sedia ada dan baru juga perlu dijaga supaya mereka akan tahan ujian dan menjadi individu yang menyumbang kepada penerusan perjuangan Islam ini.
Pada masa yang sama, kita menyedari bahawa PAS dianggotai oleh individu yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan, pekerjaan dan lain-lainnya. Sesetengahnya pula menerima didikan awal dari pelbagai organisasi dakwah, dan ada yang tidak mempunyai latar belakang tarbiah Islam langsung. Itulah hakikat kerencaman ahli dalam parti kita ini.
Walaupun PAS sungguh terbuka untuk menerima idea-idea baru, semua yang menjadi ahli PAS ini perlulah ditarbiah dengan kefahaman fiqh siyasi yang diperjuangkan oleh PAS, serta memahami budaya dan kaedah PAS. Institusi usrah dipelbagai peringkat pula perlulah diperkukuhkan, untuk melahirkan ahli yang faham serta istiqamah dengan perjuangan Islam yang kita bawa ini.
MASYARAKAT BUKAN ISLAM
Sepanjang tempoh puluhan tahun kewujudan PAS ini, kita telah berjaya untuk memecahkan tembok masyarakat bukan Islam yang dahulunya merasa janggal dengan PAS. Pertambahan undi yang diterima oleh PAS dalam beberapa pilihan raya pada masa kini juga menunjukkan sokongan yang semakin hari semakin bertambah.
Alhamdulillah, semuanya mampu kita capai dengan usaha yang bersungguh-sungguh yang telah dirintis oleh para pimpinan PAS yang terdahulu, dimulai dengan penubuhan Majlis Perundingan Cina (CCC) yang sama-sama kita ketahui itu sehinggalah kepada kewujudan Kelab Penyokong PAS pada masa sekarang.
Hasilnya PAS mampu untuk lebih memahami keperluan dan suasana yang dihadapi oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama yang wujud di Malaysia ini. Kita memahami keperluan beragama, politik, ekonomi dan pendidikan untuk masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini. Berasaskan kepada hakikat ini, kita juga telah menunjukkan sikap adil kepada mereka di negeri-negeri yang pernah diperintah oleh PAS di waktu lalu, dan pemerintahan bersama Pakatan Rakyat pada masa kini.
PAS amat menghargai sokongan ini. Oleh yang demikian, bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku dan tahap kefahaman ahli PAS yang semakin bertambah, dan sebagai satu proses memperkasakan Kelab Penyokong PAS, maka program orientasi khusus dan umum kepada ahli kelab mestilah dilaksanakan untuk memberi kefahaman yang jelas mengenai perjuangan PAS. Juga dicadangkan kepada penggubal undang-undang PAS, supaya kewujudan kelab ini diinstitusikan menerusi pindaan perlembagaan PAS yang bakal dilaksanakan untuk memasukkan peruntukan kewujudan kelab dan statusnya dalam organisasi parti, keahlian dan peranannya dalam PAS.
Sesungguhnya, ini adalah merupakan satu langkah bersejarah dalam parti kita sebagai paradigma baru PAS untuk memimpin masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Kita juga mengiktiraf ahli kelab untuk menjadi sayap kita yang melibatkan diri secara langsung dalam pilihan raya di bawah payung PAS.
Inilah kefahaman kita, berasaskan kepada politik Islam yang pernah memerintah berbagai-bagai bangsa dan agama dengan adil, dan dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan perintah Allah SWT yang bermaksud:
"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana Agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." [60:8]
Selain dari suasana politik baru yang ada pada waktu ini, PAS juga mestilah terus menerus berusaha untuk mencari kaedah-kaedah yang bersesuaian, agresif dan berstrategik untuk memenangi kelompok undi teras yang terdiri daripada pengundi luar bandar dan desa.
SABAH DAN SARAWAK
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Kita juga menyedari kepentingan negeri Sabah dan Sarawak dalam pembangunan negara Malaysia ini. Kita juga menyaksikan bahawa setelah puluhan tahun di bawah pemerintahan kerajaan BN, status ekonomi, pendidikan dan pembangunan di Sabah dan Sarawak ini tidak banyak berubah, malah ketinggalan dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Ketidakadilan dan kepincangan ini sering pula diluahkan oleh ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dalam setiap sesi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Walaupun begitu, suara-suara ini tenggelam dalam keangkuhan kerajaan pimpinan Umno dan BN.
Oleh yang demikian, PAS perlu mengambil langkah yang agresif dan tersusun, untuk terus melebarkan sayap ke Sabah dan Sarawak, setelah benihnya ditanam oleh generasi terdahulu yang telah dan sedang berada di sana. Kepimpinan PAS pula akan lebih kerap berkunjung ke sana untuk bertemu masyarakat pelbagai etnik dan seterusnya menjelaskan peranan PAS untuk membantu mereka.
Para pendokong PAS di sana juga perlulah memperkemaskan organisasi, dan seterusnya mempergiatkan langkah-langkah pengilmuan orang Islam yang berada di sana, menerusi majlis ilmu untuk memberi kefahaman serta tasawwur Islam yang sebenar kepada rakyat. PAS juga akan memperkenalkan Islam kepada penduduk peribumi sehingga mereka memahami dan menyokong perjuangan PAS.
PERANAN DEWAN-DEWAN
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
DEWAN ULAMA
Sebagaimana yang seringkali diperkatakan, bahawa kewujudan PAS adalah hasil dari silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal, tetapi teras kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air adalah hasil daripada persidangan para ulama pada 23 Ogos 1951 yang membentuk Persatuan Ulama Se-Malaya, dan akhirnya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951 dalam satu persidangan ulama Malaya di Bagan Tuan Kecil, Seberang Prai.
Kini kepentingan Dewan Ulama dapat dihayati sekiranya kita meneliti akan tugas-tugas am ahli jawatankuasa kerja Dewan Ulama dalam PAS, seperti yang dinukilkan dalam Perlembagaan PAS. Antaranya dalam Fasal 40 (6)(a) iaitu tugas untuk "menyatu tenaga dan pemikiran ulama Islam bagi memperkuat dan mempertingkatkan perjuangan Islam di negeri ini dan berusaha mengembang dan menyebarkan kefahaman dan kesedaran Islam ke segenap lapisan masyarakat menerusi gerakan dakwah dan penggembelingan tenaga ummah yang berterusan"; serta Fasal 40(6)(b) iaitu "menyusun, mengatur dan menjalankan kegiatan tarbiah dan pendidikan di kalangan ahli-ahli dan mengatur program-program latihan kepimpinan bagi membentuk petugas-petugas parti yang berilmu, bertakwa, berpengalaman dan memahami perkembangan semasa".
Kepentingan ini tidak memberi makna sekiranya kewujudan dan peranan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan PAS ini tidak diperkasakan. Oleh itu, sebagai benteng yang sangat penting dalam parti, Dewan Ulama perlulah terus menerus memberikan kefahaman kepada ahli PAS terhadap perjuangan Islam dengan memberi penekanan kepada pembinaan fikrah perjuangan yang jelas, merealisasikan konsep kepimpinan ulama, pemahaman kepada asas sebuah gerakan Islam menerusi konsep wala dan taat, istiqamah, wehdatul fikrah, dan sebagainya.
Program untuk menarik golongan ulamak muda yang akan mewarisi perjuangan juga perlulah diperhebatkan, kerana merekalah pelapis ulung yang akan meneruskan kelangsungan perjuangan Islam secara istiqamah.
Selain dari itu juga, penglibatan veteran PAS yang tidak lagi memegang jawatan dalam parti perlu dirangka dan diinstitusikan, supaya mereka yang mempunyai pengalaman yang banyak ini dapat terus-menerus menyumbang kepada perjuangan yang dibawa oleh PAS. Program seminar dan muqayyam khusus kepada mereka juga boleh dijalankan.
Penegasan bahawa PAS adalah sebuah organisasi Islam yang sempurna juga perlu senantiasa ditanamkan kepada ahli dipelbagai peringkat. Asas ini sebenarnya membawa kepada pemahaman, bahawa untuk menyumbang tenaga dan masa kepada perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS tidak semestinya seseorang itu perlu untuk menyandang jawatan politik � seperti menjadi Ahli Dewan Undangan atau seorang Ahli Parlimen, tetapi ahli-ahli dan pimpinan juga boleh menyumbang tenaga mereka dalam aspek dakwah, tarbiah dan amal serta khidmat kebajikan yang sangat luas dan amat penting kepada kelangsungan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.
Oleh itu, segala ruang mestilah terus diterokai dan diinstitusikan supaya ahli-ahli PAS dapat sama-sama memainkan peranan mereka.
DEWAN PEMUDA
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Marilah kita menyedari bahawa asas perjuangan yang diletakkan oleh generasi yang terdahulu memerlukan golongan �syabab� sebagai penerusnya. Sehubungan dengan itu, PAS ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dewan Pemuda PAS di semua peringkat kerana terus menarik sokongan pengundi muda kepada PAS termasuk dalam pilihan raya-pilihan raya kecil yang telah berlangsung. Golongan pengundi muda ini adalah sangat penting kepada perjuangan PAS, kerana merekalah generasi yang akan mendominasi geopolitik negara di masa yang akan datang.
Berteraskan fenomena inilah, maka Pemuda PAS perlu merangka pelan untuk mengekalkan sokongan orang-orang muda daripada pelbagai latar belakang, kaum, budaya, taraf pendidikan dengan program-program yang bersesuaian, termasuk �mengakhlakkan� aktiviti-aktiviti hiburan, sosial dan sukan yang selama ini dilihat di luar ruang lingkup aktiviti PAS. Usaha ini perlu bukan sekadar untuk tujuan politik, tetapi lebih utama untuk melaksanakan tugas 'penyelamat' bagi mengeluarkan mereka daripada keruntuhan akhlak serta hanyut dalam hiburan di luar batasan agama.
Dewan Pemuda perlu menggiatkan program tarbiyah kepada anak-anak muda untuk mencapai sekurang-kurangnya dua tujuan; pertamanya melahirkan generasi pemimpin yang akan meneruskan perjuangan yang panjang ini dan kedua; melahirkan penyokong dan penggerak yang menghayati perjuangan parti untuk menegakkan Islam.
Ini adalah kerana realiti sekarang menuntut pemimpin yang bukan sahaja mempunyai ilmu, berintegriti, bahkan berkemampuan untuk mentadbir negara dan berperanan di peringkat antarabangsa. Semoga Pusat Latihan Akademi Kepimpinan Pemuda yang baru dirasmikan di Kok Lanas pada bulan Februari lalu akan melonjakkan kegiatan-kegiatan tarbiah untuk melahirkan kepimpinan yang lebih baik bagi memimpin ummah.
Petugas daripada kalangan pemuda khususnya telah memberi sumbangan besar dalam pilihan raya dan kegiatan PAS termasuk menggerakkan massa dalam Himpunan Membantah PPSMI baru-baru ini. Unit Amal di bawah kelolaannya perlu meningkatkan lagi prestasi, sungguh pun telah banyak menerima pujian dan kepercayaan hasil dari tahap disiplin yang tinggi dan perkhidmatan yang diberikan.
Perkhidmatan kepada rakyat secara bermusim seperti menjelang hari perayaan dan tidak bermusim seperti bencana alam perlulah diteruskan dengan penuh iltizam tanpa batasan negeri, bangsa dan budaya. Pemuda juga perlu terus pro aktif dalam menghadapi isu-isu dalam negara dengan memimpin ummah di medan dan secara bijaksana berhadapan dengan entiti yang berkenaan.
Dalam konteks parti dan kerajaan serta percaturan politik yang serba mungkin dewasa ini, PAS terus menggalakkan Pemuda PAS memainkan peranan sebagai semak dan imbang agar landasan perjuangan PAS dan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat terus berjalan sebagaimana tuntutan Islam dan harapan rakyat.
DEWAN MUSLIMAT
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Golongan muslimat adalah sangat penting dalam perjuangan PAS. Mereka juga perlu memainkan peranan yang besar sesuai dengan posisi sebagai peneraju kepimpinan wanita Malaysia. Komposisi wanita yang melebihi 50 peratus dari penduduk Malaysia, memerlukan muslimat turut bersama di dalam masyarakat dalam usaha membina masyarakat yang bertamadun dengan pendekatan "Da�ie menuju mad�u".
Isu-isu wanita dan kewanitaan perlu menjadi agenda fokus dan ditangani oleh Dewan Muslimat menerusi penglibatan dan bersua muka dengan pihak-pihak berwajib.
Kepimpinan muslimat mesti menyemarakkan citarasa rakyat agar sokongan yang besar memihak kepada kita. Kehadiran muslimat di tengah masyarakat kota, pinggir bandar dan desa akan menjadi penyuntik dan pembakar semangat ke arah perubahan minda bahawa Islam mampu menerajui perubahan.
Penyatuan dan kemantapan jentera muslimat mesti diisi dengan sistem tarbiah yang tersusun dan berterusan. Tarbiah mestilah sentiasa diberi perhatian di semua peringkat kepimpinan bagi memantapkan jentera dan organisasi. Tarbiah mesti diperkasa agar mampu membentuk kepimpinan muslimat yang berilmu, bertaqwa dan jelas dengan fikrah amal jama�ie.
Penerapan elemen-elemen keilmuan, akhlak dan kemahiran dalam setiap program dan agenda perlu sentiasa ditekankan untuk melahirkan qiadah dan jundiah, serta 'amilin Muslimat yang sentiasa 'mesra amal dan jihad'.
Muslimat juga mesti memainkan peranan mendekati generasi muda dengan membina jambatan-jambatan persahabatan, melalui acara-acara kebersamaan dengan mereka. Persepsi awal dan memahami jiwa segar mereka harus digunakan untuk membantu menyemarakkan lagi sokongan dalam kalangan generasi muda.
Pendekatan pengisisan berbentuk ilmiah dan hiburan tidak boleh dikesampingkan dari naluri generasi muda. Kecenderungan sesetengah generasi muda kepada program-program yang berbentuk hiburan harus terarah dan dipimpin. Hiburan yang mendidik dan membina kekentalan jiwa taat kepada Allah SWT harus dipupuk.
Dengan ini ianya diharap mampu menghasilkan generasi yang faham dan memihak kepada Islam dan menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.
Muslimat harus menjadi ikon kebanggaan masyarakat dengan menjalin hubungan dengan kelompok yang kurang bernasib baik dan kurang kemampuan. Muslimat mesti meletakkan diri sebagai pelaksana perkhidmatan dalam hal kebajikan. Ianya termasuklah menjalankan program-program kemasyarakatan yang berbentuk memberi khidmat kaunseling, khidmat kesihatan, klinik guaman dan sebagainya.
Program-program khidmat kebajikan tidak seharusnya dijadikan program tempelan, tetapi hendaklah ia menjadi kerja asas yang dilaksanakan di setiap masa.
Mewujudkan pasukan-pasukan sukarelawan yang bertugas di satu-satu lokasi yang dikenal-pasti untuk dicurahkan khidmat-bakti pada setiap hujung minggu adalah satu permulaan yang baik. Bahkan muslimat mesti mewujudkan tenaga yang perlu turun ke akar umbi untuk memastikan wanita-wanita mendapat maklumat yang penuh dan jelas tentang Islam dan dasar-dasar parti. Kerja-kerja ini memerlukan kerjasama semua pihak di dalam parti dan kesefahaman semua pihak agar �yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing�.
Akhir sekali, gabungan tenaga saf kepimpinan muslimat yang bijak dan berpegang kepada wehdatul fikr dan wehdatul amal, beserta ahli dan penyokong yang setia di bawah manhaj yang tersusun kukuh akan menghasilkan natijah yang diharapkan. Pemimpin dan ahli yang iltizam dengan PAS dan istiqamah dalam amal islami dan amal jamai�ie, akan melahirkan 'amilin yang dinantikan serta mampu memenuhi pelaksanaan Islam Memimpin Perubahan.
PERSADA ANTARABANGSA
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Dunia pada hari ini dibayangi pelbagai krisis politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kesemuanya lahir daripada kelemahan dasar dan konsep yang terpesong daripada petunjuk Allah yang bernama Islam, akhirnya manusia yang menjadi mangsanya, termasuklah dalam hubungan antarabangsa. Secara tabiinya, peperangan dan krisis di kalangan bangsa dan negara mustahil dihapuskan, selagi ada golongan yang melampaui batas kemanusiaan dan bertindak zalim. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Telah zahir keburukan di darat dan laut hasil kerja tangan-tangan manusia sendiri, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, agar mereka kembali kepada (petunjuk Allah)." [30:41]
Pada ketika ini juga umat Islam sedang memasuki alaf baru dengan penuh ujian dan cabaran. Kedudukan umat Islam terus dihimpit dengan pelbagai tekanan dan ujian yang sangat mencabar. Di mata dunia antarabangsa, maruah serta nyawa umat Islam bagaikan tiada apa-apa harga dan nilai. Lihat sahajalah apa yang terus berlaku di Palestin, Afghanistan, Chechnya, Iraq dan terkini di Pakistan, seolah-olah harga nyawa umat Islam lebih murah dari haiwan yang hina.
PAS amat tersentuh dengan peristiwa yang berlaku di bumi Gaza. Serangan serta pencerobohan tentera Zionis ke atas bumi suci ini, khususnya Masjid Aqsa, terakhir ialah berlaku di Gaza dengan menggunakan segala kelengkapan kereta kebal, helikopter Apache buatan Amerika serta penggunaan bom fosforus telah mencabul segala batasan undang-undang antarabangsa, melanggar hak asasi kemanusiaan serta merupakan satu jenayah perang yang besar.
Hasilnya adalah bantahan secara terbuka di hadapan masyarakat antarabangsa, namun pihak kuasa besar memejamkan mata dan memekakkan telinga. Mereka mengenepikan dasar dan konsep kemanusiaan sejagat dengan terus memberi perlindungan kepada negara haram itu melakukan apa sahaja. Selain dari itu, ada di kalangan negara kuasa besar ini yang menjadi pembekal senjata dan teknologi moden tanpa sekatan. Mereka juga tanpa segan silu bersikap �double standard� dengan mengharamkan rakyat Palestin memiliki senjata dan negara jiran pula dipaksa menjaga keselamatan Zionis Israel yang ganas itu.
Apa yang lebih memalukan kita adalah perilaku sebahagian besar dari pemimpin dunia Islam yang masih dikongkong dengan tekanan hegemoni Zionis di negara umat Islam sendiri. Hasilnya, pimpinan negara umat Islam sendiri yang menambah kesengsaraan umat Islam yang berada di medan ganas ciptaan Zionis ini. Keadaan ini semakin menekan dengan tindakan badan-badan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU), dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang kesemuanya membisu seribu bahasa, dan tidak malu menggunakan kuasa veto untuk melindungi jenayah perang yang dilakukan oleh tentera Zionis ini.
Islam mengharamkan penganutnya tunduk kepada tindakan yang tidak bermaruah ini. Sehubungan dengan itu, kita mengalu-ngalukan tindakan protes yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Turki Rejab Tayyeb Erdogan di Persidangan Davos dan Presiden Iran Mahmood Ahmadinejad di Geneva. Kita juga amat mengharapkan adanya sikap susulan daripada negara umat Islam sendiri yang sepatutnya merasa malu dengan contoh yang ditunjukkan oleh negara-negara kecil di Amerika Latin yang menunjukkan simpati kepada rakyat Palestin.
Lebih angkuh lagi sehingga kini mereka terus mengepung bumi yang mengandungi penduduk berjumlah 1.5 juta orang itu tanpa sebarang perikemanusiaan.
Mereka bertindak memutuskan bekalan letrik dan air serta menyekat sebarang bentuk bantuan makanan dan perubatan daripada sampai kepada penduduk yang tidak berdosa. Rakyat Palestin menjadi mangsa sejak setengah abad, tanah air dirompak, dihalau daripada rumah, diroboh pula tempat kediaman, dimusnahkan kebun dan tempat yang menjadi sumber kehidupan dan dibunuh tanpa batas. Di atas tanah rampasan ini pula dibina tempat kediaman pendatang Yahudi, di mana rakyat Palestin pula dipaksa terus menjadi pelarian.
Semua kekejaman ini berlaku kerana masyarakat antarabangsa mengizinkan penubuhan negara Zionis Yahudi bernama Israel, dengan alasan sejarah yang bohong dan lapuk. Penubuhan negara haram ini dengan dokongan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikuasai oleh Negara-negara Kuasa Besar Dunia yang menjadi anggota tetap berkuasa veto. Negara haram ini seolah-olah mendapat lesen memiliki senjata yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa dan boleh melakukan jenayah dengan hak kekebalan tanpa hukuman.
PAS bersama rakan dalam Pakatan Rakyat telah berjaya mendesak sidang khas Parlimen bagi membela Palestin ketika berlakunya kekejaman di Gaza, seterusnya mendapat keputusan sebulat suara tanpa mengira agama dan fahaman politik, supaya Zionis Israel diheret ke mahkamah antarabangsa kerana kesalahan jenayah kemanusiaan ini. PAS juga telah berjaya memungut sumbangan orang ramai bagi membantu rakyat Palestin dan menyerahnya secara langsung kepada mangsa kezaliman Israel itu.
Sekali lagi saya ingin merakamkan sokongan padu PAS terhadap intifadhah yang diterajui oleh Harakah Muqawwamah (Hamas) di bumi suci Palestin. PAS mengutuk sikap 'double standard' kuasa barat yang mempertahankan segala tindakan zalim dan dan tidak bertamadun ini kononnya atas dasar 'memerangi keganasan'. Bagi PAS, isu bumi Palestin serta pembebasan Masjid Al-Aqsa kekal menjadi agenda terpenting di peringkat antarabangsa.
RANTAU ASEAN
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
PAS juga amat prihatin terhadap nasib umat Islam di rantau ini iaitu di Selatan Filipina dan Selatan Thai. Umat Islam di kedua-dua wilayah yang bergolak ini terus dibebani dengan konflik yang tidak nampak jalan penyelesaiannya.
Pertumpahan darah serta kekejaman terus dibiarkan oleh masyarakat dunia, semata-mata kerana kononnya yang menjadi mangsa itu terdiri daripada kumpulan �militan� ataupun 'pengganas Islam' yang mesti dihapuskan.
Di Selatan Thai, pertumpahan darah masih berterusan sehingga kini. Begitu juga di Selatan Filipina, hampir 500,000 nyawa telah terkorban secara kejam serta menjadi mangsa pelarian. Namun dunia antarabangsa terus berdiam diri kerana mangsa di bunuh dan dihalau di atas nama memerangi 'pengganas Islam'.
PAS ingin membuat seruan terbuka kepada kedua-dua negara jiran kita agar konflik ini dihentikan segera. Tiada penyelesaian kecuali kembali ke meja rundingan dan mencari jalan damai. Keegoan untuk tidak sanggup duduk berunding tidak akan mendatangkan apa-apa faedah, bahkan akan terus menerus merumitkan keadaan.
Saya ingin menegaskan bahawa PAS sentiasa bersedia untuk menjadi �jambatan� bagi mencari jalan penyelesaian kepada konflik yang tidak berkesudahan ini seperti mana sumbangan dan penglibatan PAS dalam membantu menyelesaikan konflik antara Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dengan pemerintah Indonesia.
PAS juga amat prihatin dengan perubahan pucuk pimpinan di Amerika Syarikat. Pemilihan Presiden Obama pula diharapkan akan membuka �lampu hijau� ke arah hak-hak �kebebasan bersuara� dan �pendemokrasian� di dunia Islam.
Namun saya ingin menegaskan agar kepimpinan Obama harus menerima hakikat bahawa mereka mesti mengikis segala sifat prejudis dan chauvanis, serta memandang remeh terhadap Islam serta penganutnya. Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam di serata dunia sedia �berdialog� dan 'bertukar-tukar fikiran' dengan mana-mana pihak termasuk penggubal polisi Rumah Putih di Washington.
Sebagai permulaan, Washington mesti melihat gerakan serta pertubuhan Islam sebagai sebahagian dari unsur-unsur positif dan pengukuhan ke arah pendemokrasian di negara-negara Islam seluruhnya.
KESIMPULAN
Sebagai intipati tindakan bagi para pendokong dan pimpinan PAS, maka izinkan untuk saya simpulkannya dan membuat seruan seperti berikut:
i) Saya menyeru kepada semua peringkat ahli parti untuk memperkukuhkan ukhuwwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jamaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar-umbi supaya benar-benar menjadi seperti yang dituntut Allah SWT dalam Surah As-Sofff ayat 4, terutamanya Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan-dewan, Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri, Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan. Arahan ini juga termasuk memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS sehingga kebersamaan mereka dalam perjuangan PAS dapat terus diperkasakan.
ii) Marilah kita mengurus kemenangan dan kelemahan kita dengan Islam, supaya Islam yang kita perjuangkan itu mampu dilihat sebagai pemandu dalam segala bentuk amalan kita. Kita ingin memimpin perubahan dalam negara kita dengan Islam. Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh.
iii) Marilah kita melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah, dengan kita sedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema Islam Memimpin Perubahan.
iv) Marilah kita terus menerus memperkasakan parti dan mempersiapkan kepimpinan PAS, bagi menangani cabaran persaingan yang semakin sengit dari segi tuntutan intelektual dan mendepani permasalahan negara dalam konteks global. Para pimpinan ulama PAS juga perlu berani berijtihad bagi menangani polemik-polemik baru dalam urusan perundangan dan kancah politik yang serba mencabar ini.
v) Marilah kita menampilkan satu imej dan citra PAS sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang dengan menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat 'Usuliy' dari segi prinsip-prinsip perjuangan, 'Mu�asirah' dari segi kepimpinan dan organisasi-jentera, 'Istiqbaliy' dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan.
vi) Marilah kita mengeratkan persefahaman dan keserasian setiakawan dan kelancaran bekerja di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat, sehingga benar-benar dapat menyerlahkan kredibiliti dan perpaduan Pakatan Rakyat khususnya di semua negeri-negeri yang kita tadbir bagi bersiap sedia untuk menempah kejayaan yang lebih besar dalam PRU ke-13.
PENUTUP
Akhirnya, dikesempatan ini bagi pihak Muktamar, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Selangor, Panitia Induk Muktamar, Badan Perhubungan PAS Selangor dan semua petugas yang terlibat, serta semua pihak yang menjayakan Muktamar ke-55 ini.
Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Marilah kita menghayati akan firman Allah SWT yang bermaksud:
"Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik." [24:55] - tajdid.
more
-
Perasmian Muktamar PAS Ke 55; PAS Terus Menjadi Tumpuan
http://buletinonline.net/
SHAH ALAM – PAS terus mencuri tumpuan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa yang membuat liputan dengan kehadiran 350 orang petugas media yang hadir membuat liputan Muktamar PAS Kali Ke 55 berlangsung disini semalam.
Tidak ada satu pun media dalam Negara, samada media arus perdana mahu pun media alternatif atau media baru, yang tidak menyiarkan laporan muktamar tersebut.
Ia bertepatan dengan kata pengkaji selidik PAS, Dr Dzulkefly Ahmad dalam sejarah 58 tahun jatuh-bangun perjuangan politiknya, sudah tiba waktunya untuk PAS mengambil alih kedudukan UMNO sebagi parti politik pilihan nombor satu Negara.
Suka atau tidak, Utusan Malaysia, walaupun cuba memusingkan terbalikkan isu kerajaan perpaduan, turut memberikan liputan luas muktamar PAS, melebihi laporan lawatan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak ke China.
Dengan menyiarkan laporan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Pengerusi GMP Hassan Ahmad yang dinobatkan sebagai ‘pejuang bahasa’ dalam Muktamar PAS membuktikan akhbar media arus perdana yang dianggap menjadi ‘seteru paling kuat’ PAS itu, tidak mampu lagi mengenepikan PAS sebagai sebuah parti politik berwibawa.(Gambar - sebahagian dari 350 orang petugas media membuat liputan Muktamar PAS Kali Ke 55)
Berita Harian menyiarkan laporan yang ditulis Bernama secara penuh tawaran PAS untuk memimpin Negara, kepada rakyat Malaysia, selepas Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.
Akhbar bagi ‘orang berniaga’ The Edge memberikan liputan yang lebih istimewa turut menyiarkan audio lagu rasmi PAS dan sedutan ucapan Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Had Awang, dalam versi internetnya.
Kehadiran semua wakil-wakil komponen Pakatan Rakyat terus memperkukuhkan Tema Ucapan Dasar Presiden PAS, ‘Islam Memimpin Perubahan’.
Manakala kehadiran ramai wakil-wakil kedutaan asing memberikan pengiktirafan kepada pelan bertindak PAS mengambil alih pemerintahan negara bersama Pakatan Rakyat apabila tiba masanya kelak.
Pelancaran E-Harakah, Kompleks PAS di Putrajaya dan pengendalian Muktamar PAS Kali Ke 55 dengan kemudahan dan peralatan berteknologi terkini di sebut oleh beberapa media, PAS mengalami transisi dari sebuah ‘Parti Islam yang dianggap keras’ kepada sebuah parti masa depan yang mengotakan janjinya dengan tindakan
(Gambar kiri - Khalil anak Presiden PAS yang mewakili PAS Marang, turut 'khusyuk' mengikuti ucapan Dasar Presiden)
Dalam percakapan dikalangan wartawan yang membuat liputan, ramai yang kagum dengan 'kesederhanaan PAS' yang memberi kemudahan dari segi persiapan tempat bersidang, kemudahan, makan dan minum yang disediakan bertentangan dengan Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan di Pusat dagangan Dunia Putra.
Mereka memberikan peringatan, ksederhanaan dan mudah mesra PAS (PAS Simplicity) adalah merupakan sebahagian kekuatan PAS yang dapat menarik ramai penyokong dari kalangan bukan Islam.
"Muktamar ini akan menjadi kayu ukur samda PAS akan terus menjadi tumpuan dan mendapat sokongan dari mereka (bukan Islam) untuk tindakan politik PAS akan datang",kata mereka.
more
-
Bumbung Kompleks Sukan Gong Badak Runtuh
Mungkin ‘Impian Menjadi Realiti’ kepada Ahmad, kerana bukan beliau yang membina stadium itu, tetapi Idris!
KUALA TERENGGANU - Seluruh Negara di kejutkan dengan tragedi Stadium Sultan Zainal Abidin yang runtuh, walaupun baru berusia 367 hari setelah dirasmikan pada 11 Mei, 2008.
Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, telah bergegas ke lokasi stadium yang terletak dalam kawasan Kompleks Sukan Gong Badak, sebuah kompleks yang penuh kontroversi sejak pembinaannya dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada era bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pada 1995.
Shaziman berkata tragedi bumbung stadium runtuh itu memalukan Negara walaupun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Katanya ia menjejaskan imej negara kerana runtuhan itu membabitkan stadium baru yang belum sampai setahun digunakan.
"Walaupun daripada segi membaikpulihnya ditanggung oleh kontraktor dengan memasang bumbung baru, ia memberi gambaran yang tidak baik kepada negara, seolah-olah kontraktor kita tidak berkemampuan untuk melakukan kerja (membina) bangunan sedemikian rupa," katanya selepas meninjau stadium itu bersama Menteri Besar Datuk Ahmad Said.
Zaman Pemerintahan PAS
Pada zaman kerajaan PAS memerintah Terengganu pada 1999 hingga 2004, pembinaan projek stadium telah dengan kos asal RM200 juta itu ditangguhkan.
Bekas Exco kanan kerajaan Terengganu, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong berkata projek tersebut bukan ditolak tetapi tidak diteruskan kerana ia adalah projek yang besar belanjanya dan tidak memberi manfaat kepada rakyat, pada ketika itu.
“Masa kita ambil alih kerajaan pada tahun 1999, kita tangguhkan pembinaan stadium kerana belanjanya besar,
“kita juga mendapati (pada masa itu) tanah tapak pembinaan tersebut tidak sesuai kerana apabila kerja-kerja menanam cerucuk dilakukan, tidak jumpa tanah yang keras,
“pasal apa kita nak buat,”katanya ketika dihubungi Buletinonline semalam.
Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali turut menyokong kenyataan Dato’ Wan Abdul Mutalib.
Beliau yang juga bekas Exco Infrastruktur dan Kemudahan Asas Negeri berkata kerajaan Barisan Alternatif Terengganu pimpinan PAS telah menangguhkan pembinaan stadium dan kompleks sukan Gong Badak kerana ia tidak menjadi keutamaan kerajaan negeri.
“Dulu projek tersebut sudah ada, tapi kita tangguhkan kerana belanjanya besar dan tidak menjadi keutamaan kerajaan negeri,”katanya.
Namun penangguhan projek mega tersebut telah di jadikan propaganda oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh.
Ia menjadi salah satu daripada ‘wirid’ kempen Idris semasa pilihanraya umum ke 11 tahun 2004 dan propaganda tersebut berterusan apabila beliau merampas kerajaan Terengganu daripada PAS.
Roslan Abdul Rahman dalam tulisannya yang bertajuk ‘Bukan Omong Kosong’ menyatakan;
“Lapangan Terbang Baru, Stadium Baru! Lebuh Raya Pantai Timur...ia bukan omong-omong kosong bagi menyedapkan kata-kata IMPIAN MENJADI REALITI seperti dakwaan sesetengah pihak.
“Sebenarnya apa yang diucapkan oleh pimpinan Kerajaan Negeri adalah benar dan tiada ada yang tidak benar melainkan benar belaka.
“Lihat gambar bukti tentang bagaimana pembinaan lebuh raya kini sedang rancak dijalankan, begitu juga pembinaan atau pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Stadium/Kompleks Sukan di Gong Badak.
“Tahniah Kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri Haji Idris Jusoh yang sentiasa mendapat kepujian YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.” tulisnya dalam Laman Web UMNO Terengganu pada 13 September, 2006.
Pembinaan Stadium Utama yang kemudiannya di namakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin telah dimulakan pada 27 Mac, 2005.
Ia mengambil tempoh setahun untuk mengagih-agihkan projek tersebut kerana kegiatan lobi melobi yang berlaku diantara ‘kontraktor kroni’ setelah Idris merampas kerajaan Terengganu.
Masing-masing menuntut ‘faraid’ projek-projek yang dijanjikan oleh Idris sekiranya PAS berjaya di’nyah’kan dari Wisma Darul Iman.
Semua projek-projek yang ditangguhkan pelaksanaannya oleh kerajaan Pusat apabila PAS menang, di’struktur’ semula, digelar oleh Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said sebagai projek-projek ‘contractor driven’.
Projek-projek tersebut termasuklah pembinaan stadium bukan dicadangkan oleh kerajaan negeri tetapi ‘melayang’ dari kerajaan Pusat dengan diongkosi oleh wang royalti Petroleum.
Akhirnya projek stadium terpaksa dianugerahkan kepada tiga pihak; Emarcon, Bina Struktur dan Genggam Mercu yang terpaksa berkongsi bagi memuaskan hati semua pihak.
Perbelanjaan pembinaan stadium tersebut yang dibenarkan kerajaan adalah RM 500 juta. (syiling)
Manakala projek kembarnya ‘stadium tertutup’ diserahkan kepada bekas Bendahari UMNO Terengganu Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) yang benilai RM 115 juta.
Semasa Era Ahmad Said.
Beberapa hari selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal Dato’ Ahmad Said mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar menggantikan Idris pada 30 Mac, 2008, beliau telah membuat kenyataan yang mengejutkan.
Ahmad yang dilantik dengan penuh kotroversi berkata, beliau akan mengkaji perlaksanaan projek-projek mega yang dimulakan pada zaman Idris.
Projek yang dimaksudkan oleh Ahmad Said termasuklah pembinaan Kompleks Sukan Gong Badak yang termasuk pembinaan stadium utama.
Namun Ahmad terpaksa menelan ‘air liurnya’ sendiri apabila tidak ada pilihan, terpaksa meneruskan projek-projek yang telah diprogramkan oleh Idris.
Idris yang tidak pernah termimpi diturunkan ‘takhta’ sebagai Menteri Besar telah menyiapkan pelbagai pelan, bukan untuk rakyat, tetapi demi mengejar wawasan dan janjinya ‘Impian Menjadi Realiti’.
Impian Idris adalah untuk melihat kompleks sukan Gong Badak disiapkan dengan segera kerana beliau telah membuat komitmen membawa Sukan Malaysia (SUKMA) ke negeri Terengganu pada tahun 2008.
"Kompleks Sukan kita akan siap dan dapat digunakan pada awal tahun 2008. kemudahan-kemudahan ini dijangka siap sepenuhnya untuk SUKMA 2008. Saya percaya kegiatan dan tahap pencapaian sukan kita akan meningkat berikutan siapnya Kompleks Sukan yang indah dan hebat ini. "kata Idris ketika membentang Bajet 2008 sekitar November 2007.
Anak didik Idris, Dato’ Din Adam, yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu menjadi pelaksana impian Idris membawa SUKMA ke Terengganu.
Din Adam, diakhir hayatnya sebagai Exco turut menjadi pengejar impian Idris dan menyatakan keyakinan, kontraktor ‘kroni’ yang terbabit menyiapkan kompleks sukan akan menyiapkan pembinaan menjelaang SUKMA.
“Kontraktor terbabit sudah menambah tenaga pekerja dan bekerja 24 jam untuk memastikan projek ini siap dalam tempoh masa ditetapkan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pengundian Sukan Berpasukan Sukma di sebuah di Kuala Terengganu, pada bulan Februari, 2008.
Namun, ketidaktentuan semasa peralihan kuasa antara Ahmad dan Idris telah menyebabkan pembinaan kompleks sukan Gong Badak terlambat.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob mengakui pembinaan Kompleks Sukan Negeri mengalami kelewatan ketika melawat prasaran sukan itu pada 12 April, 2008.
Disebalik pengakuan itu, Ismail berkata kelewatan menyiapkan projek kompleks sukan yang akan menempatkan Stadium Utama dan Stadium Tertutup tidak akan menjejaskan persiapan SUKMA yang akan berlangsung 29 Mei hingga 9 Jun 2008.
Sedang, tarikh siap kerja pembinaan stadium utama yang dimulakan pada 27 Mac, 2005 sudah pun berakhir pada 27 September, 2007.
Dan wang berjumlah RM300 juta daripada syiling RM500 juta sudah pun dibayar kepada kontraktor berkenaan.
Penangguhan projek terus diberi sehingga 30 April, 2008, oleh kerana kontraktor adalah dikalangan ‘anak beranak UMNO’.
Hari SUKMA – Impian Menjadi Realiti
Ahmad Said tersenyum lebar apabila Tuanku Sultan merasmikan stadium pada 10 Mei, 2008, walaupun beliau cukup tahu, ia adalah binaan yang separuh siap.
Paparan televisyen dan media arus perdana tidak langsung memfokuskan kamera masing-masing kepada seribu satu masalah yang ada dalam ‘batang tubuh’ Stadium Sultan Mizan.
Ketiadaan lampu limpah (spotlight) diatasi dengan memanggil ‘Event Management’ dari Kuala Lumpur, membawa apa sahaj peralatan, asalkan ‘ongkosnya’ beres.
Simpang siur wayar bekalan elektrik dari punca luar dibawa oleh ‘treler’ penjana kuasa elektrik yang di datangkan khas oleh Tenaga Nasional Berhad kerana mungkin stadium belum mempunyai bekalan elektrik yang cukup.
Atau mungkin pendawaian yang masih belum selesai, justeru bekalan elektrik kepada bahagian-bahagian tertentu dihadkan.
Terdapat beberapa bilik kompatmen di bahagian belakang stadium yang telus pandang ke lelangit konkrit, yang masih belum dikemaskan dengan syiling.
Air meleleh, mengalir ikut anak-anak tangga, tak tahu datangnya dari mana dan tandas stadium yang pelik, kerana hanya ada satu lubang pintu masuk untuk lelaki dan perempuan berkongsi bersama.
Yang paling membimbangkan, jelas kelihatan retak pada struktur utama paling tinggi, yang menyambungkan konkrit dengan besi tiang bumbung stadium.
Tetapi semua itu tidak ada masalah, semuanya akan dibaiki menjelang perasmian SUKMA, kira-kira 20 hari lagi, pada 31 Mac, 2008.
Semua mata bertumpu kepada Diva tanahair, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang dipancari lampu sorot, bergedik-gedik atas pentas utama.
Buruh-buruh Indonesia, Bangla serta Pakistan mencuri-curi keseronokan, turut hadir dalam majlis perasmian Stadium yang tecanggih di pantai Timur itu.
Hilang segala masalah pembinaan stadium yang tergesa-gesa dan seribu masalah kerja yang akan timbul keesokkan harinya apabila dentuman kuat meriam memancarkan selerakan ‘bunga api’ di ruang udara!
Ahmad Said tersenyum lebar dan ketawa, apabila dirinya merealisasikan ‘impian’ Idris untuk mengiringi Tuanku Sultan berangkat ke pentas Diraja, merasmikan Stadium yang memahat sejarah itu.
Upacara perasmian dan perjalanan SUKMA juga tidak kurang hebatnya.
Walaupun atlet dan pekerja Indonesia berjalan seiringan diatas trek olahraga, namun atlet Terengganu menempa kejayaan dan pekerja Indonesia berjaya membaiki kerosakkan sini dan sana.
Stadium Sultan Mizan mengukir sejarah peribadi kepada Ahmad Said sehingga mengalirkan air mata kerana terlalu gembira.
Terengganu ditabalkan sebagai juara baru SUKMA sekaligus menjadi ‘Kuasa Baru’ sukan tanahair.
Tidak ada sesiapa yang menyangka sebelas bulan kemudian bumbung stadium akan runtuh !
Dan ketika Ahmad Said membuat tinjauan, melihat keseluruhan bumbung stadium yang runtuh semalam, Ahmad Said masih tersenyum dan ketawa….he..he…
Mungkin ‘Impian Menjadi Realiti’ kepada Ahmad, kerana bukan beliau yang membina stadium itu, tetapi Idris!Bersiaplah BN Terengganu menyaksikan kejatuhan Kerajaan nya di Terengganu setelah runtuhnya Stadium Gong Badak ini.
- http://muslimeen-united.blogspot.com/
more
Dari Siapa Kepada Siapa?
Kredit juga kepada mana-mana penulis artikel dan bloggers yang saya telah saya postkan tulisan mereka di sini. Terima Kasih.
Link Pilihan
-
Garis panduan isu kerjasama perlu -Pemuda - Hazayani Zakaria KUALA LUMPUR, 7 Nov: Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa kepimpinan parti meletakkan garis panduan yang jelas berhubung isu tahaluf dengan par...1 hour ago
-
-
Seminar Kukuhkan PAS & PR, 5 Resolusi Dicapai. - *KUALA LUMPUR, 7 Nov:* Selepas seminar berakhir, PAS yakin parti itu akan semakin kuat dan bertekad akan lebih proaktif dalam memperkukuhkan parti dan jug...3 hours ago
-
Kecewa dengan gelagat penyokong sendiri - Bomba terpaksa mengawal keadaan akibat kekecohan yang ditimbulkan oleh penyokong-penyokong pasukan Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 malam...4 hours ago
-
Ulasan Seminar Pas - *Pintu Masalah Pas Telah Ditutup Kemas* KELENDAR 2009 akan ditutup kira-kira 40 hari sahaja lagi. Dengan tertutupnya kelendar ini maka terbungkuslah segala...5 hours ago
-
Tuntut Bonus dituduh tidak bermoral ? - Oleh : MN Bashah Kenyataan balas najib terhadap tuntutan bonus tahunan oleh CUEPACS dianggap melampau oleh rakyat Malaysia. Tindakan Kongres Kesatuan Pekerj...5 hours ago
-
Seminar politik PAS: Pintu UG dikunci ketat - [image: http://www.buletinonline.net/images/stories/berita13/sidangmediaseminar.jpg]“…PAS wajar segera menegaskan kepada semua peringkat, kepada ahli-ahl...7 hours ago
-
Era Najib Altantuya : Katak Ada Dalam PAS. - Seminar Memperkasakan PAS pada hari semalam mendedahkan banyak perkara. Positif dan negatif. Seminar yang telah menggantikan Muktamar Khas yang dicadangkan...7 hours ago
-
Hua Zhou Ge Ji : Memotong Bubur Beku dan Sayur Jeruk untuk Makan Sehari - Fan Zhongyan ialah ahli politik dan sasterawan yang tersohor di China pada zaman Dinasti Song Utara. Beliau bukan sahaja membuat jasa yang besar dalam bid...7 hours ago
-
Jika Benar Kajian Dr Abu Hasan... - Berdasarkan kajian terkini oleh Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, 633 orang muda berusia antara 21 dan 30 tahun hilang kepercayaan terhadap Abdul Hadi...7 hours ago
-
Hoi Hishamudin Rais...buatlah filem ini...! - *Kisah isteri* PMNajib bercuti atas kapal mewah milik kerabat diRaja Saudi semasa bercuti kat Perancis kemudian berjumpa satu kotak milik tuanpunya kapal ...1 day ago
-
JAIS, jangan berfikir sempit: Dr Asri - Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mengkritik lagi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan menasihatkannya agar tidak berfikiran sempit berhubung isu t...1 day ago
-
Muhyiddin dakwa PAS cuba jadikan Umno ‘kambing hitam’ - *GENTING HIGHLANDS:* Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas PAS kerana cuba menjadikan Umno dan idea Kerajaan Perpaduan sebagai ‘kambing hitam’ dalam konflik da...1 week ago
-
ADUN Bukit Payong Ketua Pemuda PAS Terengganu baru - Selepas pemilihan seramai 13 orang AJK DPP Terengganu yang baru, maka AJK yang terpilih bermesyuarat untuk memilih AJK tertinggi ialah Ketua Pemuda : YB U...6 months ago
Dedikasi Dan Penghargaan
Blog ini disusunatur dan dikemaskini oleh URD - Ustaz Rosli Dhoby - isma daud.










