Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Thursday, October 18, 2012

AMANAH ITU KETAATAN KEPADA ALLAH SWT

KULIAH SUBUH;
Oleh Ustaz MOHD ISA BIN MAT DAUD


Firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Maksudnya:
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab ( amanah ) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan”.
( Surah Al-Ahzaab; Ayat 72)

Tuan-tuan sekalian;

Saya memetik di dalam tafsir Ibnu Kathir; Al-‘Ufi berkata bahawa Ibnu Abbas meriwayatkan dengan katanya: Amanah itu ialah ketaatan. Dan Ali bin Abi Talhah pula berkata bahawa Ibnu Abbas berkata: “ Amanah itu ialah Kefarduan atau Kewajipan’’ Sesiapa yang melaksanakannya akan memperolehi (Al-Fadhl) yakni kemuliaan , (As-Thawaab) yakni ganjaran pahala dan (Al-Jannah) yakni Syurga dan sesiapa yang ingkar derhaka akan beroleh seksa ( I’qaab) dan di masukkan ke dalam neraka (An-Nar).

Apabila Allah SWT mencipta segala maklukNya lalu menghimpunkan mereka lantas membentangkan amanah ini kepada mereka; kesemuanya enggan menerima amanah tersebut sehinggalah Allah SWT memanggil Nabi Adam lalu Allah bertanya kepada Adam. “Sanggupkah kamu menerima amanah daripadaku iaitu apabila kamu berbuat baik aku ampunkan kamu dan jika engkau berbuat kejahatan aku jatuhkan siksaan ke atas kamu“. Lalu Adam menerimanya.

Berkata langit “Aku enggan menerimanya kerana aku dan penghuniku tidak berhajat kepada dosa dan pahala dan tidak pula menerima kefarduan. Sedangkan kami dijadikan dalam keadaan tunduk kepadaMu sepenuhnya” Begitulah juga jawapan yang diberikan oleh bumi, bukit-bukau dan juga gunung ganang.

Tuan-tuan yang dirahmati Allah SWT;

Jelas di sini keistimewaan manusia dan jin yang dianugerahkan kepada mereka dengan akal fikiran menyebabkan mereka diistimewakan ke atas makhluk lain. Orang yang hebat pasti tanggungjawab ke atasnya pun hebat bersesuaian dengan kebolehannya. Allah memfardukan sesuatu perintah mengikut kemampuan hambaNya itu sendiri sebagaimana yang Allah jelaskan di dalam ayat terakhir dari surah Al-Baqarah: ” Tidak Kami bebankan seseorang itu melainkan menurut kemampuannya”. Keupayaan akal inilah yang menyebabkan manusia memiliki kelayakan untuk menerima amanah. Kemampuan untuk memilih di antara yang baik dan yang buruk. Kebolehan mengenal yang hak (benar) dan yang bathil (salah). Kemampuan untuk bersyukur ataupun kufur. Semuanya terletak dalam kehendak hamba itu sendiri.

Tuan-tuan sekalian;

Kita saban hari salah guna nikmat Allah SWT. Mata suka tengok yang haram. Telinga suka dengar yang haram. Nafsu cenderung melakukan yang haram. Hati suka merasakan yang haram. Akal suka memikirkan yang haram. Macam-macam lagi keseronokan yang tuhan larang kita suka. Allah Maha Mengetahui kecenderungan manusia. Kerana Allah SWT sendiri menegaskan bahawa nafsu itu suka kepada yang haram. Sebab itu Allah SWT menyifat manusia itu zalim lagi jahil.

Biarpun sifat manusia yang suka melakukan kerja-kerja yang menjatuhkan mereka dalam lembah kejahilan dan kezaliman kepada diri sendiri; manusia itu tidak suka kepada kesusahan dan kesengsaraan. Mereka mahukan kenikmatan dan kebahagiaan. Jiwa yang kotor tidak mungkin berasa bahagia. Sehinggalah kesengsaraan demi kesengsaraan bersarang dan berlapis-lapis dalam jiwa mereka.

Pada masa itu tiada jalan lagi bagi manusia melainkan kembali kepada mengingati tentang amanah yang telah mereka itu berjanji di atasnya. Iaitu untuk kembali taat dan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Hanya air mata keinsafan yang dapat menyuci jiwa mereka.

Benarlah tuan-tuan sekalian akan firman Allah SWT;

Maksudnya:
"Demi Jiwa dan penciptaannya. (Allah) mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)". ( Surah As-Syams; ayat 7-10)
Allah SWT Maha Mengetahui bahawa manusia itu sanyat suka berlaku zalim dan bertindak atas kejahilan. Jadi Allah SWT tidak membebankan manusia dengan kebolehan akal semata-mata tetapi diberi hidayah dan bimbingan wahyu. Allah utuskan kepada mereka Nabi dan Rasul serta para ulamak sebagai pewaris kepada nabi dan rasul. Manusia dibimbing dan diasuh dengan ilmu pengetahuan. Menjadikan setiap langkah perjalanan hidupnya sebagai pengalaman hidup dan pengajaran yang berguna supaya manusia itu dapat memilih jalan-jalan kebaikan yang menyampaikannya kepada Syurga dan keampunan dan Rahmat Allah SWT. Jika ada yang tersilap langkah diberiNya peluang untuk kembali dan bertaubat lalu diampunkan dosa-dosanya.

Allah SWT menciptakan kita bukan untuk diazab atau untuk disia-siakan. Matlamat penciptaan Jin dan manusia itu ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Az-Zariyat; Ayat 56. Maka jika kita melakukan maksiat kepada Allah, kita sudah berlaku zalim kepada diri kita sendiri. Selayaknya Allah memurkai kita dan mengazabkan kita jika Dia mengkehendaki.

Oleh itu; janganlah kita tersalah memilih haluan hidup. Sebab kita semua akan ditanya setiap amanah yang Allah bagikan kepada kita. Kita semua tidak akan terlepas daripada soal jawab ini. Beringat-ingatlah sebelum terlambat.

Buat akhirnya suka saya menbacakan firman Allah SWT: Maksudnya;
"Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat. Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (Dalam pada itu), Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang". ( Surah Al-Insaan; Ayat 2-4 )

Sekian. Wabillahit Taufiq. Wassalam.


Tuesday, October 16, 2012

Insan - Nota Kuliah Maghrib


Insan Oleh ;  Mohd Isa bin Mat Daud
disampaikan di Primier Hotel Sibu pada 19 Oktober 2012

Muqaddimah
“Kepada diri kamu, Apakah tidak kamu perhatikan?
                                                - Surah Ad-Dzariyat ;21.
 
Sekadar Hiasan - Ihsan Budak Li
Sebaik-baik kejadian
“Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)” Surah At-Tiin; 4.

Dilebihkan anak Adam
“Dan sesungguhnya Kami muliakan anak-anak Adam (manusia) dan Kami berikan mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka atas banyak makhluk yang telah Kami jadikan.” (Al-Israk, ayat 70)

Proses Kejadian Insan
1. Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi ), dan tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut?

2. Sesungguhnya Kami telah aturkan cara penciptaan manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat.

3. Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). Surah Al-Insaan; 1-3.

Kembali ke darjat yang rendah…
“ Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah,”      - Surah At-Tiin; 5.

Sifat-Sifat Rendah…
Degil dan kufur Terhadap Allah SWT
Jiwanya resah-gelisah dan keluh kesah
Bersikap Jahil Lagi Menzalimi Diri
Bersifat Kikir Dan Kedekut
Berhasad dengki dan Melampaui batas

HURAIAN;
Degil, kufur dan tidak bersyukur
“ Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.Dan Sesungguhnya ia (dengan laku dan lagaknya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian . Dan Sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).”
                                                                                                - Surah Al-Aadiyaat; 6-8.
Resah-Gelisah Dan Bakhil
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)”  - Surah al-Balad 4.
 “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut)”.
- Surah al-Ma’aarij: 19.

Bersikap Jahil Lagi Menzalimi Diri
“Sesungguh dia suka menzalimi dan manjahilkan diri”
 Surah Al-Ahzab, ayat 72
i. Manusia itu zalim dengan dirinya dan tidak mengetahui apa yang dipikulnya di antara Allah dan dirinya. 
ii. Zalim terhadap amanah dan jahil tentang hak-haknya.
iii. Manusia itu lalai dari suruhan Allah

Mereka yang sejahtera…
mereka yang mengerjakan solat
mereka yang bersedekah
mereka yang meyakini hari pembalasan
mereka yang menjaga faraj dan kehormatan diri
mereka yang menjaga amanah dan janji
mereka yang menjadi saksi yang adil dan jujur
mereka yang memelihara solat

Firman Allah SWT;
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.”
Surah At-Tiin ; 5

Siapa I. N. S. A. N ?
I =  Integrity (Amanah &
          Pertanggungjawaban)
N = Nation (Semangat Kebangsaan )
S = Social ( Hidup Bermasyarakat )
A = Attitude ( Sikap & Keterampilan )
N = Nature ( Semulajadi)

Huraian;
I =  Integrity (Amanah & Pertanggungjawaban)
“ Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” - Surah al-Dzariyaat ; 56

1. Amanah Sebagai Khalifah
“ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” - Surah an-Nisaa’ ; 58


2. At-Tasliim ila Hukmillah!!!
Firman Allah SWT; “Maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah Engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” - Surah an-Nisaa’ ; 65

3. Qiwamah (Lelaki Menjadi Pemimpin)
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama. Dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.

4. Dosa
“ Dan sesiapa Yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke Dalam api neraka, kekallah Dia di dalamnya, dan baginya azab seksa Yang amat menghina.” - Surah an-Nisaa’ ; 14

5. Pahala
“ Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala Yang amat besar.”- Surah an-Nisaa’ ; 40

N = Nation (Semangat Kebangsaan )
“Dan setiap manusia itu dengan apa yang mereka miliki sangat bergembira”
“Dan dihiaskan bagi manusia itu dengan kesukaan kepada syahwat daripada perempuan-perempuan, anak-pinak, hiasan permata terdiri daripada emas dan perak, kuda-kuda (kenderaan), haiwan ternakan dan kebun-ladang; yang demikian itu adalah perhiasan hidup di dunia. Dan kepada Allahlah sebaik-baik tempat kembali.

S = Social ( Hidup Bermasyarakat )

“ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). Surah al-Hujuraat ; 13

1. BerILTIZAM Dengan Jamaah
Sabda Rasulullah saw
" Sesiapa yang keluar dari jamaah Islam walaupun sejengkal, seolah-olah ianya memutuskan ikatan Islam dari tengkuk nya"
Lalu para sahabat bertanya :
" Wahai Rasulullah bagaimana jika seseorang itu masih bersembahyang dan berpuasa"
Jawab Rasulullah ; "Sekalipun dia bersembahyang dan berpuasa dan orang orang menyeru mereka dengan nama-nama Islam sebagai hamba Allah (sebagai orang Islam)"                                                               -  Riwayat Imam Ahmad bin Hambal

2. Berlemah lembut sesama mukmin
"Wahai orang-orang beriman, barang siapa di kalangan kamu yang murtad dari agamanya maka Allah kelak akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pula mencintai Allah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin dan yang bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurniaan Allah diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui"  Surah Al Maidah: 54

A = Attitude ( Sikap & Keterampilan )

ASK
A = S + K
Attitude = Skill + Knowledge

Firman Allah SWT;
“Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,  Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan,  Ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.”


N = Nature ( Tabie & Semulajadi )
Fitrah dalam erti kejadian asal insan sebagaimana asalnya sebagaimana yang terkandung dalam maksud hadith "Setiap orang  bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah yang suci bersih; kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia yahudi ... (dan seterusnya)"

Dan dalam erti sebagaimana yang terkandung dalam ayat yang bermaksud: "Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada ugama Allah (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah (itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui"- Surah ar-Rum: Ayat 30.

Rumusan
Insan adalah sebaik-baik makluk ciptaan Allah SWT sebagai khalifah di atas muka bumi ini dan pada masa yang sama adalah hamba Allah SWT yang dipertanggungjawabkan dengan taklifah tertentu dan mereka akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di akhirat nanti tentang apa yang telah mereka lakukan di dunia ini.

Wassalam!!!


 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |