Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Tuesday, March 15, 2011

Orang Kampungku ; Pegawai ADUN Di Tangkap Khalwat???

Membaca Sinar Harian Online, membuatkan saya teruja dengan beritanya kerana ianya berkaitan dengan orang-orang kampung saya, Kampung Tok Dir. Berita Pegawai Wakil Rakyat Di Cekup Khalwat dalam sebuah kereta di satu kawasan sunyi dan gelap di Kampung Alur Tuman, Pulau Kerengga, Marang, kira-kira jam 1.30 pagi, Jumaat 11 Mac 2011. Pegawai Wakil Rakyat di sini dimaksudkan oleh Sinar Harian sebagai pegawai kepada YB Ustaz Mohd Nor Bin Hamzah; ADUN Bkt Payong, Marang.

Tapi melihat kepada orang dalam gambar ini, saya cuba berkali-kali mengenalinya, rasanya tidak kenal. Gambar siapa ini yang disiarkan oleh Sinar Harian???

Bila saya telefon orang kampung saya mereka mengesahkan orang itu bernama Mohd Din.

Mohd Din Jusoh??? Saya kenal sangat dia. Bila pula dia jadi Pegawai ADUN.

Tetapi lelaki ini (gambar kiri yang disiarkan oleh Sinar Harian) saya tidak kenal.

Kalau Mohd Din Jusoh, saya kenal dia, orang kampung saya tu, memang ada pertalian dengan YB Ustaz Mohd Nor Bin Hamzah, yang suaranya lunak dalam melaungkan azan, membaca al-Quran dan anak menantunya juga seorang Ustaz yang kini bertugas di satu sekolah di Sabah... rasanya macam tidak percaya membaca berita ini.... Apabila saya balik kampung, mengajar mengaji dia di antara yang berada dengan saya mempelajari tajwid dan al-quran. Kenal sangatlah!!!

Kalau betullah dia ditangkat khalwat, dia sekadar ada pertalian keluarga , tidak semestinya pegawai ADUN. Kerja buruh tu betul. Nak jadi pegawai ADUN kena ada sijil sikitlah, Mohd Din yang saya kenal tu orang kampung biasa-biasa saja. Kalau jadi pemandu kereta ADUN munasabah.... tapi saya kenal Ustaz Mohd Nor, rakan sekelas saya yang kini YB DUN Bkt Payong, dia pun memandu sendiri. Kalau perlu kepada perjalanan jauh seperti ke KL atau berceramah di luar kawasan baru pakai pemandu, itu pun bertukar-tukar pemandunya.

Siaran Berita Dalam Berita Harian Online : 14/03/2011
Bila saya mencari dalam carian google, ni berita yang disiarkan oleh Harakah Daily Online; Fitnah: Adun Bukit Payung buat laporan polis
.

KUALA TERENGGANU, 14 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah membuat satu laporan polis terhadap akhbar Berita Harian hari ini.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Chendering
Laporan polis tersebut dibuat pada jam 3.00 petang tadi di Balai Polis Chendering, Kuala Terengganu kerana berunsur fitnah serta memalukan wakil rakyat berkenaan.

Katanya, pihak polis diminta segera bertindak membuat siasatan terhadap penulis serta akhbar terbabit agar tidak meneruskan laporan bersifat fitnah dan memalukan itu.

“Kami buat laporan polis ini supaya pihak polis segera buat siasatan terhadap akhbar yang terlibat agar jangan meneruskan lagi.

“Kita minta mereka (akhbar) segera menunaikan beberapa tanggungjawab terhadap kesilapan yang mereka buat dengan menjatuhkan imej saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipilih oleh rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Chendering dengan diiringi oleh beberapa orang ahli jawatankuasa Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payung.

Ini berikutan, laporan sebuah akhbar arus perdana itu yang melaporkan ‘Pegawai Adun mengaku khalwat’ serta dikaitkan dengan Adun Bukit Payung.

Mohd Nor turut melahirkan rasa kesal dan malu dengan fitnah yang dikaitkan isu khalwat dengan Pegawai Adun Bukit Payung.

“Saya buat laporan fitnah dan malu. Memalukan saya dan rakyat di Bukit Payung. Fitnah ‘jahat’ yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks, sedangkan saya tidak memiliki mana-mana pegawai.

“Ini (laporan) bukan hanya memalukan saya tetapi memalukan rakyat di Dun Bukit Payung, yang mereka memilih saya menjadi wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-12, lalu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu menafikan mengenali individu terbabit berdasarkan laporan berita tersebut.

Katanya, dalam Dun Bukit Payung mempunyai lebih 19,000 pengundi yang terdiri dari kalangan rakyat Umno, PAS dan lain-lain.

“Saya tidak kenal individu itu berdasarkan laporan berita tersebut. Pengundi di Dun Bukit Payung seramai 19,000 orang yang terdiri dari rakyat Umno, PAS dan sebagainya.

“Nama Mohd Din Jusoh mungkin ramai yang terdapat di Dun Bukit Payung. Saya tidak pernah melantik dia (Mohd Din) sebagai pegawai Adun.

“Ini fitnah ‘jahat’ yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks sedangkan, saya tidak memiliki mana-mana pegawai,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor telah menyerahkan kepada pihak peguam dari Dewan Pemuda PAS negeri bagi meneliti serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Hadir sama mengiringinya, Ketua Penerangan Dun Bukit Payung, Mohd Nasir Ismail.

Saturday, March 05, 2011

Di Sinilah Tarbiyyah Diriku Bermula... Bah 1

Mengenang masa lalu dalam hidup kita adalah sesuatu yang amat menyenangkan, kekadang amat memeritkan pada jiwa. Segalanya menjadi ibrah dan sempadan dalam menyelusuri kehidupan di kemudian hari. Menjadikan saya insan yang bersyukur dan penuh kasih sayang. Ada insan yang saya ingati, ada tempat yang saya kenangi. Kata orang; "tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain."

Sebagai anak yang menjadi mangsa keadaan perceraian ibubapa di usia lima tahun, aku menumpang teduh di rumah kakak ketiga dan abang iparku. Kakak saya itu saudara seibu. Mereka empat beradik. Mereka anak yatim kerana bapa mereka meninggal sejak mereka semua masih keci lagi. Semua mereka tidak bersekolah kecuali abang saya yang  keempat (adik bongsu mereka) yang bersekolah dan kini telah menjadi seorang guru. Yang lain hanya hidup di kampung buat kerja kampung sahaja. Perkahwinan ke dua ibuku dengan bapa hanya dapat aku seorang sahaja. Aku anak tunggal tiada adik beradik kandung. Yang ada pada aku ialah adik beradik seibu dan adik beradik sebapa sahaja. Kehidupan mereka amat susah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dengan keadaan rumah yang sempit, tiada bekalan elektrik dan kemudahan asas yang daif, kehidupan kami sangat mencabar pada masa itu. Kehidupan malam kami hanya berhiaskan pelita sahaja. Abang dan kakak kerjanya menanam sayur, kami menghabiskan masa mengurus sayur yang di susun dan diikat untuk dijual seawal pagi kepada peraih. Segala macam pahit getir kehidupan aku tempuh bersama keluarga kerdil ini. Segala kesusahan, kerinduan kepada ayah, aku ulamkan menjadi rencah hidup dan perjuangan yang panjang. Aku lebih bernasib baik daripada abang-abang dan kakak-kakak seibuku kerana mereka anak yatim sedangkan aku ditinggalkan bapa sahaja. Sikap tidak mengalah kepada takdir dengan niat merubah hidup sentiasa tersemat di dada dan sanubari saya.

Dalam usaha merubah hidup, saya anak di usia sembilan tahun merelakan ditinggalkan oleh ibu demi mencari kehidupannya dan akhirnya ibu berkahwin lagi dan menetap bersama suaminya di kampung berasingan dan jauh daripada saya. Dalam setahun hanya beberapa ketika saja kami dapat bersama seperti hari raya dan cuti sekolah. Aku diamanahkan kepada kakak ketiga, anak ibu, kerana rumah hampir dengan sekolah. Di tempat baru ibu, jauh ketinggalan dari segala pembangunan di mana untuk ke sekolah terdekat pun terpaksa berjalan kaki sekurang-kurangnya enam batu merentasi ladang pokok getah yang jalannya seluas dua jengkal jari. Orang pada masa itu ramai menunggang basikal sahaja. Yang ada motorsikal sudah dianggap berada, itupun seorang dua sahaja. Jadi saya perlu berkorban demi pelajaran dan masa depanku. Keluarga kami mana ada basikal.... berjalan kaki sajalah.


Pemberontakkan Sanubari Dan Jiwa

Sejak ibu dan ayah berpisah (seusia lima tahun waktu itu) , ayah pergi dengan keluarga barunya meninggalkan aku tanpa kasih sayang. (Semoga Allah SWT mengampunkan ayahandaku yang telah pergi menghadap Ilahi pada 19 Julai 2000 lalu dan meletakkannya bersama dengan orang-orang yang soleh, doaku tidak pernah luput kepadanya). Anak manja yang sentiasa diulit dengan permainan rebat di kala aku menangis, sedih ditinggalkan pergi tanpa peduli. Perubahan hidup itu amat sukar bagiku. Kerinduan kepada ayah amat memedihkan. Kekadang jika dimarahi ibu, aku mengamuk, melarikan diri dan berjalan kaki berbatu-batu dengan hasrat mencari ayahku. Dan biasanya aku akan berhenti berjalan di satu simpan jalan yang jauhnya tidak kurang lima dan enam batu. Habis semua orang kampung terlibat, memujuk dan mencariku.

Tat kala ibu pula pergi meninggalkan aku, hatiku selalu saja memberontak.  Aku tidak lari jauh lagi. Biasanya aku akan bersembunyi di tempat-tempat pelik seperti kandang lembu dan reban ayam. Pernah aku lari dari rumah di waktu malam kerana merajuk dimarahi kakak dan bersembunyi dalam reban ayam di sebuah rumah kejiranan namun orang kampung mencari sampai ke tempat biasa aku lari iaitu di Simpan Batu 9. Namun gerak hati kakak yang membela aku sedari kecil, dapat meneka di mana aku berada. Di kala hari sudah jauh malam, kakak datang memelukku dan membawa aku pulang. Kakak memujuk dan meredakan saya. Air matanya bercucuran membasah rambutku...

"Besarnya pengorbananmu Kak, tidak dapat aku membalasnya. Allah saja yang berhak ke atas segala perit jerihmu membela dan mendidikku. Sebagai adik yang terhutang budi, hanya doa agar Allah SWT selalu merahmatimu setiap waktu dan engkau selalu ada dalam hatiku. Engkaulah sebesar-besar contoh kakak yang baik di dalam hidupku."

Sabarmu kak dalam melayan kerenahku.

Anak Masyarakat

Orang kampung selalu memangilku sebagai "anak yatim-piatu" sedangkan ayah dan ibu masih hidup waktu itu. Mereka yang belas kepadaku selalu mengajak aku makan di rumah mereka. Mereka senang denganku kerana aku anak yang baik. Suka berbual dengan orang tua, pintar dan petrah bercakap. Segala apa yang aku belajar di sekolah cepat aku menangkapnya dan biasanya aku akan mengajar orang kampung yang bersantai di laman rumah mereka. Aku boleh bercerita dan boleh menjadikan mereka terhibur. Aku boleh menyanyi juga. Mungkin darah seni bapaku mengalir dalam darahku. Semasa bapaku bersamaku dia selalu membawaku ketempat persembahan dikir barat dan main wayang kulit dan aku selalu berada di belakang pentas khususnya bila ada Pesta Pantai Di Batu Buruk. Kepetahanku membuatkan orang senang denganku dan biasanya mereka akan bagi aku duit belanja sekolah.

Bila aku meningkat remaja, aku mula liar sedikit. Aku mula berkawan dengan kawan-kawan yang bermasalah. Masa itu aku mula ponteng kelas dan lepak di bandar Kuala Terengganu. Stesen bas lama yang kini menjadi stesen teksi/kereta sewa. Teksi di Terengganu adalah beca di tempat lain.

Aku suka lepak dan dengar lagu-lagu. Jiwa Rock menguasai minda dan jiwaku. Masa tu kumpulan Search , Lefthanded, Ella And The Boys Dan Wing tengah popular. Lagu-lagu dan cara berpakaian mereka jadi ikutanku. Segala lagu mereka aku hafaz dan masih ingat sampai kini. Dan pernah aku buat persembahan pentas di keramaian sekitar kampung dan sekolahku pada waktu itu. Aku masih ingat; aku persembahkan lagu " Aku Cari Damai Di Hati" nyanyian kumpulan GingerBread, . Ragu Rock yang jadi siulanku waktu itu "Fantasia Bulan Madu". Sampai hari ini lagu itu melekat dihatiku. Namun lagu "Hati Lebur Jadi Debu", dendangan Hetty Koes Endang benar-benar terkesan dijiwa. Kerna ia bagaikan bicara dan jeritan batinku....




Bersambung....
 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |