Buat pertama kalinya, setelah 11 tahun cukup saya dan keluarga berada di Sibu, bapa mertua menziarahi kami sekeluarga di sini. Sementara itu, ziarah kali yang ke dua kepada ibu mertua saya. Kali pertama pada tahun 2006 yang lalu.
Pada penghujung tahun lepas (2010) saya tidak membawa balik keluarga ke kampung kerana bertugas mengawas peperiksaan SPM 2010, jadi mereka mengambil peluang datang bertandang ke Sibu ini.
Mereka berdua datang pada 19 Januari dan balik ke Terengganu pada 25 Januari yang lalu. Sekitar satu minggu sahaja mereka berdua di sini. Yalah mana boleh tinggal kerja dan rumah serta ayam, lembu dan kambing lama-lama. Binatang-binatang hidup ini perlu dijaga dan diurus makan minum mereka. Sekejap-sekejap tinggal, bolehlah diharapkan kepada anak atau orang lain membantu buat sementara waktu.
Sayangnya ketika mereka hadir; saya dan anak-anak masih dalam sesi persekolahan. Tidak banyak tempat yang dapat kami bawa mereka berkunjung ke wilayah Sarawak ini. Hajatnya mahu bawa mereka ke Kuching tetapi kelas gantian pada hari Sabtu pula ada. Anak-anak pula semua ada kelas gantian. Dalam ruang waktu terbatas, kami sempat bawa mereka berziarah ke tempat-tempat jarak dekat sekitar Sibu ini sahaja. Cuma kami berkesempatan berziarah ke Kabong kerumah anak saudara sabit yang bertugas di sana.
Apa pun niat mereka ke Sibu adalah untuk bersua muka dan menatap wajah cucu-cucu mereka yang lama tidak bersua. Melepaskan rindu kepada mereka dan kami semua rasa amat teruja dan gembira dengan kehadiran mereka dalam masa yang singkat dan terbatas itu.
Sungguh kehadiran mereka berdua telah membawa bahagia ke dalam keluar kami yang tidak terhingga. Semoga Allah memberi kelapangan lagi kepada kami untuk bersama lagi pada masa yang akan datang, mudah-mudahan, insya Allah.
No comments:
Post a Comment