Subscribe Twitter Facebook

Bicara Isa Daud - http://khatibwalwaasi.blogspot.com

"corat-coret peribadi, bicara nurani sendiri"

::Jadual Solat Fardu Bagi Kawasan Sibu, Sarawak::

Firman Allah SWT Yang Bermaksud; "Dan Dirikanlah Solat kerana Sesungguhnya Solat Itu Adalah Kewajiban Kepada Orang2 Yang Beriman Beberapa waktu" -Surah An-Nisaa';ayat 103. Dan Sabda Rasulullah SAW; "Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan" -alHadis.
MASJIDIL HARAM MAKKAH ALMUKARRAMAH

Renungan : Aku Ingin Jujur Kepada Semua

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Posting Teratas Blog Ini

Tuesday, September 14, 2010

Gambar Kenangan Di Awal Pagi 1 Syawal 1431H / 2010M

Sekadar gambar....

anak-anak dengan pakaian raya yang disediakan oleh umminya sendiri


abah dan ummi


fawwaz, ummi dan anis


Bahagia Bersama Di Pagi Raya


Nak Pergi Berziarah Rumah Kawan-Kawan


Gembira dengan juadah hari raya


selepas solat raya singgah di rumah pengetua SMK Agama Sibu. Dalam gambar suaminya (Abdul Ilah) dan anak-anaknya, turut ada dalam gambar Ust Zamzuri dan Ust Mohammad Abdullah.

Monday, September 06, 2010

PihakTerbabik Dengan Iklan Raya Perlu Dipanggil dan Bertaubat

Usaha terancang mensyirikkan umat Islam di Malaysia melalui iklan Raya TV3 sangat dikesali walaupun pihak TV3 telah menarik balik siaran iklan tersebut melalui Buletin Utama jam 8:00 malam tadi.

Pihak yang tidak sensitif dan sengaja membuat dakyah tidak berakhlak dan bermoral ini sepatutnya dikenakan tindakkan bukan sekadar mengumumkan permohonan maaf atau menarik iklan semata-mata.

Kepada pihak yang berwajib mesti terus mendesak pihak yang terbabik supaya bertaubat dan JAKIM atau mana-mana pejabat atau majlis agama sepatutnya lebih berfungsi dan memainkan peranan penting menggerakkan kerja dakwah berbanding membesarkan isu-isu remeh seperti orang bukan Islam masuk masjid.

Isu khurafat dan syirik adalah perkara besar kerana ia satu dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. Apatah lagi semacam ada usaha terancang menyamakan Islam dengan agama yang lain yang telah menghiris hati umat Islam dan kemuliaan hari kebesaran dan kemenangan umat Islam itu. Sepatutnya iklan mengajak kita lebih bertaqwa dan membesarkan Allah SWT tetapi berlaku sebaliknya.


Iklan ini mendedahkan lagi betapa dangkalnya iman dan ilmu umat Islam tertentu setelah 53 tahun merdeka. Maka merdekakanlah jiwa dan minda kita umat Islam dari segi agama setelah sekian lama berkiblatkan kepada benda atau metarial. Kini marilah kita memerdekakan diri kita kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT.



Berikut lapuran berita yang dipetik daripada Harakahdaily hari ini;

Akur bantahan, TV3 tarik balik iklan kontroversi

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Setelah dikritik dan dibantah banyak pihak, stesen televisyen swasta TV3 hari ini menarik balik iklan kontroversi Aidil Fitri yang disiar stesen itu sejak beberapa hari lalu.

Iklan tersebut didakwa seperti cuba menyamakan perayaan Aidil Fitri dengan unsur-unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memuatkan elemen menaiki beca terbang ala Santa Claus, bunga teratai dan pelita.

Pihak mereka juga turut memohon maaf di atas penyiaran iklan tersebut yang telah mengguris hati umat Islam.

Permohonan maaf itu diumumkan melalui Buletin Utama jam 8 malam tadi.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Pusat bercadang menghantar surat bantahan ke stesen televisyen tersebut dan juga kepada Kementerian Penerangan esok ekoran penyiaran iklan tersebut.

Selain mengguris perasaan umat Islam, iklan tersebut juga dakwa mereka mengelirukan dan boleh menjerumuskan umat Islam ke kancah syirik.

Biarpun menepati konsep 1Malaysia, namun iklan tersebut dilihat mencemar kemuliaan Aidil Fitri yang akan disambut umat Islam tidak lama lagi.

Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) digesa cermat dan memantau iklan, filem dan drama yang bertentangan dengan nilai dan syariat Islam sepanjang perayaan ini.

Iklan tersebut juga mendapat kritikan hebat umat Islam di laman FaceBook yang mandakwa TV3 sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Islam.

Mereka juga mendakwa, iklan tersebut adalah yang paling rendah nilai dalam sejarah iklan TV3.


Catatan; paparan iklan ini sekadar untuk iktibar semata-mata.



Sunday, September 05, 2010

Hati Dihinggapi Penyakit , 10 Langkah Mengubatinya

Catatan; monolog ini saja wujudkan untuk merawat hati yang sedang sakit bukan bermakna saya sedang sakit hati...... Ada orang berkata kepada saya; "ustaz tolonglah, saya sedang sakit hati!!!".
Kemusykilan;
Mengapa buntu saja? Pemikiran rasa tumpul hilang ketajamannya. Idea pula bagai tandus. Apakah kesibukan dalam kerja menghambat dan mengikat diri? Ataupun kemalasan sedang membelit di hati dan fikiran. Mungkin setiap satunya itu sedang memenjarakan diri kala ini.

Mengapa saya tidak dapat memati dan memadamkan rasa malas, jemu dan rasa lemah ? Mengapa saya sering ditekan oleh bebanan hati dan paksaan orang kepada saya? Kenapa ini yang terjadi?  Apa yang telah saya buat kepada diri saya dan kenapa orang lain lebih mendapat manfaatnya, tidak kepada saya? Sepatutnya saya berbuat, saya yang mendapatnya.... Sampai bila saya terus menjadi kuli yang berbuat kepada orang lain? Mengapa saya tidak bebas berbuat apa yang saya suka dan semahunya....

Jiwa saya memberontak dan berkata-kata; 
" Sungguh kala ini  saya rasakan minda saya sedang bercuti. Untuk meninta sependek ayat ini pun saya mengambil masa yang banyak. Setiap satu yang ditulis ada saja yang tidak menjadi. Ini menunjukkan daya fokus saya tidak berada di titik dan garisan yang sebenar. Tumpuan saya tiada pemusatan dan arah objektif dan matlamat tidak jelas.

Apakah tekanan dan kecelaruan pemikiran menyebabkan semua kekacauan ini? Saya setuju dengan persoalan saya ini. Tekanan adalah satu faktur yang merungsingkan saya. Tekanan bukan saja datang daripada bebanan kerja, keluarga dan masyarakat yang ada di sekeliling kita bahkan ianya datang dari dalam diri kita sendiri. Inilah yang sedang saya alami saat ini. "

Jiwa saya juga selalu tidak puas hati, selalu menekan saya.

" Tekanan yang datang daripada perasaan tidak puas hati dengan apa yang telah diusahakan oleh diri sendiri. Saya rasakan apa yang saya usahakan tidak dihargai. Saya rasa saya sudah tidak diperlukan lagi. Saya rasakan saya ini sebagai sebatang pokok tebu yang sudah habis manisnya. Hampasnya sudah tidak berguna lagi.

Apa yang saya ada? Saya hanya ada hal-hal yang biasa-biasa saja, tidak lagi melakukan sesuatu yang boleh mencabar jiwa dan pemikiran saya. Saya tidak lagi perlu membaca banyak, membuat sedikit kajian dan memikirkan bagaimana saya mampu membantu orang lain. Saya sudah berada dalam zon malas berfikir. Kenapa? Kerana saya rasa saya tidak lagi aktif seperti dulu, aktif berceramah, berdiskusi, berforum, berkuliah dan bermasyarakat. Saya kini bagai seorang yang sudah kehabisan bateri dan berada dipenghujung kerjaya. Seorang yang bersara atau seorang yang seronok dengan cuti.

Mungkin inilah sebabnya saya diamuk rasa malas dan jemu yang amat. Sungguh hati saya terkena serangan penyakit, hati saya tengah malas dan jemu.... "

Aduhai hati janganlah mati. Rawatilah segera. Saidina Ali Karramallahu Wajhah pernah berkata, "Jangan biarkan hatimu dengan kejemuan kelak ia akan mati". 

Hiburkanlah ia dengan zikrullah kelak ia akan tenang. Maka saya patut segera merawatnya kerana hati adalah raja dalam tubuh, jika ia baik maka baiklah segala sistem tubuh yang lain.

Pertama : Baca al-Quran dan zikrullah kerana dengannya hati kembali hidup dan bersinar. Selak semula sirah dan perjalanan mereka yang soleh, mereka juga tidak sunyi daripada ujian dan cobaan dan baca bagaimana Allah SWT membantu mereka keluar daripada mehnah dan tribulasi yang mereka hadapi.

Kedua   : Bermujahadah diri agar lebih ikhlas dalam melakukan sesuatu. Lakukan sesuatu kerana Allah. Apabila hubungan saya dengan Allah baik, insya Allah hati saya sentiasa bahagia.  Dengan itu hidayah sentiada datang kerana Allah redha kepada saya.

Ketiga   : Memperbaiki hubungan saya dengan orang lain. Maafkanlah diri sendiri dan orang lain. Apa gunanya memikul beban rasa berdosa berbanding rasa redha dan tulus dalam berhubungan. Ikhlaskanlah dalam perhubungan kerana apa yang kita beri itulah yang kita dapat.

Keempat : Banyakkan membaca doa ini. Mudah-mudahan selepas membaca doa ini saya dapat memati dan memadamkan rasa malas, jemu dan rasa lemah yang membelit diri.

Kelima   : Perbanyakkanlah amal soleh kerana ia menghilangkan kejahatan. Bertaubatlah kerana taubat menghapuskan dosa dan maksiat.

Keenam  : Hadirkanlah diri ke dalam majlis ilmu kerana ia adalah raudhah atau taman-taman syurga di dunia. Jikapun kita orang berilmu, didiklah diri untuk hadir ke majlis orang lain. Di situ kita dapat bermuhasabah dan bertazkirah atau bermuzakarah. Berdampinglah dengan para ulama dan mereka yang soleh. Carilah orang byang betul kerena mereka dapat membantu kita.

Ketujuh  : Carilah kawan dan teman yang sedia membantu. Jika ada seseorang teman yang khianat di sana ramai lagi mereka yang ikhlas. Janganlah mudah kecewa dan takut untuk bersahabat lagi... Anggaplah itu sebagai tapisan Allah SWT kepadamu kerana ia mahu menyelamatkan kamu dari mereka yang tidak jujur dan khianat. Berdampinglah dengan kawan-kawan yang baik. Hiduplah Berjamaah bukannya memencilkan diri.

Kelapan : Jangan lupa kepada ibubapa dan isteri/suami. Mereka itu pintu rahmat dan rezeki. Kegagalan kita mendapat keredhaan mereka menjadi hambatan dalam diri. Rezeki tidak berkat, kebahagian akan lari. Ingatlah pengertian ahli keluarga dapat menghapuskan perasaan kecewa mereka terhadap diri kita. Jika kita bermasalah merekalah orang yang cepat memahami kita.

Kesembilan: Carilah orang-orang miskin dan anak-anak yatim. Bersedekah dan berzakatlah. Doa mereka kepada kita sangat mudah diterima Allah SWT. Sikap kita bermurah hati terhadap mereka akan membangunkan jiwa yang sakit dan mati. Jangan kedekut dan bakhil kerana orang yang berjaya mengikis sifat bakhil akan mendapat kebahagian hati. Itulah kurniaan Allah yang tiada tolak bandingnya. Sesuatu yang tidak boleh dibeli dimana-mana. Di samping itu berbelanjalah pada jalan Allah sesungguhnya jalan jihad itu banyak. Menyedari hal ini, hati akan hidup kerana masih banyak perkara dan hal yang boleh kita lakukan....

Kesepuluh : Hargailah alam sekitar. Berkunjunglah ke tempat-tempat yang indah dan menarik. Alam ini sebahagian daripada kita. Hargailah ia kerana ia diciptakan Allah untuk manfaat kita. Baik binatang, tumbuhan;  semuanya untuk manfaat manusia. Jadi buatlah sesuatu yang mampu membangun dan menyuntikkan semula semangat yang hilang.

Disebut dalam sebuah hadis; "sesungguhnya dalam jasad itu ada seketul daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia rosak maka rosaklah seluruh jasadnya, ketahui olehmu itulah hati". Wallahu A'lam!!!
 
| Borneo Post | The Star Online | Kosmo!Online | KLpos | mStar | Harakah Daily | Malaysiakini | Harian Metro | Berita Harian Online | Utusan Malaysia Online | NST Online | Tranungkite Online | Buletin Online | Detik Daily | TKOdaily | Terengganukini | Utara Online | Malay Mail Online | Sinar Harian Online | BERNAMA | The Malaysian Insider | Satu Umat | PAS Kawasan Miri | Beras Padu | KedahLanie | Sarawak Report | TVSelangor.com | Suara Keadilan | Free Malaysia Today |