Pertama sekali saya meminta maaf kepada kesemua pemimpin Pas, terutamanya TG Haji Abdul Hadi Awang, para pemimpin Pas yang lain, penyokong-penyokongnya dan tidak lupa, permohonan maaf ini saya tujukan kepada pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat juga.
Saya juga memohon maaf jikalau artikel ini akan menimbulkan rasa tidak selesa kepada sesiapa sahaja.
Sebenarnya saya tidak mempunyai cara lain untuk menyampaikan perkara ini. Saya cuba mencari email TGHH, tapi tidak berjaya. Saya tinggal di luar negara, tidak memungkinkan saya untuk menyampaikan perkara in by hand. Tambahan pula, saya bekerja di pelantar minyak , mana mungkin saya boleh menghantarnya menggunakan pos.
Setelah beberapa perkiraan, saya mengambil keputusan untuk melontarkan pemikiran saya hanya melalui blog peribadi ini.
Saya sedar capaian blog ini tidak tinggi, tidak ramai yang mengunjungai blog ini. Tambahan pula, blog ini bagi saya adalah sekadar cetusan rasa saya dan tempat saya menyimpan beberapa sejarah politik negara untuk dijadikan panduan di masa hadapan.
Jadi, saya tidak pasti samada cetusan ini akan sampai ke pengetahuan Tuan Guru yang saya hormati dan sanjungi ini.
Kita sering diajar untuk mengingat asal-usul kita. Kita kena belajar dari sejarah agar kesilapan kepimpinan lalu tidak kita ulangi lagi dan dijadikan landasan di dalam menjalani hidup kita. Jadi, itulah juga tujuannya saya muncul di alam maya ini.
Bukan tujuan untuk mencari nama, tetapi untuk kebaikan diri sendiri dan jika ianya dapat memberi sedikit manfaat kepada orang lain, saya sudah cukup bersyukur.
Malah, tiada iklan-iklan perniagaan atau affiliate program saya selitkan di dalam blog ini. Ini kerana, bukan juga niat saya untuk menjana kewangan melalui medium yang saya perolehi secara percuma oleh wordpress ini.
Tetapi, jika ada orang lain melakukannya, itu adalah hak mereka dan kita tidak boleh marah atau menghina meraka. Saya pasti, ada blogger yang menjana wang dari laman meraka dan akhirnya wang itu disalurkan kembali untuk tujuan perjuangan. Alhamdulillah, cukup murni tujuan mereka dan saya kagum dengan anda semua.
Cukup setakat itu untuk mukhadimah saya.
Di dalam buku Art of War oleh Sun Tzu, pakar strategi perang China purba pernah berkata, jikalau arahan pertama oleh ketua tidak dapat diikuti oleh askarnya, mungkin itu kesilapan askarnya yang mungkin tidak berdisiplin.
Tetapi, jika arahan kedua oleh ketua gagal diikuti oleh askarnya, mungkin itu kesilapan ketua itu sendiri yang gagal memberi arahan yang jelas kepada askar-askarnya.
Saya melihat perumpamaan ini sama seperti usul Kerajaan Perpaduan yang hangat diperkatakan hari ini. Walaupun saya percaya perkara ini cuba di initiate oleh bekas PM Pak Lah Badawi, melalui nama seperti muzakarah dan lain-lain, tetapi Pas tetap dilihat seperti berminat dengan usul tersebut.
Maka, gempar seketika perpaduan Pas di dalam Pakatan Rakyat. Ada pemimpin Pas secara senyap-senyap cuba berbincang dengan Umno untuk 1 tujuan lain. Sudah tentu ianya tidak disenangi oleh rakan di dalam Pakatan Rakyat sendiri.
Malah, penyokong-penyokong Pas juga ramai yang turut marah dengan perkembangan itu.
Setelah itu, pertemuan diantara 2 tok guru iaitu TG Nik Aziz dan TG Hj Hadi diadakan di JKR 10. Setelah itu, perkara itu dianggap selesai dan menetapkan bahawa tiada muzakarah diantara Pas dan Umno, yang ada cuma muqabalah.
Reda seketika mengenai soal ini dan perpaduan di kalangan Pakatan rakyat kembali kukuh sehinggakan Pakatan Rakyat berjaya menguasai kesemua PRK di Semenanjung selepas itu.
Kini, di dalam Muktamar Pas ke 55 yang baru tamat baru-baru ini, usul kerajaan perpaduan kembali bergema. Ini telah menimbulkan konflik baru di kalangan penyokong-penyokong Pas dan Pakatan Rakyat sendiri.
Curiga mencurigai berlaku.
Walaupun di dalam ucapan dasar Presiden ada menyentuh mengenai keperluan untuk memantapkan lagi Pakatan Rakyat, tetapi usul Kerajaan Perpaduan ini lebih dominant dan lebih diperkatakan oleh rakyat Malaysia hari ini.
Perkara menjadi semakin buruk apabila ianya ditokok tambah oleh beberapa media batu api.
Jikalau kekecohan kali pertama dahulu, para penyokong tidak dapat menerimanya mungkin kerana penyokong tidak wala’ kepada kepimpinan, ini mungkin tidak. Ini kerana, Mursyidul Am sendiri menolaknya dan bolehlah kita dikatakan bahawa penyokong Pas itu wala’ kepada TG Niz Aziz.
Jadi, kekecohan kali kedua ini berlaku dan bagi saya, ini mungkin kesilapan langkah oleh TG Hj Hadi sendiri berdasarkan buku Sun Tzu itu.
Ini kerana, selepas kekecohan pertama dulu reda, TG Hj Hadi sepatutnya mengambil peluang untuk menerangkannya dan memberi kefahaman kepada kepimpinan di peringkat Pas itu sendiri [mungkin ini sudah dilakukan].
Selepas itu, kefahaman dan penerangan kepada kepimpinan di peringkat Pakatan Rakyat pula dilakukan.
Jikalau kedua-dua proses ini berjaya dilakukan dan mendapat persetujuan semua, maka
para pimpinan Pas dan Pakatan Rakyat pula mengambil initiatif untuk menerangkan kepada penyokong-penyokong masing.
Selepas itu, ianya perlulah digerakkan oleh Pakatan Rakyat agar dilihat sebagai gagasan bersama dan Pas yang mengetuainya.
Saya cukup yakin bahawa usul Kerajaan Perpaduan ini ada kebaikannya. Ini kerana, saya tidak menafikan kemampuan berfikir dan berpolitik seorang ulama besar seperti TG Hj Hadi.
Sebab itu saya cuba senaraikan tuntutan jika Kerajaan Perpaduan ini mahu dilaksanankan. Saya mahu kebajikan Islam dan rakyat Malaysia menjadi keutamaan.
Saya juga percaya, kewujudan Kerajaan Perpaduan pun akan menjurus kepada maksud yang sama. Bukan untuk kepentingan politik dan kuasa individu tertentu sahaja.
Apa yang boleh saya katakan lagi disini, saya mengharapkan agar perkara ini akan dibincangkan oleh pihak kepimpinan Pas secara syura. Saya pasti, para pemimpin Pas akan menggunakan panduan Al-Quran dan hadis sebagai landasan untuk menentukan halatuju mereka.
Jikalau perbincangan secara syura itu berjaya membuat sebarang keputusan, saya akan wala’. Ini kerana, Rasulullah SAW pernah bersabda ”Jikalau engkau mengikut Al-Quran dan Sunnah ku, pasti engkau tidak akan sesat selama-lamanya.
Related articles :
Setujukah anda jika Unity Government disyaratkan begini?Fahami apa itu Unity Government sebelum menyokong atau menentangnya
0 comments: